Monday, March 19, 2012

ABANG, ROMANTIKLAH SIKIT! - FRAGMEN 3 TAKLUK HATI PASANGAN

FRAGMEN 3 : BUKU TAKLUK HATI PASANGAN

 ABANG, ROMANTIKLAH SIKIT!
SUATU ketika saya menerima satu panggilan...
“ASSALAMUALAIKUM, ustaz...” Suara di corong telefon kedengaran tergesa-gesa dan bernada sebak. Sebaik saya menjawab salamnya, pantas soalan diajukan. Jelas ada getar di sebalik luahan itu.
“Ustaz, saya nak tanya pendapat ustaz, kenapa lelaki ego sangat? Kenapa lelaki tak ada perasaan? Kenapa lelaki panas baran? Kenapa lelaki suka sakitkan hati kita? Kenapa lelaki tak kisahkan masalah kita, anak-anak dan keluarga? Kenapa bla bla bla... Kenapa? Kenapa?”
Selepas agak tenang serangan soalan bertubi-tubi tersebut, lalu saya berkata. “Puan, boleh saya tau apa sebenarnya yang terjadi?”
Lalu wanita tersebut menceritakan dengan lebih lanjut.
“Sejak berkahwin, suami saya asyik sakitkan hati saya aje, ustaz. Kalau dulu sebelum kahwin, pantang saya suarakan nak keluar ke mana-mana, laju saja dia nak temankan. Malah dia pernah cakap, kalau boleh dia nak saya selalu temankan dia dan dia akan temankan saya ke mana-mana sekalipun."
“Tapi sejak lepas kahwin, ada saja alasan bila saya ajak ke mana-mana. Kalaupun ikut, dia sekadar hantar ke mana saya nak pergi dan dia akan datang jemput saya balik bila saya telefon minta diambilkan. Sampaikan saya nak jenguk ibu bapa di kampung pun, dia kata sibuk. Bila saya tanya banyak kali atau tegur jawapannya, dia akan melenting dan marah-marah. Akhirnya, dia keluar rumah tinggalkan saya dengan anak-anak selepas puas saya diherdiknya. 
Gambar hiasan
 “Ustaz, kenapa saya ditakdirkan dapat suami yang macam ni? Sampai bila saya kena bersabar dengan perangainya? Tak boleh ke kalau dia lebih berlembut dengan isteri dan anak-anak? Saya rasa dah tak sanggup kalau berterusan macam ni. Kalau betul dia dah tak sayangkan saya, boleh tak saya nak mintak dia lepaskan saya?”
Saya cuba redakan suasana...
“Puan, begini... memang benar semua isteri inginkan suami romantik, lemah lembut, memahami, memaafkan dan penyayang. Apabila suami kasar, tentulah kita sedih. Cuma untuk pujuk hati kita, cuba kita faham ya... semua isteri sememangnya impikan suami seperti yang puan inginkan tapi pada masa sama, semua lelaki mungkin lebih kurang serupa saja dengan suami puan."
“Sebagai isteri, diri kita adalah kunci untuk mengawal ego suami. Kita mampu melembutkan hati suami dengan tindakan kita. Puan teruslah hormati suami, insya-ALLAH penyakit barannya akan berkurangan."
“Sebenarnya takkan terjadi kita ego sorang-sorang, nampak kita macam orang bodoh, tapi kalau ada yang lawan, kita perlu pertahankan ego kita. Ini bukan bermakna suami tak sayangkan kita, tapi itulah cara mereka sayangkan kita."
“Begitulah juga kita, bila kita kerap bertanya di mana suami kita berada, maknanya kita ambil berat dan sayangkannya. Tapi kebanyakan suami akan rimas apabila isteri asyik bertanya itu dan ini. Cuba puan hormat dan taat kata-katanya, waktu kedua-dua sedang gembira, ajaklah dia temankan puan ke mana pun, insya-ALLAH...”
Selepas lama dijelaskan dan keadaan semakin reda apabila dia lebih memahami, soalan terakhir-nya yang ditanya...
“Sampai bila ya ustaz... saya kena hormat dan ikut apa saja cakap dia semata-mata untuk bagi dia sayangkan saya?”
Jawabnya... SAMPAI BILA-BILA!
Ya... itu adalah di antara banyak pertanyaan yang selalu saya terima. Sebenarnya, ini adalah lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Malah, kalau difikirkan... sejak kita berkawan, bercinta atau bertunang, pasti akan ada nada sakit hati terhadap tindakan pasangan kita yang kurang difahami.
Bagi isteri, tindakan suami selalunya kasar, tidak mengambil kira perasaan dan hati isteri, tidak memahami, kejam, kedekut ataupun cepat naik angin. Sebaliknya pula, lelaki kecewa dengan sikap isteri yang dirasakan tidak menghormatinya.
Bagi suami dalam kes ini, mungkin semua tindakan yang dibuatnya itu ada asas dan sebab-sebab tertentu, malah barangkali disebabkan terlalu menyayangi isterinya. Misalnya, tidak bercuti ke mana-mana barangkali untuk penjimatan kewangan dan urusan perbelanjaan keluarga yang lebih penting.
Teguran tegas sehingga terpaksa meninggikan suara barangkali bertujuan untuk menyedarkan si isteri supaya jangan melampau. Malah, ramai suami mengambil tindakan meninggalkan isteri bersendirian di rumah jika berlaku perselisihan semata-mata untuk menyejukkan keadaan dan tidak mahu membiarkan pertelingkahan menjadi lebih komplikated.
Memahami fitrah wanita akan menyebabkan suami berusaha membentuk diri sebagai suami yang penyayang, lemah lembut dan romantik menurut kaca mata isteri. Ramai suami mengatakan sudah mencuba sebaiknya bersikap lemah lembut, tetapi pemahaman lemah lembut pada isteri adalah lebih mendalam.
Sekadar gambar hiasan
Sebagai suami, perlu kita ingatkan diri betapa fitrah wanita itu mendambakan keprihatinan dan belaian kasih sayang. Mungkin bagi kita memenatkan, tetapi itulah namanya pengorbanan yang berkesan. Namun, adakah pengorbanan itu akan dihargai oleh si isteri?
Pada mata kasar, seolah-olahnya bagaikan tidak nampak dihargai pun. Ini kerana bagi isteri, itu bukanlah pengorbanan besar pun... hanyalah keperluan dan tanggungjawab biasa seorang suami mesti laksanakan. Tetapi sebenarnya, jika ditanya kepada isteri yang selalu dikasari, dimarahi ataupun ditinggalkan suami, sikap suami yang prihatin, bertimbang rasa dan romantik amatlah didambakan.
Sebagai contoh, apabila isteri merajuk, apa yang diinginkan hanyalah minta dipujuk. Bagi suami, rajuk isteri adalah seolah-olah tunjuk perasaan atau tanda pemberontakan pada sesuatu keputusan ataupun sikap suami. Tapi bagi si isteri pula, rajukannya adalah untuk menyatakan yang dia sedang terasa dan inginkan belaian kasih sayang daripada suami yang disayangi dengan menggunakan bahasa emosi.
Namun yang sering terjadi, barangkali tidak menepati dengan maksud yang ingin disampaikan oleh isteri. Pujukan yang diharapkan, sebaliknya tengkingan yang diterima. Ini kerana suami biasanya akan terasa hati dengan sikap isteri yang menunjukkan rasa memberontak. Kesannya, timbullah rasa marah suami sehingga terpaksa meninggikan suara.
Kalaulah suami sedar, untuk memulihkan semula sikap antagonis atau melawan yang ditunjukkan isteri tadi sebenarnya hanyalah dengan belaian dan pujukan bagi menggambarkan betapa sayangnya kepada si isteri. Tiada tenaga terbuang, tiada suara disia-siakan dan tiada belanja yang perlu dikeluarkan. Sekadar memohon maaf kerana menyebabkan insan tersayang tersentuh hati, segala-galanya akan selesai dan semua pihak tidak menanggung apa-apa kerugian. Senang bukan?
Bagi kaum isteri dan wanita secara umumnya, harta benda bukanlah segala-galanya. Bagi mereka, lelaki sering tersilap faham mengatakan mereka meterialistik. Tapi bagi kaum lelaki pula, mereka beranggapan bahawa sudah fitrah kaum wanita sukakan harta. Ya benar, harta benda bukanlah segala-galanya tetapi untuk menunjukkan tanda kasih sayang kita perlukan juga harta material. Ini bermakna harta yang diberikan sebenarnya lebih bermakna apabila disertai dengan emosi dan kasih sayang.
Kebahagiaan bagi seorang isteri adalah apabila suami memahami citarasa, perasaan malah apa sahaja yang terdetik dalam hati. Alangkah indah jika suami mengerti apa yang tersirat dalam gerak-geri si isteri tanpa perlu diberitahu, apatah lagi diulang berkali-kali. Jika suami mengerti secara mendalam apa jua perasaan yang terbuku di dalam hati seorang isteri, itulah antara nikmat kebahagiaan dalam ikatan suami isteri.
Seorang isteri yang sedang bersedih akan menunjukkan gaya emosi memberontak untuk memberitahu kesan luka hatinya, lalu disedari oleh suami lantas memujuknya dengan lemah lembut. Apabila terluka, merajuk, gayanya melawan... tapi dalam masa sama mengharapkan agar suaminya tidak terluka dengan rajuknya itu. Inilah erti romantik bagi wanita. Suami pula janganlah terluka dengan tindakan ala memberontak tadi kerana jika tidak, silap faham tersebut tidak akan berkesudahan dan kekal berterusan.
Inilah yang disebut dalam riwayat sejarah tentang Sayidina Ali dan Siti Fatimah. Dikatakan Siti Fatimah tidak perlu memberikan jawapan tidak bersetuju, sebaliknya semua keputusan mahupun cadangan Sayidina Ali dipersetujui lantaran suaminya itu amat arif memahami maksud persetujuannya. Adakala Siti Fatimah bersetuju tetapi kemudian Sayidina Ali membatalkan keputusannya.
Pernah suatu ketika selepas Sayidina Ali membatalkan satu keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan Siti Fatimah, beliau bertanya... bagaimana perasaan Siti Fatimah dengan keputusan­nya itu? Lalu Siti Fatimah mengatakan bahawa ketika Sayidina Ali membuat keputusan awal, dia berasa gembira dan bahagia. Tetapi selepas suaminya itu mengubah keputusan, Siti Fatimah mengatakan yang dia lagi gembira dan lebih bahagia.
Ingatlah wahai suami! Wanita memiliki tahap emosi yang halus berbanding lelaki. Menjadi Siti Fatimah memungkinkan kita secara tidak langsung menjadikan suami kita mudah berubah seperti Sayidina Ali dan begitulah juga sebaliknya. Suami perlulah berusaha menjadi paling romantik dan bertimbang rasa agar isteri juga mudah berubah menjadi Siti Fatimah yang sentiasa taatkan suami. Seorang isteri akan mudah menuruti segala keputusan suami, malah akan menggantungkan segala harapan dan keputusan hidup di tangan suami yang dipercayai dapat melindunginya dengan penuh kasih sayang.
Sebagai renungan bersama, dititipkan beberapa sifat romantis Sayidina Ali untuk difikirkan dalam kehidupan keluarga kita. Antara sifat Sayidina Ali, sebagai seorang suami yang memenuhi keperluan fitrah kewanitaan Siti Fatimah ialah:
  • Mendengar kata-kata Siti Fatimah dengan emosi
  • Cuba memahami emosi yang tersirat di sebalik kata-kata isteri
  • Bersifat perkasa di medan perang tetapi amat lemah lembut sikap dan tutur kata di rumah
  • Hikmah dengan ilmu sehingga digelar pintu gedung ilmu oleh Rasulullah s.a.w
  • Memberi ruang terbuka dalam hubungan antara Siti Fatimah dan bapanya, Rasulullah s.a.w
Sekadar gambar hiasan
 Wahai suami, setiap isteri sememangnya men­dambakan lelaki yang romantik. Berusahalah untuk berbicara dengan lembut dan nasihatlah dengan sebaiknya. Buatlah keputusan rumah tangga sebijaknya dan jagalah akhlak seorang suami terhadap isteri sepanjang masa, apatah lagi ketika berhadapan dengan sebarang konflik rumah tangga. 

2 comments:

Anonymous said...

sejuk hati saya membaca. Alangkah baiknya jika semua suami berperangai seperti Sayidina Ali

Karya Bestari said...

Setiap apa yang dikurniakan untuk kita itu ada hikmahnya. Terimalah si suami dengan ikhlas dan redha. InysaALLAH dengan keredhaan hati itu mampu menjadi penenang buat diri dan keluarga...