BERBEKAL DENGAN CUKUP?
Tidak terjejas khazanah ILAHI
Andai kekayaan dikongsi
Makin subur makin diberkati
Andai kekayaan dikongsi
Makin subur makin diberkati
Tiga Alam
dunia ialah alam rendah.
Dunia ialah tempat persinggahan. Dunia ialah ladang. Kita pula ialah
musafir yang singgah di alam rendah ini dalam perjalanan ke alam abadi. Di
pertengahannya, ada jambatan yang bernama alam barzakh.
Jadi, bagaimana kita
menanggap perjalanan dan persinggahan kita di alam rendah ini? Sesiapa yang
sudah tahu proses perjalanan ini tentulah sudah mula membuat persediaan. Dan
jika ini kali pertama anda mengetahui tentang alam rendah, jambatan dan alam
abadi, tidak mengapa. Persediaan boleh dimulakan saat ini.
Jika hendak diukur, usia
kita di alam rendah tidaklah lama walaupun kita meninggal pada usia 100 tahun.
Cuba kira sudah berapa lama nenek moyang kita meninggal? Sejak dari tarikh
kematiannya itu hingga ke hari ini, maka itulah tempohnya mereka sudah berada
atas jambatan atau alam barzakh. Dan bayangkan pula dunia belum kiamat. Mulai
hari ini hingga ke hari kiamat, berapa lama lagi mereka akan berada di alam
barzakh? Adakah 100 tahun, sama seperti usia mereka hidup ataupun lebih?
Kemudian, bandingkan pula tempoh masa untuk berada di alam
akhirat yang sifatnya kekal abadi. Sedangkan sehari di alam akhirat sama
seperti 500 tahun tempoh di dunia. Bagaimana? Bagaimana kita hendak tinggal di
alam barzakh dan alam akhirat dalam keadaan sejahtera, aman, sentosa dan
bahagia?
ALLAH Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang. Perrsinggahan sementara kita di alam rendah adalah untuk
membuat persediaan, menyediakan bekal dan menyemai benih amal. Betapa kasih dan
sayangnya ALLAH S.W.T kepada kita
kerana kita tidak perlukan masa yang terlalu panjang untuk membuat persediaan,
menyediakan bekal dan menyemai benih amal. Sedangkan persediaan dalam masa
singkat ini sudah cukup untuk menampung kehidupan kita di alam abadi nanti.
ALLAH S.W.T tidak mahu
memberatkan hamba-NYA. Oleh kerana itulah amalan yang kecil sekalipun akan
mendapat pahala berganda-ganda seperti pahala sedekah. Contoh lain pula adalah diam
daripada bercakap kotor, berzikir dalam hati ataupun mengalih sesuatu yang
menghalang atau membahayakan perjalanan orang lain seperti duri, kayu atau
kulit pisang.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w
yang bermaksud,
“Dan perkataan yang baik itu
sedekah dan setiap langkah untuk pergi solat itu sedekah dan engkau membuang
bahaya dari jalan juga sedekah.” - Muttafaq Alaih
Sementara dosa pula tidak diganda. Satu maksiat satu dosa
tetapi saiz dosa itu sungguh besar. Satu dosa lebih besar dan lebih berat
daripada sebuah gunung.
Sebahagian daripada amal
yang kita lakukan ketika di alam rendah, sama ada amal baik atau amal jahat
akan membuahkan manfaat dan kesannya ketika di alam barzakh. Contohnya,
penderhakaan kepada ibu bapa, sedekah, wakaf dan ilmu yang kita ajar lalu
diamalkan oleh orang lain.
Semua hasil amalan yang kita buat ketika di alam rendah akan dituai
sepenuhnya di alam akhirat kelak. Pada masa inilah hisab akan berlangsung dan
balasan diberi setimpal dengan amalan.
Bimbang Harta Berkurangan
Setiap hari, dua malaikat
turun ke bumi. Salah seorang daripada mereka berkata, “Ya ALLAH... gantilah harta orang yang bersedekah di
jalan-MU dengan rezeki yang lebih banyak. Sedangkan yang seorang lagi berkata,
“Ya ALLAH... binasakanlah harta orang yang menahan hartanya untuk
di-sedekahkan.”
Seseorang yang diberikan kekayaan oleh ALLAH S.W.T dan tidak
membayar zakat kekayaannya, maka pada hari kiamat kekayaannya akan diubah
menjadi ular beracun dengan dua tanda hitam di atas matanya. Ular itu akan
melilit lehernya dan berkata, “Akulah kekayaanmu, akulah hartamu.”
Selepas menceritakan kebenaran yang mengerikan ini,
Rasulullah s.a.w membaca ayat ALLAH S.W.T yang membawa maksud,
“Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda
yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahan-NYA menyangka bahawa
keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka.
Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada
hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit
dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala
yang kamu kerjakan.” - Surah Ali Imran: 180
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w berkata bahawa zakat itu asalnya adalah untuk memaksa orang yang
kikir mengeluarkan hartanya. Jika tiada sedekah wajib (zakat) nescaya
orang yang bakhil lagi kikir enggan memberi walau sedikit pun daripada hartanya
kepada orang lain.
Hulur Derma Sembunyi Tangan
Ada orang suka menderma. Ada orang suka men-cari glamor melalui
dermanya. Ada pula orang yang tidak mahu namanya disebut-sebut sebagai
dermawan. Itulah manusia. Macam-macam jenis manusia boleh kita temui sepanjang
hidup kita.
Firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 yang
bermaksud,
“Jika kamu zahirkan
sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana
menjadi contoh yang baik). Dan jika pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu
serta kamu beri-kan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu
dan ALLAH akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada
kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui secara mendalam
akan apa yang kamu lakukan.”
Derma atau sedekah boleh
dilakukan secara terbuka jika yakin kita mampu mempertahankan keikhlasan yang
diniatkan sebelum menderma. Walau bagaimanapun, derma atau sedekah secara
sembunyi itu lebih baik kerana urusan hati amat sukar untuk kita kendalikan.
Biar ALLAH S.W.T sahaja yang menilainya kerana DIA lebih memahami maksud hati
seseorang. DIA juga lebih mengetahui balasan mana paling sesuai untuk orang
yang menderma secara sembunyi ini.
Kata Ibnu Abbas, ALLAH
S.W.T menjadikan sedekah sunat secara rahsia lebih afdal daripada sedekah yang
terang 70 kali ganda. Sedangkan sedekah yang wajib (contohnya zakat)
terang-terangan lebih afdal daripada merahsiakannya 25 kali ganda. Maksudnya,
jika bayar zakat tidak mengapa kita melakukannya di khalayak ramai.
Sebaliknya, jika hendak
menderma kepada fakir miskin lebih baik kita melakukannya secara sembunyi.
Hanya kita, ALLAH S.W.T dan penerima derma/sedekah itu sahaja yang tahu.
Tabiat kita, hendak
melihat setiap perbuatan baik diberi ganjaran serta-merta. Entah dari mana
tabiat ini bermula walaupun ALLAH sudah menjanjikan setiap perbuatan baik tetap
akan mendapat ganjaran baik sama ada cepat atau lambat. Barangkali kerana
terpengaruh dengan sesetengah bangsa yang mengamalkan tabiat ini.
Walau bagaimanapun, janji ALLAH S.W.T lebih manis. Apa sahaja yang
kita dermakan itu, walaupun pada zahirnya mengurangkan harta tetapi ganjarannya
kembali pada diri sendiri. Apa yang kita dermakan semata-mata kerana ALLAH
S.W.T akan dinilai dan diberi ganjaran secara tunai.
Firman-NYA:
“Dan apa jua harta yang halal
yang kamu belanjakan (pada jalan ALLAH) maka (faedah dan pahalanya) adalah
untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan
kerana menuntut keredhaan-NYA dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang
halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik)
kamu (itu pula) tidak dikurangkan” - Surah Al-Baqarah: 272
Selain itu, ingatlah selalu
bahawa kita hendaklah mengutamakan ahli keluarga dan saudara-mara terlebih
dahulu jika hendak menderma kerana ini lebih baik mengikut pandangan Islam.
Dunia Tempat Berpenat Lelah
Sudah nama pun dunia ini
ladang dan tempat menyemai, tentulah kita akan berasa penat bekerja.
Sambil-sambil penat berfikir dan berusaha untuk menambahkan harta, usah pula
lupa berfikir dan berusaha menambahkan bekalan untuk ke alam akhirat nanti. Tingkah
laku kita mestilah seimbang, untuk dunia dan akhirat.
Melebihkan akhirat tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w
membuat perbandingan antara Islam dengan agama-agama lain. Ada agama yang
terlalu ‘keagamaan’ hingga melarang umatnya
berkahwin sedangkan manusia ada nafsu dan perasaan. Ada agama yang
melarang makan daging pada hari tertentu sedangkan manusia boleh makan semua
jenis makanan yang halal mengikut keperluannya. Sedangkan Islam berada dalam
keadaan sederhana yang boleh diikuti oleh semua jenis bangsa dan budaya.
Melebihkan dunia juga tidak digalakkan oleh Islam.
Sebaik-baiknya, kita mengikut sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: Sebaik-baik
urusan/perkara adalah bersederhana.
Jika kita menghendaki akhirat, kita akan mendapat dunia
akhirat. Jika kita menghendaki dunia, kita hanya akan mendapat dunia tetapi
tidak mendapat akhirat (yang bahagia). Jika kita hendak menguasai dunia,
hendaklah berilmu. Jika kita hendak menguasai akhirat, hendaklah berilmu.
Tanpa ilmu, sukar sekali untuk hidup senang atas dunia,
apatah lagi dunia hari ini menilai manusia berdasarkan ilmu dan kemahiran yang
mereka ada untuk mendapat jawatan dan gaji yang besar.
Tanpa ilmu, semua amal ibadat kita tidak mendapat pahala
penuh. Rasulullah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan
At-Tirmizi bahawa
“Kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadat
(tanpa ilmu) adalah seperti bulan dengan bintang.”
Bulan itu bercahaya sedangkan bintang tidak bercahaya. Orang
yang solat dalam keadaan berilmu (tahu dan faham tentang bacaan dan perbuatan
dalam solatnya) lebih baik daripada orang yang solat secara ikut-ikutan.
Orang yang menutup aurat kerana memahami hukum, tuntutan dan
kelebihannya adalah lebih baik daripada orang yang bertudung sekadar mengikut
fesyen. Orang yang bersedekah kerana tahu fadilat dan kebaikannya pastilah
lebih baik daripada orang yang bersedekah untuk menunjuk-nunjuk dan mencari
pengaruh. Begitulah juga dengan orang
yang mengetahui kelebihan ilmu dalam mencari pahala adalah lebih baik
daripada orang yang tidak mengetahui kelebihan ilmu lantas mencela orang
berilmu.
Sebaiknya,
berpenat-lelahlah dengan amalan baik agar nanti dapat tidur dengan
tenang dalam kubur. Hendak berehat, berehatlah di alam barzakh. Hendak berehat,
berehatlah di dalam syurga. Jangan nanti, disebabkan sudah hidup senang-lenang
di atas dunia, kita tidak dapat tidur dengan tenang dalam kubur kerana sibuk
mencari-cari apakah amalan yang boleh meringankan seksaan di alam barzakh. Saat
itu, segala-galanya sudah terlambat...
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana
sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban
meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-KU wahai orang yang berakal (yang
dapat memikir dan memahaminya.” - Surah
Al-Baqarah: 197
Bersambung...
No comments:
Post a Comment