Wednesday, March 28, 2012

LUNASKAN TANGGUNGJAWAB KITA

Kita sering mendengar orang menuntut hak mereka dijaga atau terjamin dalam apa-apa kondisi. Namun amat jarang kita temui orang menuntut tugas dan tanggungjawab agar mereka dapat melaksanakannya. Begitu juga dalam dunia kerjaya, tidak ramai yang menuntut tugas untuk dilaksanakan berdasarkan pada bidang tugas yang ditentukan berbanding menuntut hak yang tidak terlaksana oleh majikan.
Apakah yang dimaksudkan dengan hak? Hak ialah sesuatu yang seharusnya menjadi milik kita. Hak adalah sesuatu yang kita kuasai atau miliki, apabila orang lain melaksanakan tugas mereka, bermakna mereka memberikan hak itu kepada kita. Andai tidak terjadi, hak kita mungkin akan dirampas, diambil oleh orang lain ataupun diceroboh. Hak kita sebagai isteri akan dipenuhi apabila suami melaksanakan tugasnya terhadap kita.
Apakah yang dimaksudkan dengan tugas? Tugas ialah peranan dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kita sama ada menerusi perlantikan ataupun tugas semula jadi. Ini amat berkait rapat dengan konsep khilafah di mana ALLAH telah menciptakan manusia dengan peranan tertentu se­bagai wakil TUHAN menguruskan alam. Apabila kita melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, secara tidak langsung kita telah memberikan hak orang lain sewajarnya. Apabila kita sebagai suami melaksanakan segala tugas kita terhadap isteri, sudah pasti isteri tidak perlu menuntut hak-haknya daripada kita.
Kita sering didedahkan dengan pelbagai tanggungjawab suami dan isteri. Seseorang yang hendak mendirikan rumah tangga hendaklah menyedari bahawa bukan sahaja bertambah bilangan ahli keluarga, tetapi juga tugas dan tanggungjawab yang menanti. Membina keluarga bermakna ber­tambahnya tugas terhadap isteri dan anak-anak selain tugas terhadap diri sendiri yang tidak pernah berkurangan.
Adakalanya kita menyebut hak-hak suami sebagai tugas-tugas isteri, begitu juga hak-hak isteri adakala disebut sebagai tugas-tugas suami.
Antara tugas suami isteri yang saya petik dari be­berapa sumber rujukan autoritatif, antaranya suami perlu bertindak sebagai ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami ber­kewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup serta menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarga.
Di samping itu, suami wajib menyediakan kediaman, pakaian, pendidikan, kesihatan dan makan minum keluarga. Suami wajib mengajar anak isteri dengan hukum-hukum agama secukupnya, sama ada mengajar sendiri ataupun membiayai me­reka belajar. Dalam hal ini suami yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada si isteri. Isteri yang beragama itu pasti dapat bekerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan sebagaimana yang dituntut syariah.
Suami hendaklah mentadbir rumah tangga berdasarkan rahmah (kasihan belas), berakhlak dan memberi teladan yang baik. Si suami juga bertanggungjawab di hadapan ALLAH S.W.T terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumah tangga adalah penting. Rasulullah s.a.w menyifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya.
Suami hendaklah mengasuh isteri dengan sebaiknya. Rasulullah s.a.w menyifatkan kaum wanita sebagai amanah ALLAH S.W.T. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Rasulullah s.a.w berpesan agar lelaki sentiasa bersikap baik terhadap wanita selain sentiasa berkelakuan baik. Sesungguhnya, tanggungjawab suami adalah penting dalam membina keluarga.
Oleh kerana itu, tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumah tangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Orang yang bodoh dan tidak mampu menguruskan diri serta hartanya juga tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya. Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah juga tidak digalakkan berkahwin. Demikian juga orang yang tidak mempunyai keinginan dan hendak menumpukan perhatian kepada ibadat sahaja juga tidak digalakkan berkahwin. Ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mempunyai keinginan yang mampu menyediakan makan dan nafkah.
Kita dapat melihat dengan jelas bahawa per­kahwinan itu digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tang­gungjawab dan me­nerima tugas tambahan terhadap pasangannya. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada isteri, anak-anak dan keluarga adalah perkara yang wajib.
Menurut Ustazah Zawiah Hassan (2009), antara hak-hak isteri ialah mendapat nafkah zahir dan batin secukupnya, menerima pergaulan dan layanan yang baik, mendapat bimbingan yang sempurna, hak mendapat bantuan pembantu rumah, hak keselamatan diri dan kehormatan serta hak keadilan giliran andai ditakdirkan hidup bermadu.
Hak-hak ini seharusnya diberikan kepada isteri oleh suami. Ini dibincangkan secara bersama dengan perbahasan tugas suami, di mana dalam situasi hak isteri terbatal, ia juga sekali gus membatalkan tugas suami. Umpamanya, dalam situasi isteri nusyuz, isteri melakukan maksiat, isteri masih kecil dan belum disetubuhi, isteri dipenjara, isteri berpindah rumah tanpa izin, isteri bekerja tanpa kebenaran suami atau isteri tidak mempedulikan larangan suami. Menurut beliau, ini adalah di antara penyebab kepada terbatalnya hak-hak isteri sekali gus membatalkan tanggungjawab seorang suami.
Manakala tanggungjawab seorang isteri pula, hendaklah sentiasa menjadi pembantu suami dan menyokong urusan kerja-kerja suami dalam mencari nafkah keluarga. Isteri juga mestilah bergaul dengan suami secara baik. Menurut ulama mazhab Shafie, wajib bagi isteri melayan suaminya dengan baik.
Tugas isteri juga termasuklah mengendalikan kerja-kerja rumah. Meskipun jelas, tugas menyediakan keperluan asasi seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, pakaian dan keselamatan adalah tanggungjawab hakiki suami tetapi tugas menyiapkan makanan, mengemas rumah dan mencuci pakaian misalnya adalah tanggungjawab isteri. Menurut mafhum satu hadis, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali meng­urus kerja-kerja di luar rumah.
Tugas isteri juga mestilah sentiasa berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di samping si isteri. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar prihatin untuk melaksanakannya sebagaimana yang diharapkan oleh suami.
Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumah­ tangga. Tugas isteri yang menjadi penyeri hidup suami adalah seorang wanita yang manja, sentiasa berdampingan dengan suami dalam keadaan apa sekalipun. Ibn Al Aswad Ad Dualy berkata kepada isterinya:
“Apabila kamu melihat aku marah, tenangkan­lah aku. Apa­bila aku melihat kamu marah, aku pula menenang­kan kamu. Jika tidak janganlah kita ber­sama-sama.“
Isteri hendaklah taat kepada suami. Pada se­suatu tindakan, jangan sekali-kali membelakang­kan suami kerana dia adalah ketua rumah tangga. Isteri yang kecewa dengan suami, lalu minta nasihat daripada lelaki lain akan lebih mengusutkan keadaan. Perlakuan itu serupalah seperti memperlekehkan suami atau tidak mempercayainya.
Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin daripada suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar. Jika kerja itu untuk ALLAH dan RasuI-NYA, isteri mestilah menyokong, memberi galakan dan semangat serta menasihatinya agar tidak berputus asa.
Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatan dianggap oleh Rasulullah s.a.w sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.
Manakala hak-hak suami pula menurut Ustazah Zawiah Hassan (2009), dibincangkan secara sebaliknya, iaitu hak mendapat ketaatan serta layanan yang baik dan layanan keperluan batin secukupnya.
Selain itu, tugas isteri seperti melakukan kerja rumah, memelihara dan mendidik anak-anak, memelihara kehormatan suami, menjaga rumah daripada dimasuki orang lain tanpa izin suami serta menutup aurat dan tinggal di dalam rumah pula menjadi hak-hak yang perlu suami perolehi daripada isterinya.
Di samping itu, terdapat juga perbincangan tentang hak-hak bersama. Antaranya, saling mencintai, setia, hormat-meng­hormati, saling menghargai, saling memahami, tole­ransi, percaya, tidak curiga, bantu membantu, mendidik anak-anak serta mengawal keselamatan keluarga.
Modul kursus bersepadu pra perkahwinan Islam anjuran JAKIM menggariskan tugas-tugas suami. Antaranya, memberi nafkah iaitu perbelanjaan keluarga, makan minum, pakaian, tempat tinggal serta keselamatan dan perlindungan. Selain itu, tanggungjawab suami adalah memberi mas kahwin, memberi layanan yang baik dan saling menghormati serta membekalkan didikan dunia dan akhirat.
Sementara tugas isteri pula ialah mentaati suami, memberi layanan yang baik dan menghormati suami. Di samping itu, tugas bersama pula antara­nya, berkasih sayang, cemburu, amanah, per­gaulan yang baik, hubungan kelamin, menghormati per­saudaraan keluarga, memahami masalah masing-masing, memiliki ketrampilan yang baik, memelihara harta bersama dan bekerjasama.
Inilah di antara tanggungjawab dan hak antara suami isteri. Apabila setiap pihak menunaikan tugas masing-masing, akan berkembanglah suasana dipenuhi mahabbah, mawaddah, rahmah atau kasih sayang. Batas-batas dan tugas suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup dalam suasana ibadat. Dengan mengamalkan prinsip agama, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.
Secara kritisnya, saya melihat hampir semua perbincangan tugas dan hak suami isteri dibahaskan dalam bentuk pan­duan yang abstrak dan tidak menjurus. Ini menyukarkan pasangan suami isteri untuk merangka strategi tindakan yang tepat. Ia adalah perkongsian dan pengagihan bersama berdasarkan kesesuaian fitrah.
Perlaksanaan tugas mengikut fitrah perlu dikenalpasti dan perlaksanaannya diketuai sama ada oleh suami atau isteri dengan dibantu oleh pasangannya jika perlu. Umpamanya, saling menghargai dikatakan tugas suami dan isteri. Tetapi cara menghargai suami berbeza dengan menghargai isteri. Suami yang tidak mengkritik kerja isteri biasanya bermaksud penghargaan tetapi makna penghargaan bagi isteri pula ialah pujian atau perlu dijelmakan dalam bentuk material mahupun fizikal.
Seeloknya, terma tugas dan hak dibeza­kan kefahamannya oleh suami dan isteri mengikut keperluan fitrah masing-masing untuk lebih mudah dihayati  bersama secara agihan, bukannya berebut-rebut melaksanakan duti yang sama ataupun berebut untuk menyalahkan satu sama lain.
Dengan mengambil contoh tugas suami isteri dalam modul kursus pra perkahwinan kebangsaan, kita dapat fahami bahawa tugas suami adalah merupakan hak-hak isteri, begitu juga sebaliknya. Namun pada masa yang sama, sering terjadi kes isteri yang menuntut haknya, dengan alasan suami tidak melaksanakannya sementara ramai suami yang menganggap isteri nusyuz kerana tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap mereka. Beberapa kes yang sering terjadi adalah berpunca daripada salah faham, salah tafsiran dan salah kefahaman, berdasarkan ego kecerdasan masing-masing dan bukannya perlanggaran hak sesiapa.
Terdapat juga kes seperti suami memukul isteri ataupun isteri lari meninggalkan rumah tanpa kebenaran juga bermula daripada salah faham tindakan isteri yang disangkakan nusyuz, ataupun suami yang disangka tidak lagi menyayanginya. Dalam banyak tinjauan (maklum balas daripada pasangan yang telah bercerai), hampir semua suami mengakui terlalu sayangkan isteri, begitu juga hampir semua isteri tidak pernah terlintas untuk menderhakai dan meninggalkan suami.
Apapun panduan yang kita perolehi tentang hak dan tugas suami isteri, langkah pertama adalah memahami fitrah diri dan pasangan kita, kenal pasti dan agihkan tugas sesuai dengan keperluan fitrah pasangan dan akhirnya laksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa perlu menghabiskan banyak masa berebut menuntut hak.
Sematkanlah dalam minda bahawa ganjaran pahala daripda-NYA menanti buat mereka yang melakasanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Percayalah... kita tidak akan rugi walaupun tidak dihargai atau pasangan kita tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kita.
Mari kita renungkan beberapa contoh realiti yang saya temui, barangkali sedikit sebanyak boleh menjadi panduan kita bersama.
Seorang isteri keluar meninggalkan rumah dan meng­hilangkan diri, kemudiannya dijumpai oleh suami tinggal bersama rakannya. Suami yang sedar isteri­nya barangkali marah atau terasa hati  cuba memujuk agar pulang ke rumah.
Saya ditemukan dengan seorang suami yang minta diajarkan doa pelembut hati dan ingin mengajak isteri­nya pulang bersama. Saya katakan, doa adalah senjata paling efektif, tetapi mesti disertakan usaha memujuk.
“Saya dah pujuk macam-macam dah!”
Saya tanyakan apakah yang telah dilakukan?
“Tiap-tiap hari saya pergi pujuk, saya dah bagitau macam-macam... tak baik keluar rumah tanpa izin suami dan termasuk ciri derhaka. Tak payahlah menyusahkan kawan-kawan, anak-anak di rumah rindu, tempat isteri hendaklah di sebelah suami, isteri derhaka tak akan masuk syurga...”
Terdiam saya, semuanya benar berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.
Namun, mengapa isteri tadi tidak termakan nasihat sebegitu? Lalu, saya cadangkan agar keesokannya, pergilah berjumpa dan ceritakan tentang cinta, rindu dan tingginya keperluan dia di sisi kita. Mohon maaf salah silap kita... katakan bahawa kita cuma ingin menyayangi dia seorang. Dan bawalah hadiah tanda ingatan untuknya. Pastikan hadiah kesukaannya! Hari ketiga, ajak dia keluar untuk pilih sendiri hadiah, kita bayarkan. INGAT! Mesti dengan kasih sayang, belaian dan ma’ruf.
Menariknya, selepas isterinya keluar memilih hadiah yang diingini, suami tadi bertanya adakah perlu dihantar ke rumah kawannya semula?
“Dah beli pasu bunga cantik-cantik, buat apa pergi rumah orang? Balik rumah kitalah!”
Ya... hak isteri untuk dipujuk, tugas suami pula ialah melayani dengan ma’ruf. Rupa-rupanya, suami tidak perlulah mengajak isteri pulang dengan ajakan seperti yang biasa dilakukan kepada rakan-rakan, apa yang penting ialah tunjukkan kasih sayang, belaian dan peng­hargaan. Insya-ALLAH isteri akan lembut hati dan bersetuju untuk pulang semula ke rumah.
Mencari nafkah adalah tugas suami sementara  menerima nafkah adalah hak isteri. Lalu, isteri seharus­nya tidak obses dengan kerja se­bagaimana Rasulullah s.a.w menasihati Fatimah, puterinya agar melakukan kerja-kerja rumah manakala menasihati Ali supaya keluar bekerja mencari nafkah.
Hari ini, statistik perceraian kerana isteri bekerja adalah tinggi, malah ramai isteri terlalu obses dalam karier sehingga suami terasa diabaikan. Lalu, sama ada suami mencari pengganti, atau menjadi seorang yang perengus ataupun sebaliknya, menyangka isterinya der­haka.
Persoalannya, siapa yang salah? Isteri yang obses bekerja dan mengabaikan tugas terhadap suami secara optimum atau suami yang tidak bertoleransi membenarkan isteri bekerja? Prioriti hukum agama seharusnya mengawasi IQ dan EQ. Malah cukup menakutkan kerana terdapat isteri yang memohon perceraian semata-mata untuk berjaya dalam karier. Fikirkanlah dengan panduan iman dan bertindaklah dengan panduan ilmu.
Di rumah... fitrah anak-anak lelaki dan perempuan kita berbeza. Jangan samakan cara layanan dan komunikasi. Anak lelaki serasi jika dianggap kawan, bantuannya diperlukan dan hargailah kelelakiannya. Anak perempuan pula bahagia jika dimanjakan, dibelai, disayang-sayang dan dihargai emosinya.
Berkomunikasi dengan anak-anak perempuan dengan cara lelaki menyebabkan mereka terasa jauh dan tidak disayangi, begitu juga berkomunikasi dengan anak-anak lelaki dengan cara perempuan menyebabkan mereka berasa keliru dan barangkali terhina. Fitrah mereka berbeza, maka komunikasi juga perlu berbeza bagi menepati cara penerimaan dan kefahaman mereka secara fitrah.

No comments: