Thursday, August 9, 2012

Ziarah Mahabbah Ramadan Merapatkan hubungan sesama ummat.

Team Karya Bestari, Yayasan Nur Karangkraf, Majalah i, Sham Kamikaze dan Volunteers KL Akan berada di Kampung Orang Asli Landap, Sungai Siput Perak SABTU ini.


“Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadan adalah melalui SEDEKAH."

Bagi yang BERHAJAT untuk MENDERMA, anda boleh berhubung dengan AJK Ziarah Mahabbah Ramadan di Landap. SARINA (0142254025). ROZALINA (0133946471). SHIKIN (0126624169). IRSYAD (0147258038). AZLI (0122824956) ^_^

Program ini akan berlangsung pada 11.8.2012 (Sabtu) ini bermula dari jam 7.30 pagi akan bertolak ke sana. Pengalaman ini tidak dilepaskan begitu sahaja. Tambahan di bulan seribu rahmat ini merupakan bulan yang paling mulia dan ditunggu-tunggu umat Islam melakukan ibadah. TEAM KB turut serta mengejar pahala ibadah dengan menziarah Kampung Orang Asli Landap , Awal, Sungai Siput, Perak. 

Tidak sabar rasanya ingin ke sana. Antara aktiviti yang diunjurkan adalah seperti bersuaikenal dengan penduduk kampung. Berbuka puasa bersama, solat berjemaah magrib dan jamuan makan diadakan di sebelah malam. Yang menariknya Sham Kamikaze turut serta dan memberikan tazirah ringkas kepada mereka. Aktiviti dijalankan dengan memberikan saguhati kepada setiap keluarga.

Penulis-penulis Karya Bestari juga tidak melepaskan peluang ini. Memang satu pengalaman yang indah dan merupakan satu kegembiraan kepada kami kerana mereka sudi meluangkan masa, meninggalkan keluarga seketika dan sanggup demi agama. Tahniah dari kami dan Team KB mendoakan semoga kalian semua mendapat rahmat dan diberkati ALLAH.
Antara penulis Karya Bestari Sdn Bhd yang akan turut serta ialah En. Anwar Nursi, En Nazir Muhammad Nazir, Ustaz Mohd Nor Mamat, Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus dan DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan.

Tuesday, August 7, 2012

TOP 10 BESTSELLERS!


ALHAMDULILLAH... Berkat izin-NYA. Kami akui jumlah ini tidaklah setinggi mana tetapi buat Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf penerimaan baik ini adalah sebagai motivasi diri... Terima kasih setulus hati di atas segala sokongan. Moga segala usaha kita diberkati, diredhai dan dipermudahkan-NYA.. Segala yang baik datang daripada ALLAH SWT dan yang buruk adalah daripada kelemahan kami sendiri.


“Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu
untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah,
menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,
menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan,
menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu
dan menyediakan waktu untuk beribadat kerana beribadat itu 
adalah ibu dari segala ketenangan jiwa...”

Monday, August 6, 2012

PROGRAM IMARAH MASJID: BERSAMA PENULIS KARYA BESTARI.

Program yang bakal berlangsung pada 1 September 2012 ini akan bermula dari jam 10 pagi sehingga 11 malam dan bertempat di Masjid As-Salam Puchong Perdana, Puchong. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda. Antaranya permainan bahasa Al-Quran, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, tazkirah, demo memasak "bila ustaz turun dapur," forum bicara anak muda serta  pelancaran buku terbaru Dr. Robiah K. Hamzah bertajuk "PUJUKLAH RASA". Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti kami, mari luangkan masa dengan menghadirkan diri pada hari tersebut. Rugi kalau tak datang. Jomlah...
Dr. Ridzwan Bakar akan hadir untuk memberi tazkirah dan pelancaran Kelab Haji Muda. Best ni...
"Ustaz turun dapur"? Mesti kecohkan? Apa agaknya yang Ustaz Mohd Yaakub mahu kongsikan. Adakah rahsia masakan yang membolehkan hubungan seisi keluarga menjadi intim? Atau... memasak sambil berzikir? Hmmm... Kita tunggu resipi hebat ustaz ini bersama Dr. Mohd Nor Mamat.
Permainan bahasa Al-Quran oleh penulis buku ini..... 
Sememangnya motivator terkenal ini tidak lokek dengan ilmu. Sekali bersuara, sudah pasti semangat keibuan jelas terserlah hingga membuatkan kita terpujuk rasa... Mana hati tidak terawat, rawatlah dengan mendengar tazkirah daripada Dr. Robiah K. Hamzah ini. Ayuh jangan ketinggalan. Luangkan masa lepak, masa tidur kita, masa ngantuk kita dengan mendengar curahan ilmu beliau. Moga kita menjadi insan yang dicalonkan ALLAH SWT untuk sentiasa memperbaiki diri ke arah kebaikan...
Sajian minda dan perkongsian ilmu daripada penulis buku Takluk Hati Pasangan ini. Nak tahu apa aktiviti yang akan dikendalikan oleh beliau? Mari beramai-ramai ke Program Imarah Masjid ini.

Jangan lupa LIKE FB KARYA BESTARI di http://www.facebook.com/#!/KaryaBestari supaya anda mendapat info terkini buku terbaru atau aktiviti kami....

BUKU BAKAL TERBIT: PERANGI SYIRIK. Sucikan akidah mantapkan syahadah.


Tajuk : PERANGI SYIRIK
Penulis : Dr. Abdullah Yasin
Harga: RM21.00 / RM24.00
ISBN :  978-967-86-0397-3
MS: 428
 

---------------------------------------------------------------------------------

ALLAH bertanya kepada roh, “Bukankah AKU TUHAN kamu?”
Roh menjawab, “Bahkan. Kami bersaksi.”

Inilah perjanjian yang terpateri kukuh antara DIA dengan kita, hamba-NYA. Belum pun dilahirkan, roh kita sudah pun mengakui bahawa ALLAHlah satu-satunya TUHAN yang berhak disembah, tiada sekutu bagi-NYA.

Namun, kita kadangkala lupa pada ikrar suci ini. Lupa pada asal usul kita. Lupa yang kita pasti akan kembali pada-NYA. Lalu bagaimana? Bermuhasabahlah setiap perbuatan kita agar segalanya teta
p selari dengan perjanjian.

Kufur dan syirik pada keesaan-NYA tidak diterima oleh DIA. Mengapa? Kerana kita sudah berjanji, mana mungkin kita ingkari? Kita ini manusia, hamba kerdil ciptaan-NYA. Apa layak kita untuk menentang DIA Yang Maha Perkasa?

Insaflah…. Kembalilah pada-NYA. Andai sudah terlanjur menduakan-NYA, bertaubatlah. Mohon ampunan sesungguhnya pada DIA. Benar, rahmat-NYA mengatasi murka-NYA. Moga ada kemaafan pada khilaf yang dilakukan.
 
 
 ANTARA KANDUNGAN MENARIK
·     Islam Agama Haq.
·     Tauhid dan Iman.
·     Kufur dan Syirik Pada-NYA.
·     Menjadikan Kuburan Sebagai Masjid.
·     Bertilik Nasib dan Mencari Keberkatan.
·     Tangkal dan Jampi Dalam Islam.
·     Mensucikan Manusia. Bolehkah?
·     Syafaat Tuan Guru. Wujudkah?
·     ‘ALLAH Bersama Makhluk’. Benarkah?
·     Kaedah Memahami Nama-nama dan Sifat-sifat  ALLAH

Sunday, August 5, 2012

BAKAL TERBIT: PUJUKLAH RASA


Tajuk: Pujuklah Rasa
Penulis: Dr. Robiah K. Hamzah
Harga: RM19.90
ISBN: 978-967-86-0403-1
Halaman: 368

------------------------------------------------

"Yakinlah yang kita diciptakan untuk meraih kebahagiaan kerana rasa bahagia itu dapat menghantar kita ke syurga milik-NYA. Burulah bahagia kerana sememangnya ia milik kita semua..."


Hayatilah keindahan didikan jiwa ALLAH SWT ini berasaskan keindahan beragama. Sesungguhnya DIA tidak pernah mencabut sesuatu daripada kita kecuali menggantikannya dengan yang lebih baik andai kita sabar dan redha atas kehilangan yang ditentukan. Ini bermakna kita perlu melihat dengan penuh yakin melalui mata hati bahawa di sebalik kehilangan dan musibah, terdapat ganti serta balasan teragung daripada-NYA... itulah syurga abadi.

Jika demikianlah sifat dan sikap yang dimiliki, maka layaklah kita masuk ke syurga sebagai imbalan setelah berjihad, bersabar, berteguh menghadapi ujian dan memurnikan segalanya untuk DIA, merasai pertolongan-NYA dan melupakan semuanya kecuali DIA. Mampukah kita memiliki perwatakan sehebat ini? Cubalah. Yakinlah pertolongan-NYA itu amat dekat.

Antara Pengisian Menarik:
• Rasa Cinta Teragung
• Bila Imannya Kosong
• Membangun Rasa Ikhlas
• Rasakan Doamu Didengar
• Siapa yang Kita Ingat Lebih
• Nilailah Ketulusan Cintamu
• Rasa Nikmat Ditegur ALLAH
• Sudah Benarkah Iman Kita?
• Meninjau Akhirat Dari Dekat
• Menjenguk Ngerinya Neraka

BAKAL TERBIT: TIKA BIDADARI BERBISIK


Penulis: Siti Farrah Shahwir & Noraini Ismail
Harga: RM17.00
Halaman: 296
ISBN: 978-967-86-0402-4

----------------------------------------

Usah menjadi Khadijah andai tidak sesempurnanya. Usah menjadi Rabiatul Adawiyah andai tidak setia dalam sengsara. Usah menjadi sekuat Sarah andai tidak seteguh dirinya. Usah menjadi Zulaikha andai kasih tidak setulus hatinya. Jadilah diri sendiri kerana kitalah wanita terhebat ciptaan ILAHI!

Andai di syurga ada bidadari sebagai penyinar, maka di dunia ada perhiasan terbaik bernama wanita solehah. Sehingga ada yang mengatakan andai mereka ini tidak wujud, maka sepilah dunia. Jika itu hakikatnya, tidak berbanggakah kita dicipta sebagai wanita? Ya… daripada kitalah lahirnya insan bijaksana dan daripada kita juga wujud Rasul pemimpin dunia! Maka, benarlah sabda Nabi, wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga...

Fitrahnya… kita sebagai wanita tidak akan sepi dengan cubaan. Semakin menjauh semakin mendekat pula datangnya. Andai demikian, bangunlah segera. Carilah punca dan berusahalah memurnikannya sebelum ia membakar diri. Ingatlah… wanita hebat ialah apabila seluruh hatinya diserahkan kepada Pencipta, bukan dengan meratapi takdir yang terpeta. Teruslah menjadi insan terhebat yang mampu menggoncang dunia, menggenggam bara walau diuji bertubi-tubi.

TIKA BIDADARI BERBISIK, sebuah naskhah yang dipersembahkan sebagai pengukuh keyakinan agar hati tidak mati... agar kita terus berusaha memperkukuh diri sebagai bidadari dunia ini. Teruskanlah hidup bernafaskan kalimah syahadah walau badai menghempas, menggegar sanubari. Sememangnya bukan mudah, namun akal yang diberi haruslah bijak dikemudi...


Antara kandungan menarik:
- Single Atau Berkahwin, Kita Sama Sahaja
- Pesanan Buat Seorang Suri dan Single
- Muhasabah Diri Jalan Meraih Cinta Abadi
- Jadilah Bidadari Dunia Paling Bahagia
- Bagaimana Cantik Seorang Wanita?
- Kisah Empat Air Mata Bidadari
- Jawapan ALLAH S.W.T Di Setiap Persoalan Kita
- Pesanan Rasulullah S.A.W Kepada Wanita
- Miss Single yang Bertuah
- Utusan Buat Seorang Suri

Anda boleh memiliki naskhah ini dengan melayari http://mall.karangkraf.com/index.asp

Wednesday, August 1, 2012

KUASAI TAJWID CARA MUDAH oleh Ustazah Niraida

KUASAI ILMU TAJWID CARA MUDAH.. mendapat liputan akhbar Sinar Harian. Pasti ia merupakan sebuah buku terhebat yang wajib anda miliki...

ANDA MASIH BARU DENGAN KAMI?


Thursday, July 5, 2012

Friday, June 29, 2012

Aktiviti Grup Buku Karangkraf sepanjang Pesta Buku Selangor 2012


Assalamualaikum. Kami di Grup Buku Karangkraf menyediakan aktiviti temu mesra bersama penulis dengan para peminat semua.  jadi jangan ketinggalan untuk bertemu penulis-penulis kami. Mungkin ada sesuatu yang anda mahu kongsikan bersama...

Thursday, June 28, 2012

PAKEJ JIMAT sempena PESTA BUKU SELANGOR 2012


Dapatkan produk KARYA BESTARI dengan HARGA LEBIH MURAH melalui pembelian secara pakej sempena PESTA BUKU SELANGOR 2012 ini! Berlangsung dari 29 JUN hingga 9 JULAI  di SACC Mall, Shah Alam. Datang beramai-ramai ke sana..........

PESTA BUKU SELANGOR 2012 BERMULA!!


Pesta Buku Selangor akan bermula ESOK!!! =)

Jangan lupa berkunjung ke booth Kumpulan Media Karangkraf ya! Ada pelbagai pilihan buku, novel dan majalah dengan diskaun istimewa! Anda juga berpeluang menangi iPad2! (tertakluk pada terma & syarat)

Tarikh: 29 Jun - 9 Julai 2012
Masa: 10 pagi - 9 malam (Isnin - Jumaat) / 10 pagi - 10.30 malam (Sabtu & Ahad)
Lokasi: Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Seksyen 14 Shah Alam

Mari sama-sama kita meriahkan pesta ilmu ini!....

Klik http://www.alaf21.com.my/berita/?b=201206285353457826 untuk paparan poster yang lebih jelas.

Wednesday, May 16, 2012

INGIN MENJADI PENULIS KAMI?

Assalamualaikum... Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf mengundang anda menjadi PENULIS BUKU ISLAMIK untuk berkongsi ilmu di samping berdakwah bersama kami. Jika anda:

1- Mahu menjadi penulis hebat dan dikenali seperti Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Dr. Robiah K. Hamzah, Ust. Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan ramai lagi?

2- Ada bakat @ sudah memiliki manuskrip genre: motivasi Islamik, fikah, akidah, muamalat, sejarah dan tamadun Islam, pendidikan, isu semasa atau soal jawab hukum?

3- Tambah pendapatan melalui duit royalti?

4- Diundang bertemu peminat ketika PBAKL, Pesta Buku, Karnival Karangkraf atau pameran berkaitan?

Jika YA, kami di Karya Bestari amat mengalu-alukan manuskrip anda. Sila luangkan masa dan hubungi mana-mana editor kami:

Wan Rohana (019-2557380)
wan.rohana@karangkraf.com 

Rosmawati Ahmad (012-3964950)
rozza.ahmad@karangkraf.com

Norhayati Mat Kassem (013-9059027)
norhayati.kassem@karangkraf.com

Amal Hayati Zakaria (013-3712155)
amal.hayati@karangkraf.com

ATAU hantar sahaja manuskrip anda ke alamat ini;

Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf
Kumpulan Media Karangkraf
Lot 2, Jalan Sepana 15/3
Off Persiaran Selangor
40300 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan
Tel : 03-51013836
Fax : 03-51013685

 ^ MENGILMUKAN AMALAN MASYARAKAT ^

Sunday, April 22, 2012

AKAN MENEMUI ANDA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA, PWTC KUALA LUMPUR 2012.


Yang ditunggu pasti akan tiba. Semestinya kami tidak sabar ingin bersama peminat-peminat buku terbitan Karya Bestari. Kali ini kami masih lagi di dalam Dewan Tun Dr. Ismail di PWTC. Bermula 27 April sehingga 6 Mei 2012 kami berkampung di sana. Marilah menjenguk buku buku baru dan juga terbitan terkini dan lama. Diskaun menarik menanti anda juga pelbagai hadiah lain dan berpeluang untuk mendapatkan hadiah istimewa dari terbitan Grup buku Karangkraf. Banyak buku yang menjadi pilihan, terutama terbitan terbaru seperti TUHAN SEDANG MENGUJI KITA, Penawar Duka Pengubat Sengsara, Anakku Hidup Biar Bererti, bongkar kekuatan diri,  yang bakal meledakkan nama Karya Bestari seterusnya peminat bagi Ustaz Kazim Elias. Garapan cerita dan juga ilmu yang disampaikan santai dan kelainan. Wajib dibeli! khas untuk diri sendiri atau sebagai hadiah  ilmu untuk keluarga tersayang. Buku ini (TUHAN SEDANG MENGUJI KITA) cuma berharga RM28.00 sahaja dengan edisi KULIT TEBAL. Jumpa kami di sana...

Dijangkakan akan menjadi hit. Bersandarkan kepada kemantapan cara beliau menyampaikan hujah dan pendekatan santai ini membuatkan sesiapa yang membaca akan terus minat dengan penulisannya. Ustaz Kazim Elias namanya tidak asing lagi malah terkenal di kota Singapura. Bagi mereka yang ingin memiliki buku ini dan berjumpa secara live dengan Ustaz boleh datang pada 30 April 2012. Edisi kulit keras selepas diskaun berharga RM23.80. Hanya yang terbaik dari Karya Bestari.
 Buku terbaru mantan Mufti Negeri Perlis ini juga tidak kurang hebatnya malah pendekatan coretan nurani yang santai ini membuatkan buku ini satu kelainan dari hasil penulisan sebelumnya. Duka dan gundah bukan penghalang untuk terus hidup malah mesej dan ilmu yang disampaikan membuatkan kita benar-benar kuat dengan adanya DIA... Bakal Hit juga... Semesti yang terbaik dari Karya Bestari.
 
 
 Anwar Nursi penulis terbaru kami. Penulisannya juga santai tidaklah bosan untuk kita membacanya. Sesuai dimiliki oleh semua peringkat umur. Sama ada pelajar, mahasiswa ataupun orang dewasa. Boleh dijadikan panduan untuk menjadi anak soleh dan solehah. Insya-ALLAH. Setiap lembarannya membuatkan kita teruja untuk membaca. Fakta dan nasihat yang menarik serta kata hikmah yang boleh dijadikan panduan. Meletop lah jugak buku ni... Boleh dijadikan hadiah untuk anak..
 
Kaedah yang berkonsepkan peta minda, carta dan gambarajah yang memudahkan masyarakat umum mempelajari ilmu tajwid secara berkesan. Mempunyai ilustrasi dan gambarajah sebutan huruf yang mudah. Pendek kata bagi mereka yang susah sangat mengingat tentang tajwid, buku ini sesuai sangat dimiliki. Mudah, ringkas dan padat. Buku ini confirm meletop harus miliki.... :)
 
 
Bongkar kekuatan diri. Siapa yang tidak mahu bangunkan diri, kuatkan motivasi dan menjadi orang yang disegani dan hebat. Bersandarkan ar-Rahman adalah kekuatan buku ini. Penulisan yang baik dan penuh dengan motivasi. Demi sebuah penghijrahan, runtuhkan kelemahan dan pasakkan keyakinan. Yakin boleh dan berusaha kerana ALLAH jalan terbaik untuk berjaya. Siti Marziah Zakaria merupakan pakar motivasi dan ini adalah buku kedua beliau selepas Raihlah Bahagia.
 
 

Friday, April 13, 2012

PENULIS TURUN PADANG!!!!

Salam kepada semua. Pihak KB amat berbesar hati untuk mengundang anda semua menghadiri majlis ilmu bersempena PROGRAM CINTA MASJID. Ia akan diadakan pada hari SABTU, 14 April 2012, antara 9 PAGI hingga 6 PETANG, bertempat di MASJID AL-AZIM, PANDAN INDAH, AMPANG. Penulis kami, EN. MOHD YAAKUB MOHD YUNUS akan berada di sana untuk berkongsi ilmu dengan anda. Anda juga boleh mendapatkan produk-produk KB dan Kumpulan Media Karangkraf di sana dengan diskaun hebat. Jadi, jangan lupa yer....

Monday, April 9, 2012

BUKU BAKAL TERBIT!

Syukur alhamdulillah... buku bakal terbit yang bakal berada di tangan peminat Karya Bestari. Antaranya BONGKAR KEKUATAN DIRI dari Siti Marziah Zakaria, KUASAI ILMU TAJWID CARA MUDAH oleh Ustazah Niraida Md. Noor dan juga PENAWAR DUKA PENGUBAT SENGSARA oleh Prof. madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin... Kali ini beliau menampilkan gaya penulisan yang berlainan melalui coretan rohani dan puisi nurani... lebih santai dan ringan... Jom miliki buku ini yang bakal berada di pasaran di PESTA BUKU ANTRABANGSA PWTC yang akan berlangsung pada 27 April hingga 6 MEI 2012.


Wednesday, March 28, 2012

LUNASKAN TANGGUNGJAWAB KITA

Kita sering mendengar orang menuntut hak mereka dijaga atau terjamin dalam apa-apa kondisi. Namun amat jarang kita temui orang menuntut tugas dan tanggungjawab agar mereka dapat melaksanakannya. Begitu juga dalam dunia kerjaya, tidak ramai yang menuntut tugas untuk dilaksanakan berdasarkan pada bidang tugas yang ditentukan berbanding menuntut hak yang tidak terlaksana oleh majikan.
Apakah yang dimaksudkan dengan hak? Hak ialah sesuatu yang seharusnya menjadi milik kita. Hak adalah sesuatu yang kita kuasai atau miliki, apabila orang lain melaksanakan tugas mereka, bermakna mereka memberikan hak itu kepada kita. Andai tidak terjadi, hak kita mungkin akan dirampas, diambil oleh orang lain ataupun diceroboh. Hak kita sebagai isteri akan dipenuhi apabila suami melaksanakan tugasnya terhadap kita.
Apakah yang dimaksudkan dengan tugas? Tugas ialah peranan dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kita sama ada menerusi perlantikan ataupun tugas semula jadi. Ini amat berkait rapat dengan konsep khilafah di mana ALLAH telah menciptakan manusia dengan peranan tertentu se­bagai wakil TUHAN menguruskan alam. Apabila kita melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, secara tidak langsung kita telah memberikan hak orang lain sewajarnya. Apabila kita sebagai suami melaksanakan segala tugas kita terhadap isteri, sudah pasti isteri tidak perlu menuntut hak-haknya daripada kita.
Kita sering didedahkan dengan pelbagai tanggungjawab suami dan isteri. Seseorang yang hendak mendirikan rumah tangga hendaklah menyedari bahawa bukan sahaja bertambah bilangan ahli keluarga, tetapi juga tugas dan tanggungjawab yang menanti. Membina keluarga bermakna ber­tambahnya tugas terhadap isteri dan anak-anak selain tugas terhadap diri sendiri yang tidak pernah berkurangan.
Adakalanya kita menyebut hak-hak suami sebagai tugas-tugas isteri, begitu juga hak-hak isteri adakala disebut sebagai tugas-tugas suami.
Antara tugas suami isteri yang saya petik dari be­berapa sumber rujukan autoritatif, antaranya suami perlu bertindak sebagai ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami ber­kewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup serta menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarga.
Di samping itu, suami wajib menyediakan kediaman, pakaian, pendidikan, kesihatan dan makan minum keluarga. Suami wajib mengajar anak isteri dengan hukum-hukum agama secukupnya, sama ada mengajar sendiri ataupun membiayai me­reka belajar. Dalam hal ini suami yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada si isteri. Isteri yang beragama itu pasti dapat bekerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan sebagaimana yang dituntut syariah.
Suami hendaklah mentadbir rumah tangga berdasarkan rahmah (kasihan belas), berakhlak dan memberi teladan yang baik. Si suami juga bertanggungjawab di hadapan ALLAH S.W.T terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumah tangga adalah penting. Rasulullah s.a.w menyifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya.
Suami hendaklah mengasuh isteri dengan sebaiknya. Rasulullah s.a.w menyifatkan kaum wanita sebagai amanah ALLAH S.W.T. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Rasulullah s.a.w berpesan agar lelaki sentiasa bersikap baik terhadap wanita selain sentiasa berkelakuan baik. Sesungguhnya, tanggungjawab suami adalah penting dalam membina keluarga.
Oleh kerana itu, tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumah tangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Orang yang bodoh dan tidak mampu menguruskan diri serta hartanya juga tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya. Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah juga tidak digalakkan berkahwin. Demikian juga orang yang tidak mempunyai keinginan dan hendak menumpukan perhatian kepada ibadat sahaja juga tidak digalakkan berkahwin. Ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mempunyai keinginan yang mampu menyediakan makan dan nafkah.
Kita dapat melihat dengan jelas bahawa per­kahwinan itu digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tang­gungjawab dan me­nerima tugas tambahan terhadap pasangannya. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada isteri, anak-anak dan keluarga adalah perkara yang wajib.
Menurut Ustazah Zawiah Hassan (2009), antara hak-hak isteri ialah mendapat nafkah zahir dan batin secukupnya, menerima pergaulan dan layanan yang baik, mendapat bimbingan yang sempurna, hak mendapat bantuan pembantu rumah, hak keselamatan diri dan kehormatan serta hak keadilan giliran andai ditakdirkan hidup bermadu.
Hak-hak ini seharusnya diberikan kepada isteri oleh suami. Ini dibincangkan secara bersama dengan perbahasan tugas suami, di mana dalam situasi hak isteri terbatal, ia juga sekali gus membatalkan tugas suami. Umpamanya, dalam situasi isteri nusyuz, isteri melakukan maksiat, isteri masih kecil dan belum disetubuhi, isteri dipenjara, isteri berpindah rumah tanpa izin, isteri bekerja tanpa kebenaran suami atau isteri tidak mempedulikan larangan suami. Menurut beliau, ini adalah di antara penyebab kepada terbatalnya hak-hak isteri sekali gus membatalkan tanggungjawab seorang suami.
Manakala tanggungjawab seorang isteri pula, hendaklah sentiasa menjadi pembantu suami dan menyokong urusan kerja-kerja suami dalam mencari nafkah keluarga. Isteri juga mestilah bergaul dengan suami secara baik. Menurut ulama mazhab Shafie, wajib bagi isteri melayan suaminya dengan baik.
Tugas isteri juga termasuklah mengendalikan kerja-kerja rumah. Meskipun jelas, tugas menyediakan keperluan asasi seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, pakaian dan keselamatan adalah tanggungjawab hakiki suami tetapi tugas menyiapkan makanan, mengemas rumah dan mencuci pakaian misalnya adalah tanggungjawab isteri. Menurut mafhum satu hadis, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali meng­urus kerja-kerja di luar rumah.
Tugas isteri juga mestilah sentiasa berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di samping si isteri. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar prihatin untuk melaksanakannya sebagaimana yang diharapkan oleh suami.
Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumah­ tangga. Tugas isteri yang menjadi penyeri hidup suami adalah seorang wanita yang manja, sentiasa berdampingan dengan suami dalam keadaan apa sekalipun. Ibn Al Aswad Ad Dualy berkata kepada isterinya:
“Apabila kamu melihat aku marah, tenangkan­lah aku. Apa­bila aku melihat kamu marah, aku pula menenang­kan kamu. Jika tidak janganlah kita ber­sama-sama.“
Isteri hendaklah taat kepada suami. Pada se­suatu tindakan, jangan sekali-kali membelakang­kan suami kerana dia adalah ketua rumah tangga. Isteri yang kecewa dengan suami, lalu minta nasihat daripada lelaki lain akan lebih mengusutkan keadaan. Perlakuan itu serupalah seperti memperlekehkan suami atau tidak mempercayainya.
Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin daripada suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar. Jika kerja itu untuk ALLAH dan RasuI-NYA, isteri mestilah menyokong, memberi galakan dan semangat serta menasihatinya agar tidak berputus asa.
Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatan dianggap oleh Rasulullah s.a.w sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.
Manakala hak-hak suami pula menurut Ustazah Zawiah Hassan (2009), dibincangkan secara sebaliknya, iaitu hak mendapat ketaatan serta layanan yang baik dan layanan keperluan batin secukupnya.
Selain itu, tugas isteri seperti melakukan kerja rumah, memelihara dan mendidik anak-anak, memelihara kehormatan suami, menjaga rumah daripada dimasuki orang lain tanpa izin suami serta menutup aurat dan tinggal di dalam rumah pula menjadi hak-hak yang perlu suami perolehi daripada isterinya.
Di samping itu, terdapat juga perbincangan tentang hak-hak bersama. Antaranya, saling mencintai, setia, hormat-meng­hormati, saling menghargai, saling memahami, tole­ransi, percaya, tidak curiga, bantu membantu, mendidik anak-anak serta mengawal keselamatan keluarga.
Modul kursus bersepadu pra perkahwinan Islam anjuran JAKIM menggariskan tugas-tugas suami. Antaranya, memberi nafkah iaitu perbelanjaan keluarga, makan minum, pakaian, tempat tinggal serta keselamatan dan perlindungan. Selain itu, tanggungjawab suami adalah memberi mas kahwin, memberi layanan yang baik dan saling menghormati serta membekalkan didikan dunia dan akhirat.
Sementara tugas isteri pula ialah mentaati suami, memberi layanan yang baik dan menghormati suami. Di samping itu, tugas bersama pula antara­nya, berkasih sayang, cemburu, amanah, per­gaulan yang baik, hubungan kelamin, menghormati per­saudaraan keluarga, memahami masalah masing-masing, memiliki ketrampilan yang baik, memelihara harta bersama dan bekerjasama.
Inilah di antara tanggungjawab dan hak antara suami isteri. Apabila setiap pihak menunaikan tugas masing-masing, akan berkembanglah suasana dipenuhi mahabbah, mawaddah, rahmah atau kasih sayang. Batas-batas dan tugas suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup dalam suasana ibadat. Dengan mengamalkan prinsip agama, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.
Secara kritisnya, saya melihat hampir semua perbincangan tugas dan hak suami isteri dibahaskan dalam bentuk pan­duan yang abstrak dan tidak menjurus. Ini menyukarkan pasangan suami isteri untuk merangka strategi tindakan yang tepat. Ia adalah perkongsian dan pengagihan bersama berdasarkan kesesuaian fitrah.
Perlaksanaan tugas mengikut fitrah perlu dikenalpasti dan perlaksanaannya diketuai sama ada oleh suami atau isteri dengan dibantu oleh pasangannya jika perlu. Umpamanya, saling menghargai dikatakan tugas suami dan isteri. Tetapi cara menghargai suami berbeza dengan menghargai isteri. Suami yang tidak mengkritik kerja isteri biasanya bermaksud penghargaan tetapi makna penghargaan bagi isteri pula ialah pujian atau perlu dijelmakan dalam bentuk material mahupun fizikal.
Seeloknya, terma tugas dan hak dibeza­kan kefahamannya oleh suami dan isteri mengikut keperluan fitrah masing-masing untuk lebih mudah dihayati  bersama secara agihan, bukannya berebut-rebut melaksanakan duti yang sama ataupun berebut untuk menyalahkan satu sama lain.
Dengan mengambil contoh tugas suami isteri dalam modul kursus pra perkahwinan kebangsaan, kita dapat fahami bahawa tugas suami adalah merupakan hak-hak isteri, begitu juga sebaliknya. Namun pada masa yang sama, sering terjadi kes isteri yang menuntut haknya, dengan alasan suami tidak melaksanakannya sementara ramai suami yang menganggap isteri nusyuz kerana tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap mereka. Beberapa kes yang sering terjadi adalah berpunca daripada salah faham, salah tafsiran dan salah kefahaman, berdasarkan ego kecerdasan masing-masing dan bukannya perlanggaran hak sesiapa.
Terdapat juga kes seperti suami memukul isteri ataupun isteri lari meninggalkan rumah tanpa kebenaran juga bermula daripada salah faham tindakan isteri yang disangkakan nusyuz, ataupun suami yang disangka tidak lagi menyayanginya. Dalam banyak tinjauan (maklum balas daripada pasangan yang telah bercerai), hampir semua suami mengakui terlalu sayangkan isteri, begitu juga hampir semua isteri tidak pernah terlintas untuk menderhakai dan meninggalkan suami.
Apapun panduan yang kita perolehi tentang hak dan tugas suami isteri, langkah pertama adalah memahami fitrah diri dan pasangan kita, kenal pasti dan agihkan tugas sesuai dengan keperluan fitrah pasangan dan akhirnya laksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa perlu menghabiskan banyak masa berebut menuntut hak.
Sematkanlah dalam minda bahawa ganjaran pahala daripda-NYA menanti buat mereka yang melakasanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Percayalah... kita tidak akan rugi walaupun tidak dihargai atau pasangan kita tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kita.
Mari kita renungkan beberapa contoh realiti yang saya temui, barangkali sedikit sebanyak boleh menjadi panduan kita bersama.
Seorang isteri keluar meninggalkan rumah dan meng­hilangkan diri, kemudiannya dijumpai oleh suami tinggal bersama rakannya. Suami yang sedar isteri­nya barangkali marah atau terasa hati  cuba memujuk agar pulang ke rumah.
Saya ditemukan dengan seorang suami yang minta diajarkan doa pelembut hati dan ingin mengajak isteri­nya pulang bersama. Saya katakan, doa adalah senjata paling efektif, tetapi mesti disertakan usaha memujuk.
“Saya dah pujuk macam-macam dah!”
Saya tanyakan apakah yang telah dilakukan?
“Tiap-tiap hari saya pergi pujuk, saya dah bagitau macam-macam... tak baik keluar rumah tanpa izin suami dan termasuk ciri derhaka. Tak payahlah menyusahkan kawan-kawan, anak-anak di rumah rindu, tempat isteri hendaklah di sebelah suami, isteri derhaka tak akan masuk syurga...”
Terdiam saya, semuanya benar berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.
Namun, mengapa isteri tadi tidak termakan nasihat sebegitu? Lalu, saya cadangkan agar keesokannya, pergilah berjumpa dan ceritakan tentang cinta, rindu dan tingginya keperluan dia di sisi kita. Mohon maaf salah silap kita... katakan bahawa kita cuma ingin menyayangi dia seorang. Dan bawalah hadiah tanda ingatan untuknya. Pastikan hadiah kesukaannya! Hari ketiga, ajak dia keluar untuk pilih sendiri hadiah, kita bayarkan. INGAT! Mesti dengan kasih sayang, belaian dan ma’ruf.
Menariknya, selepas isterinya keluar memilih hadiah yang diingini, suami tadi bertanya adakah perlu dihantar ke rumah kawannya semula?
“Dah beli pasu bunga cantik-cantik, buat apa pergi rumah orang? Balik rumah kitalah!”
Ya... hak isteri untuk dipujuk, tugas suami pula ialah melayani dengan ma’ruf. Rupa-rupanya, suami tidak perlulah mengajak isteri pulang dengan ajakan seperti yang biasa dilakukan kepada rakan-rakan, apa yang penting ialah tunjukkan kasih sayang, belaian dan peng­hargaan. Insya-ALLAH isteri akan lembut hati dan bersetuju untuk pulang semula ke rumah.
Mencari nafkah adalah tugas suami sementara  menerima nafkah adalah hak isteri. Lalu, isteri seharus­nya tidak obses dengan kerja se­bagaimana Rasulullah s.a.w menasihati Fatimah, puterinya agar melakukan kerja-kerja rumah manakala menasihati Ali supaya keluar bekerja mencari nafkah.
Hari ini, statistik perceraian kerana isteri bekerja adalah tinggi, malah ramai isteri terlalu obses dalam karier sehingga suami terasa diabaikan. Lalu, sama ada suami mencari pengganti, atau menjadi seorang yang perengus ataupun sebaliknya, menyangka isterinya der­haka.
Persoalannya, siapa yang salah? Isteri yang obses bekerja dan mengabaikan tugas terhadap suami secara optimum atau suami yang tidak bertoleransi membenarkan isteri bekerja? Prioriti hukum agama seharusnya mengawasi IQ dan EQ. Malah cukup menakutkan kerana terdapat isteri yang memohon perceraian semata-mata untuk berjaya dalam karier. Fikirkanlah dengan panduan iman dan bertindaklah dengan panduan ilmu.
Di rumah... fitrah anak-anak lelaki dan perempuan kita berbeza. Jangan samakan cara layanan dan komunikasi. Anak lelaki serasi jika dianggap kawan, bantuannya diperlukan dan hargailah kelelakiannya. Anak perempuan pula bahagia jika dimanjakan, dibelai, disayang-sayang dan dihargai emosinya.
Berkomunikasi dengan anak-anak perempuan dengan cara lelaki menyebabkan mereka terasa jauh dan tidak disayangi, begitu juga berkomunikasi dengan anak-anak lelaki dengan cara perempuan menyebabkan mereka berasa keliru dan barangkali terhina. Fitrah mereka berbeza, maka komunikasi juga perlu berbeza bagi menepati cara penerimaan dan kefahaman mereka secara fitrah.

Monday, March 19, 2012

ABANG, ROMANTIKLAH SIKIT! - FRAGMEN 3 TAKLUK HATI PASANGAN

FRAGMEN 3 : BUKU TAKLUK HATI PASANGAN

 ABANG, ROMANTIKLAH SIKIT!
SUATU ketika saya menerima satu panggilan...
“ASSALAMUALAIKUM, ustaz...” Suara di corong telefon kedengaran tergesa-gesa dan bernada sebak. Sebaik saya menjawab salamnya, pantas soalan diajukan. Jelas ada getar di sebalik luahan itu.
“Ustaz, saya nak tanya pendapat ustaz, kenapa lelaki ego sangat? Kenapa lelaki tak ada perasaan? Kenapa lelaki panas baran? Kenapa lelaki suka sakitkan hati kita? Kenapa lelaki tak kisahkan masalah kita, anak-anak dan keluarga? Kenapa bla bla bla... Kenapa? Kenapa?”
Selepas agak tenang serangan soalan bertubi-tubi tersebut, lalu saya berkata. “Puan, boleh saya tau apa sebenarnya yang terjadi?”
Lalu wanita tersebut menceritakan dengan lebih lanjut.
“Sejak berkahwin, suami saya asyik sakitkan hati saya aje, ustaz. Kalau dulu sebelum kahwin, pantang saya suarakan nak keluar ke mana-mana, laju saja dia nak temankan. Malah dia pernah cakap, kalau boleh dia nak saya selalu temankan dia dan dia akan temankan saya ke mana-mana sekalipun."
“Tapi sejak lepas kahwin, ada saja alasan bila saya ajak ke mana-mana. Kalaupun ikut, dia sekadar hantar ke mana saya nak pergi dan dia akan datang jemput saya balik bila saya telefon minta diambilkan. Sampaikan saya nak jenguk ibu bapa di kampung pun, dia kata sibuk. Bila saya tanya banyak kali atau tegur jawapannya, dia akan melenting dan marah-marah. Akhirnya, dia keluar rumah tinggalkan saya dengan anak-anak selepas puas saya diherdiknya. 
Gambar hiasan
 “Ustaz, kenapa saya ditakdirkan dapat suami yang macam ni? Sampai bila saya kena bersabar dengan perangainya? Tak boleh ke kalau dia lebih berlembut dengan isteri dan anak-anak? Saya rasa dah tak sanggup kalau berterusan macam ni. Kalau betul dia dah tak sayangkan saya, boleh tak saya nak mintak dia lepaskan saya?”
Saya cuba redakan suasana...
“Puan, begini... memang benar semua isteri inginkan suami romantik, lemah lembut, memahami, memaafkan dan penyayang. Apabila suami kasar, tentulah kita sedih. Cuma untuk pujuk hati kita, cuba kita faham ya... semua isteri sememangnya impikan suami seperti yang puan inginkan tapi pada masa sama, semua lelaki mungkin lebih kurang serupa saja dengan suami puan."
“Sebagai isteri, diri kita adalah kunci untuk mengawal ego suami. Kita mampu melembutkan hati suami dengan tindakan kita. Puan teruslah hormati suami, insya-ALLAH penyakit barannya akan berkurangan."
“Sebenarnya takkan terjadi kita ego sorang-sorang, nampak kita macam orang bodoh, tapi kalau ada yang lawan, kita perlu pertahankan ego kita. Ini bukan bermakna suami tak sayangkan kita, tapi itulah cara mereka sayangkan kita."
“Begitulah juga kita, bila kita kerap bertanya di mana suami kita berada, maknanya kita ambil berat dan sayangkannya. Tapi kebanyakan suami akan rimas apabila isteri asyik bertanya itu dan ini. Cuba puan hormat dan taat kata-katanya, waktu kedua-dua sedang gembira, ajaklah dia temankan puan ke mana pun, insya-ALLAH...”
Selepas lama dijelaskan dan keadaan semakin reda apabila dia lebih memahami, soalan terakhir-nya yang ditanya...
“Sampai bila ya ustaz... saya kena hormat dan ikut apa saja cakap dia semata-mata untuk bagi dia sayangkan saya?”
Jawabnya... SAMPAI BILA-BILA!
Ya... itu adalah di antara banyak pertanyaan yang selalu saya terima. Sebenarnya, ini adalah lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Malah, kalau difikirkan... sejak kita berkawan, bercinta atau bertunang, pasti akan ada nada sakit hati terhadap tindakan pasangan kita yang kurang difahami.
Bagi isteri, tindakan suami selalunya kasar, tidak mengambil kira perasaan dan hati isteri, tidak memahami, kejam, kedekut ataupun cepat naik angin. Sebaliknya pula, lelaki kecewa dengan sikap isteri yang dirasakan tidak menghormatinya.
Bagi suami dalam kes ini, mungkin semua tindakan yang dibuatnya itu ada asas dan sebab-sebab tertentu, malah barangkali disebabkan terlalu menyayangi isterinya. Misalnya, tidak bercuti ke mana-mana barangkali untuk penjimatan kewangan dan urusan perbelanjaan keluarga yang lebih penting.
Teguran tegas sehingga terpaksa meninggikan suara barangkali bertujuan untuk menyedarkan si isteri supaya jangan melampau. Malah, ramai suami mengambil tindakan meninggalkan isteri bersendirian di rumah jika berlaku perselisihan semata-mata untuk menyejukkan keadaan dan tidak mahu membiarkan pertelingkahan menjadi lebih komplikated.
Memahami fitrah wanita akan menyebabkan suami berusaha membentuk diri sebagai suami yang penyayang, lemah lembut dan romantik menurut kaca mata isteri. Ramai suami mengatakan sudah mencuba sebaiknya bersikap lemah lembut, tetapi pemahaman lemah lembut pada isteri adalah lebih mendalam.
Sekadar gambar hiasan
Sebagai suami, perlu kita ingatkan diri betapa fitrah wanita itu mendambakan keprihatinan dan belaian kasih sayang. Mungkin bagi kita memenatkan, tetapi itulah namanya pengorbanan yang berkesan. Namun, adakah pengorbanan itu akan dihargai oleh si isteri?
Pada mata kasar, seolah-olahnya bagaikan tidak nampak dihargai pun. Ini kerana bagi isteri, itu bukanlah pengorbanan besar pun... hanyalah keperluan dan tanggungjawab biasa seorang suami mesti laksanakan. Tetapi sebenarnya, jika ditanya kepada isteri yang selalu dikasari, dimarahi ataupun ditinggalkan suami, sikap suami yang prihatin, bertimbang rasa dan romantik amatlah didambakan.
Sebagai contoh, apabila isteri merajuk, apa yang diinginkan hanyalah minta dipujuk. Bagi suami, rajuk isteri adalah seolah-olah tunjuk perasaan atau tanda pemberontakan pada sesuatu keputusan ataupun sikap suami. Tapi bagi si isteri pula, rajukannya adalah untuk menyatakan yang dia sedang terasa dan inginkan belaian kasih sayang daripada suami yang disayangi dengan menggunakan bahasa emosi.
Namun yang sering terjadi, barangkali tidak menepati dengan maksud yang ingin disampaikan oleh isteri. Pujukan yang diharapkan, sebaliknya tengkingan yang diterima. Ini kerana suami biasanya akan terasa hati dengan sikap isteri yang menunjukkan rasa memberontak. Kesannya, timbullah rasa marah suami sehingga terpaksa meninggikan suara.
Kalaulah suami sedar, untuk memulihkan semula sikap antagonis atau melawan yang ditunjukkan isteri tadi sebenarnya hanyalah dengan belaian dan pujukan bagi menggambarkan betapa sayangnya kepada si isteri. Tiada tenaga terbuang, tiada suara disia-siakan dan tiada belanja yang perlu dikeluarkan. Sekadar memohon maaf kerana menyebabkan insan tersayang tersentuh hati, segala-galanya akan selesai dan semua pihak tidak menanggung apa-apa kerugian. Senang bukan?
Bagi kaum isteri dan wanita secara umumnya, harta benda bukanlah segala-galanya. Bagi mereka, lelaki sering tersilap faham mengatakan mereka meterialistik. Tapi bagi kaum lelaki pula, mereka beranggapan bahawa sudah fitrah kaum wanita sukakan harta. Ya benar, harta benda bukanlah segala-galanya tetapi untuk menunjukkan tanda kasih sayang kita perlukan juga harta material. Ini bermakna harta yang diberikan sebenarnya lebih bermakna apabila disertai dengan emosi dan kasih sayang.
Kebahagiaan bagi seorang isteri adalah apabila suami memahami citarasa, perasaan malah apa sahaja yang terdetik dalam hati. Alangkah indah jika suami mengerti apa yang tersirat dalam gerak-geri si isteri tanpa perlu diberitahu, apatah lagi diulang berkali-kali. Jika suami mengerti secara mendalam apa jua perasaan yang terbuku di dalam hati seorang isteri, itulah antara nikmat kebahagiaan dalam ikatan suami isteri.
Seorang isteri yang sedang bersedih akan menunjukkan gaya emosi memberontak untuk memberitahu kesan luka hatinya, lalu disedari oleh suami lantas memujuknya dengan lemah lembut. Apabila terluka, merajuk, gayanya melawan... tapi dalam masa sama mengharapkan agar suaminya tidak terluka dengan rajuknya itu. Inilah erti romantik bagi wanita. Suami pula janganlah terluka dengan tindakan ala memberontak tadi kerana jika tidak, silap faham tersebut tidak akan berkesudahan dan kekal berterusan.
Inilah yang disebut dalam riwayat sejarah tentang Sayidina Ali dan Siti Fatimah. Dikatakan Siti Fatimah tidak perlu memberikan jawapan tidak bersetuju, sebaliknya semua keputusan mahupun cadangan Sayidina Ali dipersetujui lantaran suaminya itu amat arif memahami maksud persetujuannya. Adakala Siti Fatimah bersetuju tetapi kemudian Sayidina Ali membatalkan keputusannya.
Pernah suatu ketika selepas Sayidina Ali membatalkan satu keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan Siti Fatimah, beliau bertanya... bagaimana perasaan Siti Fatimah dengan keputusan­nya itu? Lalu Siti Fatimah mengatakan bahawa ketika Sayidina Ali membuat keputusan awal, dia berasa gembira dan bahagia. Tetapi selepas suaminya itu mengubah keputusan, Siti Fatimah mengatakan yang dia lagi gembira dan lebih bahagia.
Ingatlah wahai suami! Wanita memiliki tahap emosi yang halus berbanding lelaki. Menjadi Siti Fatimah memungkinkan kita secara tidak langsung menjadikan suami kita mudah berubah seperti Sayidina Ali dan begitulah juga sebaliknya. Suami perlulah berusaha menjadi paling romantik dan bertimbang rasa agar isteri juga mudah berubah menjadi Siti Fatimah yang sentiasa taatkan suami. Seorang isteri akan mudah menuruti segala keputusan suami, malah akan menggantungkan segala harapan dan keputusan hidup di tangan suami yang dipercayai dapat melindunginya dengan penuh kasih sayang.
Sebagai renungan bersama, dititipkan beberapa sifat romantis Sayidina Ali untuk difikirkan dalam kehidupan keluarga kita. Antara sifat Sayidina Ali, sebagai seorang suami yang memenuhi keperluan fitrah kewanitaan Siti Fatimah ialah:
  • Mendengar kata-kata Siti Fatimah dengan emosi
  • Cuba memahami emosi yang tersirat di sebalik kata-kata isteri
  • Bersifat perkasa di medan perang tetapi amat lemah lembut sikap dan tutur kata di rumah
  • Hikmah dengan ilmu sehingga digelar pintu gedung ilmu oleh Rasulullah s.a.w
  • Memberi ruang terbuka dalam hubungan antara Siti Fatimah dan bapanya, Rasulullah s.a.w
Sekadar gambar hiasan
 Wahai suami, setiap isteri sememangnya men­dambakan lelaki yang romantik. Berusahalah untuk berbicara dengan lembut dan nasihatlah dengan sebaiknya. Buatlah keputusan rumah tangga sebijaknya dan jagalah akhlak seorang suami terhadap isteri sepanjang masa, apatah lagi ketika berhadapan dengan sebarang konflik rumah tangga.