Wednesday, July 31, 2013

Redha dengan kehidupan susah

SAMA ADA hidup susah atau senang, kita wajar menghalakan tujuan hidup semata-mata kerana ALLAH dan bertawakal setelah segala usaha dilakukan. Bagi mereka yang hidupnya miskin, menghadap hidangan seadanya sudah mencukupi kerana sekurang-kurangnya ALLAH tetap memberi rezeki untuk mengisi perut.  
http://malaysiadaily.my/menangani-kemiskinan-tegar
makanan yang sering dijadikan alas perut

Sebenarnya ALLAH Maha Adil dan Bijaksana dalam menentukan hidup hamba-NYA. Hanya manusia sahaja yang berasa diri mereka tidak diadili dengan sebaik-baiknya. Sebagai hamba beriman, usah bersedih jika kita diberi kehidupan miskin dan susah. ALLAH sebenarnya lebih tahu apa yang DIA mahukan untuk hamba-NYA.

Hari ini, ramai yang tidak menyedari bahawa hidup susah atau senang itu sebenarnya ujian ALLAH. Bagi yang beriman, mereka lebih suka memilih hidup yang sarat dengan ujian. Ini kerana dengan cara ini mereka akan dapat memuhasabah diri dan bimbang akan lupa diri jika hidup dalam kesenangan. Justeru, ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW memilih cara hidup yang penuh ujian. 

Malah, kita juga dianjurkan supaya dilindungi daripada kefakiran. Bagaimanapun, sekiranya ketetapan ALLAH memberikan kesusahan hidup kita disarankan agar banyak bersabar dan redha.

Umat yang beriman harus menyedari bahawa ALLAH menetapkan kehidupan susah tidak lain hanya kerana ingin menguji iman di dada. Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 155-156, yang bermaksud,

Dan sungguh akan KAMI berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun.”

Tidak dinafikan, kesusahan hidup yang dialami juga boleh berpunca daripada maksiat yang dilakukan. Dengannya kehidupan menjadi sempit serta terhalangnya daripada dibukakan pintu rezeki. Ibnu Abbas r.a pernah berkata, “Sesungguhnya kebaikan itu sinar di wajah, cahaya di dalam hati, kekuatan di badan, keluasan dalam rezeki, kecintaan di dalam hati setiap orang. Sedangkan keburukan adalah kemuraman di wajah, kegelapan di hati, kelemahan di badan, mengurangi rezeki, dan penyebab kebencian di hati orang.”

Hakikatnya, ALLAH tidak pernah menghina hamba-hamba-NYA apabila diberi kesusahan hidup. Malah, DIA sentiasa melindungi dan menjaga kemuliaan dengan cara menguji mereka sama ada dalam bentuk harta, anak-anak atau isteri. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, katanya,

Sesungguhnya jika seorang hamba telah ditulis baginya satu kedudukan yang tidak mampu dia capai dengan amalnya, maka ALLAH mengujinya di dalam harta atau badan atau anaknya.

Maka, kita janganlah terlalu memikirkan mengapa ALLAH mentakdirkan kesusahan kerana kita mesti percaya bahawa ada orang lain yang hidupnya lebih susah. Kita hendaklah bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan. Kesusahan yang kita alami hanyalah salah satu ujian kecil daripada-NYA. Oleh itu, apabila bangun pada pagi hari janganlah sama sekali kita merungut tentang kesusahan hidup yang dialami, tetapi hendaklah sentiasa berdoa agar dimurahkan rezeki oleh-NYA. Rasulullah SAW telah bersabda,

Barang siapa yang bangun pada waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah dia bersungut kerana perbuatan TUHANnya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada ALLAH. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua pertiga agamanya.

Berusahalah bermanis muka pada setiap pagi dan lemparkan jauh-jauh jika ada masalah yang membelenggu. Mulakan hari baru dengan senyuman kerana ia merupakan sedekah yang tidak perlu mengeluarkan modal tetapi besar ganjarannya!

Petikan: 100 Jejak Peribadi Rasulullah(Karya Bestari)

No comments: