Istihar Atau Sembunyi?
Selimutkanlah segala aibmu
Dengan menutup aib saudaramu
Moga tidak diaibkan di khalayak Mahsyar
Dengan menutup aib saudaramu
Moga tidak diaibkan di khalayak Mahsyar
Kenang Budi
Lumrah manusia, sukar memuji tetapi gemar mengeji. Ini bukan ajaran agama. Ini hanyalah bisikan nafsu dan kata hati yang terpesong. Sedangkan agama kita menganjurkan agar kebaikan dihebah-hebahkan dan keburukan disorok-sorokkan. Contohnya, anak yang baru lahir dihebahkan kehadirannya dengan cara membuat akikah. Pernikahan pula dihebahkan dengan walimah seringkas menyembelih seekor kambing.
Lumrah manusia, sukar memuji tetapi gemar mengeji. Ini bukan ajaran agama. Ini hanyalah bisikan nafsu dan kata hati yang terpesong. Sedangkan agama kita menganjurkan agar kebaikan dihebah-hebahkan dan keburukan disorok-sorokkan. Contohnya, anak yang baru lahir dihebahkan kehadirannya dengan cara membuat akikah. Pernikahan pula dihebahkan dengan walimah seringkas menyembelih seekor kambing.
Firman ALLAH S.W.T dalam Surah Ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud.
“Dan adapun nikmat TUHANmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-NYA.”
Kita menyebut dan mengisytiharkan kebaikan yang kita terima bukanlah untuk bermegah-megah. Ingin saya tegaskan sekali lagi, apa sahaja nikmat yang kita terima, kita tidak boleh sama sekali menerimanya bersekali dengan semua jenis penyakit hati. Sebaliknya, kita hendaklah menerima dengan perasaan syukur dan segala jenis perasaan yang baik-baik.
Dan apa salahnya kita meuar-uarkan budi baik orang yang pernah membantu kita. Itupun sebagai tanda syukur juga. Lagipun, jika kita ramai-ramai meuar-uarkan kebaikan orang sekeliling kita, maka akan tersebarlah berita bahawa orang Islam ialah orang yang baik, bukannya tangkai jering ataupun pengganas.
Jangan jadi seperti anjing yang dilepaskan dari kayu yang tersepit di badannya. Ketika tersepit, dia menjelirkan lidah memohon bantuan. Selepas dilepaskan dia masih lagi menjelir kemudian menyalak kepada orang yang membantunya pula. Tidak kenang budi namanya.
Bunyinya sangat kasar tetapi perihal anjing ini ada disebut dalam al-Quran. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud,
“Maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.” - Surah Al-A’raf: 176
Marilah kita menjadi orang yang tahu mengenang budi. Ketika susah ada orang yang sudi membantu kita. Apa salahnya kita berperilaku baik sebagai balasannya, kalaupun kita tidak mampu membalas setimpal apa yang dibantu. Jangan pula memijak kepala orang yang pernah membantu kita, apatah lagi menghina-hina mereka apabila kita tidak lagi memerlukan bantuan.
Tutup Aib
Aib ialah perkara yang memalukan. Seboleh-bolehnya kita mahu menyembunyikannya jauh-jauh daripada pengetahuan semua orang. Tetapi, bagaimana untuk menyimpan keaiban sendiri?
Aib ialah perkara yang memalukan. Seboleh-bolehnya kita mahu menyembunyikannya jauh-jauh daripada pengetahuan semua orang. Tetapi, bagaimana untuk menyimpan keaiban sendiri?
Misalnya, jika pada suatu hari kita duduk-duduk berbual dengan rakan sekerja, tiba-tiba secara tidak sengaja kita menceritakan keaiban diri sendiri, contohnya kecacatan yang ada pada tubuh badan, sejarah silam yang kotor ataupun perbuatan dosa yang pernah dilakukan, bagaimana hendak menariknya semula?
Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata-kata, tersingkaplah aib diri. Ini yang ingin kita elakkan di dunia dan akhirat. Apabila aib diri tersingkap, siapa boleh jamin rahsia itu selamat di telinga orang yang mendengarnya? Sedangkan orang tersebut juga ada hati dan lidah. Hatinya meronta-ronta untuk meluahkan rahsia tersebut lalu lidah pun mengeluarkan aib tersebut sebagai isu sembang petang. Maka aib yang kecil tersebar luas, menjadi besar dan panjang lebar. Malu, kan?
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Dan sesiapa yang menutup rahsia seorang Islam nescaya ALLAH menutup rahsianya di dunia dan akhirat.” - HR Muslim
Moralnya, kita amat memerlukan perlindungan ALLAH S.W.T daripada diaibkan. Ketika di dunia memanglah boleh disorok, namun yang lebih utama, perlindungan ALLAH daripada diaibkan di akhirat kelak lebih penting. Bayangkan ketika itu, sebesar-besar skrin akan ditayangkan dan seramai-ramai manusia akan menonton.
Jadi, jom kita semak semula. Jika kita dengan sengaja mengungkapkan aib sendiri kepada orang, apa maknanya? Dan jika orang menyebut-nyebut aib kita, apa pula maknanya?
Golongan salaf ada yang mengatakan bahawa:
- Orang yang tiada keaiban tetapi disebabkan mereka sering menyebut-nyebut keaiban orang lain maka keaiban mereka juga akan tersingkap.
- Orang yang mempunyai keaiban tetapi tidak pernah menyebut-nyebut keaiban orang lain maka keaiban mereka akan dilupakan orang.
Pesan Nabi s.a.w: Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya, janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah mengesan atau mencari-cari rahsia mereka. Ini kerana sesiapa yang berbuat demikian, ALLAH akan membuka rahsianya. Dan sesiapa yang ALLAH buka rahsianya, maka dia akan dimalukan dalam rumahnya sendiri (sekalipun dirahsiakan).
Salah satu sebab doa seseorang itu tidak diperkenankan-NYA ialah kerana celik mata sahaja sibuk mencari, mencipta atau mengira keaiban orang lain sedangkan aib sendiri tidak diperbetulkan. Maka, waspadalah!
Rahsia Amirul Mukminin
Pasa suatu masa, Talhah terpandang Sayidina Umar yang sedang berjalan masuk ke sebuah rumah. Keesokan harinya, dia pun pergi ke rumah itu. Penghuninya, seorang wanita tua yang buta lagi lumpuh. Lalu Talhah pun bertanya, “Apakah sebabnya orang lelaki itu (Sayidina Umar) selalu datang ke sini? Apakah yang dibuat kepadamu?”
Pasa suatu masa, Talhah terpandang Sayidina Umar yang sedang berjalan masuk ke sebuah rumah. Keesokan harinya, dia pun pergi ke rumah itu. Penghuninya, seorang wanita tua yang buta lagi lumpuh. Lalu Talhah pun bertanya, “Apakah sebabnya orang lelaki itu (Sayidina Umar) selalu datang ke sini? Apakah yang dibuat kepadamu?”
Jawab wanita itu, “Hai, engkau tidak tahu… sudah sekian lama yang mulia itu datang mengurus hal aku, untuk membawa sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagiku dan mengeluarkan suatu yang menyusahkanku.”
Mendengar jawapan tersebut, Talhah pun menyesal. Talhah pun berkata pada dirinya, `Hai Talhah, alangkah bodohnya engkau ini, apakah rahsia Sayidina Umar yang hendak dicari?’
Tampung Kekurangan
Salah satu saham akhirat yang boleh kita laburkan pada hari ini adalah dengan membantu orang yang di dalam kesusahan. Bantu di sini, balasannya di akhirat, iaitu ALLAH S.W.T dan Rasul akan membantu kita di sana kelak.
Salah satu saham akhirat yang boleh kita laburkan pada hari ini adalah dengan membantu orang yang di dalam kesusahan. Bantu di sini, balasannya di akhirat, iaitu ALLAH S.W.T dan Rasul akan membantu kita di sana kelak.
Bantuan yang amat kita harapkan ialah pelepasan dari Padang Mahsyar yang lama lagi menyeksakan dan yang paling utama, pelepasan daripada menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud,
“Sesiapa yang melapangkan seseorang mukmin satu daripada kedukaan dunianya, nescaya ALLAH akan melapangkannya satu daripada kedukaannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan kesusahan orang nescaya ALLAH akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat… dan ALLAH selalu menolong hamba-NYA selama hamba-NYA itu dalam usaha menolong saudaranya.” - HR Muslim
ALLAH membantu kita selagi kita menolong orang lain. Kedengarannya sangat logik kerana hidup kita saling memerlukan. Rezeki yang kita kecap setiap hari pun datang melalui orang lain. Tanpa bantuan kerani, siapakah yang akan menguruskan akaun gaji kita? Tanpa mekanik, siapa yang akan membaiki kereta kita yang rosak? Tanpa bank, siapa yang berani menyimpan wang anda yang banyak itu? Dan tanpa ibu bapa, siapakah yang akan mendoakan keselamatan anda?
Andainya kita mula kedekut, mula lokek, mula sombong dan mula meninggi diri, rasalah sendiri bahawa hidup kita tidaklah tenang atau bahagia seperti yang diharapkan. Begitulah putaran (circle) kehidupan. Terbuktilah ALLAH S.W.T Maha Adil. Manusia yang hidup nafsi-nafsi tidaklah hebat mana. Sebaliknya manusia yang hidupnya meriah dengan masyarakat, insya-ALLAH sentiasa murah rezeki dan bahagia.
Oleh kerana itu, peranan kita dalam keluarga dan masyarakat ialah menampung kekurangan mereka. Jika ada anggota keluarga atau jiran tetangga yang hidupnya kurang berada, janganlah menghina. Tampunglah kekurangan mereka dengan kelebihan yang ada pada kita. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga mereka merasai kegembiraan yang kita rasa.
Bagi saya, untuk membina legasi keturunan yang hebat, adik-beradik hendaklah sepakat. Yang berada membantu yang kurang berada. Yang beruntung menolong adik-beradik yang kurang beruntung.
Elakkanlah menjatuhkan sesama adik-beradik. Perbalahan tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, perbalahan hanya akan menjatuhkan maruah keluarga. Keluarga berantakan sedangkan masyarakat ketawa melihat pergolakan yang terjadi.
Saya pernah mendengar cerita tentang seorang kakak yang menghina adiknya. Kebetulan pula si adik tidak berkelulusan tinggi, tidak bekerja dan hidup sederhana sedangkan si kakak berkelulusan tinggi, bergaji besar dan hidup mewah. Musykil juga, mengapa dia sanggup menghina? Bukankah adiknya itu lahir dari rahim yang sama? Bapa mereka juga sama?
Si adik bagaikan ‘sedar diri’. Dia tidak pernah melawan setiap kali kakaknya menghina. Katanya, padanlah dia guna kereta lama buatan Malaysia sebab dia tidak bekerja. Padanlah kakaknya mampu beli kereta import kerana gaji kakaknya itu tinggi. Apalagi, makin tinggilah hidung si kakak.
Bagi saya, menghina orang yang sama rahim samalah seperti menghina takdir yang ALLAH tetapkan. Samalah juga seperti menghina ibu yang melahirkan. Samalah seperti tidak redha terhadap hikmah kepelbagaian yang ALLAH S.W.T cipta di kalangan manusia.
Tugas kita ialah saling menguatkan. Tampung mana yang berlubang agar orang yang kurang beruntung itu tidak jerlus melalui lubang itu berkali-kali. Benarkah adiknya yang hidup sederhana itu tidak beruntung?
Jika si kakak beruntung kerana mampu membeli kereta import dan rumah besar di pinggir kota, adiknya juga beruntung kerana mendapat suami penyayang yang mampu memenuhi semua keperluannya. Pada saya, keuntungan hakiki ialah kebahagiaan sanubari, bukanlah kebahagiaan yang diukur melalui standard material. Anda bagaimana?
Cadangan saya, umat Islam hendaklah mengamalkan prinsip menutup keaiban dan menampung kekurangan mulai hari ini juga.
Mengapa? Ini kerana pada setiap masa, tanpa kita sedari, musuh-musuh Islam sentiasa mengintai peluang untuk memecah-belahkan perpaduan sesama kita. Jika kita mengamalkan prinsip ini, insya-ALLAH mereka tidak dapat menghidu kelemahan kita. Yang mereka nampak hanyalah perpaduan, kerjasama dan kasih sayang antara kita. Maka tentulah mereka akan berasa resah gelisah kerana gagal lagi dalam usaha memerangi orang Islam secara halus.
“Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan ALLAH dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya ALLAH akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian DIA mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut undang-undang peraturan-NYA) dan (ingatlah), ALLAH Maha Kuasa atas tiap-tiap se-suatu.” - Surah Al-Baqarah: 284
Bersambung...
No comments:
Post a Comment