Tuesday, February 22, 2011

FORUM BEBAS DARI BELENGGU BERJAYA MENDAPAT SAMBUTAN

Buat julung kalinya, Grup Buku Karangkraf telah diundang menjalinkan usaha sama dengan team ILuvIslam.com dan INSPIRE Club (UIAM), menganjurkan program FEWWIT (Fun Exciting Week With IluvIslam Team).
Program yang berlangsung pada 20. 2. 2011, jam 9.00 pagi-12.00 tengah hari ini bertempat di auditorium utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Alhamdulillah…. program yang disertai oleh seramai 500 peserta ini mendapat sanbutan memberangsangkan. Forum ini menampilkan tiga orang panelis, iaitu Dr. Azhar Sarip, penulis buku Bebas Dari Belenggu yang juga seorang motivator, Ustaz Saharom Abd. Aziz, editor Iluvislam terbitan Kumpulan Karangkraf dan Ustaz Hamid Jusoh, pensyarah Kuliah Undang-undang UIAM. Pengisian utama forum ini adalah membincangkan tentang betapa pentingnya kita mendekatkan diri pada-NYA agar mendapat ilham untuk keluar dari apa jua belenggu keresahan. Antara persoalan yang disentuh ialah cara kita berterima kasih kepada ALLAH, cara menangani masalah, manisnya memberi maaf, bagaimana untuk mencintai ALLAH dan kaedah meraih ketenangan jiwa. Menurut Dr. Azhar, “Lawanlah dunia dengan akhirat. Maksudnya, andai kita diuji masalah, kembalilah pada ALLAH S.W.T kerana DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ingatlah... masalah hanya persepsi dan kelihatan negatif kerana ia tidak selaras dengan keinginan kita. Renungkanlah ke dalam diri kerana di situ ada lubuk yang dipanggil kebijaksanaan. Tenangkanlah hati kerana jiwa akan lebih mantap hasil keyakinan yang jitu kepada-NYA. Ayuh! Bebaskan dirimu dari belenggu!”

Ya, itulah saranan motivator yang murah dengan senyuman dan kaya dengan ilmu ini.
Apa yang lebih menarik lagi, masa tiga jam berlalu dengan begitu pantas sekali. Apa tidaknya, setiap soalan yang dilontarkan oleh moderator berjaya dijawab dengan begitu bernas oleh setiap ahli panel. Isu-isu yang dibincangkan berkait rapat dengan kehidupan seharian, hubungan dengan ALLAH juga sesama insan. Peserta program yang majoritinya adalah mahasiswa/i tampak begitu teruja dengan penyampaian berkesan yang disampaikan oleh ketiga-tiga ahli panel. Alhamdulillah… program yang diakhiri dengan sesi soal jawab ini ternyata memberi impak positif dan berjaya memenuhi matlamat program. Apa yang menariknya, forum ini juga berjaya menarik minat peserta untuk memiliki buku Bebas Dari Belenggu setelah berakhirnya majlis tersebut. Harapan kami agar perkongsian ilmu ini dapat dimanfaatkan demi kebaikan bersama. Terima kasih daun keladi buat tenaga muda pihak Iluvislam. com (Imran Koyube, Wan Mohd Firdaus, Dzulhafidz Yahaya & the team) yang sudi mengundang kami dan menjadikan program forum ini sebagai aktiviti bulanan. Insya-ALLAH, jangan lupa kosongkan kalendar anda untuk bersama forum FEWWIT pada 20 Mac 2011 di UKM Bangi dengan topik `Di Mana DIA di Hatiku’.

No comments: