FRAGMEN 1 - BUKU TAKLUK HATI PASANGAN
LELAKI dan wanita disyariatkan untuk berkahwin dan berkongsi
kehidupan bersama. Ini kerana fitrah ciptaan wanita adalah untuk melengkapkan
sebahagian kekurangan lelaki sebagaimana dipaparkan dalam sejarah penciptaan
Adam dan Hawa. Tidak dinafikan ciptaan manusia adalah sempurna sebagaimana
disebutkan di dalam al-Quran, mafhumnya:
“Sesungguhnya Kami ciptakan
manusia dalam keadaan ciptaan yang
sempurna” - At Tin: 4
Namun dalam kesempurnaan ciptaan makhluk pertama
tersebut, ALLAH menggambarkan kesempurnaan
yang hakiki apabila dilengkapkan penciptaan wanita, Hawa. Adam
digambarkan sunyi dan kosong sehinggalah
ALLAH menciptakan Hawa sebagai pasangannya. Dan sudah tentu terdapat kelebihan
dan kelemahan yang dilengkapkan oleh jantina yang berpasangan.
Perkahwinan di antara lelaki dan wanita merupakan
tuntutan syariat ALLAH di samping memiliki fitrah kemanusiaan yang saling
memerlukan antara satu sama lain. Namun, teori hidup bersama melengkapkan
kelemahan masing-masing bukanlah suatu proses yang mudah dilaksanakan.
Istilah tiada sehaluan, tidak boleh tinggal bersama,
sering bertentangan satu sama lain atau tiada persefahaman adalah antara
ungkapan yang menjadi alasan kepada pasangan suami isteri untuk memutuskan
ikatan suci.
Ramai yang mengimpikan jalinan dua sejoli berterusan
bahagia sehati sejiwa dan seia sekata. Namun, adalah mustahil dua hati dari
spesies yang berbeza akan bersetuju dalam kesemua perkara tanpa sebarang
konflik.
Kita sering mengharap untuk melakukan setiap aktiviti
kehidupan bersama-sama, namun lebih bahagia jika membahagikan aktiviti-aktiviti
kehidupan kita menurut kekuatan yang berbeza. Cara sebegini lebih menepati
definisi kerjasama dalam membangunkan kehidupan dan bukannya membuat kerja yang
sama kerana terlalu inginkan perkongsian dan persamaan.
Pernah dengarkah orang selalu berkata, fitrah ciptaan
wanita... terdiri daripada satu akal dan sembilan nafsu manakala lelaki pula
sebaliknya? Secara jujurnya, saya tidak menemui sebarang hadis yang sahih
menyebut perkara tersebut secara jelas tetapi ia boleh dijadikan panduan dalam
kehidupan kita.
Jika kenyataan ini difahami sebaiknya, inilah rahsia
perbezaan ciptaan manusia lelaki dan wanita. Ayat al-Quran umpamanya
menceritakan betapa lelaki adalah lebih kuat daripada kaum wanita, mafhumnya:
Kaum lelaki itu adalah
pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah
menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Oleh kerana itu wanita yang saleh
ialah yang taat kepada ALLAH lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada
sebab ALLAH telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu bimbangkan
nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur
mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah
kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi
lagi Maha Besar. - An Nisa’: 34
Saya tertarik membaca tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi
yang menyimpulkan perkongsian hidup suami isteri sebagai Satu Rasa Dua Hati
ataupun ‘kebersamaan dalam setiap perbezaan’. Selamanya, suami dan isteri akan
terus berbeza, namun persamaan tujuan dan niat masih perlu diharmonikan.
Pada sudut luarannya, lelaki
memiliki fizikal yang lebih kuat berbanding wanita. Lantaran itulah, peranan
suami lebih kepada memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan wanita
sebagaimana yang diamanahkan oleh ALLAH S.W.T.
Terdapat beberapa aspek yang dilihat berbeza pada
karakter lelaki dan wanita, umpamanya orientasi, karakter, bahasa, minat, media
bahasa, harga diri, objek tarikan dan keinginan utama dalam perhubungan suami
dan isteri.
Pada sudut orientasi pemikiran, lelaki lebih
didominasi oleh rasional manakala wanita lebih dilihat cenderung menggunapakai
kekuatan emosi. Ini berkait rapat dengan fitrah kejadian wanita yang sering
digembar gemburkan sebagai hadis oleh generasi ibu bapa kita di mana ciptaan
wanita itu satu bahagiannya adalah akal, manakala 9/10 adalah nafsu.
Saya menerima mafhum riwayat nas ini sebagai panduan
di mana 1/10 bahagian ciptaan wanita ialah
dominasi akal ataupun al-aqlu sementara 9/10 ciptaannya didominasi oleh
an-nafsu, bermaksud kejiwaan atau emosi. Maksud sebegini adalah lebih dekat dan
mudah untuk difahami. Menurut ilmu psikologi, kecerdasan manusia terdiri
daripada akal dan emosi, ataupun IQ dan EQ.
Dengan andaian penciptaan wanita dan lelaki sebagai
makhluk yang dikurniakan kecerdasan, kedua-duanya memiliki kecerdasan IQ dan
EQ. Perbezaannya, wanita memiliki kekuatan kecerdasan EQ melebihi IQ, manakala
lelaki memiliki kekuatan kecerdasan IQ melebihi EQ. Oleh kerana itulah,
orientasi pemikiran lelaki dan wanita seringkali dari sudut yang berbeza,
dengan persepsi yang tidak selari di antara satu sama lain.
Kadangkala perkara remeh bagi wanita dipandang secara
fokus oleh suami. Begitu juga adakala perkara yang menggembirakan isteri tidak
semestinya menghilangkan kesedihan suami. Malah perkara yang disepakati
difahami oleh kedua-dua suami isteri juga sebenarnya difahami secara berbeza.
Suami seringkali menggunakan bahasa yang pada
anggapannya mudah difahami oleh IQ, tapi akhirnya kecewa kerana isteri gagal
memahami dengan tepat. Suami menegur pakaian isteri yang katanya, terlalu
kehijauan seperti warna katak pisang. Bagi suami, apa yang disamakan dengan
katak pisang adalah warna sahaja, bukanlah mengatakan isterinya seperti katak
pisang.
Begitu juga, dalam keadaan suami terasa isterinya
melakukan sesuatu perkara terlalu terperinci dan sempurna hingga menyebabkan
lambat disiapkan, suami akan menyifatkannya sebagai lembap.
Logiknya, tiada apa yang perlu dijadikan isu, tapi si
isteri mudah terasa teguran tersebut sebagai sindiran apatah lagi jika isteri
sedang tersentuh hati dengan perlakuan suaminya sebelum itu. Cara perumpamaan
itu juga diterima sebagai kasar dan menyentap perasaan isteri.
Sebaliknya apabila isteri ingin menyampaikan sesuatu
mesej kepada suami, kerap menggunakan cara merajuk, menutup pintu bilik dengan
kuat atau menunjukkan air muka tanda tidak bersetuju dengan harapan suami akan
menyedari mesej tersebut atau bertanya padanya.
Bagi suami, tanda-tanda melawan tersebut sebagai tidak
menghormatinya dan ini sudah tentu membangkitkan kemarahan terhadap isteri.
Hah... lihatlah apa terjadi... perhatian yang diinginkan oleh si isteri sebaliknya
kemarahan dan hukuman yang diperolehi. Ini berlaku ketika kedua-dua suami
isteri ego dengan dominasi IQ dan EQ mereka.
Pada sudut minat terhadap sesuatu secara umumnya,
lelaki lebih melihat dari sudut nilai keperluan manakala isteri pula melihat
sebagai peluang meskipun tidak diperlukan. Sepanjang tinjauan terhadap pasangan
pengantin yang mengikuti kursus pra perkahwinan, tidak ada wanita yang mengaku
mereka boros berbelanja dan tidak juga menerima kenyataan bahawa lelaki lebih
jimat berbelanja.
Saya menyokong pendirian ini kerana boros dan jimat
mempunyai persepsi berbeza dalam kalangan suami dan isteri. Cuma, ia berbeza
pada sesuatu objek itu sama ada dilihat nilai keperluan atau perhiasan. Bagi lelaki, perhiasan atau aksesori
dilihat sebagai pembaziran sementara bagi wanita pula ialah keperluan.
Terdapat juga wanita yang mengaku tidak meminati
perhiasan. Pernah saya temui seorang wanita seperti ini, bersungguh-sungguh
menafikan dirinya sukakan perhiasan. Namun apabila saya bertanya lebih lanjut,
dia mengakui hanya memiliki dua utas gelang, beberapa bentuk cincin, tiga utas
rantai dan sepasang anting-anting. Ohh... ini rupa-rupanya maksud tidak sukakan
perhiasan?
Media komunikasi suami terletak pada lisannya manakala
isteri lebih mengutamakan bahasa badan melebihi kata-katanya. Lantaran itulah,
adakala isteri mengungkapkan kata-kata yang tidak masuk akal, umpamanya apabila
merajuk, `Saya tak nak maafkan abang sampai bila-bila’, ‘Tak ingin sampai
mati!’ atau ‘Kalau dah tak nak kat saya, ceraikan saya sekarang!’
Namun beberapa wanita yang pernah mengungkapkan
kata-kata seperti itu mengakui tidak bermaksud sebegitu, sebaliknya hanyalah
untuk menarik lebih perhatian atau mengharapkan suami memujuknya lebih bersungguh-sungguh. Bagi suami pula,
kata-kata sebeginilah menyebabkannya mula mencari pengganti kerana jelas
isterinya tidak akan berbaik dengannya... SAMPAI MATI!
Dalam hal ini, suami yang paling baik dan memahami
(dalam sejarah) ialah Sayidina Ali KW. Dalam satu kisah, diriwayatkan
sekembalinya dari satu peperangan, beliau mendapat bahagian berupa tawanan
seorang wanita, lalu menyatakan hasratnya untuk memerdekakan tawanan tersebut
dan mengahwininya. Siti Fatimah, sebagai isteri yang taatkan suami, pantas
bersetuju.
Namun, pada waktu petang, sekembalinya dari urusan,
Sayidina Ali KW menyatakan hasratnya untuk membatalkan perancangan tersebut
lalu bertanya pandangan Siti Fatimah. Siti Fatimah menyatakan yang beliau
gembira dengan perancangan tersebut tetapi lebih gembira dengan pembatalan itu.
Rahsianya, Sayidina Ali KW membatalkan hasrat tersebut
kerana mendengarkan persetujuan oleh Siti Fatimah menerusi nada suara, gaya
penyampaian serta bahasa badan yang jelas tidak gembira sebenarnya. Persetujuan
tersebut hanyalah tanda ketaatan dan rasa hormat seorang isteri kepada suami,
meskipun hakikatnya amat kecewa. Inilah sebabnya menurut riwayat, Rasulullah
s.a.w mengiktiraf Sayidina Ali KW sebagai suami yang sangat prihatin, mengambil
berat serta amat memahami naluri seorang isteri.
Pada sudut yang lain, suami lebih mementingkan penghormatan terhadapnya berbanding isteri
yang lebih menghendaki perlindungan dan belaian kasih sayang oleh suaminya.
Seorang wanita akan terbuai dengan keseronokan dan
berasa amat bahagia apabila
pasangannya mampu menjanjikan keselamatan, perlindungan dan penjagaan dengan
penuh belaian kasih sayang. Oleh kerana itulah, janji seorang lelaki untuk
bertanggungjawab terhadap pasangannya sering menjadi senjata lelaki dan racun
yang mencairkan emosi wanita.
Pada sudut tarikan kontras antara lelaki dan wanita,
umum menerima bahawa golongan lelaki lebih tertarik dengan kejelitaan, tarikan gaya
serta luaran diri wanita berbanding wanita yang lebih tertarik dengan
keprihatinan, perhatian, nilai romantis dan sifat memahami lelaki.
Andai diberi pilihan, wanita akan lebih mudah jatuh
cinta jika lelaki menawarkan perhatian yang mendalam serta sifat ambil berat
meskipun tidak begitu menarik pandangan luarannya. Berbeza pula bagi lelaki,
kebiasaannya akan lebih mudah tertarik dan sukakan wanita-wanita yang cantik.
Jika diteliti, senario inilah yang terjadi dalam rumah
tangga kita. Suami yang romantis, lemah lembut dan prihatin di tempat kerja
boleh berubah serius, tegas dan hilang romantik apabila berada di rumah. Ini
bukanlah kesilapan sebelah pihak kerana isteri yang sentiasa anggun bergaya
ketika keluar bekerja juga akan bertukar comot, mengerbang dan kusut masai
sebaik pulang ke rumah. Hasilnya, ramai isteri hilang mood manakala
ramai suami pula yang lebih gembira menghabiskan masa di luar.
Isteri sentiasa dahagakan hubungan intim dan
mengharapkan kasih sayang suami yang berterusan; ingin dibelai, dimanja dan
diberi perhatian sepenuhnya. Suami pula menginginkan hubungan yang intim dengan
mendambakan layanan isteri dalam bentuk hubungan seksual.
Inilah yang sering menimbulkan silap faham sehinggakan
isteri beranggapan bahawa suami tidak lagi mempunyai emosi kasih sayang
sebaliknya hanya mengharapkan hubungan seksual semata-mata. Di sinilah
sebenarnya hikmah di sebalik bimbingan Rasulullah s.a.w agar pasangan suami
isteri yang berhubungan intim menyeimbangkan antara rangsangan dan cumbuan
kata-kata cinta sebelum hubungan bagi tujuan keadilan untuk kedua pihak.
Ramai penulis dan pengkaji psikologi merumuskan perbezaan wanita dan
lelaki yang perlu difahami dalam mencapai persefahaman hidup yang harmoni.
Salah satu buku jualan terlaris dunia karangan Shaunti Feldhahn membongkar
rahsia kajian terhadap lebih 1000 lelaki dengan rumusan penting yang amat
selari dengan kupasan yang saya jelaskan di atas. Antaranya:
1. Lelaki lebih suka dihormati berbanding disayangi.
Malah adakala, jika ditunjukkan sayang keterlaluan di hadapan khalayak boleh
menyebabkan lelaki berasa rimas dan tidak selesa. Kaum lelaki lebih
mementingkan pasangannya menunjukkan rasa hormat di hadapan khalayak.
2. Lelaki akan berasa bangga apabila si isteri
percaya dan mengakui kehebatannya. Oleh kerana itu, seringkali apabila lelaki
terluka dengan perbuatan isteri, dia akan mengaitkan soal tidak menghormatinya
sebagai suami.
3. Lelaki
mempunyai perasaan tidak yakin terhadap diri sendiri, tentang kehebatan dan kesempurnaannya.
Lantaran itu, kata-kata pengiktirafan daripada isteri sentiasa diharapkan
untuk memperkukuhkan keyakinan diri.
4. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan status
sebagai pencari nafkah untuk keluarga. Untuk menutup perasaan ini, suami akan
berusaha membuktikan peranan tersebut mampu dilaksanakan dengan cara
menyediakan kemewahan sehingga tertinggal peranan memberikan kasih sayang dan
keprihatinan kepada ahli keluarga.
5. Suami akan terasa diri tidak berguna apabila
permintaannya berkaitan hubungan seksual ditolak.
Penolakan oleh isteri memberi petanda penolakan
bukan sahaja fizikal tetapi juga mental, malah suami akan terasa bahawa isteri
tidak menghormati atau memerlukannya lagi.
6. Lelaki kebanyakannya tidak
romantik, secara asasnya. Memandangkan wanita mendambakan lelaki yang romantik,
maka mereka terus mencuba sebaiknya tetapi masih tidak dapat memenuhi citarasa
yang diimpikan oleh wanita.
7. Jauh di sudut hati suami, pasti menginginkan
isterinya sentiasa berpenampilan menarik dan mampu menggoda perhatiannya setiap
saat bersama.
8. Lelaki yang bergelar suami mahu isterinya
mengetahui bahawa kasih sayangnya amat mendalam, jujur dan setulus hati. Adalah
sesuatu yang mengecewakan suami apabila isteri mempersoalkan kejujuran malah
selalu prejudis dengan kasih sayang yang diberikan.
Shaunti Feldhahn, dalam buku terlarisnya For Women
Only, beliau memulakan penulisan tentang betapa kaburnya pengetahuan seorang
wanita tentang pandangan sudut dalaman seorang lelaki. Beliau seterusnya
menekankan soal kepentingan hormat pada lelaki berbanding hanya kasih sayang
yang sering ditunjukkan oleh isteri.
Suami juga amat mengutamakan hubungan seksual
sedangkan ramai isteri tidak menyedarinya. Betapa kunci mengikat kasih sayang
suami adalah sesuatu yang dimiliki oleh wanita. Dalam bahasa mudah, isteri yang
mahu mengikat kasih sayang suami perlulah sentiasa hangat dan menggoda!
Suami juga digambarkan sebagai seorang yang mudah melupakan
apa yang dilihatnya dan ini amat berkait rapat dengan fitrah lelaki yang tidak
begitu tinggi kecerdasan emosinya. Suami sering menggunakan kaedah mind to heart sedangkan
isteri sering menghendaki sesuatu dengan hatinya agar boleh difahami oleh
minda lelaki. Dan ia adalah sesuatu yang sukar sebenarnya!
Dalam buku yang lain, Shaunti mendedahkan tentang
rahsia wanita, memulakan penulisannya dengan gambaran umum tentang dunia
wanita. Perbahasan awal menggambarkan kebanyakan pengakuan atau kenyataan
daripada wanita ataupun isteri kebiasaannya memberi hint agar
maksudnya berlaku secara terbalik pada pasangannya.
Umpamanya, seorang isteri ketika merajuk akan membebel
betapa dia sayangkan suaminya, walaupun sebenarnya lebih bertujuan untuk menarik
perhatian agar si suami lebih menyayanginya ataupun meluahkan kasih sayang
kepadanya. Beliau juga mendakwa seorang isteri sentiasa berasa memiliki
kecerdasaan yang tinggi dalam menguruskan rumah tangga dan mengharapkan diakui
oleh si suami.
Kebiasaannya, suami akan memandang rendah terhadap
wanita dan mengganggap dirinya lebih cerdas daripada isteri. Si isteri lebih
memerlukan suaminya sentiasa berdampingan kerana terasa lebih selamat dan dilindungi.
Ini memberi makna keprihatinan dan kasih sayang suami yang diperlukan oleh
isteri dan kunci menambat ikatan hormat isteri sebenarnya ada pada lelaki.
Pada sudut yang lain bagi seorang isteri, mendengar
masalah adalah cukup sebagai solusi meskipun tiada solusi sebenarnya. Dalam
konteks hubungan seksual, penolakan isteri untuk mengadakan hubungan seksual
bukanlah bermakna dia menolak diri lelaki atau tidak menghormati suami tetapi
kemungkinan terdapat 1001 alasan yang lain.
Seorang isteri juga mendambakan pasangannya untuk sentiasa berusaha mengenali
dirinya sebagai tanda kejujuran menyayanginya sepenuh hati. Lagi kuat rasa
sayang isteri kepada suami, lagi tinggi harapannya agar si suami berusaha
mengenali segala-gala tentang dirinya.
Realiti ini disokong oleh banyak pengalaman dan kes
yang berlaku sepanjang kehidupan kita. Andai benar kita menyedari hakikat
perkahwinan adalah suatu perkongsian antara dua insan berbeza, banyak aspek
yang harus ditoleransikan, juga banyak perkara yang harus dikorbankan untuk
keharmonian dan ketenangan hidup bersama.
Malah, andai lebih diperhalusi, peranan yang ALLAH
S.W.T tentukan kepada kita juga menjelaskan perbezaan yang perlu dikongsi
secara sinergi. Perbezaan antara peranan suami dan isteri melengkapkan
keperluan kehidupan dalam rumah tangga. Tidak timbul soal iri hati mahupun
tidak berpuas hati kerana ALLAH tidak menugaskan suami dan isteri dengan tugas
yang serupa.
Kita laksanakan tugas hakiki masing-masing dan
selebihnya adalah bantu membantu untuk meringankan tugas pasangan. Seharusnya
tidak wujud situasi jadual giliran untuk melaksanakan tugas yang sama dalam
rumah, tetapi lebih kepada persefahaman untuk membantu sahaja dan ia perlulah
dihargai oleh satu sama lain.
Jelasnya, peranan suami dan isteri yang ketara dilihat
berbeza dan boleh disinergikan secara bersama, iaitu menjalankan tugas dan
peranan masing-masing bagi melengkapkan tugas oleh pasangan kita. Umpamanya,
tugas hakiki suami adalah menghormati dan mentaati ibu bapa termasuklah ibu
bapa mertua manakala tugas hakiki isteri adalah menghormati dan mentaati suami.
Inilah indahnya rumah tangga menurut tatacara hidup secara Islam.
Secara ringkas, perbezaan peranan yang jelas antara
suami dan isteri pasti tidak memungkinkan untuk kita iri hati dan salah
menyalahkan satu sama lain. Antaranya:
Jika dilihat senarai contoh tanggungjawab yang
disebutkan, ternyata kita diamanahkan dengan peranan yang amat berbeza di
antara satu sama lain. Perbezaan tugas inilah yang akan memantapkan keseluruhan
aspek kehidupan kita apabila setiap keperluan hidup disempurnakan secara
kerjasama di antara suami isteri.
Umpamanya, perbezaan fitrah luaran di mana suami lebih
kuat fizikal berbanding isteri yang lebih
kuat mental juga membezakan kesesuaian peranan. Misalnya, kerja-kerja berat
amat sinonim dengan kelebihan yang ada pada suami manakala tugas yang
memerlukan ketabahan, kesabaran dan kehalusan emosi amat sesuai dengan seorang
isteri.
Rasulullah s.a.w pernah mengarahkan Sayidina Ali
supaya bekerja (mencari nafkah) di luar rumah dan menyuruh Siti Fatimah tinggal
di dalam rumah. Ini kerana kerja-kerja berat di luar rumah adalah menjadi tugas
suami manakala tugas isteri hanyalah kerja-kerja yang tidak memerlukan kekuatan
fizikal.
Rahsianya, kita akan redha dan bahagia apabila boleh
menerima perbezaan di antara suami dan isteri, diciptakan oleh ALLAH untuk kita
saling menghargai dan menghormati kelebihan satu sama lain. Mengetahui
perbezaan kita memandu kita untuk bertindak bijak menawan hati pasangan di
samping mudah tenang apabila menerima keanehan tindak balas pasangan yang
adakalanya tidak menggembirakan.
Cuba hayati dan renungkan beberapa situasi yang mungkin berlaku dalam kehidupan kita:
Ramai isteri yang mengimpikan suami akan tahu apa yang
perlu dibuat untuk memujuk ketika mereka merajuk. Sedangkan ramai suami yang
rimas dan marah dengan sikap isteri yang suka merajuk dan tidak mahu mendengar
teguran. Isteri mahukan perhatian dan belaian sehingga kalaupun perlu
penghormatan diberikan mestilah dengan penuh kasih sayang. Sebaliknya pula bagi
suami yang mengharapkan kasih sayang yang ditunjukkan kepadanya mestilah dalam
bentuk penghormatan.
Seorang isteri yang mendengar cerita tentang sesuatu perkara yang boleh menimbulkan prasangka,
lantas merajuk dengan mengurungkan diri di dalam bilik. Suami yang tidak
terlibat dengan apa-apa kesalahan dan tidak memahami situasi tadi lalu mengajak
isterinya keluar makan malam. Hasilnya, terdengarlah laungan berbaur rasa geram
dari dalam bilik. “Tak nak! Orang sakit kepalalah! Lagipun dah kenyang!” bentak
si isteri walaupun sebenarnya tidak.
Jauh di sudut hati, si isteri mengharap agar si suami
perasan yang dia sedang merajuk dan
segera memujuknya. Suami terkejut dengan suara tinggi sebegitu, lantas
terus keluar makan bersama rakan-rakannya. Hati isteri semakin remuk mendengar deruan enjin kereta
meninggalkan rumah. Derhakakah si isteri dengan perbuatan tersebut? Atau
suamikah yang bersalah?
Dalam satu majlis yang pernah saya kendalikan, saya
bertemu dengan sepasang suami isteri yang berjaya mengharungi gelombang rumah
tangga mereka lebih 30 tahun.
Menurut si isteri, mereka berdua mempraktikkan jadual
giliran hari mengemas rumah, memasak, membasuh kain, mengambil anak-anak pulang
dari sekolah sehinggalah bersengkang mata menjaga atau menyediakan susu untuk
bayi mereka. Dia bersyukur kerana suaminya tidak seperti lelaki lain, yang
berat tulang melakukan kerja-kerja rumah apatah lagi menjaga dan memberi bayi susu
pada tengah malam.
Apabila saya cuba menyelami hati suaminya, pantas si
suami menjawab, “Suka ke tak suka, dah nasib... life without
choice! Kan kita dah kahwin...” Namun, apabila saya menceritakan fitrah lelaki
yang berbeza keinginan dan keperluan, air matanya bergenang dan perlahan
menjawab, “Memanglah... kalaulah saya boleh undur dan mulakan semula sejarah
hidup saya...”
Kisah ringkas ini memberitahu kita bahawa peraturan
hidup yang mengongkong fitrah akan hanya menyebabkan kita terseksa. Meskipun
dari luarannya kita menerima demi menyedari tanggungjawab untuk mengekalkan
kerukunan rumah tangga namun batin menderita terseksa!
Dipetik dari sebahagian kandungan Tkluk Hati Pasangan... RM 16.00 sahaja. Boleh di miliki dikedai buku atau http://mall.karangkraf.com/
Dipetik dari sebahagian kandungan Tkluk Hati Pasangan... RM 16.00 sahaja. Boleh di miliki dikedai buku atau http://mall.karangkraf.com/
No comments:
Post a Comment