Thursday, December 13, 2012

SIRI SOAL JAWAB

SIRI SOAL JAWAB adalah him­punan kemusykilan yang sering dihadapi oleh masyarakat masa kini. Setiap persoalan dileraikan secara telus dan pe­nyampaian­­nya dilakukan secara ber­hemah tetapi berlandaskan tuntutan-NYA. Khusus buat mereka yang tidak berkesempatan untuk bertanya secara ber­hadapan, kami membawa anda terus bersama `pakar’ dalam bidang masing-masing. Konsep soal jawab ini disampaikan secara lebih terbuka. Penerangannya mudah difahami dengan penggunaan bahasa yang jelas. Soalan-soalannya merangkumi aspek sosial, ekonomi, rumah tangga, hukum-hakam, keadilan serta 1001 lagi asam garam kehidupan. Moga matlamat siri ini dalam melahirkan masyarakat yang bebas dari belenggu masalah akan dapat dicapai melalui perkongsian ilmu ini.

 BAKAL TERBIT!

Tuesday, November 6, 2012

Sunday, October 14, 2012

KENALILAH TUHAN YANG MENGUJI MU - PAHROL MOHD JUOI

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” Subhanallah, saya terasa ingin menjawab rasa hati ini dengan sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar terpanggil. Tetapi kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan tulisan yang secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun, marilah sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis ini jika diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai. Terimalah tuisan ini sekadarnya

KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU!
Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,  terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba… 

Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”

Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu.  Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,  nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?  Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,  tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:

I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.

II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.

III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”

Petikan dari blog Pahrol Mohd Juoi - Penulis buku Di mana DIA Di Hatiku?
http://genta-rasa.com/2012/09/25/kenalilah-tuhan-yang-menguji-mu/#more-2284

Friday, October 5, 2012

DAR AL-HIKMAH Kolej Perintis...

Seronok bekerja sama dengan Kolej Dar Al-Hikmah merupakan koleh perintis bagi program KEMBARA ILMU yang

SHARIZAD SHAFIAN di TV ALHIJRAH - Dia Khalifah Hidupku...


Thursday, October 4, 2012

HJ AFIFI AHMAD di TV ALHIJRAH ESOK!


BUKU ULANG CETAK: Kahwin Pada Usia Muda & Kuasai Tajwid Cara Mudah

Syukur Alhamdulillah berkat kesabaran, berkat susah payah, berkat pengorbanan yang diberikan penulis ini untuk menghasilkan sebuah buku akhirnya berbaloi dengan jualan yang memberangsangkan. Yang pastinya cetak ke dua dan ke tiga ini memuaskan hati semua pihak bila buku ini tersebar luar di muka bumi ALLAH. Moga dengan pengisian yang mantap itu akan mampu memberikan sesuatu kepada diri sama ada dalam bentuk idea, perubahan pada diri dan sebagainya. Tahniah sekali lagi..

JUALAN BUKU MENINGKAT- Booth Karangkraf dapat sambutan...

Alahamdulillah berat usaha semua pihak terutama bahagaian sale dan promosi serta setiap ahli Karya Bestari berasa sangat bersyukur dan tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh masayarakat memang diluar jangka. Kami sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang hadir serta telah menjayakan segala aktiviti yang dianjurkan... Semoga ilmu yang diperjuangkan itu akan diredhai oleh ALLAH...

Monday, October 1, 2012

UNTUKMU IBU

Sajak ini ihsan dari Puan Hjh Fatimah Binti Hj. Hussein dari Johor Bahru... Di hadiahkan untuk semua tatapan Karya Bestari untuk berkongsi rasa tentang kasih sayang seorang anak kepada ibu tercinta. Sama-sama kita rasa dan merasai kasih sayang seorang yang mencintai kita sejak kita kecil sehingga dewasa.

Monday, September 3, 2012

MERIAH PROGRAM IMARAH MASJID di MASJID AS-SALAM - Menyubur Ilmu, Membenih Cinta


Alhamdulillah… berkat izin-NYA, segala perancangan telah menjadi realiti.

Bertempat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, program IMARAH MASJID anjuran Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf bersama Majalah i @ Kumpulan Media Karangkraf ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak pengurusan Masjid As-Salam, Puchong Perdana. 

 

Seawal jam 10.00 pagi, Sabtu 1 September 2012, En. Muhammad Nazir Mohammed Khalid ...(penulis buku Belajar Tajwid Cara Mudah) telah bersedia dengan sekumpulan anak-anak cilik dalam `Kuiz Bahasa Al-Quran’. Aktiviti selama sejam itu terasa begitu cepat berlalu kerana respons yang begitu positif daripada semua peserta. Setiap soalan dalam bentuk permainan silang kata berjaya dijawab dan ini menunjukkan bahawa pemahaman anak-anak sekolah rendah terhadap al-Quran begitu baik sekali. Alhamdulillah…
 
Aktiviti seterusnya ialah `Kenali Ayat Cinta Rasulullah’ yang dikendalikan oleh penulis buku Takluk Hati Pasangan, Prof Madya Dr. Mohd Nor Mamat. Jika aktiviti sebelum ini disertai oleh anak-anak cilik, kali ini anak-anak remaja pula menunjukkan bakat. Berpandukan keratan hadis yang dimasukkan dalam kotak dan dicabut sendiri, dapat dilihat secara jelas kredibiliti setiap peserta ketika menghuraikan maksud hadis. Ada yang agak gugup dan malu-malu tetapi tetap berbakat! Syabas anak-anakku!
   
Sesi tazkirah bersama Dr. Ridzwan Bakar (penulis buku Rinduku Pada Baitullah) kemudiannya mengambil tempat di ruang legar Masjid As-Salam. Perkongsian pengalaman sendiri selama berada di tanah suci membuatkan setiap patah kata memberi mesej yang bermanfaat sekali. Berpegang pada, `ALLAH tidak pernah lupakan kita’, pengisian yang mengajak kita menguatkan tekad untuk ke rumah-NYA membuatkan kita turut merasai kemanisan dan ketenangan di bumi Raudhah itu,. Presiden Kelab Haji Muda ini juga tidak lokek berkongsi cara pengurusan diri yang sebaiknya sepanjang mengerjakan haji dan umrah. 
 
Seusai solat zuhur, majlis Jamuan Hari Raya Masjid As-Salam mula dikunjungi ramai. Kariah dan penduduk setempat tidak putus-putus memeriahkan pekarangan masjid yang telah dipenuhi dengan pelbagai gerai juadah. Pemberian duit raya juga antara sesi yang amat menyeronokkan khususnya bagi kanak-kanak. Booth jualan buku dan majalah juga turut menjadi tumpuan. Walaupun 1 September 2012 berlanjutan dengan cuti hujung minggu, cuti umum Hari Kebangsaan dan masih dalam mood raya-rayaan, namun kehadiran khalayak memang di luar dugaan. Alhamdulillah… inilah yang dikatakan rezeki Syawal.

Sesi petang pula diteruskan dengan Aktivti Mewarna. Sebagaimana yang dijangka, sambutan kanak-kanak amat menggalakkan. Terserlah kreativiti dan bakat masing-masing menerusi hasil kerja tangan yang disiapkan.

Dan… pada jam 3.00 petang, suasana ruang legar Masjid As-Salam semakin gamat sejurus bermulanya aktiviti `Bila Ustaz Sibuk di Dapur’. Penulis Karya Bestari yang lain juga turut hadir memeriahkan akitiviti ini antaranya En. Anwar Nursi (Anakku... Hidup sekali biar bererti). Menyokong penuh aktiviti ini sepanjang majlis berlangsung. Tambahan sikap sporting Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus dan Ustaz Mohd Nor Mamat menceriakan suasana. Teman sekuliah ketika di UIA dahulu kini digandingkan dan hasilnya… Sambal Udang Manisnya Iman dan Ayam Golek Takluk Hati Pasangan siap sedia terhidang. Tahniah ya ustaz berdua kerana menunjukkan teladan bahawa inilah antara ciri suami mithali… tidak segan silu menyingsing lengan membantu cik isteri. Apa-apapun, terima kasih pada buku `Koleksi Menu Orang Bujang’ dan Koleksi Menu Harian’ (terbitan Alaf 21) yang telah menghasilkan resipi yang `pasti jadi’ ini!
 
Alhamdulillah… cuaca yang baik melancarkan perjalanan majlis. Sebelum solat asar, `Pelancaran Imarah Masjid’ disempurnakan oleh Datuk Abd. Jalil Ali. Dalam ucapan ringkas, Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf ini sempat menyuarakan rasa teruja di atas inisiatif murni pihak pengurusan masjid yang turut menjemput pemimpin dari rumah ibadat bukan Islam. Moga ukhuwah sesama kita dapat dieratkan tanpa mengenal bangsa.

Pada sebelah malamnya, berlangsung Pelancaran Kelab Haji Muda dan Pelancaran Pujuklah Rasa (karya terbaru Dr. Robiah K. Hamzah). Kedua-dua majis ringkas itu disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Sujak Muhammad Dasuki (Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling). Grup Buku Karangkraf dan Kumpulan Media Karangkraf juga telah menyumbangkan wakaf bahan bacaan kepada beberapa sekolah berdekatan dan perpustakaan pusat sumber Masjid As-Salam bagi memenuhi matlamat visi dan misi perkongsian ilmu.

Acara kemuncak, sudah semestinya Forum Bicara Cinta Anak Muda, anjuran Majalah i. Forum Siri 6 ini menampilkan koloborasi mantap ahli panel iaitu motivator kekeluargaan Dr. Robiah K. Hamzah serta artis Yatt Hamzah dan Farah Asyikin Zulkifli. Syaqif Zulakifli (DJ IKIMfm) sebagai moderator berjaya mengendalikan forum yang bermula pada jam 9.00 malam itu. Perkongsian rasa `Mencari Jalan ke Syurga’ menyuntik kesedaran bahawa kita sebagai hamba-NYA usah sesekali memandang rendah kepada mereka yang mahu berubah. 
 
Pengisian yang mantap membuatkan setiap sudut empat buah khemah dipenuhi hinggakan tambahan tikar terpaksa dibentang. Malah, khalayak hadirin tidak berganjak hinggalah forum berakhir menjelang detik 12.00 tengah malam.

Team Promosi Grup Buku dan Majalah I yang sering membantu kami menjayakan program ini.
Secara keseluruhannya, terima kasih tidak terhingga buat semua para penulis, pengurusan Masjid As-Salam di bawah kelolaan nazir, Tuan Hj Yasim Mohamed, dan semua karyawan/team/pihak terlibat (maaf, tidak tersebut satu per satu) yang telah memberi komitmen sepenuhnya. Mudah-mudahan matlamat utama untuk memupuk semangat cintakan masjid diberkati dan diredhai-NYA. Bagi pihak Grup Buku Karangkraf dan Kumpulan Media Karangkraf, kami memohon maaf di atas segala kekurangan dan keterlanjuran. Insya-ALLAH, panjang umur, ada rezeki… IMARAH MASJID akan kembali!

* Terima kasih setulus hati buat Majalah i, Sinar Harian dan semua karyawan Kumpulan Media Karangkraf . Juga, terima kasih daun keladi buat semua anak beranak di team promo, sales, logistik, editorial Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf. Alhamdulillah… segala usaha kita dipermudahkan-NYA berkat doa dan team work bersama. Sememangnya, Benar-benar `membarakan jiwa dan minda’ walaupun… (penatlah jugak…)...Syukur…