Thursday, November 21, 2013

BUKU TERAPI HATI MEMASUKI CETAKAN BARU. COVER BARU REBRANDING UNTUK BUKU INI...

Assalam semua... Buku Terapi Hati telah memasuki cetakan baru. Untuk itu kami telah memberi nafas baru untuk cover buku ini. Jangan lupa dapatkan buku TERAPI HATI ini kelak...
http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=3149

Monday, November 18, 2013

BAKAL TERBIT! KEWANGAN HARIAN KITA: HALAL @ HARAM?

KEWANGAN HARIAN KITA HALAL@HARAM?
RM17.00

SETIAP hari kita menggunakan wang untuk jual beli produk ataupun membayar perkhidmatan. Namun bagaimana pengurusan tersebut dijalankan, itulah yang perlu dititikberatkan. Kewajipan kita dengan memastikan sumber rezeki, cara pengurusan dan ke mana ia disalurkan perlu menepati piawaian syariat Islam. Paling penting perbelanjaan kita mestilah bersih daripada riba, tidak terlalu boros atau kedekut, tiada penyelewengan dan menghormati hak orang lain.   

Kewangan Harian Kita Halal @ Haram membincangkan beberapa aspek muamalat Islam yang menjadi asas dalam pengurusan ekonomi kita. Sistem ekonomi Islam sangat istimewa. Ia diatur sendiri oleh ALLAH SWT yang sememangnya menjaga kebajikan, menolak kemudaratan dan tidak menyekat hak kita untuk memiliki harta. Tetapi, kita mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Moga rezeki kita lebih halal, berkat dan hidup bahagia dalam redha-NYA.
 
Untuk tempahan buku ini sila layari ke mall.karangkraf.com.

INDAHNYA CINTA RASULULLAH BERADA DI PASARAN SEKARANG!


Sebuah kisah cinta agung Rasulullah yang menggetarkan jiwa & memberi inspirasi. Wajib Miliki!

Buku yang sangat bagus dimiliki pengisiannya membuatkan hati terusik betapa CINTA RASULULLAH memang halus, tulus dan berseni malah cintanya tidak ternilai oleh kita...

“Ya Rasulullah, cintamu pada kami tidak pernah padam
Hidayahmu jua merentasi alam. Walau tidak sedikit
yang mendustakan namun engkau tegar menyampai peringatan.
Ya Habibullah… hadirmu membawa cahaya
Demi menerangi jiwa yang kelam.”

“1001 warna-warni kehebatan cinta Rasulullah terhadap isteri, anak, cucu, sahabat, jiran dan mereka yang berada di sekeliling baginda. Menabur kasih dan sayang umpama menyemai cinta untuk dikutip sebagai saham akhirat.”

Ajaibnya cintamu ya Rasulullah. Inilah yang dapat digambar­kan mengenai kasih sayang yang dicurahkan oleh ba­ginda kepada umatnya hatta yang beriman mahupun ing­kar. Demi ALLAH... per­hatikanlah sifat-sifat ba­ginda yang sering diteladani segenap insan. Maka benarlah, Rasulullah itu di­utuskan sebagai rahmat bagi semesta alam.

Baginda tidak marah kecuali sentiasa tersenyum. Baginda tidak menengking kecuali menasihati. Baginda tidak meng­usir kecuali meng­ajak sekalipun mereka yang memusuhi­nya. Baginda tidak berkasar kecuali berlemah lembut dan ba­ginda tidak akan menolak kecuali bersebab. Subahanallah... betapa hebatnya akhlakmu ya Rasulullah SAW.

Indahnya Cinta Rasulullah ini bisa meng­getarkan jiwa dan mencairkan hati yang kian membeku dengan khilaf. Ternyata, cinta Ra­sulullah itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Moga lembaran kisah dalam buku ini menjadi pengubat rindu kita kepada baginda di sam­ping ALLAH SWT jua akan merindui cinta kita kepada-NYA. Insya-ALLAH.


 Antara kandungan menarik:
  • Cinta Rasulullah di Dalam Rumah Tangganya
  • Cinta Rasulullah Terhadap Hamba dan Pelayan
  • Cinta Rasulullah Terhadap Si Tukang Sapu
  • Cinta Rasulullah yang Telus dan Ikhlas
  • Cinta Rasulullah Terhadap Isterinya
  • Cinta Rasulullah Terhadap Anaknya
  • Cinta Rasulullah Terhadap Cucunya
  • Cinta Rasulullah Terhadap Jirannya
  • Cinta Rasulullah Terhadap Sahabat
  • Cinta Rasulullah di Saat Wafatnya

DEMI REDHA IBU BAPA SUDAH BERADA DI PASARAN.

Alhamdulillah buku ini telah pun berada di pasaran. Tahniah buat Norlela Ibrahim kerana telah melahirkan sebuah lagi buku bersama Karya Bestari. Buku sebelumnya memang laris dan sekarang berada dalam senarai ulang cetak. Buku bersama Karya Bestari ialah Doa & Tip Keluarga Bahagia dan Doa Dan Tips Khas Untuk Pelajar dari penerbitan Buku Prima. 

Buku Doa & Tip Khas Untuk Pelajar ini adalah hasil penulisan seorang guru yang mengharapkan para pelajar dapat mencapai kejayaan bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga gemilang di akhirat.

Mempunyai 10 menu utama yang merangkumi tip-tip motivasi mengikut perspektif Islam untuk mencapai kejayaan yang diberkati lagi diredhai-NYA melalui usaha yang bersungguh-sungguh, berdoa, bertawakal kepada ALLAH SWT disertai dengan akhlak yang mulia. Selain itu, diselitkan juga doa-doa menuntut ilmu serta panduan solat fardu dan beberapa solat sunat untuk membimbing para pelajar mengamalkan amalan-amalan sunat tanpa meninggalkan amalan yang wajib. Manakala Surah Yasin sebagai penutup buku ini berperanan untuk memudahkan para pelajar membawanya ketika menghadiri program kerohanian di samping dapat menjadikan bacaan surah ini sebagai salah satu rutin harian mereka.

 
SINOPSIS BUKU DEMI REDHA IBU BAPA:
DUHAI anak… tidak akan ada dirimu di dunia ini tanpa ayah ibu. Walaupun pernah ditatang bagai minyak yang penuh, namun tidak semua kata-kata mereka diturutimu. Apabila mereka semakin berusia, balaslah jasa keduanya dengan memberikan sepenuh perhatian dan bantuan. Jagai hati mereka dengan ketulusan serta kesabaran. Adakah dirimu mahu dianggap anak derhaka walaupun hanya dengan ungkapan ‘ah’? 

Wahai ayah ibu… jagalah ‘amanah’ ini dengan sebaik-baiknya. Terapkan didikan duniawi dan ukhrawi agar mereka menjadi hamba yang bertakwa. Pasti pengorbananmu akan diganjari di dunia dan akhirat. Bimbinglah dengan keikhlasan bukan keterpaksaan. Moga pemergianmu nanti akan ditangisi, ketiadaanmu dirindui. Sesungguhnya doa anak yang soleh menjadi bekalanmu di alam abadi. 

DEMI REDHA IBU BAPA mengajak kita bermuhasabah untuk memperbaiki kekhilafan dan kealpaan diri dalam mendidik permata hati. Tunaikan tanggungjawab masing-masing agar ayah ibu dan anak-anak saling menghormati, menghargai lagi diberkati. Usah mudah mengalah dengan ujian kerana itulah tanda kecintaan-NYA buat hamba yang dikasihi. 


Untuk memiliki buku ini sila layari http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=3644

TERBARU DI PASARAN! DAPATKAN AL-QURAN AMAZING INI SEKARANG...


Thursday, October 3, 2013

Mana Mak???

  1. Ingin berkongsi tentang cerita pendek yang saya terima dari email. Saya tidak tahu pemilik cerita ini... namun, saya merasakan ia amat sesuai dijadikan renungan kita bersama. harap tuan empunya cerita ini mendapat balasan baik ALLAH jika sesiapa membacanya....

    TAJUK: MANA MAK???
    Renung2kan....

    Jam 6.30 petang.
    Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

    Ayah baru balik dari sawah.
    Ayah tanya Mak, “Along mana?’
    Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
    Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
    Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
    Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
    Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
    Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
    Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

    Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

    Dua puluh tahun kemudian
    Jam 6.30 petang

    Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

    Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
    Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
    Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
    Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
    Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
    Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
    Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

    Ateh menjawab, “Entah.”
    Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
    Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
    Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

    Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

    Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
    Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

    Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

    Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
    Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

    Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

    Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

    Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

    Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

    Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

    Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

    Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

    Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

    Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

     
     Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

    Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

    Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

    Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

    Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

    Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

    Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

    Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

    Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

    Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

    Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

    Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

    Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
    Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

    Beberapa tahun kemudian
    Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
    Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

    Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

    Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

    Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

    Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

    Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

    Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

    Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

    "Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

    Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

    Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

     
     "Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

    Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

    Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

    Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil.

    Sharekan pada yg lain andai anda sayang ibu anda.

Monday, September 30, 2013

BAKAL TERBIT! KALAU BERPACARAN

Nantikan buku bakal terbit akan datang! Sememangnya hot di pasaran.

SINOPSIS:
Couple atau berpacaran menjadi trend remaja hari ini. Bagi yang tiada kekasih hati akan dikatakan ketinggalan zaman. Bahkan dianggap sebagai ‘nerd’. Disebabkan remaja yang berfikiran demikianlah maka wujudnya istilah teman tapi mesra, teman berbual, hubungan tanpa ikatan, teman intim dan seumpamanya. Sebenarnya, bolehkah kita berpacaran?

Jawapannya, ya! Islam tidak pernah menghalang kita berkasih sayang tetapi haruslah ‘patuh syariah’. Tambahan pula berkasih sayang adalah fitrah bagi dua insan yang ingin dicinta dan mencintai. Namun, tanpa disedari hubungan yang dicipta semakin jauh dan menuju ke arah kebebasan.

KALAUBERPACARAN memberi peringatan, panduan dan nasihat demi memurnikan hubungan antara lelaki dan wanita. Juga disediakan penyelesaian terhadap isu-isu cinta yang sering dipersoalkan remaja hari ini. Mesti dimiliki terutamanya remaja demi menzahirkan sebuah hubungan cinta berlandaskan Islam.

Antara kandungan menarik:
  • Apabila Kekasih Hati Ingin Berpisah Kerana ALLAH
  • Kahwin Muda Lebih Baik Daripada Berpacaran
  • Kaedah Mendapatkan Jodoh Tanpa Berpacaran
  • Oh Cinta...Hadirmu Terlalu Awal?
  • Hawa Nafsu; Jangan Ditatang
  • Apa Tujuan Saya Berpacaran?
  • Bagaimana Mengurus Cinta?
  • Adakah Percintaan Haram?
  • Berdosakah Berpacaran?

Thursday, September 19, 2013

Tuesday, September 17, 2013

NIKMATI DISKAUN SEHINGGA 80% DI JUALAN GUDANG KARANGKRAF 2013

NIKMATI DISKAUN SEHINGGA 80%
DI JUALAN GUDANG KARANGKRAF 2013

Jualan Gudang Karangkraf 2013 kembali lagi !!!

Pastinya ia satu berita baik buat pencinta-pencinta buku, novel dan majalah terbitan Kumpulan Media Karangkraf yang sememangnya menantikan Jualan Gudang Karangkraf yang menawarkan potongan harga sehingga 80%.

Kali ini LEBIH MERIAH dengan pakej-pakej buku dan novel serta lengkapkan koleksi majalah kegemaran anda dengan harga yang sangat-sangat BERBALOI.

Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai pakej-pakej buku dan novel yang ditawarkan serta senarai novelis yang akan turut padang? Sila ke fanpage Kumpulan Media Karangkraf dan ikuti kami di laman media sosial :
www.karangkraf.com                                                                                               
FB : Kumpulan Media Karangkraf
Twitter : @Karangkraf
Instagram : Karangkraf

BUKU BAKAL TERBIT DI PASARAN! DERI REDHA IBU BAPA

Alhamdulillah satu lagi keluaran buku terbitan Karya Bestari akan menyusul di pasaran  dan masih lagi dalam proses printing. Sebuah buku yang baik dan sesuai dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat. Karya dari NORLELA IBRAHIM ini memang menarik... Jadi jangan lepaskan peluang untuk dapatkannya InsyaALLAH jika tiada aral buku ini akan berada di jualan gudang Karangkraf nanti.

Friday, August 30, 2013

BAKAL TERBIT.... AL-QURAN AL-KARIM AMAZING

Satu lagi produk Karya Bestari. Al-Quran Al Karim AMAZING... Di dalamnya terdapat tafsiran daripada kitab-kitab tafsir muktabar seperti Riyadus Salihin dan Kitab Jalalain. Lengkap sebagai panduan kita dalam memahami ayat-ayat Allah ini...

Dapatkan Al-Quran  Al-Haramain & Al-Quran Muslimah...




Tuesday, August 27, 2013

FORMULA KELUARGA BAHAGIA BAKAL DI PASARAN!

Syukur Alhamdulillah.... Selepas Al-Quran Haramain dan Muslimah di terbitkan kini buku terbaru bakal beradad dipasaran penulisan dari Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus iaitu Formula Keluarga Bahagi.
Semua kita impikan keluarga bahagia. Keluarga yang padanya
kita berasa tenang dan tenteram. Keluarga yang padanya kita
boleh letakkan harapan untuk menjadi manusia idaman TUHAN.
“Bahagianya rasa”... ini kata kita. Kata-kata azimat yang kita
mahu ia direalisasi dalam kehidupan sementara
yang kita mahu peluk seeratnya.
TUHAN sekalian alam memberi panduan untuk kita beroleh kebahagiaan. Kata-NYA “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram”. Mengingati ALLAH itu punca rasa tenteram. Rasa tenteram itu punca hati bahagia. Dan hati bahagia itu punca keluarga bahagia. Kitalah yang menentukan arah dan tujuan hidup kita. Kitalah juga yang menentukan bahagia tidaknya hidup kita.
 
FORMULA KELUARGA BAHAGIA terbentang di hadapan kita... anugerah pemberian Yang Maha Esa. Jangan berpaling dari jalan yang DIA berikan. Jalan yang kita sendiri tahu apa yang menunggu pada akhirnya... rasa bahagia.
 
Antara Kandungan Menarik:
  • Mengakikahkan Diri Sendiri
  • Walimatul Urus yang Terurus
  • Sujud Sahwi Cara Nabi SAW
  • Masalah Berkahwin di Thailand
  • Isteri Berkongsi Gaji Dengan Suami
  • Mandi Bunga Dapat Cepatkan Jodoh?
  • Bomohkan Suami Untuk Halang Poligami
  • Konflik Antara Hak Ibu Bapa dan Tunangan
  • Pasangan Berkahwin Bercumbuan di Tempat Awam
  • Tempat Anak Bukan Islam yang Mati Sebelum Baligh

Sunday, August 25, 2013

Selamat Hari Merdeka Malaysia!

KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan. Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta’ala dengan penuh ketenangan.

Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita, generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan. Kurangkan budaya melepak dan hanya menatap kemudahan teknologi komunikasi tidak bergaul sesama insan menyebabkan kita terpinggir dari landasan yang dianjurkan Islam.

Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta’ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh. Cara kita berpakaian, makan dan berhibur haruslah sentiasa berwaspada agar tidak lari dari hukum dan cukuplah mengamalkan amalan bersederhana.

Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin  yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.

Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan. Bebaskanlah dari amalan-amalan yang boleh memudaratkan kita di akhirat kelak. Bahagia dengan kemungkaran di dunia akan padah di akhirat.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
“Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri  daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta’ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.

Wallahu a’lam.

Sunday, August 4, 2013

"Patah tumbuh hilang berganti" - Selamat Hari Raya Aidilfitri 2013

 
Assalamualikum... Sempena Aidilfitri yang akan menjelang, kami dari TEAM KB mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. Pandulah kereta dengan cermat, bagi yang berkenderaan, berilah lampu isyarat kiri dan kanan jika ingin memotong kenderaan di hadapan. Sayangilah keluarga yang tersayang. 

Buat pertama kali tahun ini TEAM KB ketiadaan ketua kami Wan Rohana Wan Abdul Manaf kerana telah pun bersara. Kami umpama anak ayam yang kehilangan ibunya, tiada tempat untuk berkasih sayang dan meluah rasa. Rasa sedih mengundang di hati setiap staff di sini. Apa-apapun hidup ini kena redha walau apa yang mendatang perjuangan tetap perjuangan untuk menerbitkan buku-buku yang mengilmukan amalan masyarakat. Begitu juga dengan graphic designer kami yang ditugaskan ke Majalah Mingguan Wanita iaitu Nadirah Ahmad. Kenangan bersama kalian tetap kami kenang sampai akhir hayat. Susah senang kita tanggung bersama, buat sampai jadi dan fokus kepada apa yang kita kehendaki. Namun, kesedihan kami di serikan oleh Sofian Resali merupakan salah seorang penulis Karya Bestari. Dan kewujudan department Al-Quran mengubat hati kami. Selamat datang dan sama-sama kita perjuangkan ilmu ALLAH ini...
Hari Raya memang seronok jika kita imbau kembali zaman kanak-kanak. Berbaju baru penuh warna warni. Keseronokan itu di meriahkan dengan kegembiraan kerana berjaya mengawal nafsu dan mendisiplinkan diri dan berpuasa di bulan Ramadan. Dalam kemeriahan pula jangan lupa melunaskan zakat fitrah bagi melengkapi Rukun Islam ke tiga, ziarah sanak saudara dan jangan lupa pada yang telah tiada di samping mendidik anak-anak agar jangan lalai tentang kematian bukan keindahan dunia semata-mata.
Akhir kata bersederhanalah dalam apa jua keadaan kerana amalan tersebut dituntut dalam agama kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin jika terkasar bahasa, terlanjur bicara, terusik jiwa, terkata, terkeji dan termengada... Buat penulis-penulis kami, TEAM KB amat berterima kasih dan memohon kemaafan dari hujung rambut sampai hujung kaki sekiranya kami tidak terlayan dan tidak memberikan layanan yang sempurna. Siapalah kami yang berusia putik jagung untuk memenuhi kehendak kalian yang menggunung. Moga doakan kami sentiasa tabah dan kreatif dalam menerbitkan buku ilmiah yang berguna untuk segenap lapisan masyarakat. Buat peminat-peminat Karya Bestari teruskan menyokong kami. Yang salah diperbetulkan yang lalai diingatkan... Salam sayang dari Karya Bestari untuk anda semua.

Wednesday, July 31, 2013

Redha dengan kehidupan susah

SAMA ADA hidup susah atau senang, kita wajar menghalakan tujuan hidup semata-mata kerana ALLAH dan bertawakal setelah segala usaha dilakukan. Bagi mereka yang hidupnya miskin, menghadap hidangan seadanya sudah mencukupi kerana sekurang-kurangnya ALLAH tetap memberi rezeki untuk mengisi perut.  
http://malaysiadaily.my/menangani-kemiskinan-tegar
makanan yang sering dijadikan alas perut

Sebenarnya ALLAH Maha Adil dan Bijaksana dalam menentukan hidup hamba-NYA. Hanya manusia sahaja yang berasa diri mereka tidak diadili dengan sebaik-baiknya. Sebagai hamba beriman, usah bersedih jika kita diberi kehidupan miskin dan susah. ALLAH sebenarnya lebih tahu apa yang DIA mahukan untuk hamba-NYA.

Hari ini, ramai yang tidak menyedari bahawa hidup susah atau senang itu sebenarnya ujian ALLAH. Bagi yang beriman, mereka lebih suka memilih hidup yang sarat dengan ujian. Ini kerana dengan cara ini mereka akan dapat memuhasabah diri dan bimbang akan lupa diri jika hidup dalam kesenangan. Justeru, ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW memilih cara hidup yang penuh ujian. 

Malah, kita juga dianjurkan supaya dilindungi daripada kefakiran. Bagaimanapun, sekiranya ketetapan ALLAH memberikan kesusahan hidup kita disarankan agar banyak bersabar dan redha.

Umat yang beriman harus menyedari bahawa ALLAH menetapkan kehidupan susah tidak lain hanya kerana ingin menguji iman di dada. Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 155-156, yang bermaksud,

Dan sungguh akan KAMI berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun.”

Tidak dinafikan, kesusahan hidup yang dialami juga boleh berpunca daripada maksiat yang dilakukan. Dengannya kehidupan menjadi sempit serta terhalangnya daripada dibukakan pintu rezeki. Ibnu Abbas r.a pernah berkata, “Sesungguhnya kebaikan itu sinar di wajah, cahaya di dalam hati, kekuatan di badan, keluasan dalam rezeki, kecintaan di dalam hati setiap orang. Sedangkan keburukan adalah kemuraman di wajah, kegelapan di hati, kelemahan di badan, mengurangi rezeki, dan penyebab kebencian di hati orang.”

Hakikatnya, ALLAH tidak pernah menghina hamba-hamba-NYA apabila diberi kesusahan hidup. Malah, DIA sentiasa melindungi dan menjaga kemuliaan dengan cara menguji mereka sama ada dalam bentuk harta, anak-anak atau isteri. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, katanya,

Sesungguhnya jika seorang hamba telah ditulis baginya satu kedudukan yang tidak mampu dia capai dengan amalnya, maka ALLAH mengujinya di dalam harta atau badan atau anaknya.

Maka, kita janganlah terlalu memikirkan mengapa ALLAH mentakdirkan kesusahan kerana kita mesti percaya bahawa ada orang lain yang hidupnya lebih susah. Kita hendaklah bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan. Kesusahan yang kita alami hanyalah salah satu ujian kecil daripada-NYA. Oleh itu, apabila bangun pada pagi hari janganlah sama sekali kita merungut tentang kesusahan hidup yang dialami, tetapi hendaklah sentiasa berdoa agar dimurahkan rezeki oleh-NYA. Rasulullah SAW telah bersabda,

Barang siapa yang bangun pada waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah dia bersungut kerana perbuatan TUHANnya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada ALLAH. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua pertiga agamanya.

Berusahalah bermanis muka pada setiap pagi dan lemparkan jauh-jauh jika ada masalah yang membelenggu. Mulakan hari baru dengan senyuman kerana ia merupakan sedekah yang tidak perlu mengeluarkan modal tetapi besar ganjarannya!

Petikan: 100 Jejak Peribadi Rasulullah(Karya Bestari)

Kurangkan Berhutang

PADA dasarnya, Islam membolehkan kita berhutang tetapi tidak digalakkan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW berkata, 
“Jangan kalian membuat takut bagi jiwa yang selesa tenang.” Mereka bertanya, “Apa itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW  menjawab, “Berhutang.”
Memberi hutang boleh menjadi wajib sekiranya seseorang itu amat memerlukan atau kerana terdesak. Ini kerana, memberi hutang ibarat menghulurkan pertolongan kepada orang yang sangat memerlukan seperti ditimpa bencana dan kesusahan dalam kehidupan. Ini sesuai dengan penjelasan ALLAH dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud,
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat berat seksa-NYA.
Bagaimanapun, orang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya dan janganlah sampai meninggal dunia masih lagi belum sempat membayarnya. Hutang yang tidak dilunaskan sehingga si peminjam meninggal dunia, akan menyebabkan rohnya tergantung antara langit dan bumi sehinggalah hutang itu dijelaskan. Ulamak berpendapat jika tidak dapat dijelaskan oleh waris si mati atas sebab tertentu, hutang itu akan menjadi tanggungan Baitulmal.

Berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Manakala seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang walaupun berkemampuan, boleh mendatangkan kesan buruk sama ada di dunia atau akhirat. Antaranya:
  1. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilangnya maruah.
  2. Hidup tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan ALLAH.
  3. Perbuatan itu termasuk dalam perbuatan zalim.
  4. Amalan kebajikan tidak akan diterima. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya). - Riwayat Ibnu Majah

Untuk mengelakkan kekeliruan ketika membayar hutang, si penghutang disaran supaya mencatat butiran hutang seperti jumlah hutang, tarikh berhutang dan tempoh pembayaran hutang. Semuanya hendaklah dilakukan dengan adil dan jika jumlah hutang terlalu banyak ada baiknya diperlukan saksi. Sayyid Qutub berkata, “Tugas mencatat atau menulis hutang piutang itu merupakan satu tugas yang diwajibkan dengan nas, bukannya ditinggalkan kepada pilihan sukarela sahaja dalam urus niaga hutang piutang yang bertempoh. Tugas ini diwajibkan kerana ia mempunyai sesuatu hikmah yang tersirat di sebaliknya.”
Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. - Gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Muaz r.a pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai hutangnya kepada seorang Yahudi, baginda kemudian mengajarnya supaya membaca ayat di dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 26-27 yang bermaksud,
Katakanlah: “Ya ALLAH yang memiliki kerajaan! Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut (lenyapkan) kerajaan itu daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu.”
Ayat ini boleh dibaca sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang. Di samping berdoa, kita juga disuruh berusaha dengan apa cara sekalipun baik segi fizikal atau mental untuk melunaskan hutang dan tidak hanya mengharapkan rezeki jatuh dari langit semata-mata. Yakinlah... ALLAH sentiasa akan membukakan jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

Petikan: 100 Jejak Peribadi Rasulullah

Monday, July 22, 2013

Al-QURAN AL KARIM KARYA BESTARI



"Kalau Dah Jodoh... Manisnya Ramadan" - Ustaz Mohd Kazim Elias di Surau Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam....

Anda semua dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan Madrasah Ramadan Karangkraf pada 24 Julai (Rabu) bersamaan 15 Ramadan 1434H.  Bersama personaliti jemputan iaitu Ustaz Kazim Elias yang akan membincangkan tajuk “Kalau Ada Jodoh… Manisnya Ramadan.”
 

Semoga manfaatnya dapat diraih bersama demi mencari malam seribu bulan.  Ayuh! Barakan jiwa Ramadan dan jadilah hamba yang mencari Lailtul Qadar bukan hanya menantinya!


"Kalau Dah Jodoh... Manisnya Ramadan"
Penyampai: Ustaz Mohd Kazim Elias
Tarikh: 24 Julai 2013 (Rabu)
Masa: 5.30-6.30 petang.
Tempat: Di Surau Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
MASUK PERCUMA DAN DI BUKA UNTUK SEMUA.