Tuesday, December 27, 2011

PROF MADYA RASID MUHAMAD menemui peminatnya di Kumpulan Media Karangkraf MPH Karnival 2011

Kehadiran Penulis Karya Bestari Prof. Madya Rashid Muhamad menyerikan lagi karnival yang berlangsung dengan penuh meriah. Seronok melihat prof sanggup meluangkan masa demi bangsa, agama dan negara. Kesungguhan itu membuatkan wartablog KB berasa terharu dan berazam mengambil iltizam yang ditunjukkan penulis untuk dijadikan panduan untuk diri...

PAKEJ BESTARI 2011-2012

Dapatkan pakej BESTARI dengan penjimatan 20% melalui langganan pos. Download borang dan print hantarkan seperti kenyataan yang tertera di borang langganan. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. JOM MEMBACA!...

DINNER GRUP BUKU BERTEMAKAN GARDEN DINNER RED AND BLACK

 
Setelah bertungkus-lumus membanting tulang empat kerat, staf GBK meluangkan masa mengadakan garden dinner, pada 16 Disember 2011 hari Jumaat yang lalu, staf GBK berkumpul di Sri Mahligai Clubhouse, Seksyen 9, Shah Alam untuk memeriahkan acara. Bertemakan merah dan hitam, masing-masing bergaya hebat dan sakan…

Tidak ketinggalan TEAM KARYA BESTARI berpeluang bersama-sama mereka menjalinkan ukhuwah. Maklumlah kalau di pejabat masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing maka di sinilah tempat mereka bercerita tentang keluarga dan peribadi disamping bertukar pendapat dan isu semasa.

Tepat jam 8.00 malam meja pendaftaran tidak henti-henti menerima kunjungan. Semuanya tersenyum gembira mendapat door gift berupa sebuah jam dinding IKEA yang comel. Kami di temani pengacara malam itu En. Faizal yang berceloteh menemuramah rakan-rakan yang hadir dengan pelbagai keletah lucunya.

Acara dimulakan pada jam 8.45 minit malam dengan bacaan doa oleh Yusri, suami kepada Mazuen Yahaya. Kemudian didahului dengan ucapan ketua projek Mohd Rizal Abd Aziz dan AJK seperti Muhamad Faizal, Marliya, Rohana, Patonah, Rozi dan yang lain. Juga diserikan dengan kehadiran Penerbit Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf iaitu Puan Firdaus Dato’ Haji Hussamudin memberi sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis. Acara diteruskan dengan jamuan makan malam, bertukar-tukar hadiah, cabutan bertuah, game ‘pecah perut’ dan pertandingan karaoke. Semua staf ternyata gembira dan berpuas hati dengan makanan dan hadiah cabutan bertuah serta dapat meluangkan masa berkumpul bersama. Moga aktiviti seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang untuk mengeratkan silaturrahim yang kian kukuh…


FRAGMEN AKHIR: KAU HADIR DALAM MUNAJATKU


MENDIDIK HATI
Hiasi diri, hiasi peribadi
Al-Quran itu akhlak Nabi
Marilah kita contohi
 
Bina Sifat Mulia Dengan Doa     
hati sifatnya berbolak-balik. Di dalam hati ada perasaan. Di dalam hati juga ada penyakit. Panduan syariat dan bantuan akal dapat menyeimbangkan hati daripada terus menjadi sarang penyakit yang berbahaya. Untuk mendidik hati agar tidak menyeleweng atau berbolak-balik tanpa kawalan, kita boleh mengamalkan doa ini setiap kali selepas solat:
Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-MU dan berbuat taat kepada-MU.
Kita juga boleh mengamalkan doa ini:
 “Ya ALLAH... bantulah kami untuk mengingati-MU, bersyukur kepada-MU dan mengelokkan ibadat kepada-MU.”
Ingatlah bahawa seluruh tingkah kita hendaklah dilakukan berserta doa. Dengan itu, ALLAH Yang Maha Pengasih akan sentiasa dekat untuk membantu kita. Andai lidah atau hati kikir untuk memohon, jangan pula marah jika hidup sentiasa dilingkari kesukaran, kesusahan, kesulitan dan kesakitan.


Bina Sifat Mulia Dengan Latihan     
Ada beberapa cara yang kita boleh amal-kan untuk men-didik hati. Syarat utamanya ialah tidak menjadikan dunia sebagai matlamat tertinggi sebagai tempat untuk berhibur, bermegah-megah atau berlumba-lumba.

Selepas syarat ini dipenuhi, maka berusahalah mencari jalan ini:
 
Zuhud
Isyarat zuhud banyak disebut dalam al-Quran,  Firman-NYA yang bermaksud,
“Negeri akhirat (yang diterangkan nikmat-nikmat-NYA) itu, Kami sediakan bagi orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” - Surah al-Qasas : 83
Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya:
Melakukan zuhud dalam kehidupan di dunia bukanlah dengan mengharamkan yang halal dan bukan pula memboroskan kekayaan. Akan tetapi zuhud terhadap kehidupan dunia ialah tidak menganggap apa yang ada pada dirimu lebih pasti daripada apa yang ada pada ALLAH dan hendaknya engkau bergembira memperolehi pahala musibah yang sedang menimpamu walaupun musibah itu akan tetap menimpamu. - HR Ahmad
Latihan untuk membina diri sebagai orang yang zuhud ialah:
  • Kurang menggemari dunia, sederhana ketika berbelanja, menerima apa yang ada dan tidak risau tentang apa yang tiada.
  • Menganggap pujian dan celaan sama sahaja. Tidak terlalu gembira mendapat pujian dan tidak terlalu bersusah hati ketika mendapat celaan. 
  • Mendahulukan keredhaan ALLAH daripada keredhaan manusia, berasa tenang jiwa hanya bersama-NYA dan berasa bahagia kerana dapat mentaati perintah-NYA.
ALLAH S.W.T sudah menjelaskan bahawa manusia akan tertarik untuk memiliki tujuh perhiasan dunia. Walau bagaimanapun, orang yang zuhud tetap akan zuhud walaupun tujuh perhiasan ini sangat menarik hatinya. Inilah masa ketaatan kepada ALLAH S.W.T diutamakan me-lebihi kehendak hati terhadap perhiasan dan keindahan dunia. 
Ingat ya, orang yang zuhud hidupnya sederhana, bukannya melarat, selekeh, malas atau compang-camping. Orang zuhud masih boleh membina rumah besar, berkereta mahal dan beranak ramai. Tetapi semua itu digunakan sebaik-baiknya untuk kebaikan sahaja.

Tujuh perhiasan dunia seperti yang disampaikan oleh ALLAH dan Rasul-NYA ialah perkara yang paling disukai nafsu syahwat iaitu wanita, anak-pinak, harta-benda yang bertimbun, emas perak, kuda peliharaan yang hebat (kenderaan mahal jika pada zaman ini), binatang ternak (sumber kekayaan jika pada zaman ini) dan kebun tanaman (gedung perniagaan jika pada zaman ini).

Manusia akan mengikut dorongan nafsu yang mahukan semua perhiasan ini dibangga-banggakan. Nafsu juga suka jika manusia tidak habis-habis mahu membanyakkan kuantiti harta-benda dan anak-pinak. Jadi, apabila harta banyak maka manusia akan sibuk menguruskannya. Dan apabila sibuk menguruskan harta, tentulah perhatian kepada perkara menyediakan bekalan takwa akan berkurangan.

Jika pernah terlanjur melebihkan dunia berbanding akhirat, bacalah ayat ini:
“Dan adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah TUHAN-nya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan diri daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” - Surah An-Nazi’at: 40-41
Tujuan saya bukanlah hendak memprovokasi orang kaya. Siapa yang tidak mahu kaya? Tentulah orang yang pernah miskin, teringin hendak kaya. Tentulah orang yang sudah lama miskin tidak rela zuriatnya mewarisi kemiskinannya. Maksud saya, janganlah sampai kekayaan itu menjadi penyebab kita lalai atau semakin jauh daripada kasih sayang ILAHI. Janganlah disebabkan terlalu sibuk menguruskan harta bertimbun-timbun, solat lima waktu pun tidak sempat dilaksanakan.

Oleh kerana itu, bersederhanalah ketika menguruskan kekayaan. Orang kaya lebih sukar untuk menjaga hatinya. Penyakit hati yang berangkai-rangkai boleh membiak subur dalam hati orang kaya, jadi berhati-hatilah.


Menahan Diri Dengan Warak     
Sebut tentang warak, mesti kita terbayangkan seorang lelaki berjubah putih dan berjanggut panjang. Sebut tentang warak, biasanya ramai orang akan berkata orang warak tempatnya di masjid, surau, madrasah atau tempat-tempat ceramah agama. Bayangan ini pun sudah tersasar, apatah lagi pandangan masyarakat terhadap orang warak.

Orang warak tempatnya bukan di rumah ibadat semata-mata. Orang warak ada di sekeliling kita. Orang warak menjalani kehidupan harian seperti biasa; bermasyarakat, makan, minum dan berkeluarga.

Izinkan saya memberitahu takrif warak. Warak ialah melakukan yang halal, menjauhkan diri daripada perkara yang haram dan jika diperluaskan lagi, orang yang warak menahan diri daripada perkara yang syubhat.

Orang yang warak benar-benar memelihara makanan, pertuturan dan tingkah lakunya. Seboleh-bolehnya, dia mahu membuat perkara yang diyakini halal dan meninggalkan terus perkara yang diyakini haram. Perkara syubhat pula ingin dijauhi kerana khuatir akan jatuh menjadi haram.

Pada pendapat saya, perkara syubhat yang paling dekat dengan kita pada zaman ini ialah makanan. Restoran makanan segera tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Restoran makanan segera dan restoran mahal mudah mempamerkan logo halal. Walau bagaimanapun, status halal tersebut pasti akan diambil berat oleh orang yang warak. Jika bahan-bahannya halal sekalipun, siapa boleh pastikan bahawa peralatan yang digunakan untuk memasak itu suci? Siapa yang boleh pastikan semua pekerja di dapur itu Islam?

Inilah yang ditakuti oleh orang warak. Kekeliruan sebegini boleh menjejaskan status halal pada makanan lantas akan mempengaruhi tahap ibadat. Orang yang makanannya bercampur antara halal dan syubhah, tidak mustahil akan berasa malas untuk beribadat. Itulah kesan makanan pada hati dan anggota badan kita.

Oleh kerana itu, saya amat mengagumi generasi lama yang tidak suka makan di luar. Mereka membina sifat warak melalui makanan yang mereka masak sendiri di rumah. Sudah tentulah sumbernya halal dan penyediaannya juga halal. Oleh kerana itulah mereka taat beribadat dan wajah mereka juga ‘cerah’.

Sabda Nabi s.a.w melalui hadis yang diriwayat-kan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud,
“Di antara keelokan Islam seseorang itu adalah meninggalkan perkara yang tidak berguna kepada dirinya.” - HR At-Tirmizi
Untuk menjadi warak, kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut. Orang yang menggunakan mulutnya untuk bercakap perkara sia-sia, tidak warak. Orang yang menggunakan matanya untuk menonton gambar lucah, tidak warak. Orang yang menggunakan mata dan bibirnya untuk membaca bahan bacaan yang tidak berfaedah atau bermoral, tidak warak. Orang yang menggunakan telinganya untuk mendengar lagu-lagu lagha, tidak warak. Orang yang menggunakan kaki atau tangannya untuk menyakiti jiran tetangga juga tidak warak.

Orang yang warak tidak suka mengunjungi tempat-tempat yang ditakuti bercampur dengan syubhat, misalnya pasar atau pusat membeli-belah. Walaupun tempat-tempat tersebut halal dikunjungi, apatah lagi untuk membeli keperluan harian, namun dibimbangi akan terpandang aurat orang ataupun hati cenderung menyebut perkara yang dilarang agama jika terlihat perkara maksiat.

Pendek kata, orang yang warak menggunakan semua anggota untuk perkara yang berfaedah sahaja. Orang yang warak tidak suka mengunjungi kumpulan manusia yang suka bersembang perkara sia-sia.

Hormat Manusia, Takut ALLAH S.W.T     
Takut kepada ALLAH S.W.T tidak sama seperti kita takut kepada harimau. Takut kepada harimau, kita berusaha untuk lari daripadanya ataupun tidak mahu terserempak dengannya. Sebaliknya, takut kepada ALLAH, kita semakin mahu mendekati-NYA dan kita mahu bertemu dengan-NYA.

Takut kepada ALLAH S.W.T ialah kita tidak mahu DIA murka. Dengan itu, kita sentiasa berwaspada pada setiap tingkah laku dan tutur kata, termasuklah apa sahaja yang ditulis di laman sosial, blog, buku mahupun akhbar.

Baru-baru ini saya berasa sangat sedih membaca sebuah akhbar yang memuatkan tulisan golongan manusia yang menganggap diri mereka hebat. Seorang bercakap tentang dunia artis, yang seorang lagi bercakap tentang politik.

Dalam laman sosialnya, seorang artis menempelak orang yang menegur hasil kerjanya yang dikatakan lucah dan tidak bersesuaian dengan budaya Timur orang Melayu. Senang hati sahaja dia berkata, orang menegur itupun bukannya baik sangat, bukannya banyak pahala sangat malah dosa keliling pinggang.

Bagi saya, jika budaya bangsa sendiri pun mereka tidak hadam, ajaran agama apatah lagi? Kita biasa dengar, biar mati anak jangan mati adat. Hebatnya orang Melayu dahulu kala kerana mempertahankan adat sebagai identiti tertinggi bangsa. Ada adat yang mampu menjulang nama Melayu di mata dunia, yang menyebabkan orang tahu wujudnya bangsa Melayu di dunia ini. Namun, bila lahir sahaja generasi baru ini, adat pun tidak mahu diraikan. Jika tiada adat, maka adab pun mula berkurangan. Apabila tiada adab, tidak tahulah jika mereka masih ada agama…

Bicara politik tidak salah tetapi politik sahajalah. Jangan membabitkan urusan agama dan taraf kealiman orang lain pula. Sebagai orang yang belajar sikit-sikit tentang al-Quran dan as-Sunnah, saya ingat lagi satu hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya ulama itu pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan harta dinar atau dirham, sesungguhnya mereka meninggalkan ilmu…” - HR At-Tirmizi dan Abu Daud
Ya, siapa yang berani menyangkal bahawa ulama memanglah pewaris Nabi, tidak kiralah apa parti politik mereka. Politik hanyalah mainan dunia. Yang benar ialah Siyasah Islamiah. Seseorang itu tidak perlu diiktiraf sebagai alim ulama oleh pemerintah. Yang menilai darjatnya ialah khalayak yang pernah menerima ilmu daripadanya.

Jadi, janganlah sesedap hati mencerca darjat alim ulama. Sebelum mencerca orang, pergilah berguru dengannya dahulu. Barulah tahu si alim itu sebenarnya memang layak menjadi pewaris Nabi.

Sekurang-kurangnya orang itu ada banyak ilmu dan mahir dalam bidangnya. Kita? Apa yang kita ada? Pandai mencerca sahaja. Oh… mahir juga, mahir dalam bidang mengata orang, menjatuhkan darjat orang dan menghina orang.

Semak-semaklah apakah hati masih merah ataupun sudah dipenuhi titik hitam. Orang yang takut kepada ALLAH S.W.T akan menghormati para ulama. Ulama sebenar ialah ulama yang telus dan berani mempertahankan hukum agama walaupun dihimpit dari segenap penjuru. Saya bukannya mahu bercakap dari kaca mata politik duniawi. Saya hanya mahu mempertahankan apa yang saya pelajari ketika di sekolah, 19 tahun lalu.
Wahai Musa, sesungguhnya manusia tidak akan dapat berpura-pura zuhud kepada-KU dalam hidup di dunia dan tidak akan dapat mendekatkan diri kepada-KU dengan berpura-pura berbuat warak dari segala hal yang diharamkan kepada mereka dan tidak akan dapat berpura-pura beribadat kepada-KU dengan cara menangis seolah-olah takut kepada-KU. - Hadis Qudsi riwayat Qudaa’I daripada Kaab r.a.
TAMAT
 
Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM19.90 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

Tuesday, December 20, 2011

USTAZAH FIRUZ AKHTAR BERSEMUKA DI MEJA KARYA BESTARI. Ada isu menarik dibincangkan bersama...

Hari ini lebih kurang jam 11.45 minit pagi kami bertemu mata dan semeja bersama dengan Ustazah Firuz Akhtar yang merupakan juara Ustazah Pilihan 2011. Kami berkenalan antara satu sama lain dan berkongsi pengalaman di dalam bidang masing-masing. Bertemankan dari rakan MAJALAH I, Sarina Mat Som dan rakan telah membantu malah menyokong usaha kami ini. Katanya ada projek untuk Ustazah Pilihan. Namun, kami bukan sahaja berbual kosong tetapi kami ingin bekerjasama dengan Ustazah untuk projek terbaru kami nanti. 
 
Semasa bersembang kami memberikan komplimen buku untuk Ustazah Firuz. Memandangkan ustazah masih bujang kami memberikan buku KAHWIN PADA USIA MUDA. Sebaik sahaja melihat dan buku berpindah tangan kepadanya terus dia berkata, "Memang dari tadi nak beli buku ni, ni dah dapat saguhati". Apa-apapun tu namanya rezeki kan Ustazah... Katanya akan membuat talk tentang isu Kahwin Pada Usia Muda. Nanti bolehlah Ustazah menjadikan buku ini sebagai rujukan dan panduan untuk talk nanti... 
Bagi mereka di luar sana, inginkan karya agung dari Ustazah Firuz ini jangan lepaskan peluang mengetahui berita selanjutnya akan datang... Moga ALLAH merahmati usaha kita. Amin... Akhir kata terima kasih kepada rakan MAJALAH I kerana menemukan Ustazah Firuz bersama dengan TEAM KARYA BESTARI... 

Monday, December 19, 2011

BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA BERADA DALAM CETAKAN KE DUA... TAHNIAH BUAT FUAD HJ. SAM

Syukur Alhamdulillah baru sahaja sebulan lebih buku KAHWIN PADA USIA MUDA sudah memasuki cetakan ke dua. Ada yang menarik pada kandungan buku ini. Pengisiannya meleraikan kemusykilan kita sama ada kahwin usia muda lebih baik atau sebaliknya. Penuh dengan tips dan motivasi agar kesempurnaan yang di cari di capai pada tingkat tertinggi. Boleh dimiliki di kedai buku dan juga di Karnival Karangkraf 27-29 Jan 2012 nanti.... Tahniah buat Fuad Hj. Sam kerana berjaya menghasilkan karya yang bermutu.

Sunday, December 18, 2011

Fragmen 3 : KAU HADIR DALAM MUNAJATKU


BERBEKAL DENGAN CUKUP?
Tidak terjejas khazanah ILAHI
Andai kekayaan dikongsi
Makin subur makin diberkati


Tiga Alam       
dunia ialah alam rendah. Dunia ialah tempat persinggahan. Dunia ialah ladang. Kita pula ialah musafir yang singgah di alam rendah ini dalam perjalanan ke alam abadi. Di pertengahannya, ada jambatan yang bernama alam barzakh.
Jadi, bagaimana kita menanggap perjalanan dan persinggahan kita di alam rendah ini? Sesiapa yang sudah tahu proses perjalanan ini tentulah sudah mula membuat persediaan. Dan jika ini kali pertama anda mengetahui tentang alam rendah, jambatan dan alam abadi, tidak mengapa. Persediaan boleh dimulakan saat ini.
Jika hendak diukur, usia kita di alam rendah tidaklah lama walaupun kita meninggal pada usia 100 tahun. Cuba kira sudah berapa lama nenek moyang kita meninggal? Sejak dari tarikh kematiannya itu hingga ke hari ini, maka itulah tempohnya mereka sudah berada atas jambatan atau alam barzakh. Dan bayangkan pula dunia belum kiamat. Mulai hari ini hingga ke hari kiamat, berapa lama lagi mereka akan berada di alam barzakh? Adakah 100 tahun, sama seperti usia mereka hidup ataupun lebih?
Kemudian, bandingkan pula tempoh masa untuk berada di alam akhirat yang sifatnya kekal abadi. Sedangkan sehari di alam akhirat sama seperti 500 tahun tempoh di dunia. Bagaimana? Bagaimana kita hendak tinggal di alam barzakh dan alam akhirat dalam keadaan sejahtera, aman, sentosa dan bahagia?
ALLAH Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Perrsinggahan sementara kita di alam rendah adalah untuk membuat persediaan, menyediakan bekal dan menyemai benih amal. Betapa kasih dan sayangnya ALLAH  S.W.T kepada kita kerana kita tidak perlukan masa yang terlalu panjang untuk membuat persediaan, menyediakan bekal dan menyemai benih amal. Sedangkan persediaan dalam masa singkat ini sudah cukup untuk menampung kehidupan kita di alam abadi nanti.
ALLAH S.W.T tidak mahu memberatkan hamba-NYA. Oleh kerana itulah amalan yang kecil sekalipun akan mendapat pahala berganda-ganda seperti pahala sedekah. Contoh lain pula adalah diam daripada bercakap kotor, berzikir dalam hati ataupun mengalih sesuatu yang menghalang atau membahayakan perjalanan orang lain seperti duri, kayu atau kulit pisang.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud,
“Dan perkataan yang baik itu sedekah dan setiap langkah untuk pergi solat itu sedekah dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah.” - Muttafaq Alaih
Sementara dosa pula tidak diganda. Satu maksiat satu dosa tetapi saiz dosa itu sungguh besar. Satu dosa lebih besar dan lebih berat daripada sebuah gunung.
Sebahagian daripada amal yang kita lakukan ketika di alam rendah, sama ada amal baik atau amal jahat akan membuahkan manfaat dan kesannya ketika di alam barzakh. Contohnya, penderhakaan kepada ibu bapa, sedekah, wakaf dan ilmu yang kita ajar lalu diamalkan oleh orang lain.
Semua hasil amalan yang kita buat ketika di alam rendah akan dituai sepenuhnya di alam akhirat kelak. Pada masa inilah hisab akan berlangsung dan balasan diberi setimpal dengan amalan.

Bimbang Harta Berkurangan     
Setiap hari, dua malaikat turun ke bumi. Salah seorang daripada mereka berkata, “Ya ALLAH...  gantilah harta orang yang bersedekah di jalan-MU dengan rezeki yang lebih banyak. Sedangkan yang seorang lagi berkata, “Ya ALLAH... binasakanlah harta orang yang menahan hartanya untuk di-sedekahkan.”
Seseorang yang diberikan kekayaan oleh ALLAH S.W.T dan tidak membayar zakat kekayaannya, maka pada hari kiamat kekayaannya akan diubah menjadi ular beracun dengan dua tanda hitam di atas matanya. Ular itu akan melilit lehernya dan berkata, “Akulah kekayaanmu, akulah hartamu.”
Selepas menceritakan kebenaran yang mengerikan ini, Rasulullah s.a.w membaca ayat ALLAH S.W.T yang membawa maksud,

“Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahan-NYA menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” - Surah Ali Imran: 180
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w berkata bahawa zakat itu asalnya adalah untuk memaksa orang yang kikir mengeluarkan hartanya. Jika tiada sedekah wajib (zakat) nescaya orang yang bakhil lagi kikir enggan memberi walau sedikit pun daripada hartanya kepada orang lain.

Hulur Derma Sembunyi Tangan     
Ada orang suka menderma. Ada orang suka men-cari glamor melalui dermanya. Ada pula orang yang tidak mahu namanya disebut-sebut sebagai dermawan. Itulah manusia. Macam-macam jenis manusia boleh kita temui sepanjang hidup kita.
Firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud,
“Jika kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan jika pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu beri-kan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan ALLAH akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Derma atau sedekah boleh dilakukan secara terbuka jika yakin kita mampu mempertahankan keikhlasan yang diniatkan sebelum menderma. Walau bagaimanapun, derma atau sedekah secara sembunyi itu lebih baik kerana urusan hati amat sukar untuk kita kendalikan. Biar ALLAH S.W.T sahaja yang menilainya kerana DIA lebih memahami maksud hati seseorang. DIA juga lebih mengetahui balasan mana paling sesuai untuk orang yang menderma secara sembunyi ini.
Kata Ibnu Abbas, ALLAH S.W.T menjadikan sedekah sunat secara rahsia lebih afdal daripada sedekah yang terang 70 kali ganda. Sedangkan sedekah yang wajib (contohnya zakat) terang-terangan lebih afdal daripada merahsiakannya 25 kali ganda. Maksudnya, jika bayar zakat tidak mengapa kita melakukannya di khalayak ramai.
Sebaliknya, jika hendak menderma kepada fakir miskin lebih baik kita melakukannya secara sembunyi. Hanya kita, ALLAH S.W.T dan penerima derma/sedekah itu sahaja yang tahu.
Tabiat kita, hendak melihat setiap perbuatan baik diberi ganjaran serta-merta. Entah dari mana tabiat ini bermula walaupun ALLAH sudah menjanjikan setiap perbuatan baik tetap akan mendapat ganjaran baik sama ada cepat atau lambat. Barangkali kerana terpengaruh dengan sesetengah bangsa yang mengamalkan tabiat ini.
Walau bagaimanapun, janji ALLAH S.W.T lebih manis. Apa sahaja yang kita dermakan itu, walaupun pada zahirnya mengurangkan harta tetapi ganjarannya kembali pada diri sendiri. Apa yang kita dermakan semata-mata kerana ALLAH S.W.T akan dinilai dan diberi ganjaran secara tunai. 

Firman-NYA:
“Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan ALLAH) maka (faedah dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan-NYA dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan” - Surah Al-Baqarah: 272
Selain itu, ingatlah selalu bahawa kita hendaklah mengutamakan ahli keluarga dan saudara-mara terlebih dahulu jika hendak menderma kerana ini lebih baik mengikut pandangan Islam.

Dunia Tempat Berpenat Lelah     
Sudah nama pun dunia ini ladang dan tempat menyemai, tentulah kita akan berasa penat bekerja. Sambil-sambil penat berfikir dan berusaha untuk menambahkan harta, usah pula lupa berfikir dan berusaha menambahkan bekalan untuk ke alam akhirat nanti. Tingkah laku kita mestilah seimbang, untuk dunia dan akhirat.
Melebihkan akhirat tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w membuat perbandingan antara Islam dengan agama-agama lain. Ada agama yang terlalu ‘keagamaan’ hingga melarang umatnya berkahwin sedangkan manusia ada nafsu dan perasaan. Ada agama yang melarang makan daging pada hari tertentu sedangkan manusia boleh makan semua jenis makanan yang halal mengikut keperluannya. Sedangkan Islam berada dalam keadaan sederhana yang boleh diikuti oleh semua jenis bangsa dan budaya.
Melebihkan dunia juga tidak digalakkan oleh Islam. Sebaik-baiknya, kita mengikut sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: Sebaik-baik urusan/perkara adalah bersederhana.
Jika kita menghendaki akhirat, kita akan mendapat dunia akhirat. Jika kita menghendaki dunia, kita hanya akan mendapat dunia tetapi tidak mendapat akhirat (yang bahagia). Jika kita hendak menguasai dunia, hendaklah berilmu. Jika kita hendak menguasai akhirat, hendaklah berilmu.
Tanpa ilmu, sukar sekali untuk hidup senang atas dunia, apatah lagi dunia hari ini menilai manusia berdasarkan ilmu dan kemahiran yang mereka ada untuk mendapat jawatan dan gaji yang besar.
Tanpa ilmu, semua amal ibadat kita tidak mendapat pahala penuh. Rasulullah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan At-Tirmizi bahawa
“Kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadat (tanpa ilmu) adalah seperti bulan dengan bintang.”
Bulan itu bercahaya sedangkan bintang tidak bercahaya. Orang yang solat dalam keadaan berilmu (tahu dan faham tentang bacaan dan perbuatan dalam solatnya) lebih baik daripada orang yang solat secara ikut-ikutan.
Orang yang menutup aurat kerana memahami hukum, tuntutan dan kelebihannya adalah lebih baik daripada orang yang bertudung sekadar mengikut fesyen. Orang yang bersedekah kerana tahu fadilat dan kebaikannya pastilah lebih baik daripada orang yang bersedekah untuk menunjuk-nunjuk dan mencari pengaruh. Begitulah juga dengan orang  yang mengetahui kelebihan ilmu dalam mencari pahala adalah lebih baik daripada orang yang tidak mengetahui kelebihan ilmu lantas mencela orang berilmu.
Sebaiknya, berpenat-lelahlah dengan amalan baik agar nanti dapat tidur dengan tenang dalam kubur. Hendak berehat, berehatlah di alam barzakh. Hendak berehat, berehatlah di dalam syurga. Jangan nanti, disebabkan sudah hidup senang-lenang di atas dunia, kita tidak dapat tidur dengan tenang dalam kubur kerana sibuk mencari-cari apakah amalan yang boleh meringankan seksaan di alam barzakh. Saat itu, segala-galanya sudah terlambat...
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-KU wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya.” - Surah Al-Baqarah: 197
Bersambung... 
 

Wednesday, December 14, 2011

KITA TENGGELAM DALAM NAFSU BAKAL TERBIT JANUARI 2012


BAKAL TERBIT!
BAKAL TERBIT!
BAKAL TERBIT!


JANUARI 2012

KITA TENGGELAM DALAM NAFSU
PENULIS: SOFIAN RESALI
HARGA: RM 18.00
MUKA SURAT 440 Halaman 
ISBN: 978-967-86-0386-7
Genre: Kauthar

“Kita adalah hamba yang punya tanggungjawab untuk mengabdikan seluruh kehidupan kepada-NYA. Namun, ada ketika kita tersasar sehingga ada yang bertuhankan hawa nafsu. Sucikan hati, luruskanlah semula nurani agar pengabdian hidup kita benar-benar bertuhankan Yang Maha Esa. Maka, usah pernah lupakan-NYA kerana DIA sentiasa mengingati kita.”

KITA insan yang tidak sempurna. Tetapi, kita adalah makhluk yang istimewa. Akal fikiran yang dikurniakan mengangkat martabat diri melebihi makhluk lain. ALLAH S.W.T Maha Adil… dorongan nafsu yang berpaksikan as-syaitonirrajim menjadi kayu ukur darjat keimanan yang dimiliki. Andai pernah tersasar ke lorong hitam, masih ada ‘pusingan U’ demi sebuah tekad untuk berubah.

KITA TENGGELAM DALAM NAFSU menampilkan gugusan pengalaman insan yang pernah melalui jalan kegelapan disebabkan kejahilan diri sendiri. Namun, ada janji-NYA terhadap golongan yang ingin kembali ke jalan keimanan. Ada juga ganjaran-NYA bagi yang mahu bertaubat. Semua itu menjadi lambang betapa DIA tidak pernah melupakan kita. Jadikanlah muhasabah diri yang disulami taubat seikhlas hati sebagai panduan menuju kebahagiaan yang hakiki.

Antara Kandungan Menarik:
  • Takdir ALLAH, Saya Di Sini
  • Perginya Bagai Satu Tanda
  • Kita Lupa Kelemahan Sendiri
  • Lalai – Cukuplah Hanya Sesaat
  • Soal Hati Hanyalah Urusan ILAHI...
  • Jangan Diminta Kematian Itu
  • La Tahzan – Lagukan Munajat Cinta
  • Kerana ALLAH, Aku Bangkit Kembali
  • Biar Miskin Harta Jangan Miskin Iman
  • Dendam Itu – Leraikanlah Dengan Kemaafan

Tuesday, December 13, 2011

BAKAL TERBIT PENGHUJUNG DISEMBER 2011 - TAKLUK HATI PASANGAN

TAKLUK HATI PASANGAN
PENULIS PROF MADYA HJ MOHD NOR MAMAT
RM 16.00     280 halaman    ISBN 978-967-86-0389-8
 "Perkongsian dua jiwa, dua hati dan dua fitrah berbeza menyebabkan mudahnya terjadi konflik dan salah sangka. Sewaktu kita sakit hati dengan tindakan pasangan, sedarilah...mungkin juga kita banyak menyakitkan hatinya. Bersihkanlah hati, mudah-mudahan segala yang mengiringi perjalanan hidup akan lebih indah dan positif. Yakinlah… kita mampu mencipta masa hadapan yang bahagia tetapi kebahagiaan yang paling hakiki adalah dalam redha ILAHI..."

SETIAP kita inginkan hidup yang bahagia. Kasih sayang adalah fitrah yang wujud dalam diri; kitalah pemegang kunci sama ada untuk menyuburkannya ataupun menguburkannya. Mengenali fitrah diri menjadikan kita insan sebenar, memahami fitrah diri memandu kita kepada kebahagiaan dan menghayati fitrah diri mengajar kita menjadi lebih matang dengan ujian ILAHI.

Melayari hidup bersama adalah suatu perkongsian dua jiwa, dua hati dan dua fitrah berbeza.Kita berkomunikasi dengan manusia, bukannya robot yang boleh dibaiki atau diganti apabila tidak menepati kehendak diri. Berhentilah bermimpi untuk memiliki pasangan yang sempurna dan memenuhi segala keinginan kita sedangkan kita sendiri tidak mampu menjadi sempurna dan memenuhi setiap impian pasangan.

TAKLUKI HATI PASANGAN membawa kita begitu dekat dengan setiap masalah yang dikupas dan menyedarkan kita betapa rahsia penyelesainnya ada pada diri kita. Apabila rahsia tersingkap, matlamat bahagia yang dicari dapat diraih. Jadilah pasangan yang bijak menyelesaikan masalah, bukannya sentiasa menimbulkan masalah. Kenali, fahami dan tawanlah hati pasangan kerana itulah resipi keserasian hubungan.
 
ANTARA KANDUNGAN MENARIK:
• Elaklah Jadi Derhaka
• Bahagia Itu Milik Kita
• Beramal dan Berdoalah
• Sayang, Hormatlah Sikit
• Abang, Romantiklah Sikit
• Pilihlah Jalan Kebahagiaan
• Air Bah, Pantai Kan Berubah
• Pengaruhi Minda, Takluki Hati
• Hargai Fitrah Hubungan Indah
• Bahagia @ Derita, Kunci di Tangan Kita

FRAGMEN 2: KAU HADIR DALAM MUNAJATKU


Istihar Atau Sembunyi?
Selimutkanlah segala aibmu
Dengan menutup aib saudaramu
Moga tidak diaibkan di khalayak Mahsyar


Kenang Budi     
Lumrah manusia, sukar memuji tetapi gemar mengeji. Ini bukan ajaran agama. Ini hanyalah bisikan nafsu dan kata hati yang terpesong. Sedangkan agama kita menganjurkan agar kebaikan dihebah-hebahkan dan keburukan disorok-sorokkan.  Contohnya, anak yang baru lahir dihebahkan kehadirannya dengan cara membuat akikah. Pernikahan pula dihebahkan dengan walimah seringkas menyembelih seekor kambing.
 
Firman ALLAH S.W.T dalam Surah Ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud.

“Dan adapun nikmat TUHANmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-NYA.”
 Kita menyebut dan mengisytiharkan kebaikan yang kita terima bukanlah untuk bermegah-megah. Ingin saya tegaskan sekali lagi, apa sahaja nikmat yang kita terima, kita tidak boleh sama sekali menerimanya bersekali dengan semua jenis penyakit hati. Sebaliknya, kita hendaklah menerima dengan perasaan syukur dan segala jenis perasaan yang baik-baik.
 
Dan apa salahnya kita meuar-uarkan budi baik orang yang pernah membantu kita. Itupun sebagai tanda syukur juga. Lagipun, jika kita ramai-ramai meuar-uarkan kebaikan orang sekeliling kita, maka akan tersebarlah berita bahawa orang Islam ialah orang yang baik, bukannya tangkai jering ataupun pengganas.
Jangan jadi seperti anjing yang dilepaskan dari kayu yang tersepit di badannya. Ketika tersepit, dia menjelirkan lidah memohon bantuan. Selepas dilepaskan dia masih lagi menjelir kemudian menyalak kepada orang yang membantunya pula. Tidak kenang budi namanya.
 
Bunyinya sangat kasar tetapi perihal anjing ini ada disebut dalam al-Quran. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud,

“Maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.” - Surah Al-A’raf: 176
Marilah kita menjadi orang yang tahu mengenang budi. Ketika susah ada orang yang sudi membantu kita. Apa salahnya kita berperilaku baik sebagai balasannya, kalaupun kita tidak mampu membalas setimpal apa yang dibantu. Jangan pula memijak kepala orang yang pernah membantu kita, apatah lagi menghina-hina mereka apabila kita tidak lagi memerlukan bantuan.
 
Tutup Aib     
Aib ialah perkara yang memalukan. Seboleh-bolehnya kita mahu menyembunyikannya jauh-jauh daripada pengetahuan semua orang. Tetapi, bagaimana untuk menyimpan keaiban sendiri? 

Misalnya, jika pada suatu hari kita duduk-duduk berbual dengan rakan sekerja, tiba-tiba secara tidak sengaja kita menceritakan keaiban diri sendiri, contohnya kecacatan yang ada pada tubuh badan, sejarah silam yang kotor ataupun perbuatan dosa yang pernah dilakukan, bagaimana hendak menariknya semula?
 
 
Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata-kata, tersingkaplah aib diri. Ini yang ingin kita elakkan di dunia dan akhirat. Apabila aib diri tersingkap, siapa boleh jamin rahsia itu selamat di telinga orang yang mendengarnya? Sedangkan orang tersebut juga ada hati dan lidah. Hatinya meronta-ronta untuk meluahkan rahsia tersebut lalu lidah pun mengeluarkan aib tersebut sebagai isu sembang petang. Maka aib yang kecil tersebar luas, menjadi besar dan panjang lebar. Malu, kan?

 
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Dan sesiapa yang menutup rahsia seorang Islam nescaya ALLAH menutup rahsianya di dunia dan akhirat.” - HR Muslim
 Moralnya, kita amat memerlukan perlindungan ALLAH S.W.T daripada diaibkan. Ketika di dunia memanglah boleh disorok, namun yang lebih utama, perlindungan ALLAH daripada diaibkan di akhirat kelak lebih penting. Bayangkan ketika itu, sebesar-besar skrin akan ditayangkan dan seramai-ramai manusia akan menonton.
 
Jadi, jom kita semak semula. Jika kita dengan sengaja mengungkapkan aib sendiri kepada orang, apa maknanya? Dan jika orang menyebut-nyebut aib kita, apa pula maknanya?

 
Golongan salaf ada yang mengatakan bahawa:
  • Orang yang tiada keaiban tetapi disebabkan mereka sering menyebut-nyebut keaiban orang lain maka keaiban mereka juga akan tersingkap.
  • Orang yang mempunyai keaiban tetapi tidak pernah menyebut-nyebut keaiban orang lain maka keaiban mereka akan dilupakan orang.
Pesan Nabi s.a.w: Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya, janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah mengesan atau mencari-cari rahsia mereka. Ini kerana sesiapa yang berbuat demikian, ALLAH akan membuka rahsianya. Dan sesiapa yang ALLAH buka rahsianya, maka dia akan dimalukan dalam rumahnya sendiri (sekalipun dirahsiakan).
 
Salah satu sebab doa seseorang itu tidak diperkenankan-NYA ialah kerana celik mata sahaja sibuk mencari, mencipta atau mengira keaiban orang lain sedangkan aib sendiri tidak diperbetulkan. Maka, waspadalah!
 
Rahsia Amirul Mukminin     
Pasa suatu masa, Talhah terpandang Sayidina Umar yang sedang berjalan masuk ke sebuah rumah. Keesokan harinya, dia pun pergi ke rumah itu. Penghuninya, seorang wanita tua yang buta lagi lumpuh. Lalu Talhah pun bertanya, “Apakah sebabnya orang lelaki itu (Sayidina Umar) selalu datang ke sini? Apakah yang dibuat kepadamu?”
 
Jawab wanita itu, “Hai, engkau tidak tahu… sudah sekian lama yang mulia itu datang mengurus hal aku, untuk membawa sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagiku dan mengeluarkan suatu yang menyusahkanku.” 
 
Mendengar jawapan tersebut, Talhah pun menyesal. Talhah pun berkata pada dirinya, `Hai Talhah, alangkah bodohnya engkau ini, apakah rahsia Sayidina Umar yang hendak dicari?’
 
Tampung Kekurangan     
Salah satu saham akhirat yang boleh kita laburkan pada hari ini adalah dengan membantu orang yang di dalam kesusahan. Bantu di sini, balasannya di akhirat, iaitu ALLAH S.W.T dan Rasul akan membantu kita di sana kelak. 
  
Bantuan yang amat kita harapkan ialah pelepasan dari Padang Mahsyar yang lama lagi menyeksakan dan yang paling utama, pelepasan daripada menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.
 
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud,

“Sesiapa yang melapangkan seseorang mukmin satu daripada kedukaan dunianya, nescaya ALLAH akan melapangkannya satu daripada kedukaannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan kesusahan orang nescaya ALLAH  akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat… dan ALLAH selalu menolong hamba-NYA selama hamba-NYA itu dalam usaha menolong saudaranya.” - HR Muslim
 ALLAH membantu kita selagi kita menolong orang lain. Kedengarannya sangat logik kerana hidup kita saling memerlukan. Rezeki yang kita kecap setiap hari pun datang melalui orang lain. Tanpa bantuan kerani, siapakah yang akan menguruskan akaun gaji kita? Tanpa mekanik, siapa yang akan membaiki kereta kita yang rosak? Tanpa bank, siapa yang berani menyimpan wang anda yang banyak itu? Dan tanpa ibu bapa, siapakah yang akan mendoakan keselamatan anda?
 
Andainya kita mula kedekut, mula lokek, mula sombong dan mula meninggi diri, rasalah sendiri bahawa hidup kita tidaklah tenang atau bahagia seperti yang diharapkan. Begitulah putaran (circle) kehidupan. Terbuktilah ALLAH S.W.T Maha Adil. Manusia yang hidup nafsi-nafsi tidaklah hebat mana. Sebaliknya manusia yang hidupnya meriah dengan masyarakat, insya-ALLAH sentiasa murah rezeki dan bahagia.
 
Oleh kerana itu, peranan kita dalam keluarga dan masyarakat ialah menampung kekurangan mereka. Jika ada anggota keluarga atau jiran tetangga yang hidupnya kurang berada, janganlah menghina. Tampunglah kekurangan mereka dengan kelebihan yang ada pada kita. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga mereka merasai kegembiraan yang kita rasa.
 
Bagi saya, untuk membina legasi keturunan yang hebat, adik-beradik hendaklah sepakat. Yang berada membantu yang kurang berada. Yang beruntung menolong adik-beradik yang kurang beruntung.
 
Elakkanlah menjatuhkan sesama adik-beradik. Perbalahan tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, perbalahan hanya akan menjatuhkan maruah keluarga. Keluarga berantakan sedangkan masyarakat ketawa melihat pergolakan yang terjadi.
 
Saya pernah mendengar cerita tentang seorang kakak yang menghina adiknya. Kebetulan pula si adik tidak berkelulusan tinggi, tidak bekerja dan hidup sederhana sedangkan si kakak berkelulusan tinggi, bergaji besar dan hidup mewah. Musykil juga, mengapa dia sanggup menghina? Bukankah adiknya itu lahir dari rahim yang sama? Bapa mereka juga sama?
 
Si adik bagaikan ‘sedar diri’. Dia tidak pernah melawan setiap kali kakaknya menghina. Katanya, padanlah dia guna kereta lama buatan Malaysia sebab dia tidak bekerja. Padanlah kakaknya mampu beli kereta import kerana gaji kakaknya itu tinggi. Apalagi, makin tinggilah hidung si kakak.
 
Bagi saya, menghina orang yang sama rahim samalah seperti menghina takdir yang ALLAH tetapkan. Samalah juga seperti menghina ibu yang melahirkan. Samalah seperti tidak redha terhadap hikmah kepelbagaian yang ALLAH S.W.T cipta di kalangan manusia.
 
Tugas kita ialah saling menguatkan. Tampung mana yang berlubang agar orang yang kurang beruntung itu tidak jerlus melalui lubang itu berkali-kali. Benarkah adiknya yang hidup sederhana itu tidak beruntung? 
 
Jika si kakak beruntung kerana mampu membeli kereta import dan rumah besar di pinggir kota, adiknya juga beruntung kerana mendapat suami penyayang yang mampu memenuhi semua keperluannya. Pada saya, keuntungan hakiki ialah kebahagiaan sanubari, bukanlah kebahagiaan yang diukur melalui standard material. Anda bagaimana?

 
Cadangan saya, umat Islam hendaklah mengamalkan prinsip menutup keaiban dan menampung kekurangan mulai hari ini juga. 
 
Mengapa? Ini kerana pada setiap masa, tanpa kita sedari, musuh-musuh Islam sentiasa mengintai peluang untuk memecah-belahkan perpaduan sesama kita. Jika kita mengamalkan prinsip ini, insya-ALLAH mereka tidak dapat menghidu kelemahan kita. Yang mereka nampak hanyalah perpaduan, kerjasama dan kasih sayang antara kita. Maka tentulah mereka akan berasa resah gelisah kerana gagal lagi dalam usaha memerangi orang Islam secara halus.

“Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan ALLAH dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya ALLAH akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian DIA mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut undang-undang peraturan-NYA) dan (ingatlah), ALLAH Maha Kuasa atas tiap-tiap se-suatu.” - Surah Al-Baqarah: 284
Bersambung...