Hari ini, saya mendapat satu motivasi! Iaitu, saya mengatakan kepada diri: bersainglah dengan diri sendiri.
Bersaing dengan diri sendiri sekurang-kurangnya dapat mengelakkan perasaan mazmumah terhadap orang lain. Jika
hendak bersaing dengan orang, paling tidak, harta benda dan kekayaan
mereka pasti menjadi ukuran. Jika mereka kaya, kita juga mahu kaya.
Kalau boleh mahu lebih kaya daripada mereka. Ah, jarang pula manusia
mahu bersaing dari sudut amal ibadah. Fizikal juga yang menjadi punca
persaingan.
Jika orang lain cantik, kita tentu mahu lebih
cantik, hingga sanggup buat apa sahaja bagi mencapai tujuan itu,
termasuklah berhasad dengki dan berhutang sana-sini.
Benarlah,
jika hendak bersaing tentang dunia, kita tak akan pernah puas.
Manusia…jika sudah mendapat dua gunung emas pun masih mahukan gunung
yang ketiga, itu kata Nabi.
Oleh sebab itu, lebih baik bersaing
dengan diri sendiri sahaja. Nak marahpun, diri sendiri. Nak tegurpun
diri sendiri juga. Tak ada hati lain yang terasa. Paling penting,
bersainglah untuk menjadi insan yang lebih baik hari demi hari.
Tanyalah pada diri sendiri, apakah hari ini lebih baik daripada
semalam? Apa persediaan hari ini untuk menghadapi hari esok yang lebih
baik? Apa warisan yang akan ditinggalkan supaya anak-anak tidak hidup
susah? Sudahkah usia yang singkat ini digunakan untuk mengumpulkan
sebanyak-banyak amalan?
Bayangkan, jika kita tanya soalan ini
kepada orang lain, belum tentu mereka suka. Sebab itulah soalan-soalan
tersebut lebih baik ditanya kepada diri sendiri sahaja. Dan
soalan-soalan seumpama itulah yang menjadi titik tolak muhasabah ke arah
pembentukan iman dan jati diri yang lebih kental.
Tiada
sesiapapun yang mahu hidupnya merosot. Kalau boleh, setiap umur
bertambah, hidup juga makin berkualiti. Lalu, bersainglah dengan diri
sendiri untuk membina hidup yang berkualiti. Buat sementara waktu, tak
perlu pentingkan sangat persaingan dari segi duniawi dengan
manusia-manusia lain. Yang penting diri kita dahulu. Pabila kualiti
positif sudah mampu dibina dalam diri, perkara-perkara lain dah tak
kisah!
http://tintanasuha.wordpress.com/
RUHANA ZAKI - PENULIS KARYA BESTARI (KAU HADIR DALAM MUNAJATKU)
No comments:
Post a Comment