Friday, March 25, 2011

DI MANA DIA DI HATIKU… mendidik kita mencintai ILAHI

“Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pintu hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak lagi mempunyai hati.” - Imam Ghazali. Di Mana DIA di Hatiku, itulah tajuk forum anjuran Fun & Exciting Weekend With IluvIslam (FEWWIT) yang berlangsung pada 20 Mac 2011 lalu. Bertempat di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sempena Minggu Kesenian Islam Kolej Ungku Omar, majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Bayangkan... betapa damainya hati melihat dewan besar telah mula dipenuhi sejak seawal 8.30 pagi lagi. Di saat rakan seusia sedang seronok bersantai pada hujung minggu, lebih 500 orang anak muda ini sanggup mengenepikan masa rehat untuk bersama-sama merebut peluang menambah ilmu. Mudah-mudahan rahmat ALLAH mengiringi dalam apa jua perkara yang dilakukan ke arah kebaikan.Kombinasi mantap ahli panel membuatkan program selama tiga jam itu terasa begitu cepat berlalu. Kepetahan Wardina Safiyyah berbicara dengan lontaran kata-kata padat berilmu dan berselang seli gurauan mengusik melengkapkan perisa kesempurnaan majlis. Kebijaksanaan ibu jelita beranak tiga ini sebagai moderator amat bertepatan dengan `falsafah’nya, “Do good, become good and you will feel good.”
Suasana meriah program juga semakin merantai kaki masing-masing dengan penyampaian memikat Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Ustaz Syed Kadir Al-Jofree. Setiap bait kata penuh berhemah kedua panel berwajah tenang ini seolah-olah mampu dihadamkan dengan sebaiknya. Tiada sepatah pun berbaur menghukum, tetapi mengajak dan memujuk anak-anak dengan nasihat lembut yang disulami usikan spontan.
Pengisian program lebih kepada menyedarkan kita bahawa hati yang cerdik adalah hati orang mukmin yang merasai dekat dengan ALLAH, merasai DIA sentiasa ada di hati. Hati yang dikuasai dengan kebaikan akan melahirkan kebaikan yang banyak. Kita akan menjadi luar biasa kerana hati yang akrab dengan-NYA. Cubalah semak kualiti hati kita; dari manakah datangnya kejahatan pada hati - takbur, angkuh, sombong dan riak. Manusia yang bersikap besar diri, megah, rasa hebat dan lebih baik daripada orang lain adalah kerana tidak merasai kebesaran ALLAH di dalam hati.

Memetik kata-kata Imam Ghazali, “Janganlah letakkan ilmu itu di kepala kerana ia umpama pelita yang diletak di atas atap, tapi letakkanlah ilmu itu di hati kerana ia akan menerangi rumah”. Oleh kerana itulah, insan yang berjaya mempunyai spiritual intelligence (kecerdikan
dalaman/rohani) - ada perasaan bertuhan, sentiasa ada ALLAH di hati. Dia tahu dia dari mana, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Ingatlah wahai diri… dalam kembara kehidupan ini, segala apa jua yang terjadi adalah dengan izin-NYA. Jika datang orang menghadiahkan air mata, itu bermakna ALLAH sedang mendidik kita tentang sifat sabar. Mohonlah kepada-NYA, hanya kepada DIA tempat kita mengadu. Dan, jika diri berada di puncak, sujud kepada-NYA usah sesekali dilupa. Moga kita sentiasa beroleh hidayah dan rahmat dengan izin-NYA.
Majlis yang diakhiri dengan sesi soal jawab turut mendapat sambutan dan setiap kemusykilan dileraikan dengan penjelasan memuaskan daripada ahli panel. Mudah-mudahan majlis ilmu sebaik ini diteruskan dari semasa ke semasa. Sememangnya, kita sebagai hamba perlu sentiasa mengisi kekosongan hati dengan tazkirah agar tidak alpa mengharungi kehidupan ini. Apatah lagi, ketenangan hati pasti dinikmati apabila tidak terlalu disibukkan oleh urusan duniawi.
Kami, dari Grup Buku Karangkraf mengucapkan tahniab buat Iluvislam.com dengan tenaga penerajunya; Imran Kayoube, Wann Firdaus, Zulhafidz dan seluruh team (anak-anak muda yang berjiwa besar) di atas usaha murni yang dilakukan. Ternyata, kejayaan program Bebas dari Belenggu, Dr. Azhar di UIA dibuktikan sekali lagi dengan kejayaan program Di Mana DIA di Hatiku ini. Semoga program FEWWIT seterusnya bersama Ustaz Emran Ahmad (Mencari Pasangan Hidup) juga akan mengulangi kejayaaan kedua forum ini. Insya-ALLAH..

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar. Kerana sesungguhnya, bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” -
Surah al-Haj

No comments: