Wednesday, November 30, 2011

ESOK FIESTA BUKU GRUP BUKU KARANGKRAF. DATANGLAH BERAMAI-RAMAI MENIKMATI DISKAUN BUKU SEHINGGA 70%.

Jom sahabat dan semua pembaca tegar atau baru, kami menjemput anda bersama-sama menikmati diskaun buku dari 25% sehingga 70% di perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Fiesta yang diadakan selama 3 hari ini bermula dai jam 9 pagi sehingga 6 petang, Jumaat sampai hari Ahad. Banyak buku terbaru yang akan dijual di fiesta buku ini dan fresh dari kilang. Antaranya Menerokai Kegemilangan Saintis Islam juga boleh diperolehi, Kahwin Pada Usia Muda, Kau Hadir Dalam Munajatku, Soalan Bocor Dari Kubur dan 100 Pesanan Terakhir Rasulullah yang baru sahaja mendapat title Best Seller!. Bagi penggemar buku siri ad-deen kami ada penulisan Mohd Fikri Che Hussain - AWAS! Ancaman Orientalis Terhadap Kita.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Jom memeriahkan Fiesta Buku Grup Buku Karangkraf kerana bukan sahaja buku agama Karya Bestari sahaja yang ada malah kami bersama dengan brand Alaf 21 dengan buku hotnya OMBAK RINDU yang sedang ditayangkan di pawagam, juga buku kanak-kanak, resipi, kraf, umum dan buku prima. Bacalah...

Monday, November 28, 2011

Fragmen AKHIR - Buku: KAHWIN PADA USIA MUDA

FRAGMEN AKHIR - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Mahkota: Usah Dibiar ‘Kusam’

Faktor bau juga menyumbang terhadap kadar perceraian di Malaysia. Kita biasa dengar bau badan suami yang busuk dan kita juga biasa mendengar kisah tentang suami yang tidak tahan dengan bau badan isteri. Terdapat juga kes si isteri yang meminta cerai hanya kerana tidak tahan dengan bau mulut suami.

Mungkin sebab itulah kita lihat banyak iklan penyegar mulut yang rancak mengiklankan produk masing-masing. Rupa-rupanya masalah bau mulut juga merupakan suatu masalah, sehingga ada di antaranya membawa mesej- perempuan cantik memilih lelaki biasa dengan mulut berbau segar dan menolak si tampan dengan mulut yang berbau.

Masalah mulut berbau bukan sahaja menjauhkan orang di sekeliling tetapi turut mewujudkan jurang dalam hubungan suami isteri. Kemesraan seperti sebelumnya akan terhakis lebih-lebih lagi bagi isteri yang mempunyai deria bau yang sensitif. Memang tidak dinafikan TUHAN menjadikan manusia sebegitu unik. Ada yang langsung tidak boleh menghidu sesuatu yang pelik dan ada yang tidak berbau apa-apa.

Pernah berlaku seorang makmum dalam sembahyang kelihatan begitu rimas, terbatuk-batuk dan terus mengasingkan diri sebaik sahaja habis solat. Rupa-rupanya dia tidak tahan dengan bau minyak wangi yang dipakai oleh makmum di sebelahnya. Begitu juga sepasang suami isteri tidak berbual panjang semata-mata kerana si isteri mengadu mulut suaminya berbau. Macama mana si suami tidak merajuk? Jika dahulu boleh saja mencium isterinya tetapi kini tidak lagi. Itu cerita isteri yang mempunyai deria bau yang kuat. Tetapi, bagaimana pula bagi suami yang mempunyai deria bau yang sensitif?

Bagi sesetengah lelaki, seperti yang dilaporkan akhbar popular Malaysia, jelas memperlihatkan bahawa isu remeh tentang penjagaan kebersihan diri menjadi punca berlakunya peningkatan kes perceraian pada pasangan. Amat janggal apabila dibaca bahawa mahkota paling berharga isteri yang selalunya mampu memancing ghairah suami telah bertukar menjadi penyumbang terhadap kadar perceraian.

‘Mahkota’ itu adalah aset bernilai buat kaum wanita yang perlu dijaga kebersihannya. Menjaganya agar sentiasa bersih akan meningkatkan keharmonian rumah tangga sekali gus mampu melanjutkan usia perkahwinan. Bagi yang dijangkiti kulat akan mengeluarkan bau yang amat menyengat dan akan membantutkan keinginan lelaki untuk bersama. Begitu juga apabila ada yang terkena infeksi penyakit menular seksual seperti chlamydia, herpes genital atau gonorea.

Para isteri tidak boleh memandang ringan masalah mahkota yang ‘sakit’ ini kerana si suami tidak akan selesa dengan persekitaran yang tidak memberangsangkan terutamanya apabila bersedia untuk melakukan hubungan badan. Kesannya mungkin mendalam buat suami. Pasti dirinya akan mencari ‘makanan’ lain yang lebih sedap lagi. Jika diberi pilihan sekalipun, orang lebih suka mendayung di air yang bersih dan bukan mendayung di sungai kotor dan berbau. Silap hari bulan, sampan sudah sedia untuk bertolak, kayu pendayung pula patah sebelum digunakan.

Sesungguhnya Islam juga amat menganjurkan menjaga kebersihan kerana ia merupakan ciri-ciri muslim sejati dan mulia:
Anas bin Malik berkata:
Telah ditentukan waktu untuk kami memendekkan misai, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan dan kami tidak dibenarkan untuk membiarkan lebih dari masa 40 malam. - HR Muslim, ibnu Majah, Ahmad, Tarmizi, Al-Nasai dan Abu Daud

TAMAT

Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

Dapatkan buku koleksi Fuad Haji Sam sekarang!

Tuesday, November 22, 2011

BAKAL TERBIT! TAUBAT PASPORT KE SYURGA

BAKAL TERBIT DI PASARAN: TAUBAT PASPORT KE SYURGA....

HARGA: RM11.00
ISBN: 978-967-86-0385-0
PENULIS: Drs. Hj. Hanafi Mohamed, MA


Fasa Seorang Hamba:
  • Alam Roh
  • Alam Kehidupan
  • Sakaratulmaut
  • Alam Barzakh
  • Padang Mahsyar
  • Siratulmustaqim
  • Syurga/Neraka?
Anda layak TETAPI...
Tertakluk kepada keizinan ALLAH S.W.T

SINOPSIS:
Wahai insan yang tidak sempurna, bersihkanlah noda yang ada. Mohon hanya pada Yang Berkuasa. Titiskan air mata penyesalan sepenuh jiwa. Menginsafi khilaf diri seikhlas rela. Dunia sekadar pinjaman semata-mata. Tiada yang kekal melainkan DIA. Moga husnul khatimah sebagai pengakhiran hidup kita.

Astaghfirullahalazim… pastikan lisan kita sentiasa dibasahi dengan kalimah ringkas ini. Hikmahnya berupaya menggugurkan sekecil-kecil dosa sehinggalah yang besar, andai bertepatan dengan syarat di samping keinsafan berterusan. Biarpun dosa menggunung, godaan nafsu sukar terbendung, namun rahmat dan kasih sayang Yang Maha Agung… tiada siapa dapat menghitung.

Taubat Pasport ke Syurga menjadi panduan buat kita yang sering alpa. Tuntutan taubat nasuha menyucikan karat-karat dosa yang meliputi diri kita. Hanya dengan bertaubat, hati akan menjadi tenang dan jiwa kembali ke jalan kebenaran. Moga seikhlas amalan memberi jaminan kita menempah tiket sebagai penghuni syurga yang abadi. Insya-ALLAH…

ANTARA YANG MENARIK:
  • Keutamaan Istighfar
  • Kisah-kisah Pengajaran
  • Dosa yang Wajib Taubat
  • Ruginya Tidak Bertaubat
  • Taubat Penyembuh Dosa
  • Istighfar Para Nabi dan Rasul
  • Syarat-syarat Diterima Taubat
  • Kesan Dosa Dalam Kehidupan
  • Mengapa Kita Wajib Bertaubat?
  • Mengapa Kita Melakukan Dosa?

Sunday, November 20, 2011

Fragmen 4 - Buku: KAHWIN PADA USIA MUDA

FRAGMEN 3 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Dulu Disayang, Kini Dibuang.
Akhbar kini banyak memaparkan statistik kadar perceraian yang semakin meningkat di kalangan pasangan beragama Islam. Jumlah pasangan muslim yang bercerai menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu 27,116 kes pada tahun 2009 berbanding 22,289 kes pada tahun sebelumnya. Bilangan ini merupakan jumlah pasangan yang bercerai secara rasmi.

Terdapat juga pasangan yang bercerai tetapi tidak mendaftarkan perceraian mereka. Angka ini sudah pasti menambahkan lagi bilangan orang Islam yang bercerai. Sebelum itu, Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh sepuluh tahun pertama banyak menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga kerana kebanyakan pasangan tidak sabar. Sebelum itu juga kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama telah mengalami perceraian.

Kepala Angin Atau Panas Baran
Saya ada terbaca berita tentang ‘kepala angin’ yang telah meranapkan sebuah rumah lama seorang penduduk dan menerbangkan bumbung rumah barunya yang baru sahaja diduduki kira-kira setahun lalu. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.20 petang ketika mereka sedang menikmati makan tengah hari.

Begitulah hebatnya bencana ‘kepala angin’. Hampir sama seperti puting beliung yang mampu meranapkan apa sahaja yang berada di hadapannya. Bagaimana pula jika ada yang mendapat suami bersikap kepala angin?

Padah
Tentunya pembaca masih ingat kisah seorang gadis yang terpaksa menanggung penderitaan akibat menagih kasih seorang lelaki yang ‘berkepala angin’. Mangsa dimasukkan ke hospital akibat dipukul, ditendang, diterajang dan dihentak kepalanya oleh teman lelaki hingga mengalami kecederaan.

Itu kisah orang belum berkahwin. Kita ikuti pula pengakuan Salina Samsudin (bukan nama sebenar) yang berkahwin pada usia 18 tahun yang mengharapkan panas sampai ke petang. Rupa-rupanya dia mendapat suami bersikap panas baran tidak bertempat. Itulah hakikat yang terpaksa diterima oleh Salina selepas menjadi isteri.

Menurut Salina yang berusia 39 tahun, dia berkahwin pada usia muda iaitu selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan jejaka pilihan; berusia 20 tahun. “Siapa yang tahan jika tangannya kerap naik ke muka dan badan. Saya tidak sangka lelaki romantis sepanjang bergelar kekasih rupa-rupanya seorang yang panas baran selepas bergelar suami. Bukan itu sahaja, selepas saya disahkan me­ngandung perangainya tambah menyakitkan hati. Dia kerap berjumpa dengan teman-teman bujang dan pulang sehingga lewat malam. Impian saya untuk membina rumah tangga bahagia telah berkecai. Janji manis untuk sama-sama melayari bahtera bahagia tinggal angan-angan. Saya juga sudah hilang kepercayaan dengannya,” kata Salina yang redha dilepaskan dengan talak satu oleh suami selepas kelahiran anak kedua mereka.

Biarpun Salina gembira membesarkan anak-anaknya serta sibuk dengan kerjaya, dia sedikit pun tidak meletakkan kegagalan perkahwinannya itu atas sebab usia muda. Tetapi, dia menyalahkan tanggungjawab dan persediaan bekas suaminya itu sebelum berkahwin.

Kegagalannya dalam rumah tangga disebabkan kegagalan suaminya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Mungkin juga kerana suaminya kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk membentuk keluarga bahagia. Tetapi yang jelas, si suami tidak mampu mengawal emosi amarahnya.

Begitulah buruknya kesan orang panas baran. Seseorang itu boleh kita dikatakan bersifat demikian apabila sukar untuk menangani perasaan marah hingga menyebabkan hilang rasa malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain.

Orang yang panas baran juga dipanggil ‘kepala angin’. Apabila orang seperti ini `naik hantu’, perasaan marah yang tidak terkawal itu boleh memusnahkan apa saja. Islam amat memuji umatnya yang dapat mengawal perasaan marah kerana sikap tersebut merupakan salah satu antara pintu-pintu yang mengizinkan syaitan masuk ke dalam hati manusia.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada umatnya dengan tiga langkah untuk mengatasi rasa marah. Langkah pertama ialah mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah kedudukan (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk), mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran. Selain itu orang yang pemarah digalakkan agar meminum banyak air dan banyak berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Selain itu, cuba tangguhkan dahulu rasa marah, luahkan perasaan dan masalah pada masa dan tempat yang sesuai. Perlu sentiasa berfikiran positif, belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada menjerit, memekik atau bertindak garang, belajar tenangkan diri sendiri dengan menarik nafas dalam-dalam dan senyum kerana ia mampu meredakan tekanan.

Beberapa pakar Psikologi Sosial menyatakan bahawa sifat pemarah yang dimiliki oleh semua orang adalah salah satu emosi manusia normal. Apabila seseorang menggambarkan perasaan marah­nya, maka ia boleh dikatakan normal jika apa yang diluahkannya bertempat dan dengan sebab yang munasabah. Tetapi apabila seseorang itu gagal mengawal perasaan marahnya sehingga kadangkala melibatkan perkara remeh, maka boleh dikatakan orang itu marah tidak bertempat.

Memang tidak dinafikan kita semua mempunyai perasaan marah. Namun sama ada ia tergolong dalam kategori panas baran atau sebaliknya, bergantung kepada cara kita menterjemahkan perasaan tersebut. Panas baran bukan sahaja boleh merosakkan hu­bungan, malah banyak meninggalkan kesan buruk kepada si pelaku. Kemarahan yang melampau akan menyebabkan individu itu dijauhi orang sekeliling. Lebih buruk lagi, orang yang panas baran ter­dedah kepada serangan darah tinggi dan migrain, kemurungan, perceraian, melakukan penderaan dan kecederaan terhadap orang di sekeliling dan hilang pekerjaan.

Langkah terbaik menangani suami yang panas baran ialah menasihatinya agar bertenang dan cuba mengawal perasaan marah tersebut. Isteri yang berdepan dengan suami yang panas baran boleh mengurangkan rasa marah suami dengan cuba memberi sudut pandangan positif tanpa sesekali menimbulkan kemarahan. Senyum setiap kali bercakap dengan suami agar kemarahan suami dapat diredakan. Gunakan psikologi dengan bijak.

Dalam rumah tangga, punca yang menyebabkan suami menjadi panas baran mungkin disebabkan beberapa faktor seperti masalah kewangan, masalah keluarga, ego, tekanan, bebanan kerja, pengaruh didikan ibu bapa dan persekitaran. Isteri juga tidak boleh melawan api dengan api. Sikap tenang isteri, bercakap dan berbual dengan tenang mampu meredakan fikiran yang serabut.

Tidak Serasi
Jika sebelum berkahwin dahulu, semuanya dipandang indah; semuanya dikatakan wangi, yang hodoh nampak cantik dan yang buruk nampak baik sahaja. Kekasih hati adalah segala-galanya. Apa yang dibuat semuanya betul walaupun adakala sudah nyata salah lakunya. Apabila orang yang diidam berada di depan mata, apabila dua jiwa sudah terikat dengan ikatan yang sah, sehingga ada yang menganggap sudah menjadi hak milik kekal, ketika itu akan mula wujud rasa syak dan curiga antara satu sama lain.

Segala yang cantik sebelum ini akan dipuji bak bulan purnama. Setelah berkahwin lain pula ceritanya. Semuanya akan menjadi biasa-biasa sahaja. Dahulunya serba wangi kini sudah mula kompelin sana busuk sini busuk. Ada yang usia perkahwinan baru mula mencecah enam bulan, masing-masing sudah mula buat perangai. Ada sahaja yang hendak ditegur seolah-olah apa yang dipandang langsung tidak berkenan di hati.

Jika berlaku kesilapan pasti akan diherdik. Salah sedikit pasti tangan akan naik. Hilang semua kata-kata indah; sayang, manja, bucuk. Semua yang manis sudah bertukar menjadi buruk, celaka, bodoh, busuk dan semua kata-kata nista terhambur keluar memedihkan hati.

Bagi pasangan malang yang terpaksa menghadapi keadaan seperti itu, perkahwinan mesti diteruskan walaupun hidup sudah tidak tenang. Demi secebis cinta, semua yang pahit terpaksa ditelan. Bagi sesetengah isteri yang agak ‘keras’ mungkin akan menjawab, “Dulu boleh, kenapa sekarang semuanya salah?”

Apabila dikaji semula rentetan hidup selama beberapa bulan bersama, jelaslah hubungan antara suami isteri masih belum ada keserasian. Rupa-rupanya masih belum sehati sejiwa dan belum ‘ngam’ benar. Adakalanya, apabila seseorang suami mula menunjukkan perubahan terhadap tingkah laku isteri yang dahulunya sempurna belaka, tidak semestinya suami itu sudah berubah 1800. Tidak semestinya suami di pihak salah dan begitu juga dengan isteri. Maka berbincanglah untuk mencari penyelesaian.

Dalam usia perkahwinan yang masih muda tidak kira sama ada pasangan yang berkahwin awal mahupun lewat, apabila pasangan mula saling menyalahkan, itu petanda rumah tangga sudah tiada keserasian.

Ketidakserasian mungkin wujud apabila pa­sangan tidak menonjolkan diri mereka yang sebenar sebelum berumah tangga. Sebelum berkahwin si suami tidak pernah menyebut ‘lahabau!’ di hadapan isteri. Tidak pernah memaki hamun apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat. Namun setelah berkahwin rupa-rupanya itulah perkataan rutin yang didengar. Apabila si suami membesar dengan perkataan itu, maka itu jugalah yang akan menjadi santapan telinga saban hari. Alangkah malangnya!

Begitu juga dengan isteri. Ketika bertunang dahulu tidak pernah walau sekalipun makan burger di hadapan bakal tunang, bimbang jika nampak comot. Kalau makan bersama dipilihnya makanan yang tidak menjatuhkan nilai keperempuanannya. Begitu juga kalau bersin, antara dengar dengan tidak bunyinya. Biasanya yang hujung sahaja kedengaran. "Wah... sungguh sopan bakal isteri aku!” Mungkin itulah kata-kata yang keluar dari mulut sebelum berkahwin. Tetapi apabila berkahwin, masing-masing sudah tiada rahsia lagi. Dibersin sekuat-kuat hati seolah-olah mahu luruh jantung suami mendengarnya. Apabila makan, tiada lagi pantang larang sehingga ada yang menggunakan kedua-dua tangannya untuk mengambil makanan.

Siapa yang mesti disalahkan apabila berlaku situasi seperti ini? Si isteri mula ‘lebih kurang’ di hadapan suami. Bersolek hanya apabila mahu keluar rumah. Si suami pula mula bersikap kasar terhadap isteri sehingga hilang semua sikap ‘gentlemen’ yang diamalkan sebelum kahwin. Siapa yang bersalah apabila usia perkahwinan yang masih mentah, tiba-tiba sahaja disulami dengan rasa kurang senang antara suami isteri? Jika rumah tangga runtuh akibat ketidakserasian, maka suami isterilah yang patut dipersalahkan kerana tidak berusaha mencari keserasian tersebut.

Jika ketidakserasian hanya melibatkan faktor sikap dan adab mungkin mudah untuk dibaiki dan mencapai keserasian. Tetapi apabila ia melibatkan agama terutamanya syariat dan iman, pasti sukar untuk memulihkan hati yang ego. Memang sukar untuk menyelami iman pasangan masing-masing sebelum tinggal sebumbung. Waktu bercinta semuanya nampak indah sahaja kerana ketika waktu pertemuan yang singkat, sukar untuk pasangan mengetahui isi hati sebenar masing-masing. Apalagi jika yang berkaitan dengan iman dan kepercayaan. Sedangkan pasangan tidak serasi atas faktor politik pun mampu bercerai-berai, inikan pula faktor pegangan.

Punca ketidakserasian seperti ini bermula daripada tidak serasinya iman antara pasangan. Suami mungkin jenis yang imannya kuat, tetapi isteri pula lemah imannya. Lebih parah lagi jika kedua-duanya tiada iman. Kehancuran rumah tangga mudah berlaku apabila masing-masing tidak meletakkan ALLAH melebihi segala-galanya. Ketidakpatuhan salah seorang terhadap perintah ALLAH akan mengundang kehancuran rumah tangga. Apabila isteri mengajak suami bersolat, jawapan yang diberi, “Kita masih muda... sudah tua nanti bolehlah bertaubat.”

Sedangkan isteri yang terdidik dengan ajaran agama pasti tidak selesa dengan situasi begini. Maka ketidakserasian sebegini sudah pasti memincangkan keharmonian rumah tangga. Tetapi biasanya mereka tetap mengharungi kehidupan berumah tangga seperti orang lain demi anak-anak dan hubungan dua keluarga, di samping cuba mencari penawarnya. Jika cerita sudah sampai ke klimaks tetapi jalan penyelesaian masih tidak ditemui, perceraian terpaksa dipilih. Sebenarnya konflik rumah tangga seperti ini masih belum terlewat untuk dirawat jika kedua-duanya ikhlas ingin kembali ke jalan yang benar.

Sebenarnya ketidakserasian iman yang serius antara suami isteri pada awal perkahwinan diibaratkan seperti retak menunggu belah. Oleh kerana itu jika ada pasangan yang mengesan ketidakserasaian ini lebih awal, perlulah berusaha mencari penyelesaian secepat mungkin kerana perceraian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Masing-masing juga memerlukan kekuatan untuk berubah.

Suami yang beriman akan takut kepada ALLAH, takut melakukan dosa, takut melakukan kezaliman kepada orang lain apatah lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga jika isteri yang beriman, sudah tentu takut untuk menderhakai suaminya dan takut meminta cerai sesuka hati.
Di sinilah pentingnya memilih suami yang beriman, yang perlu berperanan menjadi seorang pendidik. Malam pertama perkahwinan perlu diisi dengan tazkirah yang menjelaskan tentang larangan yang perlu isteri taati. Apabila isteri tersilap langkah dan terlupa terhadap sesuatu peringatan, suami perlu segera menegurnya dengan hikmah.

Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa patuh terhadap kehendak suami dan meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang di luar pengetahuannya. Peringatan seperti ini amat penting dalam membina kehamonian rumah tangga dan akhirnya akan memudahkan suami memimpin isteri ke jalan yang diredhai.

Manakala rumah tangga yang tidak serasi perlu menamatkan sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan masing-masing dan bukannya mengambil jalan mudah dengan bercerai! Percayalah, rumah tangga yang berusaha mengikut garis panduan dan menjauhi larangan yang ditetapkan ALLAH dan Rasul, akan terdorong ke arah hidup yang bahagia selama-lamanya.

Cemburu Buta
Terdapat beberapa sikap yang tidak disukai oleh pasangan hingga menyebabkan perkahwinan runtuh begitu saja. Sedangkan sikap tersebut boleh diubah jika diberi peluang. Apabila berkahwin barulah menyedari bahawa pasangan kita itu seorang yang pengotor, mulut celopar, suka memaki hamun dan cerewet. Namun ada satu sikap yang tidak elok jika tidak diatasi dengan bijak mampu merenggut keharmoniaan rumah tangga, iaitu cemburu buta.

Sebenarnya, sifat cemburu perlu ada bagi setiap pasangan. Jika tiada langsung perasaan itu dalam diri seorang suami, maka dia dikatakan dayus. Misalnya membiarkan isterinya keluar dengan lelaki lain tanpa sedikitpun perasaan cemburu. Jika seorang ayah hanya melihat anak perempuan memeluk teman lelaki yang merempit setiap malam tanpa sedikit pun rasa marah, sahlah ayah yang seperti ini membiarkan dirinya jatuh dalam golongan dayus.

Sifat ini dibenarkan dalam Islam kecuali cemburu buta dan ia amat dibenci oleh sesiapa sahaja kerana implikasinya membawa keruntuhan rumah tangga. Isteri akan berasa tertekan dengan suami kerana tidak mempercayainya dan suami pula berasa bosan dan rimas dengan isteri yang sering bertanyakan soalan yang adakala tidak masuk akal. Jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah akan berlaku perang besar antara mereka.

Bayangkan situasi ini; seorang isteri yang diceraikan suami gara-gara sedang menonton rancangan idola kesayangannya. Keterlaluan bukan? Itulah yang dikatakan cemburu buta! Ketika nafsu amarah menguasai diri, memang tidak ada apa lagi yang dia nampak kecuali ‘perbuatan’ yang dikatakan salah itu. Hinggakan si isteri langsung tidak boleh memandang lelaki lain.

Tetapi ada rasionalnya juga kenapa lelaki jadi begini. Mungkin pengalaman telah mengajarnya menjadi seorang yang cemburu buta. Pernahkah anda mendengar kisah seorang isteri yang berantakan rumah tangganya apabila didapati bercinta-cintaan dengan seorang juruhebah radio terkenal. Dengan suara yang sedap didengar menjadikan si sisteri kerap menghubungi DJ tersebut ketika ke udara.

Setelah biasa berhubung melalui program radio yang formal, akhirnya mereka berhubung pula secara tidak formal. Telefon di luar waktu kerja dan akhirnya bertemu. Bermulalah episod isteri orang bertemu dengan suami orang. Keluarga masing-masing makin dilupakan. Akibatnya... si isteri itu dengan ‘percuma’ mendapat penampar suaminya apabila rahsia terbongkar.

Pengalaman masyarakat sekeliling dan kisah-kisah yang sering dipapar, menjadikan segelintir individu bersikap cemburu buta. Sehinggakan adakalanya begitu buta dan pelik seperti kisah ini:

Suatu ketika sepasang suami isteri singgah di sebuah kedai menjual keropok lekor. Maklumlah beberapa minit sebelum asar, masjid memutarkan suara qari mengaji. Memang merdu benar bacaannya. “Sedap betul suara orang itu ya, bang,” kata isterinya. Si suami buat-buat tidak dengar sahaja. Selang beberapa minit si isteri memuji lagi suara qari itu, “Sedapnya suara dia!” ulang isteri, masih menunggu reaksi suami. Tapi apa yang keluar dari mulut si suami amat memeranjatkannya, “Kenapa awak puji-puji suara orang lain ni? Awak jangan nak puji-puji lelaki lain depan saya. Awak tidak tahu ke sakit hati saya dengar awak cakap macam tu? Sekali lagi awak puji orang lain saya ceraikan awak!”

Alamak! Hanya kerana memuji suara lelaki lain pun seorang lelaki sanggup menceraikan isterinya. Begitulah uniknya lelaki. Belum lagi halnya ketika menonton televisyen. Saya juga pernah terbaca tentang kisah lelaki yang cemburukan aktor di dalam TV seperti mana yang berlaku di Timur Tengah. Bayangkan.... tahap cemburu seorang suami apabila si isteri sanggup membiarkannya terkial-kial memasak mi segera di dapur. Sedangkan dia sedang seronok melayan rancangan yang melibatkan aktor pujaan hati.

Apabila tahap ‘kepanasan’ suaminya naik men­dadak, si isteri tidak lagi dibenarkan melihat mana-mana pelakon lelaki dalam rancangan TV. Setiap kali ditayang adegan pelakon lelaki, si isteri terpaksa mengalihkan pandangan. Dan setiap kali giliran pelakon perempuan pula, si suami juga terpaksa mengalihkan pandangan. Akhirnya yang lelaki tengok lelaki sahaja dan yang perempuan tengok perempuan sahaja. Pelikkan? Tapi itulah realiti!

Itu cemburu suami. Bagaimana pula dengan cemburu isteri? Cemburu isteri adalah kerana menyayangi perkahwinannya semata-mata. Tapi ingat, jika isteri sudah cemburu memang sukar untuk dikawal. Setiap kali si suami perlu out station, mulalah isteri mahu lihat surat panggilan mesyuarat atau kursus. Apabila suami pulang ke rumah pula, habis dompet dan beg kerja diselongkarnya (mungkin itu langkah keselamatan). Apabila suami solat, isteri mula membuka telefon bimbit suami dan membaca semua mesej dan memeriksa panggilan masuk dan keluar. Semua ini dilakukan kerana menyayangi suaminya.

Tetapi jika isteri sudah cemburu buta boleh huru-hara rumah tangga. Ini kerana setiap kali suami menerima panggilan, si isteri mula menarik muka masam. Sehingga ada yang tidak puas hati dan memarahi si pemanggil. Akhirnya, suami yang tidak bersalah mula berasa tidak tenteram duduk di rumah. Rasa serba salah mahu menelefon apatah lagi untuk menjawab panggilan. Padahal yang menelefon itu ialah pegawai atasan memberi arahan menjalankan kerja-kerja yang terbengkalai!

Bagi isteri, mereka perlu ada sedikit rasa syak wasangka terhadap perubahan suami. Namun tin­dakan keterlaluan isteri menyusahkan kehidupan dan urusan kerja suami adakalanya akan menyebab­kan suami menjauhkan diri dari rumah. Akhirnya apabila suami sudah tidak tertanggung lagi, mulalah mencari jalan mudah iaitu bercerai dan mencari pasangan lain yang lebih menenangkan hati dan perasaan. Awas! Cemburu buta boleh mengubah segalanya.

Tidak Mendapat Restu
Perkahwinan mampu membuatkan seseorang itu gembira dan sebaliknya. Hasil daripada per­kahwinan akan membuka jalan kemesraan suami isteri, pengukuhan ekonomi dan hubungan badan yang tidak lagi terbatas. Namun perkahwinan yang dirancang oleh pasangan lelaki dan perempuan tanpa restu kedua ibu bapa selalunya menghasilkan perkahwinan yang gagal dan hampa.

Walaupun perkahwinan pada usia muda tetapi jika mendapat restu kedua ibu bapa, ia akan berpanjangan dan bahagia. Pada usia muda pasangan suami isteri mula belajar dan bersedia untuk membina keluarga yang baik dan sempurna. Perkahwinan yang direstui juga turut mengambil kira keluarga mertua dan setiap tindakan yang diambil kebiasaannya adalah dalam pengetahuan kedua orang tua masing-masing.

Melalui perkahwinan yang direstui, suami dan isteri mula memahami emosi masing-masing. Kelemahan memahami emosi pasangan akan menyebabkan mudahnya berlaku perceraian. Namun adakalanya perceraian dapat dielakkan apabila ada campur tangan kedua ibu bapa. Tetapi apa pula akan terjadi apabila suami isteri berselisihan sedangkan mereka berkahwin pun di luar pengetahuan dan restu kedua orang tua? Maka dengan mudah si suami akan melepaskan isterinya dan akhirnya wanita juga yang menjadi mangsa.

Adakala berlaku juga perkahwinan (tidak direstui keluarga) yang belum sempat mengecapi bahagia dan mengenal hati budi pasangan, dipaksa bercerai. Saya juga pernah terbaca satu berita mengenai seorang perempuan yang berkahwin pada usia muda iaitu 20 tahun, yang mana dia hanya sempat berkahwin selama sepuluh hari sahaja dan kemudiannya dipaksa meninggalkan suaminya kerana berkahwin tanpa restu keluarga.

Si isteri yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi pada mulanya telah menyuarakan hasrat kepada kedua orang tuanya di kampung untuk menerima lamaran pria Pakistan yang dicintainya sejak setahun lalu. Namun hasratnya yang dihalang itu menjadikan bermulanya episod kahwin lari.

Mungkin begitu mendalam cinta suci pria itu sehingga si gadis sanggup mengikutnya ke Pakistan dan bernikah di sana. Selepas sepuluh hari sekembalinya mereka dari Pakistan, ayah pengantin perempuan yang berusia awal 40 tahun disyaki telah mengupah bapa saudara untuk membelasah menantunya yang berusia 25 tahun dan memaksa agar menceraikan isterinya itu.

Alangkahnya malang nasib pasangan suami isteri ini kerana mereka amat yakin bahawa keluarga si isteri akan berubah pendirian setelah mereka berkahwin secara rahsia. Namun, perkara sebaliknya pula berlaku. Apa yang diimpikan tidak terjadi bahkan bala pula yang mendatang.

Anak-anak gadis yang ingin berkahwin pada usia muda perlu sedar bahawa perkahwinan adalah sesuatu yang serius. Ia bukan sahaja melibatkan tubuh badan dan emosi pasangan suami isteri bahkan juga emosi kedua-dua pihak keluarga lelaki dan perempuan. Sekiranya perasaan pihak keluarga diabaikan dan lebih malang apabila mereka tidak dapat mengawal perasaan marah itu, maka tunggulah natijah yang bakal diperolehi. Ketika itu si perempuan bukan sahaja kehilangan suami kerana dipaksa berpisah tetapi juga bakal kehilangan kasih sayang ibu bapa yang menjaga mereka sejak kecil.

Alasan ibu bapa meminta anak mereka dilepaskan bukan sahaja atas alasan si suami berwarganegara asing tetapi kerana tidak merestui. Tidak kiralah bakal suami itu berbangsa Pakistan, Bangladeh atau Indonesia atau lain-lain, kebanyakan ibu bapa akan terikut emosi marah apabila menyedari anaknya dilarikan orang.

Situasi ini sama seperti berlakunya peritiwa seng­sara seorang lelaki yang baru bergelar suami hanya selama seminggu sahaja, telah dilanyak oleh sekumpulan 40 orang lelaki hanya disebabkan kahwin lari dan tidak mendapat restu ibu bapa di pihak perempuan. Ironinya, lelaki itu bukanlah berbangsa asing, bahkan seorang lelaki tempatan.

Hanya disebabkan kahwin lari, rumah mereka telah dipecah masuk oleh ahli keluarga perempuan dan mereka berdua dibawa dengan kenderaan yang berlainan. Si suami akhirnya diikat dan ditanggalkan pakaian sebelum dibelasah oleh hampir 40 orang lelaki. Malangnya nasib perkahwinan tanpa restu! Nauzubillah!

Enggan Memahami Pasangan
Diberitakan bahawa ketika Siti Hawa ingin dicipta, maka satu tulang rusuk yang bengkok telah dikeluarkan dari sebelah kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. Mengapa dikeluarkan ketika baginda sedang tidur dan bukan ketika sedar? Ini kerana seorang lelaki tidak dapat menahan kesakitan ketika berada dalam keadaan sedar. Berbeza dengan wanita yang perlu menghadapi kesakitan semasa sedar. Misalnya, sakit ketika bersalin. Biarpun kesakitan yang dialami itu hampir tercabut nyawa di badan, tetapi kepuasan tetap diperolehi. Itulah istimewanya seorang wanita.

Hakikatnya, darjah menahan kesakitan tidak sama antara dua jantina ini. Walaupun lelaki kelihatan lebih kuat fizikalnya, namun lelaki lebih mudah marah apabila disakitkan hati dan tubuh badannya. Berbeza dengan wanita yang kelihatan lebih lemah, namun lebih mampu menahan kesakitan yang berlaku terhadapnya secara langsung.

Lelaki amat berbeza dengan wanita. Cara lelaki berfikir juga tidak sama seperti wanita berfikir. Begitu juga cara lelaki menangani sesuatu situasi juga berbeza dengan kaedah yang dilakukan oleh wanita. Ada yang mengatakan lelaki menggunakan sembilan akal dan satu emosi yang dianugerahi ALLAH dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Manakala wanita pula menggunakan sembilan emosi dan satu akalnya dalam menyelesaikan masalah. Perasaan sayang, benci dan rasa dihormati juga berbeza antara lelaki dengan wanita.

Antara perasaan suami yang perlu diketahui isteri yang mungkin tidak diluahkan adalah seperti ber­ikut:
  • Suami lebih rela dihormati dan dikagumi daripada disayangi. Suami akan lebih berasa gembira jika isteri menunjukkan rasa kagum dan bangga terhadap apa yang ada pada dirinya. Suami akan bertambah sayang terhadap isteri yang secara terang-terangan memuji dan bangga memilikinya sebagai suami. Manakala suami amat marah jika isteri sering memuji dan mengagumi lelaki lain di samping merendah-rendah­kan martabatnya sebagai suami.
  • Suami lebih rela dihargai daripada disayangi isterinya. Suami akan marah jika isteri mengungkit kelemahannya dan menjatuhkan maruahnya. Jika kelemahannya diperkatakan di hadapan orang lain, ia dibarat­kan dirinya seperti seorang lelaki dayus. Agak­nya siapa yang tidak marah jika dikatakan dayus?
  • Suami akan berasa lebih yakin jika sesuatu tindakan­nya mendapat pengakuan positif daripada isteri. Sebagai lelaki mereka lebih mudah berasa kurang yakin dengan tugas yang dijalankan tanpa ada apa-apa sokongan daripada mana-mana pihak. Mung­kin disebabkan tugas yang dipikul suami lebih berat, maka suami akan berasa senang sekiranya isteri memberi pengakuan yang membina dan mencetus­kan semangat.

Marah suami terhadap isterinya merupakan suatu refleks semula jadi apabila berasa dirinya tidak dihormati. Kebiasaannya suami tidak akan mengeluarkan kata-kata yang si isteri tidak meng­hormatinya tetapi akan menzahirkan dengan perasaan marah apabila si isteri melakukan kesilapan.

Suami dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga saling berkaitan antara satu sama lain. Ibu bapa tidak perlu mengajar seorang suami tentang tugas dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah kerana beban itu secara semula jadi terpikul di bahu suami. Peranan isteri pula ialah memberi sokongan, layanan yang baik dan membantu mengurangkan beban jika mampu dan ini pasti akan membuat suami berasa gembira dan sentiasa ceria dalam melayari bahtera perkahwinan.

Kebanyakan suami juga tidak mengetahui bagai­mana untuk meyakinkan isteri bahawa dia amat menyayanginya. Tidak semua suami mempunyai sifat romantik dan mampu meluahkan sayangnya terhadap isteri. Namun suami amat gembira jika si isteri dapat mengakui dan menghargai kasih sayang yang diberikan.

Bukan isteri sahaja yang perlu memahami perasaan suami, bahkan suami juga perlu memahami sikap si isteri agar antara mereka akan ada hubungan yang harmoni dan sifat saling bertolak ansur dalam menangani sesuatu perkara.

Sekiranya isteri tiba-tiba menangis dan merajuk, apa yang perlu suami lakukan? Jika begitu adakah bermakna isteri cemburukan suami atau adakah isteri berkecil hati dengan tindakan suami yang menyakitkan hatinya? Berdasarkan pengamatan dan pengalaman, biasanya isteri akan merajuk disebabkan oleh beberapa sebab tertentu yang berpunca daripada suami. Manakala sikap yang ditunjukkan oleh isteri juga akan berubah-ubah mengikut moodnya. Oleh itu si suami perlu menjelaskan isu yang timbul dan memujuk isteri agar mempercayainya dengan kasih sayang tanpa syak wasangka.

Jika isteri merajuk sambil membentak-bentak, tidak mustahil dia sedang berada dalam keadaan cemburu. Maka tugas suami ialah perlu berterus terang dan mengenalpasti apa yang menyebabkannya berlaku demikian. Jika si isteri langsung tidak mahu melayan si suami, awas! Situasi itu mungkin sudah gawat. Maka si suami perlu bersedia dengan usaha-usaha yang dapat memulihkan semula keadaan si isteri. Selain itu, si suami juga perlu membuat refleksi diri dan berusaha membaiki kekurangan yang ada demi mengekalkan kasih sayang yang terbina.

Ringkasnya, proses mengenali pasangan masing-masing memerlukan masa dan kesabaran. Berusaha­lah menangani hati pasangan kerana dengannya keserasian akan tercapai.

Bersambung...

Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).


Tuesday, November 15, 2011

FIESTA BUKU GRUP BUKU KARANGKRAF- KARYA BESTARI

Mari beramai-ramai memeriahkan pesta buku Grup Buku Karangkraf. Pelbagai buku menarik menanti anda. Terutama buku-buku Karya Bestari yang banyak melahirkan buku-buku Best Seller antaranya Di Mana DIA Di Hatiku, Rawatlah hati, Petunjuk Jalan Lurus, Cipta Syurga Hati dan banyak lagi. Buku-buku kami yang terbaru juga terdapat dipesta buku ini nanti. Antara buku yang ada 100 Pesanan Rasulullah, Soalan Bocor Dari Kubur, Kahwin Pada Usia Muda, Kau Hadair dalam Munajatku, Saintis Islam, Awas! Orientalis Terhadap Kita dan banyak buku lagi yang menarik untuk santapan minda dan jiwa sekeluarga. Jangan lepaskan peluang ini...

Tarikh: 2-4 Disember 2011
Masa: 9 pagi - 6 Petang
Tempat: Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf
Alamat: Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor, 15/3, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Buku Yang Menarik:

Sunday, November 13, 2011

Fragmen 3 - Buku: KAHWIN PADA USIA MUDA

FRAGMEN 3 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Mengapa Mahu Kahwin Awal?

Meramaikan’ Anak
Kita biasa mendengar bagaimana datuk dan nenek kita dahulunya sering dikaitkan dengan mempunyai anak ramai. Mengapa orang dahulu mempunyai anak yang ramai? Pasti kita juga biasa mendengar kata-kata nakal; orang dahulu tidak ada benda lain yang hendak dibuat. Menjelang malam selepas isyak, mereka sudah pasang kelambu untuk masuk tidur. Tidak seperti kita sekarang. Embun jantan menitis pun tapi masih lagi di luar rumah. Jadi tidak hairanlah jika setiap keluarga mempunyai anak yang ramai. Lapan hingga sepuluh sudah dikira biasa. Kebanyakannya mencecah hingga 14 orang dan ada juga yang saya temui sehingga 19 orang.

Apabila difikirkan semula, antara faktor lain yang menyumbang anak ramai dalam kalangan datuk nenek kita ialah berkahwin pada usia muda. Mana tidaknya, anak-anak gadis zaman dahulu rata-ratanya berkahwin pada usia 14 tahun. 19 tahun itupun sudah dikira lewat. Malah, ada juga yang berkahwin seawal 11 tahun! Emak saya sendiri berkahwin pada usia 19 tahun.

Menurut cerita emak, ketika dia masih lagi ‘menakal’ dengan kawan-kawannya, ketika itulah bakal suaminya (ayah sayalah tu) meronda-ronda sekitar rumah dengan basikalnya mengintai-intai emak saya. Selepas beberapa lama kemudian, mereka pun berkahwin.

Tahap Kesuburan

Pasangan yang berkahwin muda dikatakan lebih subur (boleh rujuk yang pakar). Sistem reproduktif mereka langsung tidak terjejas dengan anasir-anasir yang merosakkannya. Apalagi dengan usia yang masih mentah, sampai ketikanya ada yang melahirkan dua orang anak setahun! Yalah... jika dahulu tiada makanan yang diawetkan dengan bahan-bahan kimia yang berbahaya. Sebaliknya sekarang, dalam rumah kita penuh dengan makanan yang diawet. Tidak mustahil jika ada yang mampu merosakkan janin atau langsung menyebabkan tidak boleh mengandung!

Dengan usia yang masih muda, mereka sudah belajar memegang tanggungjawab dengan kebanyakan suami bekerja mencari nafkah. Sementara isteri pula duduk di rumah menjadi suri rumah sepenuh masa melayan semua kehendak suami. Tidak hairanlah kebanyakan mereka yang hidup pada zaman nenek moyang dahulu mempunyai anak ramai.

Bayangkan... pada umur 20 tahun, emak kita sudah pun mempunyai tiga orang anak. Masuk umur 40 tahun anak-anaknya sudah menjadi 12 orang! Sudah boleh membentuk satu pasukan bola sepak. Tetapi, apa lebihnya anak ramai?

Jika umat Islam mempunyai anak yang ramai, ia menjadi kebanggaan Nabi kita Muhammad s.a.w kerana secara langsung telah meramaikan umatnya. Realiti hari ini, mereka yang mempunyai adik-beradik ramai yang datangnya dari keluarga besar, kelihatan mudah dari banyak segi.

Big Family!
Saya mempunyai pengalaman dengan sebuah keluarga besar yang mempunyai ahli seramai 11 orang. Saya namakannya sebagai keluarga F sahaja. Dari segi keyakinan diri, rata-rata semua ahli keluarganya mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Mereka berani ke depan, berani menyuarakan pendapat dan mudah mesra.

Apakah bilangan keluarga dengan umur mereka yang ‘dekat-dekat’ mempunyai kaitan dengan kemahiran bersosial dan EQ? Ini kerana, tidak cukup dengan pandai bergaul, mereka sudah mempunyai sumber pendapatan sendiri. Dari situ mereka dapat menggerakkan ekonomi melalui tabungan wajib setiap bulan. Hampir seperti pelaburan!

Baru-baru ini saya telah menghadiri majlis tahlil arwah ayah saudara. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mengumpulkan dua daripada isterinya dalam sebuah rumah. Salah seorang isterinya gadis Jambi, Indonesia yang saya gelar tante. Apabila adik tante saya dari Jambi melihat bilangan saudara-mara yang datang menziarahi arwah dan mengadakan tahlil, dia agak kaget!

“Kalau di Jambi, kami tidak perlu jemput orang lain untuk tahlil. Cukup dengan adik-beradik dan saudara-mara. Kami di sana mempunyai keluarga yang besar-besar.” Bayangkan arwah bapa saudara saya yang mempunyai anak seramai sembilan orang. Itupun masih dikatakan tidak ramai!

Memang untung mempunyai keluarga yang besar, ini kerana semua pekerjaan mampu dibuat bersama. Kalau hendak mengadakan kenduri ataupun majlis perkahwinan, suasana akan ceria apabila semua ahli keluarga mengambil bahagian.

Bermula dengan abang sulung akan menyediakan makanan untuk jemputan, yang kedua menyiapkan khemah, si adik pula menguruskan orang untuk merewang dan yang lain-lain akan menguruskan sesi fotografi, mak andam, pelamin dan seumpamanya. Yang bagusnya, mereka bukan sekadar menguruskan tetapi bertanggungjawab menaja barang hantaran pengantin. Jadi, mempelai hanya akan goyang kaki dan benar-benar menjadi raja sehari!

Begitu hebatnya mempunyai adik-beradik yang ramai. Jadi, jangan takut jika dikurniakan anak yang ramai. Bahkan, bersyukurlah. Sesungguhnya, setiap kurniaan ALLAH itu adalah yang terbaik buat kita.

Ikut Jejak Langkah Ayah Atau Ibu
Ada juga keadaan seseorang itu akan berkahwin awal hanya semata-mata ibu bapanya dahulu pernah berkahwin pada usia muda. Keadaan akan menjadi lebih mudah apabila perkahwinan itu tidak perlu melalui pelbagai cabaran. Maka, seseorang anak yang ingin berkahwin awal akan menjadikan ibu bapanya sebagai ‘idola’.

Contoh yang paling dekat ialah anak lelaki saya sendiri. Ketika masih menuntut di luar negara, dia sudah pun menyampaikan hasrat untuk berumah tangga. Mungkin disebabkan masalah kewangan, menyebabkan dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci, maka dia terpaksa membatalkan hasrat dan keinginannya.

Cuba lihat, berapa ramai pelajar kita yang dihantar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Canada, New Zealand dan UK yang terpaksa bekerja sambil belajar. Mungkin anak lelaki saya juga terpengaruh untuk mengumpul duit di sana. Namun dia bernasib baik kerana kesedarannya timbul apabila dia mula berfikir semula bahawa tugasnya adalah untuk belajar dan bukannya untuk bekerja.

Pada saya, jika dia sama seperti rakannya yang sibuk bekerja di sana sehingga ada yang sengaja meninggalkan kuliah, tentu dia juga sudah menyimpan sehingga US100 ribu dan berkahwin di sana. Tidak dapat dinafikan pelajar-pelajar yang bekerja di sana mampu menyimpan wang yang banyak. Namun terdapat juga yang mengabaikan pelajaran sehingga terpaksa mengulang semester kerana gagal dalam peperiksaan.

Berbalik semula kepada keadaan anak lelaki saya. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Hanya beberapa bulan sekembalinya ke Malaysia dan bertugas di salah sebuah agensi MARA, dia terus mendirikan rumah tangga dalam usia 23 tahun. Berapa sangatlah wang gaji yang dapat dikumpul setelah bekerja selama beberapa bulan. Namun, ALLAH telah memudahkan urusannya sehingga pihak perempuan sendiri tidak mempunyai masalah untuk menerimanya.

Sejarah berulang kembali. Jika dahulu saya berkahwin dengan seorang gadis yatim piatu, anak lelaki saya ini juga mendapat jodoh dengan gadis yatim piatu juga. Urusan pernikahan juga menjadi lebih mudah, kerana abang kepada menantu saya ini langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima anak saya.

Mungkin ini juga dikatakan kebetulan. Tetapi, sebenarnya sedikit sebanyak faktor menjadikan ibu bapa sebagai idola untuk berkahwin awal, tidak patut disangkal!

Segera Menunaikan Kebaikan
Rata-rata mengetahui bahawa berkahwin adalah sunah yang perlu diikuti oleh setiap umat yang mengaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah nabinya. Setiap perkara yang dilakukan kerana sunah nabi tentu sekali akan meraih ganjaran pahala. Jika bernikah itu merupakan suatu sunah dan menjadi wajib kepada mereka yang tertentu, maka yang sengaja meninggalkannya akan menanggung dosa.

Berapa ramai teruna dan dara di luar sana yang berkasih-kasihan, selesa dengan keadaan dan status mereka hanya sebagai ‘kekasih yang tidak halal’. Amalan melambatkan perkahwinan (tanpa alasan kukuh), menjadikan hubungan kekasih ini sentiasa berpanjangan dalam keadaan berdosa.

Nama pun tidak halal. Jika makanan yang tertulis tidak halal, tentu sahaja hampir semua masyarakat Islam akan menjauhinya. Rata-rata akan mencari logo halal yang diiktiraf JAKIM. ‘Halal’... menjadi suatu perkataan keramat yang amat sensitif bagi umat Islam, hinggakan pengusaha bukan Islam pun berebut-rebut untuk membeli tanda halal dan mendapat pengesahan halal bagi barangan yang dikeluarkan. Kalau tidak dapat pengiktirafan, sanggup pula mereka membuat logo halal palsu!

Tetapi apabila disebut perhubungan yang halal atau lebih tepat dengan istilah ‘kekasih halal’ sebagai­mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Wali Band, tidak ramai pula pria Islam yang berebut-rebut untuk mendapat pengiktirafannya. Keindahan alam percintaan dan asyik masyuknya sering membuat teruna dan dara terus dengan ‘kekasih haram’ mereka tanpa memikirkan impak yang akan diterima di dunia dan di akhirat kelak.

Apabila disebut kekasih haram, sudah pasti terselit unsur-unsur yang menyebabkan perhubungan di antara bujang dan dara ini bergelumang dengan dosa dan noda. Begitu jauh perbezaan antara yang berkahwin dengan yang tidak ada ikatan perkahwinan. Selagi bergelar kekasih tanpa ikatan nikah, walau hanya memimpin atau memegang tangan kekasih hati sahaja sudah jatuh haram hukumnya.

Daripada Ma`qil bin Yasar daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya. - HR. Thabrani dan Baihaqi
Berbeza pula apabila si suami memimpin atau memegang tangan isterinya dengan kasih sayang. Perlakuan ini kelihatan remeh, tetapi ia sebenarnya mampu meraih ganjaran pahala daripada ALLAH S.W.T. Bagaimana dengan melihat wajah kekasih hati? Menyimpan gambar yang bukan muhrim sahaja sudah dikira berdosa apalagi memandangnya secara nyata. Sehinggakan ALLAH memerintahkan kepada perempuan dan lelaki agar menundukkan pandangan ketika berjalan.
Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih sayang), maka ALLAH akan memandang keduanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila seorang suami memegang jemari isterinya (dengan kasih sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya. - HR. Abu Sa’id
Begitulah indahnya Islam. Jalan sudah diberi, lampu jalan juga sudah dipasang sepanjang jalan, sign board sebagai petunjuk juga sudah siap sedia di kiri kanan kita. Malah, destinasi juga sudah dinyatakan awal-awal lagi. Tinggal kita sebagai umat baginda perlu melalui jalan yang betul untuk mencapai syurga-NYA.

Dengan semua kelengkapan dan kemudahan yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA, masih ramai lagi yang terbabas ke ‘jurang neraka’. Apakah mereka tidak nampak jalan lurus yang terbentang di hadapan? Atau adakah mereka tidak tahu membaca petunjuk yang jelas menerangkan kawasan mana boleh masuk dan yang mana satu no entry!

Tidak Halal

Tidak cukup dengan itu, berapa ramai pula (kebanyakannya golongan belia) yang ‘mati’ di tengah jalan sebelum tiba ke destinasi. Lebih memeritkan lagi apabila terdapat ramai anak luar nikah yang ditinggalkan di dalam kotak, anjung surau atau lebih teruk lagi di dalam longkang, atau tempat yang kita sendiri tidak pernah terfikir. Betapa malangnya bayi yang terbuang itu hasil daripada nikmat sementara yang mereka kecapi itu.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rendah­nya akhlak dan moral masyarakat yang mendiami bumi indah Malaysia ini, sehinggakan setiap sepuluh minit akan lahirlah seorang anak luar nikah! Sekiranya bernasib baik, dapatlah bayi-bayi ini membesar sama ada di bawah jagaan Jabatan Kemajuan Masyarakat ataupun orang perseorangan yang menginginkan zuriat.

Sekiranya nasib bayi ini kurang baik, terbiarlah dia di tepi longkang dikerumuni semut dan kerengga yang menggigit. Tetapi, kebanyakannya akan berakhir di mulut anjing-anjing liar yang menggonggongnya sebelum dimakan. Natijahnya, yang ditemui semula hanyalah bangkai manusia yang cacat anggota!

Kepada pasangan yang masih berkasih-kasihan dan gagal untuk memegang status ‘kekasih halal’, renungkanlah dalam-dalam. Bacalah petunjuk yang setiap hari terbentang di depan mata. Ingatlah sentiasa tujuan dan matlamat akhir kita yang sebenar. Sesungguhnya, destinasi kita adalah syurga yang kekal abadi.

Janganlah terlalu asyik bercinta dan berkasih sayang tanpa menghiraukan dosa dan pahala, tanpa memikirkan balasan yang akan kita terima kelak. Segerakanlah menunaikan sunah Rasulullah iaitu berkahwin, agar ikatan yang haram bertukar menjadi halal. Secara langsung akan dilimpahi keberkatan, rahmat dan pahala yang berpanjangan dalam kehidupan.

Sekarang bagaimana? Pilihan ada di tangan kita.

Saya masih teringat beberapa sesi temuduga yang pernah saya hadiri ketika dalam usaha untuk mencari pekerjaan. Salah seorang daripada panel temuduga menyoal saya. “Saya lihat dalam borang permohonan ini awak sudah berkahwin. Adakah saya salah lihat atau awak salah tulis?”

Memanglah panel temuduga itu tidak salah membaca. Mustahil belum berkahwin dengan sudah berkahwin tidak dapat membezakannya. Saya hanya tersenyum sambil mengangguk.

Kemudian dia bertanya lagi, “Awak masih muda, tapi sudah berkahwin?” “Dah gatal sangat nak kahwin ke?” Panel di sebelahnya pula dengan selamba menambah.

“Saya cuma ingin menghalalkan yang haram...” jawab saya tenang. Setelah beberapa soalan dikemukakan, akhirnya mereka berpuas hati dengan jawapan yang saya berikan. Sebelum akhir sesi temuduga, salah seorang ahli panel itu memuji saya. “Awak seorang yang matang... jawapan yang diberi memang bernas.” Saya hanya tersenyum puas.

Nah, pria-pria di luar sana. Tunggu apa lagi? Perkahwinan akan mematangkan kita lebih daripada usia yang sebenar. Paling penting, perkahwinan mampu membuka rezeki kita seluas-luasnya. Insya-ALLAH. Yakinlah!

Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).


Tuesday, November 8, 2011

SERTAI PERTANDINGAN "KAHWIN PADA USIA MUDA" DI PESTA BUKU MPH & KARANGKRAF DI MPH CITY SQUARE JB


Sertai Pertandingan
'KAHWIN PADA USIA MUDA'
dan dapatkah hadiah-hadiah misteri dengan setiap pembelian buku-buku ini:

Syarat untuk mendapatkan hadiah:
  1. Membeli salah satu buku Fuad Hj. Sam hanya di Pest Buku MPH, City Square, JB pada 12 dan 13 November 2011.
  2. Kepilkan resit pembelian dan masukkan ke dalam kotak yang disediakan pada 12 dan 13 November di MPH, Citi Square, JB.
Anda akan berpeluang memenangi hadiah hebat:
  • Adroid Tablet PC (WIFI)
  • Fan
  • Blender
  • Toaster
  • Mini Clip MP3,
  • Pendrive
  • Dan hadiah misteri yang lain
Waktu Cabutan pemenang: 4.30 Petang, 13 November 2011 di MPH City Square, JB.

Monday, November 7, 2011

Fragmen 2 - Buku: KAHWIN PADA USIA MUDA

FRAGMEN 2 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Saya agak terkejut apabila memerhatikan statistik pasangan yang berkahwin lari. Apabila sepasang kekasih bercadang untuk berkahwin lari, ini bererti masing-masing akan membelakangkan kedua ibu bapa dan mencari wali hakim untuk meneruskan hasrat mereka. Sebenarnya, jika sesuatu perkahwinan yang hendak dilangsungkan tidak mencapai rukun nikah sebagaimana lazimnya; tidak ada wali, barulah wajar wali hakim mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.

Perlu untuk difahamkan kepada pasangan yang berhasrat berkahwin lari bahawa hubungan mereka tiada cacat celanya dari segi syarak. Bahkan, undang-undang memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan hasrat murni tersebut, walaupun pada asasnya, doa restu orang tua sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan. Akan tetapi garis panduan yang telah ditetapkan dalam agama sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati.

Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.

Apabila bercerita tentang kahwin lari, terkenang pula pada kisah manis dan saat-saat getir ketika bercinta dahulu. Kebahagiaan rumah tangga saya yang kini menjangkau hampir 27 tahun suatu masa dahulu juga diwarnai dengan bunga-bunga cinta yang mengasyikkan. Lautan mana yang tidak bergelora. Namun setiap kesulitan yang dihadapi dalam mengharungi bahtera, dapat diatasi dengan mengenang kembali saat-saat sebelum berkahwin. Ia menjadi petua kebahagiaan berumah tangga.

Pengalaman bercinta saya tidak terlalu lama kerana kami terus bernikah. Walaupun hanya dua tahun lebih usia percintaan, namun pengalaman itu sememangnya terlalu indah untuk dibandingkan dengan pengalaman yang lain. Mana tidaknya, hampir setiap hari saya menunggu kedatangan surat cinta daripada si dia yang saya gilai itu.

Setiap selepas tengah hari, saya pasti ke lobi asrama untuk mengambil surat. Ia berlaku hampir setiap hari, sehingga adakalanya apabila surat yang dinanti tidak datang, timbul perasaan gelisah dengan 1001 pertanyaan. Jika hari ini kita boleh menelefon bertanya khabar, namun ketika itu telefon agak susah untuk didapati apatah lagi dalam rumahnya yang serba sederhana itu.

Keindahan percintaan kami ini tidaklah sehingga menghalalkan pertemuan demi pertemuan, bahkan hanya merindu dari jauh disulami doa. Betapa kuatnya rasa cinta kami, sehingga saya tidak sabar untuk menyuntingnya menjadi permaisuri hati.Memandangkan respons daripada ayah adalah positif, maka ibu menyuruh saya memujuk emak saudara menjadi wakil untuk meminang gadis kegilaan saya itu.

Akhirnya, cincin dibeli tanpa pengetahuan ayah. Kata setuju antara saya dengan pihak keluarga perempuan juga sudah disepakati. Yang tinggal, hanyalah menunggu masa yang sesuai untuk emak saudara saya menyampaikan hasrat pada pihak perempuan.

Saat getir
Namun, sangka saya panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Perbincangan antara saya dengan ayah sebelum ini, belum dapat memuaskan hatinya untuk membenarkan saya berkahwin. Senyumannya itu bukanlah tanda dia membenarkan, bahkan membawa erti lain. Hanya saya memikirkan yang sebaliknya.

“Kenapa tante belum pergi lagi?” tanya saya apabila melihat emak saudara yang masih belum bersiap-siap lagi.

Tante yang kelihatan agak keliru lantas menjawab, “Ayah kau tidak bagi tante pergi.”

‘Alamak!’ getus hati saya.

Selama ini, permuafakatan yang tercapai hanya­lah di pihak saya, emak, emak saudara dan pihak perempuan sahaja. Rupa-rupanya emak yang tidur sebantal dengan ayah pun tidak berbincang tentang keputusan saya untuk bertunang pada malam itu. Apabila mengetahui yang saya akan bertunang, ayah terus menggunakan kuasa vetonya kerana saya telah membelakangkannya.

Apabila dikenangkan semula, sememangnya ayah tidak boleh disalahkan 100%. Kesalahan ini perlu saya tanggung kerana langsung tidak ber­bincang dengannya tentang pertunangan itu. Bukan­lah saya sengaja tidak maklumkan kepadanya, tetapi kerapkali timbul perasaan gugup apabila berhadapan dengannya. Ini kerana ketegasannya mampu melemahkan lutut saya!

Saat itu, pelbagai perasaan dan persoalan timbul. Malu dan marah bercampur baur. Jika hendak dibandingkan berapa besarnya malu saya ketika hendak menyampaikan khabar dukacita kepada abang bakal tunang saya, rasa-rasanya Gunung Tahan pun tidak sebesar malu saya ketika itu. Malu tidak terkata!

Saya mula berfikir apa yang harus dilakukan. Hendak kahwin lari? Setahu saya, bukan semua orang yang kahwin lari itu hidupnya bahagia. Ada yang berkahwin tidak sampai setahun sudah bercerai berai! Bercinta bagai tidak dapat dipisahkan tapi bila berkahwin lain ceritanya.
Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).