MUDAHNYA MENJAGA HATI
Tanya sama hati
Mana letak iman
Nanti jawab hati tanyalah badan…
Hati yang Sebenar
SEMUA orang ada hati. Di mana letaknya hati kita? Hati terletak di bawah diafragma di
sebelah kanan badan kita. Hati ialah organ lembut yang berwarna merah
keperangan. Hati merupakan organ kedua terbesar manusia dan kelenjar terbesar
dalam tubuh setiap kita. Permukaan hati terletak di dalam sangkar toraks bagi
melindunginya daripada kecederaan. Ia juga menjadi alas bagi pundi hempedu yang
menyimpan hempedu.
Hati menjalankan banyak tugas. Hati
sangat sibuk. Hati bersahabat baik dengan jantung. Hati juga berganding dengan
organ-organ lain untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat dan boleh
menjalankan kehidupan dengan lancar. Antara tugas hati adalah menyahtoksid
bahan-bahan beracun. Hati juga menjadi tempat menghasilkan sel-sel darah merah
dan menyingkirkan hormon berlebihan.
Orang yang sakit hatinya,
matanya juga menjadi kuning. Sering kali, orang yang ditimpa penyakit hati akan
pergi tanpa sempat meninggalkan pesan. Betapa bahayanya penyakit ini sampai
kadangkala tidak sempat dikesan oleh doktor. Kegagalan fungsi hati menyebabkan
seluruh anggota terus padam. Itulah fungsi hati secara zahir.
Dari mana pula datangnya
perasaan? Setiap masa, kita ada perasaan yang berbeza. Mendengar pembentangan
yang mendatar, pasti akan terasa bosan. Jika terjumpa orang yang pernah
menyinggung hati, kita pasti berasa benci. Melihat tarikh ulang tahun
perkahwinan yang semakin dekat, tentu berasa seronok. Perasaan mula
berbunga-bunga.
Di mana letaknya perasaan?
Kita biasa diajar, perasaan itu ada di hati. Gembira, sedih, bahagia, derita.
Senyuman yang ikhlas datangnya dari hati. Penderitaan yang ditanggung ketika
hidup, juga beratnya terasa di hati.
Jika hati hanya seberat
1.3 kilogram, bagaimana hendak menanggung perasaan yang pelbagai dalam satu
masa?
Hati Kita
Hati menerima darah untuk dinyahtoksik. Persoalannya,
bagaimana hati boleh menentukan baik jahatnya perangai seseorang sedangkan hati
hanyalah organ. Sebenarnya, hati menerima darah baik atau darah jahat tanpa
banyak soal. Dari mana pula datangnya darah baik dan darah jahat? Bagaimana
hendak tahu darah kita baik atau jahat?
Darah kita terbentuk daripada apa yang kita makan. Secara rohaninya,
makanan halal membentuk darah yang baik manakala makanan halal pula akan
membentuk darah jahat. Apabila darah ini mengalir dalam tubuh badan, maka
perangai seseorang itu sedikit sebanyak bergantung pada jenis darahnya. Oleh
kerana itulah para ulama sangat menjaga makanan mereka. Bukan hanya makanan
haram yang mereka jauhi, malah makanan halal yang dikhuatiri ada sumber-sumber
syubhat juga mereka jauhi.
Pengaruh makanan sangat besar dalam diri kita. Nabi pernah
berpesan, tubuh yang tumbuh daripada makanan haram adalah sasaran utama neraka.
Makanan haram boleh menjadi salah satu daripada punca umat Islam malas
beribadat. Makanan haram juga menjadi punca secara rohaninya, hati menjadi
keras, iaitu tidak suka mendengar apatah lagi menerima nasihat. Hati seperti
ini lebih keras daripada batu.
Darah jahat yang menjadi sel-sel hati akhirnya menyebabkan
keseluruhan hati menjadi jahat. Apabila hati jahat, tidak mustahil ia akan
menghantar arahan yang jahat juga ke seluruh jasad.
Hakikat Hati
Sejak kecil lagi kita sudah diperkenalkan, dalam hati ada
perasaan. Hati menentukan baik jahat seseorang. Hati juga tempat letaknya
ketakwaan seseorang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
“Ketahuilah bahawa di dalam badan kita ada seketul daging. Pabila ia baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika ia rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah hati.” - HR Bukhari dan Muslim
Melalui hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa hati ialah
raja. Jika hati baik, insya-ALLAH seluruh anggota badan akan menerima perintah baik dan perl akuan yang diperlihatkan
juga baik. Begitulah sebaliknya.
Walau bagaimanapun, ada
orang cuba menyangkal bahawa
perlakuan zahir tidak semestinya sama dengan apa yang ada di dalam hati. Apabila kita mendengar seseorang yang celopar
mulutnya menyebut perkataan yang tidak elok akan disokong oleh kawan-kawan
baiknya dengan berkata, “Dia tu mulut aje jahat tapi hati baik.”
Begitu juga dengan ibu bapa yang selalu sangat memarahi
anak-anak dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Mulut sahaja lancang tetapi hati
baik. Maklumlah, siapa yang tidak sayang anak? Marah sebab sayanglah. Kalau
biar saja, nanti perangai anak menjadi-jadi.
Betulkah? Nabi s.a.w pernah bersabda, takwa letaknya di sini
(sambil meletakkan tangan di bahagian jantung/hati). Bagaimana pula, hati baik
tetapi lidah tidak baik? Bukankah hati yang memberi arahan kepada lidah?
Barangkali arahan hati dan perlakuan anggota belum dapat diselaraskan. Dengan
itu, kita hendaklah membimbing hati supaya jadi lurus. Perlakuan juga mesti
lurus.
Setiap ibu bapa hendaklah
berhati-hati akan setiap tindakan terutama apa yang akan diucap atau apa yang
akan dibuat. Kata-kata ibu bapa adalah doa. Jika perkataan yang buruk diulang
berkali-kali kepada anak yang sama, tidak mustahil perkataan itu diperkenankan
ALLAH S.W.T sebagai ‘permintaan’ ibu bapa untuk anak-anaknya.
Begitu juga dengan kata-kata suami terhadap isterinya.
Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri,
meluahkan kasih sayang dan sering mendoakan isterinya.
Tangan dan kaki juga wajib dijaga. Jika hati baik, tentulah
tidak banyak penderaan berlaku terhadap anak-anak atau isteri sepertimana yang
banyak kita baca dalam akhbar saban hari. Jika hati baik, tentulah seorang bapa
tidak sanggup memukul anak yang melakukan kesalahan kecil sampai patah sana
sini. Jika hati baik, tentulah seorang suami lebih berkompromi terhadap
kehidupan rumah tangganya.
Ketika hendak mendidik ahli keluarga, peranan hati sangat
penting. Ketua keluarga mestilah memastikan hatinya betul-betul baik untuk
menjalankan amanah ini. Menghukum ahli keluarga memerlukan ilmu dan skil
kekeluargaan. Cara berhikmah lebih baik daripada cara yang keras. Walau sebesar
mana pun kesalahan ahli keluarga, ketua keluarga masih tidak boleh menghukum
mengikut fatwa sendiri.
Di sinilah letaknya peranan hati. Hati yang waras tentu boleh
memikirkan kesan daripada hukuman tersebut - apakah keadaan akan kembali tenang
selepas hukuman tersebut dilaksanakan atau sebaliknya?
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya,
“Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus hatinya (lebih dahulu)."
Menurut Imam Nawawi, orang yang hatinya baik sentiasa
mengingati kebesaran ALLAH S.W.T, mematuhi perintah-NYA, menjauhi larangan-NYA
dan menghindari perkara syubhat kerana takut terjatuh dalam perkara haram.
Justeru, bagaimana pula kita hendak membuat kesimpulan bahawa orang yang enggan
menutup aurat itu sebagai hatinya baik?
Mudah sahaja. Jika hati sudah boleh dilentur, tentu
perangainya juga boleh dilentur. Jika menunaikan solat tetapi masih mendedahkan
tubuh, seperti tidak selari pula. Jika setiap hari berulang-alik solat
berjemaah di masjid tetapi masih sanggup menyinggung perasaan jiran, lagilah
tidak logik.
Ibrahim bin Adham pernah berkata, “Hati orang yang beriman
adalah bersih seperti cermin kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan
sesuatu sebab dia lebih dahulu melihatnya. Tetapi jika sekali dia berdosa,
ALLAH campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Jika dia bertaubat,
hilanglah warna kehitaman tersebut.
Andai dia kembali berbuat dosa dan tidak bertaubat, timbullah
semula tompokan itu hingga sekalian bahagian hatinya menjadi hitam belaka.
Waktu itu maka tidaklah berguna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”
Kalimah Thoyyibah
Orang yang hatinya baik,
secara automatik tidak menyukai percakapan
yang kotor atau sia-sia. Jika seseorang itu mengakui hatinya baik tetapi lidah
masih celopar, tentu masih ada yang tidak kena tentang hatinya.
Sayidina Umar bin Abdul Aziz pernah berkata, seseorang itu
mestilah lebih banyak menghitung kalam daripada amalannya kerana banyak amalan
yang terbatal pahalanya disebabkan oleh kalam yang tidak dijaga.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dan
Ibnu Majah, Rasulullah s.a.w bersabda,
“Setiap perkataan anak Adam adalah bencana ke atasnya kecuali menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan serta ingat kepada ALLAH Azza wa jalla."
Seorang sahabat Nabi s.a.w
meninggal dunia. Lalu seorang lelaki berkata, “Aku gembirakannya dengan syurga.” Nabi s.a.w segera menyangkalnya dengan
berkata, “Adakah engkau mengetahui
bahawa boleh jadi dia (sahabat yang meninggal dunia tersebut) pernah
berkata-kata pada perkara yang tidak berguna atau bakhil dengan sesuatu yang
tidak memberi kekayaan kepadanya."
Firman ALLAH,
“Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana ALLAH mengemukakan satu per-bandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik, yang akar hujungnya tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin TUHANnya..." - Surah Ibrahim: 24:25
Belajarlah memuji rakan
sekerja dengan ikhlas. Pujian yang
datang dari hati nescaya akan turun ke hati juga. Pujian yang ikhlas boleh
mengeratkan lagi persahabatan yang telah lama terjalin. Adakalanya kita boleh
menilai sama ada seseorang itu ikhlas ataupun tidak.
Lihat sahaja semasa kita dilanda kesusahan. Siapakah yang
datang menyeka air mata? Adakah sahabat baik tersebut? Jika ya, ternyatalah dia
ikhlas. Pujiannya selama ini juga ikhlas.
Jika kawan kita itu tidak ikhlas, dia akan segera menghilang
sebaik sahaja kita mengadu kesusahan yang dihadapi. Ternyatalah, pujiannya
sebelum ini ber-matlamatkan se-suatu semata-mata. Dengan itu, kita hendaklah
berhati-hati jika mahu meneruskan persahabatan dengannya.
Walaubagaimanapun, kita tidaklah boleh menghukum seseorang mengikut keperibadiannya pada hari ini. Barangkali, esok secara tiba-tiba dia mendapat hidayah dan berubah menjadi lebih baik daripada kita pula. Bagaimana? Dengan itu, layanlah setiap orang yang ada di sekeliling kita secara seadanya.
Pesanan Dari Hati
Melakukan kebaikan yang
kecil, kadangkala mengundang manusia terlalu berkira. Barangkali mereka
merasakan kebaikan yang kecil itu kecil juga pahalanya. Pahala adalah hak ALLAH
S.W.T yang bergantung pada keikhlasan manusia. Jika kebaikan yang dilakukan itu
kecil tetapi keikhlasannya penuh, insya-ALLAH pahalanya besar.
Walau bagaimanapun, belum
tentu lagi kebaikan yang besar akan mendapat pahala yang besar juga. Sering
terjadi, kebaikan yang besar seperti derma menjadi kecil atau tiada langsung
pahalanya disebabkan perasaan takbur.
Oleh kerana itulah Nabi s.a.w tidak pernah mempersia-siakan
perbuatan yang kecil-kecil. Hendak bersedekah tiada harta, apa salahnya senyum
sahaja kepada semua yang kita temui dalam perjalanan ke tempat kerja atau ke
kantin. Senyuman besar kesannya, umpamanya mendapat kenalan baru. Selain itu,
kita juga boleh melakukan kebaikan dengan membuang sesuatu yang menghalang
perjalanan, misalnya plastik makanan yang dilihat bersepah di atas tangga.
Tindakan kita itu mungkin akan menyelamatkan orang lain daripada tersungkur
atau jatuh tangga.
Mintalah Bantuan ILAHI
Sebagai manusia, kita sentiasa memerlukan bantuan orang lain
selagi kita hidup. Begitu juga, kita akan sentiasa memerlukan pertolongan ALLAH
S.W.T pada setiap masa. Pergantungan ini tidak akan berakhir hinggalah ke hari
akhirat.
Oleh sebab itu, berdoalah selalu. Mintalah selalu. Jangan
putus harapan kerana jika DIA menghendaki, bantuan-NYA akan tiba pada bila-bila
sahaja. Begitu juga, jika DIA murka, DIA boleh buat apa sahaja.
Firman ALLAH S.W.T dalam
Surah As-Syura ayat 33-34 membawa maksud,
“Jika DIA kehendaki, DIA menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajaran-nya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. Atau (jika DIA kehendaki) DIA binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh orangnya (lalu sesetengahnya dibiarkan mati lemas) dan (sesetengah-nya diselamatkan dengan jalan) DIA memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa mereka. "
Berkait soal hati, kita
juga wajib memohon petunjuk-NYA pada setiap masa agar DIA menetapkan hati kita
dalam kebaikan dan membenci kejahatan. Jika hati menyukai kejahatan, tidak
mustahil anggota badan yang menjadi khadam akan turut menyukai kejahatan.
Intuisi boleh merosakkan kebaikan yang pernah kita lakukan selama ini. Hati
hanya perlu mengungkapkan keinginan, selebihnya anggota tubuh-lah yang
melaksanakan.
Jika hati teringin hendak
tahu bagaimana rasanya suasana di disko, hati hanya memberi arahan kepada kaki
untuk memandu kereta ke tempat tersebut. Tangan pula menolak pintu disko,
memasukinya dan membayar perkhidmatan yang ditawarkan di situ manakala bibir
pula bertanya itu ini dan memulakan perkenalan dengan orang itu dan orang ini.
Maka lengkaplah pusingan maksiat. Begitu mudah, bukan?
ALLAH S.W.T boleh sahaja membalas kejahatan manusia
serta-merta. Tetapi kebanyakan hukuman-NYA ditangguhkan hingga ke akhirat
kelak.
Firman-NYA yang bermaksud,
“Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada ALLAH untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” - Surah As-syura:21
ALLAH mahu melihat sejauh mana hamba-NYA berani melawan,
ataupun… manalah tahu hamba-NYA bertemu jalan taubat dalam perjalanan
kehidupannya.
Berpegang pada hati sahaja tidak cukup kerana hati sendiri
bersifat kehambaan yang lemah. Oleh itu, peganglah juga pada tali akidah dan
syariat yang kukuh. Akidah yang kita pegang boleh menghalang hati mengeluarkan
perintah yang berbentuk kejahatan. Hati belum tentu tahu mana yang baik, mana
yang jahat tetapi panduan syariat yang bersifat pasti boleh membimbing hati ke
arah kebaikan semata-mata.
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai TUHAN kami, janganlah Engkau memesong-kan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-MU; sesungguhnya Engkau jualah TUHAN yang melimpah-limpah pemberian-NYA. - Surah Ali Imran: 8
BERSAMBUNG....
No comments:
Post a Comment