Wednesday, July 31, 2013

Kurangkan Berhutang

PADA dasarnya, Islam membolehkan kita berhutang tetapi tidak digalakkan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW berkata, 
“Jangan kalian membuat takut bagi jiwa yang selesa tenang.” Mereka bertanya, “Apa itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW  menjawab, “Berhutang.”
Memberi hutang boleh menjadi wajib sekiranya seseorang itu amat memerlukan atau kerana terdesak. Ini kerana, memberi hutang ibarat menghulurkan pertolongan kepada orang yang sangat memerlukan seperti ditimpa bencana dan kesusahan dalam kehidupan. Ini sesuai dengan penjelasan ALLAH dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud,
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat berat seksa-NYA.
Bagaimanapun, orang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya dan janganlah sampai meninggal dunia masih lagi belum sempat membayarnya. Hutang yang tidak dilunaskan sehingga si peminjam meninggal dunia, akan menyebabkan rohnya tergantung antara langit dan bumi sehinggalah hutang itu dijelaskan. Ulamak berpendapat jika tidak dapat dijelaskan oleh waris si mati atas sebab tertentu, hutang itu akan menjadi tanggungan Baitulmal.

Berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Manakala seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang walaupun berkemampuan, boleh mendatangkan kesan buruk sama ada di dunia atau akhirat. Antaranya:
  1. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilangnya maruah.
  2. Hidup tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan ALLAH.
  3. Perbuatan itu termasuk dalam perbuatan zalim.
  4. Amalan kebajikan tidak akan diterima. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya). - Riwayat Ibnu Majah

Untuk mengelakkan kekeliruan ketika membayar hutang, si penghutang disaran supaya mencatat butiran hutang seperti jumlah hutang, tarikh berhutang dan tempoh pembayaran hutang. Semuanya hendaklah dilakukan dengan adil dan jika jumlah hutang terlalu banyak ada baiknya diperlukan saksi. Sayyid Qutub berkata, “Tugas mencatat atau menulis hutang piutang itu merupakan satu tugas yang diwajibkan dengan nas, bukannya ditinggalkan kepada pilihan sukarela sahaja dalam urus niaga hutang piutang yang bertempoh. Tugas ini diwajibkan kerana ia mempunyai sesuatu hikmah yang tersirat di sebaliknya.”
Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. - Gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Muaz r.a pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai hutangnya kepada seorang Yahudi, baginda kemudian mengajarnya supaya membaca ayat di dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 26-27 yang bermaksud,
Katakanlah: “Ya ALLAH yang memiliki kerajaan! Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut (lenyapkan) kerajaan itu daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu.”
Ayat ini boleh dibaca sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang. Di samping berdoa, kita juga disuruh berusaha dengan apa cara sekalipun baik segi fizikal atau mental untuk melunaskan hutang dan tidak hanya mengharapkan rezeki jatuh dari langit semata-mata. Yakinlah... ALLAH sentiasa akan membukakan jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

Petikan: 100 Jejak Peribadi Rasulullah

No comments: