Monday, August 13, 2012

ZIARAH MAHABBAH RAMADAN KAMPUNG ORANG ASLI DI LANDAP, SUNGAI SIPUT, PERAK

 
Sesungguhnya ALLAH SWT tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (An-Nisa’ Ayat 40).
Mereka belajar erti rasa syukur biarpun keadaan kehidupan yang serba kekurangan... Tegar  mengatur langkah meniti liku-liku kehidupan dengan penuh sabar dan syukur demi mengenal erti kebenaran... begitulah penghargaan insan buat anugerah kehidupan yang dikurniakan ILAHI. 
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul... begitulah paparan realiti sebuah kehidupan buat insan yang menadah tangan mengharapkan pemberian ikhlas. Berdiri di bumi mereka berpijak, menjadikan peluang mendekati dan mengeratkan hubungan silaturahim sebagai perkongsian penuh makna  agar kita menghulurkan tangan membantu serta memberi sumbangan bagi meringankan beban yang dilalui oleh insan-insan yang memerlukan. 

Program Ziarah Mahabbah Perkampungan Orang Asli di Landap, Sungai siput, Perak merupakan satu pengalaman menarik bagi sukarelawan dari Team Karya Bestari, Yayasan Nur Karangkraf, Majalah i, Kelab Kembara Selangor, Sukarelawan dari Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Petronas.

‘Ku mangharapkan Ramadan kali ini penuh makna...’ 
Program yang telah berlangsung pada 11 Ogos 2012 (Sabtu) memberi makna yang sangat mendalam dan tidak ternilai buat sukarelawan mahupun penduduk setempat. Keberkatan Ramadan disemarakkan dengan pendekatan nilai-nilai murni di antara sukarelawan dan penduduk dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama muslim. Di samping itu, memberi pendedahan dan kefahaman agama serta menyuntik semangat tolong-menolong. Sebuah program yang melahirkan rasa ihsan dalam hati dan sanubari...
Penulis Karya Bestari: Ustaz Mohd Yaakub , En. Nazir dan Dr. Mohd Nor Mamat berdiskusi sebelum bertolak.


Ketika dalam perjalanan memasuki perkampungan yang terletak di tengah ladang kelapa sawit, kami berselisih dengan beberapa buah trak yang mengangkut pekerja buruh dari ladang. Sawit merupakan sumber pendapatan utama penduduk selain bergantung kepada sumber-sumber lain.
 
Ketibaan para sukarelawan disambut baik dan mesra oleh penduduk kampung yang majoriti di kalangan mereka sudah memeluk agama Islam sekitar 15 tahun yang lalu. Dari kejauhan, kelihatan anak-anak riang bermandi manda dan bermain di gigi air. Sungai merupakan sumber keperluan asas penduduk walaupun telah dilengkapi dengan saliran air paip. Bagi mereka, sungai adalah sumber air yang mudah dan jimat untuk keperluan harian. Alhamdulillah, Sukarelawan juga tidak melepaskan peluang menikmati kedinginan air sungai yang jernih, bersih dan bebas dari pencemaran.
Juadah berbuka puasa dan bubur lambok disediakan secara gotong-royong oleh sukarelawan dan penduduk kampung. Kami dan ahli kumpulan berserta penulis team penulis menuruni bukit dan mengharung sungai bagi mengambil bekalan air untuk masakan dan minuman. Mujur ada ADABI menaja bubur lambuk yang kesedapannya tidak terkata itu. Manakala makanan untuk berbuka puasa ditaja oleh YAYASAN NUR KARANGKRAF PEDULI.
Penulis Karya Bestari Anwar Nursi dan En. Nazir membantu memasak bubur lambuk tajaan ADABI.
Team KB, Faizal turut serta bersama orang kuat ADABI, Shidi.
Pada masa yang sama, team kami juga berpeluang memberi tunjuk ajar dan beramah mesra bersama Anak-anak orang asli dalam aktiviti mewarna. Aktiviti ini dijalankan di surau yang sangat sederhana tanpa berkipas tapi syukur berlampu kalimantang. Kepanasan itu terasa apabila meniti tengah hari namun tidak mematahkan semangat kami meneruskan aktiviti malah mampu tersenyum bersama kanak-kanak kecil. Mata bersinar jernih menanti perkongsian ilmu... ‘Ajarkan aku, kerana aku amat memerlukan ilmu’ begitulah suara hati mereka. Dalam renungan sinar mata itu juga lahir seribu satu harapan untuk mengubah haluan hidup agar menjadi lebih baik dan berjaya suatu hari kelak... Mereka amat memerlukan motivasi sebagai penguat semangat untuk masa depan yang lebih cerah dan terjamin. 
 
Setelah aktiviti mewarna selesai, kami bersama-sama mandi di sungai berhampiran kediaman mereka. Sambil mandi manda kami berbual dan menyelami perasaan mereka serta bertukar pendapat dan pandangan. Setelah selesai, kami bersedia untuk berbuka dan menunaikan solat maghrib bersama. Yang seronoknya, penulis-penulis kami tidak mengeluh langsung dan merasakan aktiviti ini sangat berharga dalam hidup mereka. DR. HM TUAH ISKANDAR al-HAJ merakamkan video untuk simpanan peribadi manakala yang lain bergambar untuk kenangan.
 
Setelah selesai berbuka puasa dan solat maghrib, tazkirah ringkas isampaikan oleh Dr. Mohd Nor Mamat dan seterusnya mengimamkan solat Isyak. Aktiviti diteruskan dengan menyampaikan bantuan pakaian dan makanan kepada penduduk. Rasa lega di wajah mereka tergambar ketika memikul beras, kuih raya serta baju raya yang dibekalkan. Kata mereka, "Jangan lupakan kami... selalulah menjenguk kami di sini..." 


Insya-ALLAH ada kelapangan waktu dan diizinkan ALLAH sampailah kami suatu hari nanti," balas Acap mewakili kumpulan kami. 

Seorang remaja lelaki kelihatan bergenang menitiskan air mata. Ternyata pertemuan singkat itu meskipun sedetik cuma, namun mampu membuatkan hatinya terasa dekat dengan kami. Sayangnya, apa boleh buat, waktu mencemburui kami...
Dengan rasa berat hati mereka melepaskan kami pulang selepas sesi bergambar kenang kenangan. Dari air muka dari sinar mata, terserlah harapan agar ukhuwah ini tidak terhenti di sini. Moga silaturahim kita terus berkekalan tanpa wujud sebarang perbezaan. 

“Kalau ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi. Moga ALLAH merahmati kita semua. Ameen... Insya-ALLAH panjang umur dan atas izin-NYA kita akan bertemu lagi pada 1 September 2012 dalam IMARAH MASJID di Masjid As-Salam Puchong Perdana. 
Laporan lokasi kejadian disediakan oleh Dira, Faizal dan Azhar.

No comments: