Monday, October 11, 2010

GRUP BUKU KARANGKRAF SERTAI FIESTA BUKU DI PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA

8 Ogos - Buat pertama kali, Grup Buku Karangkraf telah mengadakan kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia menganjurkan Fiesta Buku. Tujuan aktiviti ini untuk memupuk minat membaca dikalangan kanak-kanak dari peringkat tadika sehingga sekolah rendah.

Acara Mari Dengar Cerita telah diadakan di Auditoriun Kanak-kanak, Perpustakaan Negara Malaysia. Dua penulis buku kanak-kanak iaitu Iris Ixora dan Ainin Naufal telah dijemput memeriahkan majlis.

Seramai 200 kanak-kanak dari sekolah tadika dan sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur telah dihiburkan dengan dua buah cerita dari Kisah Amar oleh Ainin Naufal dan Kisah Sooty oleh Iris Ixora. Props dan puppet yang membantu jalan cerita agar lebih menarik. Dua cerita ini telah disampaikan dengan bantuan visual dan gaya penceritaan yang menarik.

Sebagaimana yang kita tahu, kanak-kanak cepat mempelajari apa yang mereka dengar. Pelajaran ini menjadi lebih mudah dengan bantuan visual dan gaya penceritaan yang menarik. Justeru, pendedahan terhadap cerita-cerita dan tingkah laku yang baik sejak awal adalah penting untuk mereka mempelajari nilai-nilai positif dan mencontohinya.

Daya imaginasi kanak-kanak tiada batasnya. Melalui cerita, mereka boleh menjiwai sesebuah cerita. Walaupun dibaca atau diceritakan berulang kali, mereka tetap tidak jemu atau puas. Watak-watak dalam cerita adalah ‘hidup’ bagi mereka sehingga mereka ikut, hafal dan tiru apa yang ada dalam sesebuah cerita. Ada juga kanak-kanak yang boleh menjadi begitu intim dengan watak-watak yang mereka sayangi.

Konsep penceritaan untuk unit kanak-kanak ini akan banyak diambil daripada kisah-kisah para nabi dan rasul serta kisah-kisah tauladan yang amat mementingkan nilai agama yang kukuh dan semangat jati diri yang kental. Genre buku kanak-kanak juga akan menyasarkan bahan bacaan untuk golongan kanak-kanak bawah 5 tahun supaya semangat sukakan membaca dapat disemai sejak awal usia lagi.

Kisah Sooty, sebuah terbitan Alaf 21, merupakan buku cerita kanak-kanak yang menampilkan keunikan individu pada setiap watak kucing. Watak-watak kucing ini dicipta untuk memenuhi kehendak emosi dan imaginasi kanak-kanak. Kisah Sooty bukan sahaja menjadi penghibur tetapi juga ikon yang diharap boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada setiap kanak-kanak yang mengikuti kisah ini.

Menurut Irix Ixora, dia amat teruja bila diberi peluang ini. "Sebenarnya saya memang berangan-angan mahu membacakan buku tulisan saya di depan kanak-kanak. Tak sangka ia menjadi kenyataan apatah lagi acara ini berlangsung pula di Perpustakaan Negara Malaysia. Syukur sangat kepada ALLAH kerana semuanya berjalan lancar."


Perasaan yang sama juga turut dikongsi oleh Ainin Naufal penulis buku Kisah Amar. Walaupun persediaan yang dibuat begitu singkat, tapi dia gembira kerana diberi peluang membacakan buku cerita di depan khalayak ramai.

"Saya mahu Kisah Amar yang mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah rendah yang tidak tahu membaca menjadi contoh kepada kanak-kanak lain yang lambat membaca. Akhirnya Amar boleh membaca dengan lancar kerana usaha dan dorongan daripada kawan-kawan dan keluarganya. Jadi, moralnya di situ, mereka yang menghadapi masalah seperti Amar, akan berjaya jika berusaha."

Setiap penerbitan buku cerita kanak-kanak bersama Grup Buku Karangkraf yang terdiri dari penerbit Alaf 21 dan Buku Prima mengambil kira faktor pengajaran yang boleh memberikan mesej yang mulia untuk kanak-kanak terutamanya di dalam dunia siber dan teknologi masa kini. Menjadi hasrat syarikat untuk menerbitkan lebih banyak lagi bahan bacaan untuk kanak-kanak di masa akan datang.


Kanak-kanak dihiburkan dengan aktiviti senaman dan nyanyian.

No comments: