Monday, September 6, 2010

GRUP BUKU KARANGKRAF MENANG!


Para pemenang dan finalis bergambar kenangan

ISNIN 6 Sept 2010: Buat kesekian kalinya, penulis-penulis novel dari Grup Buku Karangkraf mengungguli pertandingan Pilihan Pembaca POPULAR/ Berita Harian.

Pertandingan ini bermula dari bulan Jun hingga Julai lalu. Buku-buku yang terpilih dibahagi kepada dua kategori iaitu fiksyen dan bukan fiksyen dan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Para pembaca telah diberi peluang untuk memilih penulis-penulis yang mereka minati berdasarkan buku yang telah mereka baca. Mereka dikehendaki mengisi borang penyertaan yang boleh didapati di dalam akhbar Berita Harian ataupun di mana-mana cawangan kedai buku POPULAR seluruh Malaysia.

Bagi kategori fiksyen Bahasa Melayu, seramai 10 orang penulis dari pelbagai syarikat penerbitan novel telah disenaraikan. Lima orang penulis Grup Buku Karangkraf turut tercalon, iaitu dari Alaf 21; Ramlee Awang Murshid (novel Mikhail), Aisya Sofea (novel Yang Sebenarnya), Anis Ayuni (novel Sungguh Aku Cinta) dan Damya Hanna (novel Ilham Hati). Manakala Buku Prima diwakili oleh Siti Rosmiza (novel Cinta Kau dan Aku).

Keputusan akhir yang diumumkan telah menobatkan Aisya Sofea sebagai pemenang tempat pertama manakala tempat kedua menjadi milik Siti Rosmizah. Anis Ayuni pula berjaya menduduki tempat ketiga. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat jemputan iaitu Sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said. Para pemenang menerima replika, sijil dan wang tunai.

Kepada semua peminat Alaf 21 dan Buku Prima, jutaan terima kasih kami ucapkan kerana sentiasa memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada penulis-penulis Grup Buku Karangkraf. Terima kasih daun keladi!

Aisya Sofea di tempat pertama

Delegasi dari Grup Buku Karangkraf

Siti Rosmizah mewakili Buku Prima

No comments: