Sunday, March 20, 2011

DARI SHAH ALAM KE KOTA JAKARTA…

Pesta Buku Islamik, acara tahunan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh pencinta buku agama. Bertempat di Istora Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta, pameran buku kali ke-10 yang bertemakan Khazanah Islam untuk Peradaban Bangsa ini menempatkan kira-kira 100 penyertaan penerbit di Indonesia.
Bermula dari 4-13 Mac 2011, dunia perbukuan Islam membuktikan bahawa permintaan bagi buku-buku Islamik sememangnya semakin meningkat. Ini terbukti dengan kehadiran ribuan pengunjung yang membanjiri tapak pesta. Dan kami… team dari Grup Buku Karangkraf juga merupakan antara mereka yang sama-sama memeriahkan suasana.
Ya… kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Begitulah yang dirasai oleh kami… Norlizawati, Norhayati, Faizal dan Wan Rohana ketika menjejakkan kaki di tapak pameran. Penduduk Jakarta bagaikan berpesta dengan lautan buku yang memenuhi ruang legar. Suasana meriah begitu terasa, ditambah dengan kebingitan pelbagai aktiviti berkaitan yang mewarnai aturcara pihak penganjur. Antaranya, majlis pelancaran buku, talkshow, Islamic Science Festival, seminar, bengkel dan pelbagai aktiviti lain untuk para pengunjung. Antara peserta terbesar adalah Mizan Group yang menerbitkan buku-buku agama bagi semua peringkat umur. Sebutlah apa saja buku yang dimahukan; dari buku agama konvensional hinggalah ke buku Islamik yang berkonsepkan moden, semuanya ada. Berdasarkan pemerhatian, pencinta buku ini sanggup berhabis-habisan demi memperkayakan lagi ilmu mereka. Buku-buku agama yang diterjemahkan dari tulisan ilmuwan Islam negara-negara Arab mahupun Timur Tengah juga boleh diperoleh selain buku-buku kategori doa dan zikir yang memenuhi sebahagian besar ruang pameran. Apa yang menarik dan istimewanya lagi… pemilihan judul sangat indah (khususnya buku-buku berkonsep motivasi dan novel Islamik). Penggunaaan dan gabungan frasa katanya simple, tapi jelas dan menusuk.
Dan, antara kenangan manis yang sempat dirakamkan ialah pertemuan tanpa terduga dengan Dr. Ary Ginanjar, yang kebetulannya sama-sama berada di pintu masuk pada awal pagi 9 Mac 2011. Apalagi… setelah bersapa dan beramah mesra, maka tanpa membuang masa, kamera pun terus memainkan peranannya. KLIK!!! Hehe… (Kunjungan Pak Ary pada hari tersebut adalah sebagai salah seorang panel dalam satu majlis bedah buku). Apa yang pasti, pengalaman singkat yang diperolehi ini manis sekali. Selain puas menjamu mata dengan 1001 buku yang memikat, kami juga sempat mencuci mata dengan kejelitaan nona-nona manis dan kegantengan pria-pria di penginapan kami, Hotel Atelet Century Park yang jaraknya hanya `walking distance’ ke tapak pesta, Ramah banget masyarakat serumpun kami itu hingga membuatkan Norhayati udah jatoh chenta dan hatinya udah tercicir di Jakarta. Aduh aduhhh…. kangen ya non sama itu pria tampan! "Antara Anyer dan Jakarta kita jauuh cinta....."Haha…
Apa-apa pun, terima kasih daripada kami di atas peluang yang diberikan. Insya-ALLAH kami akan terus berusaha mempelajari dan memperbaiki produk kami dari semasa ke semasa. Yang pasti, Pesta Buku Islamik telah pun melabuhkan tirainya. Dan kita akan berpesta lagi kira-kira sebulan dari sekarang...… berpesta dalam lautan ilmu bersama Kumpulan Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Dewan Tun Ismail, PWTC (22 Apr – 1 Mei 2011). Jumpa kami di sana... Insya-ALLAH…

No comments: