“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan kepada kamu agar berpuasa pada bulan itu.” - HR Ahmad
Alhamdulillah… syukur ke hadrat ALLAH S.W.T dengan limpah dan rahmat-NYA, dapat kita bertemu dengan Ramadan 1432H. Saban lama kita merindui bulan mulia ini, akhirnya… Ahlan wa sahlan Ya Ramadan!
Sesungguhnya, ALLAH S.W.T telah memuliakan bulan Ramadan dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain. Antaranya disyariatkan berpuasa seperti yang dituntut dalam rukun Islam, diturunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w, terdapat malam lailatulqadar yang lebih mulia daripada 1000 bulan, pintu syurga terbuka luas, pintu neraka tertutup rapat juga dirantaikan semua jin dan syaitan.
Mengapa perlu dibiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa kita berlumba-lumba untuk meningkatkan amal ibadat? Ketahuilah bahawa setiap perintah yang ditaati, kita akan memperolehi ganjaran yang berlipat ganda daripada-NYA. Tambahan pula, pintu rahmat yang terbuka luas turut memberi kesempatan kepada kita untuk bertaubat memohon keampunan di atas segala kekhilafan diri.
Selain itu, ibadat puasa yang dijalani memberikan kita peluang untuk membentuk peribadi muslim yang cemerlang sama ada dari segi pengisian rohani mahupun kesihatan fizikal. Kita bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mengawal diri daripada melakukan perkara yang ditegah oleh syariat Islam. Selama sebulan kita berpuasa umpama berada di dalam sebuah latihan demi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH S.W.T. Firman-NYA yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, kamu semua diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” - Surah al-Baqarah: 183
Justeru itu, pihak Karya Bestari mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 1432H. Sama-samalah kita memperbanyakkan amal ibadah seikhlas hati seolah-olah inilah Ramadan yang terakhir bagi kita. Jutaan kemaafandipohon di atas segala salah dan silap daripada kami. Sesungguhnya, tiada yang sempurna melainkan DIA yang Maha Esa.
Di samping mengerjakan amalan soleh, usah dibiarkan masa yang terluang berlalu begitu sahaja. Isilah dengan perkara yang bermanfaat seperti membaca buku-buku terbitan Karya Bestari. Insya-ALLAH, ilmu yang dikongsi dan disebar akan mendapat keberkatan daripada-NYA.
No comments:
Post a Comment