Tuesday, December 27, 2011

FRAGMEN AKHIR: KAU HADIR DALAM MUNAJATKU


MENDIDIK HATI
Hiasi diri, hiasi peribadi
Al-Quran itu akhlak Nabi
Marilah kita contohi
 
Bina Sifat Mulia Dengan Doa     
hati sifatnya berbolak-balik. Di dalam hati ada perasaan. Di dalam hati juga ada penyakit. Panduan syariat dan bantuan akal dapat menyeimbangkan hati daripada terus menjadi sarang penyakit yang berbahaya. Untuk mendidik hati agar tidak menyeleweng atau berbolak-balik tanpa kawalan, kita boleh mengamalkan doa ini setiap kali selepas solat:
Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-MU dan berbuat taat kepada-MU.
Kita juga boleh mengamalkan doa ini:
 “Ya ALLAH... bantulah kami untuk mengingati-MU, bersyukur kepada-MU dan mengelokkan ibadat kepada-MU.”
Ingatlah bahawa seluruh tingkah kita hendaklah dilakukan berserta doa. Dengan itu, ALLAH Yang Maha Pengasih akan sentiasa dekat untuk membantu kita. Andai lidah atau hati kikir untuk memohon, jangan pula marah jika hidup sentiasa dilingkari kesukaran, kesusahan, kesulitan dan kesakitan.


Bina Sifat Mulia Dengan Latihan     
Ada beberapa cara yang kita boleh amal-kan untuk men-didik hati. Syarat utamanya ialah tidak menjadikan dunia sebagai matlamat tertinggi sebagai tempat untuk berhibur, bermegah-megah atau berlumba-lumba.

Selepas syarat ini dipenuhi, maka berusahalah mencari jalan ini:
 
Zuhud
Isyarat zuhud banyak disebut dalam al-Quran,  Firman-NYA yang bermaksud,
“Negeri akhirat (yang diterangkan nikmat-nikmat-NYA) itu, Kami sediakan bagi orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” - Surah al-Qasas : 83
Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya:
Melakukan zuhud dalam kehidupan di dunia bukanlah dengan mengharamkan yang halal dan bukan pula memboroskan kekayaan. Akan tetapi zuhud terhadap kehidupan dunia ialah tidak menganggap apa yang ada pada dirimu lebih pasti daripada apa yang ada pada ALLAH dan hendaknya engkau bergembira memperolehi pahala musibah yang sedang menimpamu walaupun musibah itu akan tetap menimpamu. - HR Ahmad
Latihan untuk membina diri sebagai orang yang zuhud ialah:
  • Kurang menggemari dunia, sederhana ketika berbelanja, menerima apa yang ada dan tidak risau tentang apa yang tiada.
  • Menganggap pujian dan celaan sama sahaja. Tidak terlalu gembira mendapat pujian dan tidak terlalu bersusah hati ketika mendapat celaan. 
  • Mendahulukan keredhaan ALLAH daripada keredhaan manusia, berasa tenang jiwa hanya bersama-NYA dan berasa bahagia kerana dapat mentaati perintah-NYA.
ALLAH S.W.T sudah menjelaskan bahawa manusia akan tertarik untuk memiliki tujuh perhiasan dunia. Walau bagaimanapun, orang yang zuhud tetap akan zuhud walaupun tujuh perhiasan ini sangat menarik hatinya. Inilah masa ketaatan kepada ALLAH S.W.T diutamakan me-lebihi kehendak hati terhadap perhiasan dan keindahan dunia. 
Ingat ya, orang yang zuhud hidupnya sederhana, bukannya melarat, selekeh, malas atau compang-camping. Orang zuhud masih boleh membina rumah besar, berkereta mahal dan beranak ramai. Tetapi semua itu digunakan sebaik-baiknya untuk kebaikan sahaja.

Tujuh perhiasan dunia seperti yang disampaikan oleh ALLAH dan Rasul-NYA ialah perkara yang paling disukai nafsu syahwat iaitu wanita, anak-pinak, harta-benda yang bertimbun, emas perak, kuda peliharaan yang hebat (kenderaan mahal jika pada zaman ini), binatang ternak (sumber kekayaan jika pada zaman ini) dan kebun tanaman (gedung perniagaan jika pada zaman ini).

Manusia akan mengikut dorongan nafsu yang mahukan semua perhiasan ini dibangga-banggakan. Nafsu juga suka jika manusia tidak habis-habis mahu membanyakkan kuantiti harta-benda dan anak-pinak. Jadi, apabila harta banyak maka manusia akan sibuk menguruskannya. Dan apabila sibuk menguruskan harta, tentulah perhatian kepada perkara menyediakan bekalan takwa akan berkurangan.

Jika pernah terlanjur melebihkan dunia berbanding akhirat, bacalah ayat ini:
“Dan adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah TUHAN-nya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan diri daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” - Surah An-Nazi’at: 40-41
Tujuan saya bukanlah hendak memprovokasi orang kaya. Siapa yang tidak mahu kaya? Tentulah orang yang pernah miskin, teringin hendak kaya. Tentulah orang yang sudah lama miskin tidak rela zuriatnya mewarisi kemiskinannya. Maksud saya, janganlah sampai kekayaan itu menjadi penyebab kita lalai atau semakin jauh daripada kasih sayang ILAHI. Janganlah disebabkan terlalu sibuk menguruskan harta bertimbun-timbun, solat lima waktu pun tidak sempat dilaksanakan.

Oleh kerana itu, bersederhanalah ketika menguruskan kekayaan. Orang kaya lebih sukar untuk menjaga hatinya. Penyakit hati yang berangkai-rangkai boleh membiak subur dalam hati orang kaya, jadi berhati-hatilah.


Menahan Diri Dengan Warak     
Sebut tentang warak, mesti kita terbayangkan seorang lelaki berjubah putih dan berjanggut panjang. Sebut tentang warak, biasanya ramai orang akan berkata orang warak tempatnya di masjid, surau, madrasah atau tempat-tempat ceramah agama. Bayangan ini pun sudah tersasar, apatah lagi pandangan masyarakat terhadap orang warak.

Orang warak tempatnya bukan di rumah ibadat semata-mata. Orang warak ada di sekeliling kita. Orang warak menjalani kehidupan harian seperti biasa; bermasyarakat, makan, minum dan berkeluarga.

Izinkan saya memberitahu takrif warak. Warak ialah melakukan yang halal, menjauhkan diri daripada perkara yang haram dan jika diperluaskan lagi, orang yang warak menahan diri daripada perkara yang syubhat.

Orang yang warak benar-benar memelihara makanan, pertuturan dan tingkah lakunya. Seboleh-bolehnya, dia mahu membuat perkara yang diyakini halal dan meninggalkan terus perkara yang diyakini haram. Perkara syubhat pula ingin dijauhi kerana khuatir akan jatuh menjadi haram.

Pada pendapat saya, perkara syubhat yang paling dekat dengan kita pada zaman ini ialah makanan. Restoran makanan segera tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Restoran makanan segera dan restoran mahal mudah mempamerkan logo halal. Walau bagaimanapun, status halal tersebut pasti akan diambil berat oleh orang yang warak. Jika bahan-bahannya halal sekalipun, siapa boleh pastikan bahawa peralatan yang digunakan untuk memasak itu suci? Siapa yang boleh pastikan semua pekerja di dapur itu Islam?

Inilah yang ditakuti oleh orang warak. Kekeliruan sebegini boleh menjejaskan status halal pada makanan lantas akan mempengaruhi tahap ibadat. Orang yang makanannya bercampur antara halal dan syubhah, tidak mustahil akan berasa malas untuk beribadat. Itulah kesan makanan pada hati dan anggota badan kita.

Oleh kerana itu, saya amat mengagumi generasi lama yang tidak suka makan di luar. Mereka membina sifat warak melalui makanan yang mereka masak sendiri di rumah. Sudah tentulah sumbernya halal dan penyediaannya juga halal. Oleh kerana itulah mereka taat beribadat dan wajah mereka juga ‘cerah’.

Sabda Nabi s.a.w melalui hadis yang diriwayat-kan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud,
“Di antara keelokan Islam seseorang itu adalah meninggalkan perkara yang tidak berguna kepada dirinya.” - HR At-Tirmizi
Untuk menjadi warak, kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut. Orang yang menggunakan mulutnya untuk bercakap perkara sia-sia, tidak warak. Orang yang menggunakan matanya untuk menonton gambar lucah, tidak warak. Orang yang menggunakan mata dan bibirnya untuk membaca bahan bacaan yang tidak berfaedah atau bermoral, tidak warak. Orang yang menggunakan telinganya untuk mendengar lagu-lagu lagha, tidak warak. Orang yang menggunakan kaki atau tangannya untuk menyakiti jiran tetangga juga tidak warak.

Orang yang warak tidak suka mengunjungi tempat-tempat yang ditakuti bercampur dengan syubhat, misalnya pasar atau pusat membeli-belah. Walaupun tempat-tempat tersebut halal dikunjungi, apatah lagi untuk membeli keperluan harian, namun dibimbangi akan terpandang aurat orang ataupun hati cenderung menyebut perkara yang dilarang agama jika terlihat perkara maksiat.

Pendek kata, orang yang warak menggunakan semua anggota untuk perkara yang berfaedah sahaja. Orang yang warak tidak suka mengunjungi kumpulan manusia yang suka bersembang perkara sia-sia.

Hormat Manusia, Takut ALLAH S.W.T     
Takut kepada ALLAH S.W.T tidak sama seperti kita takut kepada harimau. Takut kepada harimau, kita berusaha untuk lari daripadanya ataupun tidak mahu terserempak dengannya. Sebaliknya, takut kepada ALLAH, kita semakin mahu mendekati-NYA dan kita mahu bertemu dengan-NYA.

Takut kepada ALLAH S.W.T ialah kita tidak mahu DIA murka. Dengan itu, kita sentiasa berwaspada pada setiap tingkah laku dan tutur kata, termasuklah apa sahaja yang ditulis di laman sosial, blog, buku mahupun akhbar.

Baru-baru ini saya berasa sangat sedih membaca sebuah akhbar yang memuatkan tulisan golongan manusia yang menganggap diri mereka hebat. Seorang bercakap tentang dunia artis, yang seorang lagi bercakap tentang politik.

Dalam laman sosialnya, seorang artis menempelak orang yang menegur hasil kerjanya yang dikatakan lucah dan tidak bersesuaian dengan budaya Timur orang Melayu. Senang hati sahaja dia berkata, orang menegur itupun bukannya baik sangat, bukannya banyak pahala sangat malah dosa keliling pinggang.

Bagi saya, jika budaya bangsa sendiri pun mereka tidak hadam, ajaran agama apatah lagi? Kita biasa dengar, biar mati anak jangan mati adat. Hebatnya orang Melayu dahulu kala kerana mempertahankan adat sebagai identiti tertinggi bangsa. Ada adat yang mampu menjulang nama Melayu di mata dunia, yang menyebabkan orang tahu wujudnya bangsa Melayu di dunia ini. Namun, bila lahir sahaja generasi baru ini, adat pun tidak mahu diraikan. Jika tiada adat, maka adab pun mula berkurangan. Apabila tiada adab, tidak tahulah jika mereka masih ada agama…

Bicara politik tidak salah tetapi politik sahajalah. Jangan membabitkan urusan agama dan taraf kealiman orang lain pula. Sebagai orang yang belajar sikit-sikit tentang al-Quran dan as-Sunnah, saya ingat lagi satu hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya ulama itu pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan harta dinar atau dirham, sesungguhnya mereka meninggalkan ilmu…” - HR At-Tirmizi dan Abu Daud
Ya, siapa yang berani menyangkal bahawa ulama memanglah pewaris Nabi, tidak kiralah apa parti politik mereka. Politik hanyalah mainan dunia. Yang benar ialah Siyasah Islamiah. Seseorang itu tidak perlu diiktiraf sebagai alim ulama oleh pemerintah. Yang menilai darjatnya ialah khalayak yang pernah menerima ilmu daripadanya.

Jadi, janganlah sesedap hati mencerca darjat alim ulama. Sebelum mencerca orang, pergilah berguru dengannya dahulu. Barulah tahu si alim itu sebenarnya memang layak menjadi pewaris Nabi.

Sekurang-kurangnya orang itu ada banyak ilmu dan mahir dalam bidangnya. Kita? Apa yang kita ada? Pandai mencerca sahaja. Oh… mahir juga, mahir dalam bidang mengata orang, menjatuhkan darjat orang dan menghina orang.

Semak-semaklah apakah hati masih merah ataupun sudah dipenuhi titik hitam. Orang yang takut kepada ALLAH S.W.T akan menghormati para ulama. Ulama sebenar ialah ulama yang telus dan berani mempertahankan hukum agama walaupun dihimpit dari segenap penjuru. Saya bukannya mahu bercakap dari kaca mata politik duniawi. Saya hanya mahu mempertahankan apa yang saya pelajari ketika di sekolah, 19 tahun lalu.
Wahai Musa, sesungguhnya manusia tidak akan dapat berpura-pura zuhud kepada-KU dalam hidup di dunia dan tidak akan dapat mendekatkan diri kepada-KU dengan berpura-pura berbuat warak dari segala hal yang diharamkan kepada mereka dan tidak akan dapat berpura-pura beribadat kepada-KU dengan cara menangis seolah-olah takut kepada-KU. - Hadis Qudsi riwayat Qudaa’I daripada Kaab r.a.
TAMAT
 
Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM19.90 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

No comments: