Monday, October 31, 2011

KAHWIN USIA MUDA- BAHAGIA ATAU DERITA?


FRAGMEN 1 - BUKU KAHWIN PADA USIA MUDA

Wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula). - Surah an-Nur: 26
Mereka yang pernah berkahwin tentu mem­punyai cerita tersendiri tentang bagaimana indah­nya memasuki gerbang rumah tangga. Semakin sulit proses untuk mencapai apa yang dicita, semakin indah dan puasnya nikmat dirasa apabila hajat tercapai. Sememangnya ada yang tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Tetapi, tidak kurang juga yang terpaksa menghadapi 1001 kepayahan untuk mencapai apa yang diimpikan. Namun, kepayahan itulah yang menjadi pengalaman indah dan bertukar menjadi manis apabila impian murni ini berjaya dilaksanakan.

Lazimnya, kisah percintaan sepasang kekasih sering dipaparkan di media-media utama dan dijadikan bahan tarikan kepada masyarakat masa kini. Pembaca sendiri pasti sudah biasa menonton sketsa kehidupan di kaca TV mahupun di pawagam tentang kisah percintaan dua sejoli menghadapi pelbagai onak dan duri untuk membina kehidupan bersama.


Pelbagai rintangan yang perlu diharungi sama ada mendapat tentangan hebat daripada keluarga seperti ibu bapa, abang atau adik-beradik yang lain, semuanya digarap menjadi suatu bentuk penceritaan yang menarik dan tragis. Seolah-olah memasuki alam perkahwinan ini merupakan suatu proses peralihan yang amat genting dan kritikal selain sering menjadi buah mulut orang.


Sama seperti pasangan lain, saya sendiri mem­punyai pengalaman yang agak tragis dan genting dalam usaha ‘mendirikan masjid’. Pertama kali saya membuka mulut untuk berkahwin dengan gadis pilihan (kini isteri saya), ialah ketika berusia 20 tahun. Memandangkan gadis tersebut merupakan jiran sekampung dan terkenal dengan kehidupan yang agak ‘menyedihkan’ ketika itu, hati saya terpaut untuk mendekati dan membelanya. Seluruh penduduk kampung mengenali gadis itu kerana status anak yatimnya. Siapa yang tidak mengenali anak Raja Jalil di Larkin Jaya, Johor Bahru 30 tahun yang lalu? Ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

Saya mempunyai alasan tersendiri mengapa saya benar-benar jatuh hati padanya. Mungkin ia tidak logik dek akal, tetapi itulah hakikatnya. Saya menyukainya kerana dia anak yatim piatu. Apabila ayahnya meninggal dunia, dia membesar selama sepuluh tahun bersama ibunya. Tidak lama selepas itu, ibunya pula pulang ke rahmatullah meninggalkan mereka tujuh beradik.


Pada usia 14 tahun dia sudah menyandang gelaran anak yatim piatu. Kakak sulungnya terpaksa berhempas pulas menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah. Abangnya terpaksa berhenti sekolah dan bekerja bagi menampung lima lagi adiknya. Sememangnya gadis yang berjaya mencuri hati saya ini tidak pernah merasai kemewahan semenjak kecil lagi. Sehinggakan apabila saya ingin menyuntingnya jelas terserlah ketabahan dan kecekalan melalui seraut wajah tenangnya itu.


Alam perkahwinan

Benarkah untuk memasuki alam rumah tangga ini merupakan suatu proses yang kritikal dan sering mendapat tentangan? Persoalan ini boleh jadi benar dan boleh jadi tidak, bergantung kepada individu-individu terlibat yang memainkan peranan dan perasaan pada saat genting itu. Ini kerana, sebaik sahaja sepasang mempelai memasuki gerbang per­kahwinan, pelbagai perubahan akan terjadi dalam kehidupan sama ada dari segi peranan, emosi, tanggungjawab dan seumpamanya. Kehidupan keluarga di pihak lelaki mahupun perempuan tentu sekali akan mengalami perubahan. Si ibu akan mula berasa kehilangan anaknya. Si ayah pula akan sedikit demi sedikit melepaskan tanggungannya.

Selepas itu, timbul pula kegusaran di hati mereka tentang kehidupan anak perempuan yang kini sudah terlepas ke tangan jejaka yang digelar menantu. Pelbagai perasaan mula bermain dalam diri sehingga adakalanya, mengganggu emosi semua pihak; apakah bahagia anak perempuannya kelak bersama lelaki yang bergelar suami atau sebaliknya?


Apakah anak lelakinya dilayan dengan sempurna oleh menantu perempuan? Apakah menantunya mampu memberi kebahagiaan kepada anaknya? Jika salah seorang daripada pasangan tersebut gagal menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya, sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi tamparan hebat terhadap kedua ibu bapa yang memelihara anak mereka dengan baik selama berpuluh-puluh tahun lamanya.


Begitulah juga dengan gadis idaman yang saya gilai itu. Walaupun proses untuk menyuntingnya tidak mempunyai tentangan kedua orang tua, namun sedikit sebanyak halangan daripada abang sulungnya tetap ada. Pun begitu, akhirnya si abang dapat menerima saya seadanya.


Kini, timbul pula halangan daripada pihak ibu bapa saya sendiri.
“Ayah, saya nak kahwin dengan anak Raja Jalil tu...” Begitulah lebih kurang ungkapan pertama yang keluar dari mulut saya ketika menyampaikan hasrat hati. Mengangguk pun tidak, menghalang pun tidak. Ayah seolah-olah terperanjat mendengar hasrat saya itu. Kemudian dia hanya tersenyum.

“Sekarang dia tinggal dengan siapa?” Ayah mula menjalankan ‘siasatannya’, apatah lagi ketika itu saya sedang berhadapan dengan seorang ayah merangkap seorang pegawai polis yang terkenal dengan disiplin dan ketegasannya. Akhirnya, saya menceritakan segala-galanya yang saya tahu. Ayah pula hanya tersenyum mendengar.

‘Baik juga anak aku ini, rupa-rupanya...’ mungkin itulah agaknya kata-kata di sebalik senyuman ayah saya ketika itu. Gembira tidak terkata hati saya kerana senyuman itu saya anggap tiada halangan daripadanya.

“Macam mana nak tanggung dia tu nanti?” tanya ayah. Sememangnya saya sudah bersedia dengan soalan-soalan yang akan ditanya.

“Biasiswa ada. Bolehlah tolong dia sikit-sikit.” jawab saya penuh yakin.


“Ingat senang ke bila dah kahwin?” tanya kakak saya suatu hari dahulu ketika ayah meminta pandangannya tentang hasrat saya.

“Sebelum kahwin semua nampak indah macam dalam dunia fantasi, tapi nanti selepas kahwin... baru tahu langit tu tinggi atau rendah. Masa itu, baru tahu pahit getirnya hidup berumah tangga. Sekarang ini semua manis-manis saja,” panjang lebar leterannya pada saya. Waima, ketika itu dia sendiri pun masih belum berumah tangga.

“Kau kan masih belajar lagi. Umur pun muda lagi. Boleh ke nak jaga anak orang?” sampuk ayah pula.

Sebaik sahaja perkataan ‘muda’ diucapkan, saya terus terkedu. Bermacam-macam soalan timbul dalam benak. ‘Aduh! Tak dapatlah nak kahwin kalau macam ini. Masih muda ke aku ni? Tak boleh bahagia ke kalau kahwin muda?’ Pelbagai soalan bermain dalam hati saya.


Namun, pada saya muda atau tua sama saja, yang penting bertanggungjawab. Saya juga berfikiran bahawa berkahwin atau tidak, langsung tiada kena-mengena dengan pelajaran. Tengok sahaja berapa ramai penuntut di universiti yang masih cemerlang walaupun sudah beranak pinak. Mustahil saya yang belum mempunyai keluarga besar tidak mampu meneruskan pelajaran.

Saya tidak pernah menganggap saya masih muda walaupun ketika itu baru berusia 20 tahun. Lagipun berkahwin muda atau berkahwin pada usia yang lewat pun sama sahaja, yang penting perkahwinan dapat menghalalkan perhubungan. Saya percaya, perkahwinan itu tentu akan mengubah kehidupan saya dan isteri ke tahap yang lebih baik dan bukan sebaliknya. Susah atau senang alam perkahwinan itu bergantung kepada orang yang hidup di dalamnya.


Ada juga teman yang memberi sokongan dan menasihati saya, “Kau nak kahwin sekarang atau lewat bergantung pada cara bagaimana kau nak hadapi situasi itu. Mungkin tahun-tahun pertama agak sukar. Tapi, mana-mana rumah tangga pun pasti ada cabarannya. Perkahwinan ini umpama kita belayar di lautan yang bergelora. Insya-ALLAH, bila sudah dapat rima yang sesuai lancarlah pelayaran kita walau hebatnya ombak yang memukul.” Saya amat menghormati pandangannya kerana tiada salah melainkan benar belaka!


Berkahwin ketika saya sedang belajar atau menangguhkannya ketika sudah mendapat pekerjaan, sama sahaja. Apa yang penting, bagaimana untuk menangani semua kemungkinan dan cabaran yang bakal mendatang. Maka, menjadi tugas suami dan isterilah yang mencorakkan sama ada bahtera yang dilayari itu mampu sampai ke destinasi atau tidak.

Setelah menentang arus, akhirnya tercapai juga hasrat untuk menyunting gadis pilihan. Dengan segala kesulitan, saya tabahkan diri kerana pasti setiap usaha akan memperoleh ganjaran setimpal. Segala kepayahan dan kepahitan yang dialami menjadi pengalaman indah dalam mengharungi bahtera kehidupan bersama.

Apatah lagi isteri saya dan keluarganya bukanlah jenis yang demand. Dia bukan ada ibu bapa yang meminta hantaran sehingga RM6000 (itu standard hantaran bagi keluarga yang berada pada zaman itu). Tidak ada sesiapa pun daripada pihak perempuan yang menetapkan berapa hantaran untuk adik perempuannya itu. Seingat saya, gadis kegilaan saya itu sendiri yang menetapkan RM2500 sebagai wang hantaran.


Dugaan? Pastinya ada. Saya percaya sama ada kahwin awal atau lewat, cubaan akan hadir mengiringi hidup kita. Kita sebagai hamba yang beriman sudah tentu akan diuji. Firman ALLAH:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman,” sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya KAMI telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang yang dusta.” - Surah al-Ankabut: 2-3
Apatah lagi kita bukannya manusia sempurna. Melalui ujian dan dugaanlah seseorang itu akan belajar untuk mengendalikan kehidupan agar lebih sempuna dan teratur. Yang penting, asas perkahwinan perlu dipelajari. Tanggungjawab terhadap keluarga sama ada suami terhadap isteri mahupun sebaliknya mesti dipenuhi. Sebaik sahaja perhubungan sebagai suami isteri termaktub dan sah, maka kenikmatan berumah tangga akan muncul. Hanya mereka yang pernah melalui dan merasainya sahaja mengetahui betapa bahagianya saat itu.

Ingin miliki buku ini sila hubungI: (RM18.00 SAHAJA)
Zulia Zakaria - 03-51013649 untuk jualan di sekolah atau anjuran persatuan Hubungi: Rojana Md Nor - 019-2260713 untuk pertanyaan mengenai Karangkraf Mall E-mel untuk menjadi pengedar buku: promogrupbuku@ka­rangkraf.com mailto:promogrupbuku@karangkraf.com Hubungi Eksekutif pengedaran ini sekiranya tidak terdapat buku-buku kami di kedai: Pantai Timur/ Central: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415) Utara/ Central: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411) Selatan/ Central: Azam (012-9897565) & Ibrahim (019-2766876) Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Boarders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839) Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: 03-5101 3683/84 (Liza).

1 comment:

ravivarma said...

Good blog! You have described in a nice way.
Thanks for sharing this information.
3d props