Thursday, July 21, 2011

TEAM BUILDING SEHATI BERSAMA GBK

Tarikh 15-17 Julai 2011 pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat warga kerja Grup Buku Karangkraf. Kenangan indah, pahit, manis, sedih, suka & duka, masih jelas terpahat di sanubari.

BUAT julung-julung kalinya hampir kesemua warga kerja GBK menghadiri program Team Building Sehati Bersama yang dianjurkan oleh pihak syarikat sendiri & dikendalikan oleh team Unit Latihan & Implimentasi (ULI). Program kali ini diadakan di sebuah tempat yang agak terpencil dari hiruk-pikuk kesibukan kota iaitu di Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang. Difahamkan kami adalah team terbesar & teramai dari Kumpulan Karangkraf pernah dihantar ke sana.
Awalnya, pelbagai respons yang diberikan selepas dimaklumkan mengenai program tersebut. “3 hari 2 malam? Lamanya!”, “Boringnya nak kena pergi team building”, “Risaunya nak tinggalkan anak. Demam la anak macam ni…” dan bermacam-macam sok sek-sok sek lagi yang didengari. Malah, ada juga yang keberatan untuk turut serta dalam program ini kerana tidak mahu meninggalkan suami/isteri masing-masing! Menambahkan lagi keengganan apabila ada di antara kami yang bertindak membuat siasatan sendiri daripada teman-teman yang sudah dihantar ke sana dan diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan membawa surah Yasin ke mana sahaja memandangkan tempat yang kami bakal kunjungi itu dikelilingi hutan semata-mata! Segala rasa bercampur-baur. Beratnya rasa ingin melangkah pergi.

Kami dibawa ke sana menaiki 2 bas yang disediakan. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang sejam itu berlanjutan sehingga 2 jam kerana keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Alhamdulillah, kami semua selamat tiba jam 10 pagi.


Sejurus turun dari bas, bermulalah cabaran awal kami. Kami dibawa masuk ke kem dengan
menaiki lori kerana keadaan jalan yang sempit dan berbukit-bukau menghalang bas memasukinya. Sesuatu yang belum pernah kami rasai sebelum ini. Hampir kesemua kami tersenyum riang melalui cabaran mudah ini.

Sebaik tiba di lokasi, team ULI sudah pun menanti dengan senyuman lebar, agaknya sudah tidak sabar mahu melihat jerit-pekik kami mengharungi 3 hari 2 malam yang penuh mencabar itu. Kami kemudian diarahkan memenuhi meja makan, 8 orang semeja sebelum dibenarkan bersarapan dan begitulah juga untuk setiap kali waktu makan. Terasa seperti kanak-kanak sekolah pun ada. Di situ juga, senarai nama peserta dan pembahagian bilik oleh pihak ULI sudah ditampal. Kami berebut-rebut meneliti senarai tersebut dengan harapan mendapat teman sebilik yang sekepala dan best! Cara terbaik untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara kami.

Selepas sarapan, masing-masing mendapatkan kunci bilik yang telah ditetapkan dan bergerak ke bilik masing-masing untuk berehat seketika. 1 bilik boleh memuatkan hingga 4 orang dan dilengkapi dengan sebuah bilik air. Cukup
basic.

Kami telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan perlu bersaing sesama sendiri untuk mengumpul
BINTANG! Kami akan diberikan hadiah untuk BINTANG terbanyak kumpulan dan juga individu pada hari terakhir kami di sana nanti. Maka, bermulalah cabaran sebenar kami dalam mengejar BINTANG.Apa yang boleh disimpulkan, banyak pengajaran dan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada program ini. Tanpa sedar, kami diajar menepati masa, berdisiplin, bekerjasama, percaya pada kemampuan & kebolehan orang lain, yakin diri, bantu-membantu dan macam-macam lagi. Banyak aktiviti dan permainan diatur untuk kami. Dalam gelak ketawa, kami juga belajar nilai-nilai murni yang tersirat di sebaliknya. Aktiviti senaman pagi, berhakka, berkawad, membuat ikatan buku sila dengan menggunakan rantaian manusia, menjatuhkan batang paip, paintball, menyelamatkan telur daripada pecah, jungle trekking, main kuda, membuat rakit, membuat persembahan dan bermacam-macam lagi permainan ternyata menguji kesabaran, ketahanan fizikal dan kekentalan semangat kami.

Alhamdulillah, sehingga hari terakhir kami di sana, semuanya berjaya dilalui dengan cemerlang berkat ukhwah kami. Yang pasti, tiada yang menyesal menyertai program ini. Sungguh, kami benar-benar ENJOY walaupun sengal-sengal dan sakit-sakit badan mula terasa menjalar ke seluruh tubuh.

Buat team GRUP BUKU KARANGKRAF...
TAHNIAH! ANDA SEMUA THE BEST!!!

Buat team ULI:

THANK YOU!

No comments: