Monday, November 7, 2011

Fragmen 2 - Buku: KAHWIN PADA USIA MUDA

FRAGMEN 2 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Saya agak terkejut apabila memerhatikan statistik pasangan yang berkahwin lari. Apabila sepasang kekasih bercadang untuk berkahwin lari, ini bererti masing-masing akan membelakangkan kedua ibu bapa dan mencari wali hakim untuk meneruskan hasrat mereka. Sebenarnya, jika sesuatu perkahwinan yang hendak dilangsungkan tidak mencapai rukun nikah sebagaimana lazimnya; tidak ada wali, barulah wajar wali hakim mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.

Perlu untuk difahamkan kepada pasangan yang berhasrat berkahwin lari bahawa hubungan mereka tiada cacat celanya dari segi syarak. Bahkan, undang-undang memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan hasrat murni tersebut, walaupun pada asasnya, doa restu orang tua sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan. Akan tetapi garis panduan yang telah ditetapkan dalam agama sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati.

Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.

Apabila bercerita tentang kahwin lari, terkenang pula pada kisah manis dan saat-saat getir ketika bercinta dahulu. Kebahagiaan rumah tangga saya yang kini menjangkau hampir 27 tahun suatu masa dahulu juga diwarnai dengan bunga-bunga cinta yang mengasyikkan. Lautan mana yang tidak bergelora. Namun setiap kesulitan yang dihadapi dalam mengharungi bahtera, dapat diatasi dengan mengenang kembali saat-saat sebelum berkahwin. Ia menjadi petua kebahagiaan berumah tangga.

Pengalaman bercinta saya tidak terlalu lama kerana kami terus bernikah. Walaupun hanya dua tahun lebih usia percintaan, namun pengalaman itu sememangnya terlalu indah untuk dibandingkan dengan pengalaman yang lain. Mana tidaknya, hampir setiap hari saya menunggu kedatangan surat cinta daripada si dia yang saya gilai itu.

Setiap selepas tengah hari, saya pasti ke lobi asrama untuk mengambil surat. Ia berlaku hampir setiap hari, sehingga adakalanya apabila surat yang dinanti tidak datang, timbul perasaan gelisah dengan 1001 pertanyaan. Jika hari ini kita boleh menelefon bertanya khabar, namun ketika itu telefon agak susah untuk didapati apatah lagi dalam rumahnya yang serba sederhana itu.

Keindahan percintaan kami ini tidaklah sehingga menghalalkan pertemuan demi pertemuan, bahkan hanya merindu dari jauh disulami doa. Betapa kuatnya rasa cinta kami, sehingga saya tidak sabar untuk menyuntingnya menjadi permaisuri hati.Memandangkan respons daripada ayah adalah positif, maka ibu menyuruh saya memujuk emak saudara menjadi wakil untuk meminang gadis kegilaan saya itu.

Akhirnya, cincin dibeli tanpa pengetahuan ayah. Kata setuju antara saya dengan pihak keluarga perempuan juga sudah disepakati. Yang tinggal, hanyalah menunggu masa yang sesuai untuk emak saudara saya menyampaikan hasrat pada pihak perempuan.

Saat getir
Namun, sangka saya panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Perbincangan antara saya dengan ayah sebelum ini, belum dapat memuaskan hatinya untuk membenarkan saya berkahwin. Senyumannya itu bukanlah tanda dia membenarkan, bahkan membawa erti lain. Hanya saya memikirkan yang sebaliknya.

“Kenapa tante belum pergi lagi?” tanya saya apabila melihat emak saudara yang masih belum bersiap-siap lagi.

Tante yang kelihatan agak keliru lantas menjawab, “Ayah kau tidak bagi tante pergi.”

‘Alamak!’ getus hati saya.

Selama ini, permuafakatan yang tercapai hanya­lah di pihak saya, emak, emak saudara dan pihak perempuan sahaja. Rupa-rupanya emak yang tidur sebantal dengan ayah pun tidak berbincang tentang keputusan saya untuk bertunang pada malam itu. Apabila mengetahui yang saya akan bertunang, ayah terus menggunakan kuasa vetonya kerana saya telah membelakangkannya.

Apabila dikenangkan semula, sememangnya ayah tidak boleh disalahkan 100%. Kesalahan ini perlu saya tanggung kerana langsung tidak ber­bincang dengannya tentang pertunangan itu. Bukan­lah saya sengaja tidak maklumkan kepadanya, tetapi kerapkali timbul perasaan gugup apabila berhadapan dengannya. Ini kerana ketegasannya mampu melemahkan lutut saya!

Saat itu, pelbagai perasaan dan persoalan timbul. Malu dan marah bercampur baur. Jika hendak dibandingkan berapa besarnya malu saya ketika hendak menyampaikan khabar dukacita kepada abang bakal tunang saya, rasa-rasanya Gunung Tahan pun tidak sebesar malu saya ketika itu. Malu tidak terkata!

Saya mula berfikir apa yang harus dilakukan. Hendak kahwin lari? Setahu saya, bukan semua orang yang kahwin lari itu hidupnya bahagia. Ada yang berkahwin tidak sampai setahun sudah bercerai berai! Bercinta bagai tidak dapat dipisahkan tapi bila berkahwin lain ceritanya.
Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

No comments: