BEBERAPA
tahun dahulu, saya cuba mencari maklumat mengenai haji Nabi SAW tetapi
tidak menemuinya. Pencarian orang biasa pasti tidak mudah mendapat
jawapannya walaupun mungkin ia sebenarnya tidak jauh daripada kita.
Ketika itu saya begitu ingin mengetahui apakah jenis haji yang Nabi SAW
lakukan? Bagaimana pula kisah perjalanan haji baginda? Namun, saya masih
tidak ketemu dalam mana-mana kuliah atau kursus haji yang membicarakan
perkara ini.
Saya
pernah bertanya kepada dua orang pembimbing haji dan umrah, tentang
jenis haji apakah Nabi SAW lakukan. Maksud saya bukan Haji Wada’, itu
saya tahu. Cuma adakah jenis Ifrad, Tamattu’ atau Qiran? Lalu, saya
menerima dua jawapan berbeza iaitu, satu kata Haji Tamattu’, satu lagi
kata Haji Ifrad. Saya dapat rasakan mereka sendiri tidak yakin dengan
jawapan yang diberitahu. Mungkin tidak sangka agaknya ditanya begitu.
Mungkin
ada yang berkata, kursus dan haji yang kita buat hari ini bukan haji
cara Nabi. Ya... benar, secara umumnya memanglah begitu. Maksud saya,
kita tidak tahu setakat mana peratusan kesamaannya dengan sifat haji
Nabi. Sebab kita tidak pernah ambil tahu atau diberitahu. Sedangkan
dalam menentukan keutamaan jenis haji pun ada perbezaan pandangan.
Mungkin
ada yang tidak mahu ambil kisah, tetapi bagi yang berminat, tentu ingin
tahu. Saya pun sama. Terasa ingin mengetahui sifat haji Nabi dan kisah
perjalanan haji baginda. Dialog-dialog dan kejadian-kejadian yang
berlaku antara Nabi dan isteri-isteri, antara Nabi dan sahabat-sahabat
serta peristiwa dan kejadian sepanjang perjalanan hajinya. Sewajarnya
kita mencontohi apa yang ditunjukkan Nabi dalam ibadat haji semampu yang
terdaya. Bukankah itu yang sebaiknya?
Kalau
kita berbeza daripada apa yang Nabi tunjuk dan suruh, persoalannya
mengapa? Bukankah kita berhak mendapatkan jawapan dan penjelasannya?
Sekurang-kurangnya sebagai pencinta Nabi, kita berhak mengetahui
alasan-alasan wajar atas kegagalan melakukan seperti Nabi tunjuki.
Sekurang-kurangnya, kita juga mempunyai ilmu haji mengikut sunnah.
Justeru,
sebagai langkah pertama, dikemukakan dua versi ringkas kisah sebagai
usaha menyuntik rasa ingin tahu kepada sifat haji Nabi SAW. Langkah
kedua, rujuklah kepada ilmuwan sunnah untuk perincian dan penjelasan.
Sifat haji Nabi (sejak berangkat dari Madinah hingga kembali, seakan-akan anda menyertainya) 60
- Rasulullah
SAW tinggal di Madinah selama sembilan tahun dan belum sempat berhaji.
(Para ulama bersepakat bahawa Nabi SAW tidak melakukan haji sejak
berhijrah ke Madinah kecuali sekali sahaja iaitu Hajjatul Wada’ iaitu
pada tahun ke-10 hijrah.)
- Pada tahun ke-10 Hijrah, baginda mengumumkan kepada kaum muslimin bahawa baginda SAW akan pergi haji pada tahun itu.
- Atas
makluman itu, ramai orang datang ke Madinah. Diumpamakan setiap orang
yang boleh datang dengan menaiki tunggangan atau berjalan kaki, pasti
akan datang. Manusia saling berebut untuk mendapatkan baginda atau
keluar bersama.
- Baginda SAW bersabda, “Miqat bagi penduduk
Madinah adalah Zul Hulaifah, Miqat bagi penduduk di jalur lain adalah
Juhfah, Miqat bagi penduduk Iraq adalah Zatu Irq. Miqat bagi penduduk
Najed adalah Qarn. Miqat bagi penduduk Yaman adalah Yalamlam.
- Maka
Rasulullah SAW keluar lima hari terakhir dalam bulan Zulkaedah. (Iaitu
setelah baginda bersikat, mengenakan wangi-wangian, memakai dua kain di
bahagian atas dan bahagian bawah tubuhnya bersama para sahabat. Baginda
tidak pernah melarang jenis kain sarung atau kain penutup tubuh lainnya,
kecuali yang diwarnai dengan za’faron, sebagaimana yang dijelaskan oleh
Ibnu Abbas dalam sahih Bukhari.
Za’faron
adalah sejenis pewarna kuning. Hadis tersebut daripada Ibnu Abbas
mengandungi petunjuk yang disyariatkan agar mengenakan pakaian ihram
sebelum sampai di Miqat, berbeza dengan pendapat yang tepat), atau
setidaknya berhampiran Miqat bagi orang yang berada di kapal terbang dan
takut melalui miqat sebelum berihram.
Demikian
juga harus diketahui bahawa tidak disyariat melafazkan niat, baik dalam
ihram atau dalam ibadat-ibadat lain seperti bersuci, sembahyang,
berpuasa dan sebagainya. Niat disimpan dalam hati sahaja. Riwayat yang
sahih daripada Rasulullah SAW mengenai doa yang diucapkan baginda ketika
ihram adalah, “Labbaika allahumma ‘umrotan wa hajjan,” cukup hanya sekadar itu sahaja.
- Membawa haiwan sembelihan.
- Kami (sahabat-sahabat) pun keluar bersama baginda. Turut serta ialah isteri-isteri dan anak sahabat.
- Hingga akhirnya kami (sahabat-sahabat) sampai di Zul Hulaifah, dan Asma binti Umais melahirkan Muhammad bin Abi Bakr.
- Asma’ mengutuskan orang kepada Rasulullah SAW untuk bertanya, “Apa yang harus aku kerjakan?”
- Baginda
SAW bersabda, “Mandilah lakukan istitfar dengan kain [tindakan membalut
kemaluan dengan kain lebar setelah diisi dengan kapas dan mengikat
kedua hujungnya, sehingga dapat menghalang mengalirnya darah
haid-nifas], lalu berihramlah.”
- Maka Rasulullah SAW sembahyang di masjid sambil berdiam diri.
Ihram
- Lalu
Rasulullah SAW menaiki Qashwa (unta nabi) hingga ketika unta tersebut
betul-betul berdiri tegak di Baida’, baginda langsung berihram untuk
haji (lafaz ihlal, ertinya berteriak melakukan talbiah. Dikatakan,
“Orang berhaji itu berihlal memulai haji yakni ketika mengenakan pakaian
ihram dan meneriak-kan talbiah.”
Demikian
diterangkan dalam An-Nihayah. Hadis tersebut mengandungi penjelasan
bahawa Rasulullah SAW memulai haji tanpa umrah. Namun dalam hadis Anas
dan yang lainnya dalam sahih Bukhari dan Muslim serta yang lainnya
disebutkan, baginda berihram untuk haji dan umrah sekali gus. Demikian
disebutkan dalam As-Sahihain sebagaimana dijelaskan oleh Ibnul Qayyim
dalam Zadul Ma’ad. Beliau memaparkan sekitar 20 hadis daripada 20 orang
sahabat bahawa Nabi melakukan Haji Qiran.
Tetapi
sayang, di situ tidak dirujuk kepada ucapan Aisyah r.a, “Wahai
Rasulullah SAW, apakah kamu akan mulai melakukan haji dan umrah,
sementara aku sendiri melakukan haji?”(HR Bukhari dan Ahmad). Daripada
hadis Jabir r.a diketahui bahawa Rasulullah SAW melakukan Haji Qiran.
Maka bagaimana mungkin diriwayatkan daripadanya bahawa Rasulullah SAW
melakukan ihram untuk haji sahaja secara Ifrad?
Jawapannya
datang dari dua sisi: Pertama, hendaklah ditafsirkan sebagai perbuatan
baginda pada awal ihram sebelum baginda singgah di lembah ‘Aqiq di mana
baginda pernah diperintahkan membaca al-Quran sebagai-mana dijelaskan
oleh Umar bin al-Khattab.Beliau menceritakan, “Aku pernah mendengar
Rasulullah SAW pergi ke Lembah ‘Aqiq dan berkata, malam itu datanglah
utusan daripada Rabbku dan berkata, “Sembahyanglah di lembah yang penuh
berkat ini dan katakan ‘umrah’.” Dalam riwayat lain, ‘Haji’ (HR Bukhari dan yang lainnya).
Kedua,
Jabir r.a. memang tidak pernah mendengar Rasulullah SAW berihram untuk
umrah bersama haji. Oleh sebab itu dia hanya meriwayatkan yang dia
dengar sahaja. Hal ini agak mustahil kerana Jabir r.a tidak hanya
sendirian meriwayatkan kisah itu. Bahkan ramai sahabat lain yang juga
meriwayatkannya seperti Aisyah r.a dalam sahih Bukhari dan Muslim dan
yang lainnya.
Dalam
riwayat Muslim, Al-Muwatta, dan Ibnu Saad diriwayatkan dengan lafaz
riwayat Jabir r.a secara tegas, “Hanya melakukan haji secara Ifrad.”
Maka amatlah sukar untuk mentafsirkan bahawa riwayat di atas menunjukkan
ketidak-tahuan sahabat Nabi terhadap persoalan tersebut. Anggapan
tersebut terbantah oleh kenyataan bahawa riwayat tersebut mempunyai
penyertaan daripada Abdul Aziz bin Abu Hazim (dalam satu riwayat
disebutkan bahawa baginda memulai ihram Haji Ifrad bersama para
sahabat).
- Jabir
r.a melihat sejauh pandangannya iaitu ke depan, kanan, kiri dan
belakang. Begitu ramai orang yang sebahagiannya menaiki tunggangan
sementara yang lain berjalan kaki, (Imam Nawawi menyatakan, “Hadis itu
mengandungi petunjuk boleh melakukan haji dengan berjalan kaki atau
menaiki tunggangan. Namun para ulama berbeza pendapat iaitu, kebanyakan
ulama menegaskan bahawa menaiki tunggangan itu lebih baik kerana ia
memudahkan pelaksanaan manasik yang disyariatkan, selain menaiki
tunggangan lebih memerlukan biaya. Abu Dawud menyatakan, ‘Berjalan itu
lebih baik kerana lebih sukar.’ Pendapat itu amat keliru, kerana
kesukaran bukanlah tujuan syariat”).
Ketika
Rasulullah SAW berada di tengah-tengah kami, turun ayat al-Quran kepada
baginda. Baginda mengamalkan dan kami juga turut
mengamalkannya.[Terdapat pengajaran penting di sini bahawa wahyu/ayat
Quran yang diturunkan hanya Nabi yang mempunyai pentafsiran yang benar
dan tepat, dan pastinya para sahabat memerlukan pentafsiran dan
penjelasan daripada Nabi. Oleh itu, bagi semua kerja ibadat haji (dan
begitu yang lain) para sahabat sudah tentu mengikut sahaja apa yang
baginda lakukan (atau suruh). Segala apa yang Nabi amalkan akan mereka
amalkan bersama].
- Lalu baginda mula melakukan talbiah dengan kalimat tauhid, “Labbaikallahumma labbaik. Lab-baikala syarika laka labbaik. Innal hamda wan ni’mata laka wal mulka la syarika lak.” (Kami
menyambut panggilan-Mu, ya ALLAH, kami menyambut panggilan-Mu, tidak
ada sekutu bagi-Mu, kami menyambut panggilan-Mu. Sesungguh-nya segala
puji, segala kenikmatan, dan kekuasaan adalah milik-Mu, tidak ada sekutu
bagi-Mu.)
- Kaum muslimin turut melakukan talbiah sebagaimana yang baginda lakukan. Ada juga yang menambahkan lebih daripada itu, “Labbaik Zal Ma’arij, labbaik Zal fawadhil.” Namun Rasulullah SAW tidak membantah mereka!
- Rasulullah SAW pula tetap membaca talbiah baginda tersebut.
- Jabir r.a menceritakan lagi, “Kami selalu mengucapkan, “Labbaikallah humma,” “labbaik bil hajj.”
Kami mengucap dengan keras. Kami hanya meniatkan Haji Ifrad sahaja.
Kami tidak menggabungkannya bersama umrah.” (Dalam riwayat lain : Kami
belum mengenal umrah)
- Aisyah r.a mulai melakukan umrah. Ketika sampai di Sarif, beliau mengalami haid.
Memasuki Kota Mekah dan Tawaf
- Sehingga ketika kami tiba di Baitullah bersama baginda, pada pagi hari kelima Zulhijah.
- Nabi SAW menghampiri pintu masjid, lalu menghentikan kenderaannya dan masuk ke masjid.
- Lalu
baginda mengusap-usap Rukun (dalam riwayat lain, Hajarul Aswad).
Menurut Nawawi dalam Syarh Muslim, mengusap Hajarul Aswad merupakan
amalan yang disunatkan pada setiap tawaf.) (Baginda juga menyentuh Rukun
Yamani sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Ibnu Umar, namun Nabi
tidak menciumnya, kecuali mencium Hajarul Aswad sahaja. Semua perbuatan
tersebut (menyentuh dan mencium) tidak disyariatkan terhadap rukun-rukun
yang lain. Hanya Rukun Yamani yang dianjurkan untuk diusap. Disunatkan
juga membaca takbir di sisi Hajarul Aswad pada setiap tawaf berdasarkan
hadis Ibnu Abbas yang diriwayatkan, “Rasulullah SAW bertawaf
mengelilingi Kaabah sambil menaiki unta. Kalau mendekati rukun, baginda
memberi isyarat (menunjukkan ke arahnya) dengan benda apa sahaja yang
ada di tangan baginda, lalu baginda bertakbir.” - Riwayat Bukhari
Adapun
membaca bismillah, kami belum pernah mendapatnya dalam hadis marfu’.
Memang ada riwayat sahih daripada IbnUmar mengatakan baginda
mengusap-usap Hajarul Aswad sambil mengucapkan, “Bismillahi, Allahu Akbar.” (Riwayat Baihaqi). Sanadnya dinyatakan sahih sebagaimana dijelaskan oleh Nawawi dan ‘Asqalani).
- Kemudian baginda berjalan ke arah kanan.
- Baginda berjalan cepat (Para ulama berkata,“Raml
adalah berjalan cepat tetapi dengan langkah-langkah pendek.”) [Sampai
kembali lagi ke posisi semula] sebanyak tiga pusingan, dan berjalan
biasa empat pusingan (Rasulullah SAW melakukan tawaf dengan idhthiba’
(mengenakan kain dengan meletakkan salah satu bahagian di atas bahu
kiri dari bahagian atas, dan satu bahagian lagi dari bawah ketiak, bahu
kanan terbuka sementara bahu kiri tertutup).
- Kemudian baginda beranjak ke Makam Ibrahim dan membaca, “Wattakhizu min maqami Ibrahim musholla” (Dan jadikanlah Makam Ibrahim sebagai tempat sembahyang. [Baginda berteriak memperdengarkan suara baginda kepada kaum muslimin].
- Baginda
berdiri menghadap Baitullah, sementara Makam Ibrahim berada di antara
baginda dan Kaabah. [Lalu baginda sembahyang dua rakaat].
- Pada dua rakaat itu baginda membaca (Qul Huwallahu Ahad) dan (Qul ya Ayyuhal kafirun) (Dalam riwayat lain: Qul ya ayyuhal kafirun dan Qul huwallahu Ahad.)
- Kemudian baginda pergi ke perigi zamzam untuk minum dan menyiramkan ke kepalanya.
- Baginda kembali lagi ke rukun dan mengusapnya.
Saie antara Bukit Safa dan Marwah
- Baginda keluar dari pintu (dalam riwayat: pintu Safa) menuju ke bukit Safa. Ketika sudah mendekati bukit itu, baginda membaca,“Innas sofa wal marwata min sya’airillah”
(Sesungguhnya Safa dan Marwa termasuk syiar-syiar ALLAH) Aku memulai
(dalam riwayat lain: Kami memulai) dari mana ALLAH memulainya. Baginda
memulai dari Safa, mendaki bukit itu sehingga dapat melihat Baitullah.
- Lalu
baginda menghadap kiblat sambil membaca kalimat tauhid dan bertakbir
(tiga kali) [bertahmid kepada ALLAH] lalu mengucapkan, “Ia ilaha
illalllah wahdahu laa syarika lah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa
yumitu] wa huwa ‘ala kulli syaiin qodir la ilaha illallah wahdahu la
syarika lah], anjaza wa’dah, wa nashoro ‘abdah, wa haza-mal ahzaba
wahdah.” (Tidak ada yang berhak disembah dengan benar melainkan
ALLAH semata-mata, tidak ada sekutu bagi-NYA, yang mempunyai kekuasaan,
mempunyai segala pujian yang menghidupkan dan mematikan dan Maha
berkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada yang berhak disembah melainkan
ALLAH, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-NYA], yang selalu menunaikan
janji-NYA, yang selalu menolong hamba-NYA serta mengalahkan musuh).
Kemudian baginda berdoa di antara semua aktiviti tersebut dan
mengulanginya sebanyak tiga kali.
- Baginda turun sambil berjalan
menuju Marwah, hingga kedua tapak kaki baginda berdiri tegak di perut
lembah, baru baginda berlari-lari kecil. Baginda kembali berjalan sampai
ke bukit Marwah. Lalu baginda mendakinya dan memandang ke arah
Baitullah. Terdapat hadis menunjukkan bahawa Rasulullah SAW berjalan
kaki. Sementara dalam hadis lain disebutkan bahawa baginda mengelilingi
antara Safa dan Marwah sambil menaiki unta di antara kaum muslimin, agar
mereka dapat bertanya kepada baginda.
Kesimpulannya,
baginda pertama kali bersai’e dengan berjalan kaki. Kemudian baginda
bersa’ie sambil menaiki tunggangan setelah umat manusia ramai dan
berasak-asakan. Itu dikuatkan oleh hadis Ibnu Abbas yang secara tegas
menceritakan bahawa baginda memang berjalan terlebih dahulu tetapi
ketika manusia sudah semakin ramai, baru baginda menaiki tunggangan.
Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim dan yang lainnya. Sebagaimana juga
disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma’ad dan dinyatakan hasan oleh
beliau.)
- Baginda melakukan hal serupa di atas bukit Marwah sebagaimana yang baginda lakukan di bukit Safa.
Perintah Mengubah Haji dan Umrah
- Di akhir sa’ie (dalam riwayat lain, yakni pada hari ketujuh) di atas bukit Marwah baginda SAW bersabda, “Wahai
kaum muslimin, kalau aku boleh mengulangi apa yang telah kulakukan,
tentunya aku tidak akan membawa haiwan sembelihan, dan sungguh aku ubah
haji ini menjadi umrah. Maka, siapa sahaja yang belum membawa
sembelihan, hendaklah ia bertahalul dan menjadikannya sebagai umrah!]”
(Dalam riwayat lain baginda SAW bersabda, “Bertahalullah daripada ihram
kamu, bertawaflah keliling Baitullah, lakukan sai’e antara Safa dan
Marwah, lalu potonglah rambut. (Itulah sunnah orang yang bertamattu’,
yakni menggunting rambut tanpa membotakkannya. Kepalanya dibotakkan pada
hari Aidil Adha setelah selesai mengerjakan semua manasik haji,
sebagaimana dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan yang
lainnya. Sabda Nabi, “Ya ALLAH, ampunilah orang yang membotakkan kepalanya dalam haji, sebanyak tiga kali”) dan bermukimlah dalam keadaan halal.
Pada
hari Tarwiyah, (Iaitu hari kelapan dari Zulhijah) berihramlah untuk
haji dan jadikan ibadat haji yang sudah kamu lakukan sebagai Haji
Tamattu’. (Iaitu menjadikan haji ifrad yang mereka niatkan sebagai
umrah. Mereka menyelesaikan haji mereka sehingga menjadi Tamattu’. Umrah
itu disebut sebagai Tamattu’ hanya sebagai kiasan sahaja, kerana kaitan
antara keduanya jelas sekali.)
- Bangkitlah
Suraqah bin Malik bin Ju’syum (yang diketika itu berada di kaki bukit
Marwah) sambil berkata, “Wahai Rasulullah SAW, apakah menurutmu umrah
kita (dalam lafaz lain: Tamattu’ kita) ini, apakah hanya untuk tahun ini
sahaja ataukah untuk selama-lamanya?” Baginda menjawab sambil menganyam
jari jemarinya, “Umrah sudah masuk bahagian haji hingga hari kiamat.
(Imam Nawawi menyatakan, “Ertinya menurut kebanyakan ulama adalah umrah
boleh dilakukan pada bulan-bulan haji untuk memansuhkan kebiasaan
jahiliah.” Ada juga yang menyatakan bahawa umrah itu termasuk dalam
manasik haji. Ada juga yang berpendapat bahawa ertinya kewajipan umrah
itu sudah gugur.) “Tidak demikian malah untuk selamanya. [bahkan untuk
selama-lamanya (tiga kali)].”
- Suraqah bertanya, “Wahai
Rasulullah SAW, jelaskanlah kepada kami tentang agama kami. Seolah-olah
baru sekarang kami diciptakan. Untuk apa kami beramal sekarang? Apakah
mengikut ketentuan ILAHI, atau menurut apa yang kami lakukan?”
Rasulullah SAW menjawab, “Malah menurut takdir dan menurut ketentuan
ILAHI.” Dia kembali bertanya, “Lalu apa gunanya kami beramal [kalau
begitu]?” Baginda menjawab lagi, “Beramallah. Sesungguhnya masing-masing
akan dimudahkan (kepada apa yang telah ditakdirkan baginya.”)
- Lalu
baginda memerintahkan kami selesai bertahalul untuk menyembelih haiwan
dan beberapa orang di antara kami berkumpul melaksanakan perintahny.
Masing-masing tujuh orang di antara kami menyembelih seekor unta. Maka
sesiapa tidak membawa haiwan sembelihan, hendaklah dia berpuasa tiga
hari ditambah tujuh hari lagi kalau sudah pulang ke kampung halamannya.
- Kami bertanya, “Tahalul yang bagaimana?” Baginda menjawab, “Tahalul akhir.”
- Hal itu terasa berat dan menyesakkan dada kami.
Singgah di Batha
- Kami
pun ke Batha. (Yakni Batha’ Mekah. Ertinya sejenis tempat air yang
luas, di dalamnya terdapat batu-batu kerikil kecil. Demikian dijelaskan
dalam Al-Qamus dan yang lainnya, ia sebuah tempat di timur kota Mekah).
Masing-masing berkata dalam hatinya, ‘Hari ini ketika aku kembali ke
rumahku.’ (Seolah-olah mereka mengingkari hal itu sehingga menunjukkan
bahawa sebahagian mereka bertahalul setelah diperintahkan. Namun hati
mereka masih berasa tidak enak. Sementara sebahagian lain mem-perlambat
tahalul hingga akhir khutbah berikut ketika Nabi menegaskan lagi
perintah untuk mengubah haji menjadi umrah. Akhirnya mereka bertahalul.)
- Kami
saling berbincang dan mengatakan, “Kita keluar sebagai haji, kita hanya
menginginkan haji, tidak meniatkan yang lain. Namun ketika jarak antara
kita dengan Arafah tinggal empat] (dalam riwayat lain lima [malam]),
ba-ginda memerintahkan kami untuk bersama dengan isteri-isteri kami.
Kita datang ke Arafah sementara kemaluan kami baru sahaja menitiskan
mani? (Itu mengisyaratkan bahawa jarak waktu antara wukuf di Arafah
dengan hubungan intim itu amat pendek. Demikian ditegas-kan oleh
Nawawi.) [selesai berhubungan intim] Perawi berkata: Jabir r.a
mengisyaratkan dengan tangannya (perawi menceritakan): Seolah-olah kami
melihat beliau menggerak-gerakkan tangannya tersebut [mereka berkata,
“Bagaimana mungkin kami menjadikannya Haji Tamattu’ sementara kami sudah
meniatkan haji?”]
- Kata-kata itu sampai ke telinga Nabi SAW.
Kami tidak tahu apakah khabar itu sampai kepada baginda melalui berita
dari langit atau dari sebahagian sahabat lain.
Khutbah Nabi SAW Menegaskan Pembatalan Haji Diganti Dengan Umrah, dan Ketaatan Para Sahabat
- Lalu
Nabi berdiri lantas berkhutbah di hadapan kaum muslimin. Baginda
bertahmid dan memuji asma’ ALLAH. Baginda SAW bersabda, “Apakah kamu
akan mengajarkanku tentang ALLAH, wahai kaum muslimin?” “Kamu sudah
mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling bertakwa, paling jujur,
dan paling baik di antara kamu.” “Lakukanlah apa yang kuperintahkan
kepada kamu. Sesungguhnya aku, kalau tidak terlanjur membawa sembelihan,
pasti aku sudah bertahalul seperti yang kamu lakukan [Akan tetapi aku
tidak boleh lepas daripada Ihram (yakni tidak boleh menghalalkan yang
haram bagiku, iaitu segala yang diharamkan bagi orang yang sedang
berhaji. Lihat Fathul Bari.) Ini hingga penyembelihan (yakni hari
penyembelihan di Mina): Dan kalau aku boleh mengulang apa yang telah
kulakukan, tentu aku tidak akan membawa haiwan sembelihan.
Bertahallullah.”
- Kami pun mulai bersetubuh dengan isteri-isteri
kami, memakai minyak wangi, dan mengenakan pakaian biasa. Kami mendengar
dan mentati perintah baginda.
- Kaum muslimin seluruhnya
bertahallul dan me-motong rambut mereka, kecuali Nabi SAW dan mereka
yang sudah terlanjur membawa haiwan sembelihan.
- Jabir r.a
melanjutkan, ketika itu tidak ada seorang pun yang membawa sembelihan
kecuali Nabi SAW dan Talhah. (Itu setakat pengetahuan Jabir r.a tetapi
tidak bertentangan dengan ucapan Aisyah r.a, “Ketika itu yang mempunyai
haiwan sembelihan adalah Nabi, Abu Bakar, Umar dan orang yang lapang
ekonominya.” Juga ucapan saudarinya, Asma. “Zubair juga mempunyai
sembelihan sehingga tidak ikut bertahlalul.” (Riwayat Muslim). Orang
yang mengetahui mempunyai hujah atas orang yang tidak mengetahui. Orang
yang membenarkan adanya suatu kejadian didahulukan daripada yang
menyangkal kebenaran suatu kejadian. Lihat Fathul Bari III:473.)
Kedatangan Ali dari Yaman dan Memulai Haji Sebagaimana Nabi SAW Memulainya
- Ali
datang dari tugasan pengumpulan zakat dari Yaman dengan membawa unta
Nabi SAW (iaitu daripada pekerjaannya mengumpulkan zakat. Akan tetapi
ditetapkan dalam syariat Islam bahawa zakat atau sedekah itu tidak halal
bagi keluarga Nabi Muhammad. Kemungkinan Ali r.a memang mengumpulkan
sedekah atau zakat dan juga yang lainnya. Atau kemungkinan ia mendapat
upah daripada pekerjaan lain, bukan daripada harta zakat, sebagaimana
dijelaskan oleh Al-Qadi dan pendapat itu dinyatakan baik oleh Nawawi,
hanya sahaja beliau berpendapat bahawa pekerjaan mengumpulkan zakat atau
sedekah itu tidak akan mengurangi harta sedekah. Lihat Syarah Sahih
Muslim.)
- Ali mendapati Fatimah termasuk di antara mereka yang
bertahallul [ia bersisir], mengenakan pakaian yang berwarna, dan memakai
celak. Ali menyalahkan perbuatan tersebut dan bertanya, “Siapa yang
menyuruhmu berbuat demikian?” Fatimah menjawab, “Ayahku yang
menyuruhnya.”
- Ketika itu Ali berkata, “Aku pergi menemui
Rasulullah SAW untuk mengadukan Fatimah atas apa yang telah dilakukannya
serta menyatakan hukum perbuatannya yang disebutnya berasal daripada
perintah Rasulullah SAW itu. Aku beritahu kepada beliau bahawa aku telah
menyalahkan perbuatannya namun Fatimah berkata, “Ayahku memerintahkan
demikian.” Rasulullah SAW pun bersabda. “Ia berkata benar aku telah
memerintahnya melakukan itu.”
- Nabi bertanya kepada Ali, “Apa
yang engkau ucapkan ketika menetapkan niat ibadat haji?” Ali menjawab,
“Aku mengucapkan, “Ya ALLAH, aku memulai haji sebagaimana Rasulullah SAW
memulainya.”
- Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya aku mempunyai
haiwan sembelihan, maka engkau tidak usah bertahallul” [dan tetaplah
dalam keadaan ihram seperti keadaanmu semula].
- Sekelompok haiwan
ternak yang dibawa oleh Ali dari Yaman demikian juga yang dibawa oleh
Nabi dari Madinah sebanyak 100 ekor unta.
- Maka kaum muslimin
seluruhnya bartahallul dan memotong rambut, kecuali Nabi dan siapa
sahaja yang membawa haiwan ternak sembelihan. (Nawawi menyatakan,
“Riwayat berkaitan itu mengandungi contoh penggunaan ungkapan umum untuk
makna khusus kerana Aisyah r.a sendiri tidak bertahallul, dan Aisyah
r.a termasuk yang tidak membawa haiwan sembelihan. Ertinya, ucapan kaum
muslimin seluruhnya adalah kebanyakan mereka.
Keberadaan
Aisyah r.a yang tidak ikut bertahallul amatlah jelas sebagaimana
disebutkan dalam beberapa hadis, di antaranya adalah hadis Jabir r.a ini
pada perkara selanjutnya. Sementara keberadaan Aisyah r.a yang tidak
termasuk yang membawa haiwan sembelihan, dinyatakan oleh Aisyah r.a
sendiri. “Maka mereka tidak membawa haiwan sembelihan.” (Riwayat Muslim
dan yang lainnya daripada hadis Aisyah r.a).
(Nawawi
berkata, “Ini menjelaskan bahawa sunnahnya adalah hendaklah seseorang
tidak berangkat ke Mina sebelum hari Tarwiyah. Malik memakruh tindakan
tersebut, meskipun sebahagian salaf berpendapat tidak mengapa. Namun
hadis ini menunjukkan bahawa tindakan tersebut menyimpang daripada
sunnah.”)
Menuju ke Mina Dengan Pakaian Ihram Pada Hari Kelapan
- Pada
Hari Tarwiyah (dan kami menjadikan Mekah di belakang kami). Kaum
muslimin beranjak ke Mina. Mereka berihram untuk haji (dari Batha).
- (Jabir
r.a melanjutkan, kemudian Rasulullah SAW menemui Aisyah r.a dan baginda
mendapati Aisyah r.a dalam keadaan menangis. Baginda bertanya, “Kenapa
engkau menangis?” Aisyah r.a menjawab, “Saya kedatangan haid. Padahal
kaum muslimin sudah bertahallul sementara aku belum bertahallul. Aku
juga belum sempat bertawaf mengelilingi Baitullah, sementara kaum
muslimin sedang pergi melaksanakan haji.” Nabi SAW bersabda, “Itu adalah
takdir yang sudah ditentukan oleh ALLAH bagi setiap wanita. Mandilah,
kemudian berihramlah untuk haji (kemudian laksanakan manasik haji, dan
lakukan apa yang dilakukan oleh kaum muslimin, cuma jangan tawaf
mengelilingi Baitullah dan jangan sembahyang). Lalu Aisyah r.a
melakukannya (dalam riwayat lain disebutkan: Ia melaksanakan semua
manasik, kecuali tawaf keliling Kaabah).
- Rasulullah SAW menaiki
tunggangan dan sembahyang di tempat tersebut (iaitu di Mina atau dalam
riwayat lain bersama kami), yakni sembahyang zuhur, asar, maghrib, isyak
dan subuh.
- Baginda berdiam di tempat itu sebentar hingga terbit matahari.
- Baginda memerintahkan mendirikan (untuk baginda) khemah yang terbuat dari bulu, di Namirah.
- Maka
Rasulullah SAW berjalan. Kaum Quraisy tidak ragu sedikit pun bahawa
Rasulullah SAW akan berhenti di Al-Masyar Al-Haram [di Muzdalifah] lalu
singgah di situ. Sebagaimana yang boleh dilakukan oleh kaum Quraisy pada
masa jahiliah. Namun, Rasulullah SAW ternyata berlalu sehingga baginda
sampai di Arafah, baginda pun mendapati khemah sudah didirikan untuk
baginda di Namirah dan baginda pun singgah di situ.
- Ketika
matahari sudah mulai tergelincir dari tengah hari, baginda memerintahkan
disiapkan untanya, Qashwa, lalu berangkat [menaikinya sehingga sampai
di perut lembah].
- Baginda lalu berkhutbah di hadapan kaum
muslimin, “Sesungguhnya darah dan harta kamu adalah kehormatan bagi
kamu, seperti kehormatan hari kamu sekarang ini, bulan sekarang ini, dan
negeri kamu ini. Ingatlah, sesungguhnya segala perkara jahiliah harus
ditinggalkan di bawah tapak kaki ini, dibatalkan seluruhnya. Darah pada
masa jahiliah harus segera dibatalkan. Darah pertama yang aku batalkan
daripada manusia adalah darah Ibnu Rabiah bin Harith Ibnu Abdul
Muttalib, dia dahulu disusui dari suku Bani Saad bin Bakr lalu dibunuh
oleh Huzail. Riba pada masa jahiliah juga harus dibatalkan.
Riba
pertama yang aku batalkan adalah riba Abbas bin Abdul Muttalib.
Semuanya harus dibatalkan. Maka bertakwalah kepada ALLAH dalam menjaga
isteri-isteri kamu kerana kamu mengambil mereka dengan jaminan keamanan,
amanah daripada ALLAH, dan kamu menghalalkan kemaluan mereka juga
dengan menyebut asma ALLAH.
Hak
kamu atas mereka adalah hendaklah mereka tidak membiarkan orang yang
tidak kamu sukai tidur di atas pembaringan kamu. Kalau mereka melanggar
larangan tersebut, hendaklah kamu memukul mereka dengan cara yang tidak
membahayakan. Mereka juga mempunyai hak untuk kamu beri makan dan
pakaian secara layak. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu
sesuatu yang apabila kamu pegang teguh nescaya kamu tidak akan tersesat,
yakni Kitabullah. Kamu akan ditanya (dalam satu riwayat: Kamu tanya
tentang diriku. Bagaimana jawapan kamu?”
Mereka
menjawab, “Kami bersaksikan bahawa engkau telah menyampaikan [risalah
dari Rabb-mu] dan telah menunaikannya dengan baik, engkau telah
memberikan nasihat” [kepada umatmu, engkau telah menunaikan tugas yang
dibebankan kepadamu. Maka Rasulullah SAW bersabda dengan jari telunjuk
menunjuk ke langit, lalu diarahkan kepada kaum muslimin di hadapannya,
“Ya ALLAH, saksikanlah! Ya ALLAH, saksikanlah!”
- Kemudian bilal mengumandangkan azan satu kali.
- Kemudian
bilal mengumandangkan iqamat, lalu baginda sembahyang zuhur, kemudian
mengumandangkan iqamat lagi dan baginda sembahyang asar.
- Baginda tidak sembahyang apa pun antara kedua sembahyang tersebut.
Menjamak Sembahyang dan Berwukuf di Arafah
- Kemudian
Rasulullah menaiki Qashwa hingga di tempat wukuf, lalu baginda
meletakkan perut unta itu di batu besar dan menjadikan tempat
berkumpulnya para pejalan kaki di hadapan baginda, kemudian baginda
menghadap kiblat.
- Baginda terus berwukuf hingga tenggelam matahari dan hilang sedikit warna kekuningan, hingga bias merahnya benar-benar hilang.
- Baginda SAW bersabda, “Aku berwukuf di sini dan seluruhnya Arafah adalah tempat wukuf."
- Baginda memboncengkan Usamah bin Zaid di belakang baginda.
Beranjak dari Arafah
- Rasulullah
SAW beranjak (dalam satu riwayat: Beranjak dengan tenang). Baginda
menekan tali kekang untanya yang bernama Qashwa hingga kepala unta
mengenai pijakkan tunggangan sambil bersabda dengan memberi isyarat
tangan kanan [demikian sambil menunjuk dengan bahagian dalam tapak
tangannya ke arah langit], “Wahai kaum muslimin, tenanglah,
tenanglah!”
- Sampailah baginda di Muzdalifah, lalu sembahyang
di sana [baginda menjamak] antara maghrib dan isyak dengan satu kali
azan dan dua kali iqamat.
- Di antara kedua sembahyang itu baginda tidak membaca tasbih walau hanya sekali.
- Kemudian Rasulullah SAW berbaring hingga terbit fajar.
- Baginda sembahyang subuh betul-betul terbit fajar, dengan satu azan dan satu iqamat.
Wukuf di Masy’aril Al-Haram
- Kemudian baginda menaiki Qashwa hingga sampai di Masy’aril Al-Haram [baginda segera mendaki-nya].
- Baginda
menghadap kiblat dan berdoa [dalam lafaz lain disebutkan, lalu baginda
bertahmid kepada ALLAH] bertakbir,bertahlil, dan men-tauhid-kan ALLAH.
- Baginda masih terus berwukuf hingga tinggi matahari.
- Baginda SAW bersabda, “Aku berwukuf di sini dan seluruh Muzdalifah adalah tempat wukuf.”
Beranjak dari Muzdalifah Menuju Tempat Melontar Jamrah
- Rasulullah SAW beranjak [dari kumpulan manusia] sebelum matahari terbit [dengan tenang].
- Baginda memboncengkan Fadhal bin Abbas. Dia adalah seorang pemuda yang berambut indah, berkulit putih, dan tampan.
- Setelah
Rasulullah SAW beranjak, lalu beberapa wanita berlari-lari. Seketika
Fadhal memandang ke arah mereka. Rasulullah SAW langsung meletak-kan
tangannya di wajah Fadhal, namun Fadhal menolehkan wajahnya ke sisi
lain. Baginda pun memindahkan tangannya dari arah lain di wajah Fadhal,
memalingkan wajah Fadhal yang melihat dari sisi lain.
- Ketika baginda sampai di Muhassir, baginda sedikit mempercepat jalannya [sambil bersabda, “Hendaklah kamu tenang”].
- Kemudian baginda melalui jalan tengah untuk keluar, menuju Jamrah Kubra [sehingga ketika sampai di Jamrah] yang di sisi pohon.
- Baginda langsung melontar Jamrah pada waktu duha, sebanyak tujuh kerikil.
- Baginda bertakbir setiap kali melempar satu kerikil.
- Baginda
melempar dari perut lembah [di atas tunggangannya] [dan baginda]
bersabda, “Hendaklah kamu mempelajari manasik haji kamu daripadaku
kerana aku tidak tahu apakah aku akan kembali berhaji setelah hajiku ini
atau tidak.”
- Jabir r.a melanjutkan, baginda melontar jamrah
sesudah hari penyembelihan [pada seluruh hari Tasyriq] apabila matahari
sudah tergelincir (zawal).
- Baginda bertemu dengan Suraqah ketika
melontar jamrah Aqabah. Suraqah bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, apakah
ini khusus bagi kami ketika ini sahaja?” Rasulullah SAW menjawab,
“Tidak. Bahkan untuk selamanya.”
- Kemudian baginda beranjak ke tempat penyembelihan dan menyembelih 63 ekor unta dengan tangan baginda sendiri.
- Baginda
memberi kesempatan kepada Ali untuk menyembelih yang lain [yakni yang
tinggal] dan mengikutkan Ali dalam haiwan sembelihannya.
- Baginda
memerintahkan mengambil sekerat daging (badh’ah) dari setiap ekor unta,
lalu dimasak. Setelah itu baginda dan Ali menyantap daging dan kuahnya.
- Dalam riwayat lain disebutkan, Rasulullah SAW menyembelih seekor lembu untuk korban isteri-isteri baginda.
- Dalam
riwayat lain disebutkan bahawa Jabir r.a menceritakan, “Maka kami pun
menyembelih unta” (dalam riwayat lain, Baginda menyembelih unta) untuk
tujuh orang, dan lembu juga untuk tujuh orang. (Dalam riwayat kelima
disebutkan, “Kami, tujuh orang, berkongsi atau bergabung dalam
menyembelih seekor unta.” Ada seorang lelaki bertanya, “Apakah lembu
juga boleh disembelih untuk bersama?” Rasulullah SAW men-jawab, “Ya...”
- Sementara
dalam riwayat lain disebutkan, Jabir r.a menceritakan, “Kami hanya
memakan daging sembelihan kami pada tiga hari di Mina sahaja. Lalu
Rasulullah SAW memberikan keringanan kepada kami.” Baginda SAW bersabda,
“Silakan makan sembelihan kamu dan jadikan sebahagian lagi untuk bekal
kamu.” [Maka kami pun menyantapnya dan menjadikan sebahagiannya sebagai
bekal kami] [Sehingga kami sampai di Madinah dengan membawanya].
- Dalam satu riwayat disebutkan, lalu Rasulullah SAW menyembelih [lantas mencukur rambut].
- Baginda
duduk [di Mina pada hari penyembelihan] di hadapan kaum muslimin.
Ketika baginda ditanya, [ketika itu] tentang suatu manasik [yang
dibolak-balik pelaksanaannya] baginda selalu menjawab, “Tidak apa-apa,
tidak apa-apa.” Sampai ketika ada seorang lelaki bertanya, “Bolehkah aku
mencukur sebelum menyembelih?” Baginda menjawab, “Tidak apa-apa.”
- Kemudian
datang lelaki lain dan bertanya, “Bolehkah aku mencukur rambut sebelum
melontar jamrah?” Baginda menjawab, “Tidak apa-apa.”
- Kemudian datang lelaki lain dan bertanya, “Bolehkah aku bertawaf sebelum melontar jamrah?” Baginda menjawab, “Tidak apa-apa.”
- Lelaki lain bertanya, “Bolehkah aku bertawaf sebelum menyembelih?” Baginda menjawab, “Tidak apa-apa.”
- Kamudian
datang lelaki lain bertanya, “Sesungguhnya aku menyembelih sebelum
melontar jamrah.” Baginda SAW bersabda, “Silakan me-lontar jamrah dan
tidak apa-apa.”
- Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Aku sudah menyembelih haiwan di sini dan seluruh daerah Mina adalah tempat penyembelihan.”
- Setiap lorong di kota Mekah adalah jalan dan tempat penyembelihan pula.
- “Hendaklah kamu menyembelih di tempat-tempat kamu.”
- Jabir
r.a melanjutkan: Rasulullah SAW ber-khutbah di hadapan kami pada hari
penyembelihan itu. Baginda bertanya, “Hari apakah yang paling suci?”
Para sahabat menjawab, “Hari kita sekarang ini.” Baginda bertanya lagi,
“Bulan apa yang paling suci?” Para sahabat menjawab, “Bulan kita
sekarang ini.” Rasulullah SAW bertanya lagi, “Negeri mana yang paling
suci?” Para sahabat menjawab, “Negeri kita ini.” Baginda SAW bersabda,
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, adalah suci seperti kesucian hari
kamu ini, di negeri kamu ini dan pada bulan kamu ini. Sudahkah aku
menyampaikan?” Mereka menjawab, “Sudah.” Baginda berkata, “Ya ALLAH,
saksikanlah!”
- Kemudian Rasulullah SAW menaiki tunggangan dan melakukan Tawaf Ifadah di Baitullah [maka para sahabat juga bertawaf].
- Namun mereka tidak melakukan sai’e.
- Lalu baginda sembahyang zuhur di Mekah.
- Lalu
baginda mendatangi Bani Abdul Muttalib sementara mereka menyediakan
minuman dari zamzam, baginda berkata, “Wahai Bani Abdul Muttalib,
timbalah air! Andai kata aku tidak khuatir orang berebut dengan kamu
menyediakan air, nescaya aku telah ikut menimba bersama kamu.”
- Maka mereka pun menghulurkan setimba air kepada baginda, lantas diminum.
- Jabir r.a melanjutkan, sesungguhnya Aisyah r.a mengalami haid, maka dia melakukan semua manasik selain tawaf.
- Sehingga
ketika Aisyah r.a suci daripada haid-nya. Dia bertawaf mengelilingi
Kaabah dan melakukan sai’e antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah
SAW bersabda, “Sekarang engkau telah bertahallul daripada haji dan
umrahmu seluruhnya.”
- Aisyah r.a bertanya, “Wahai Rasulullah SAW,
bagaimana mugkin kamu berangkat melaksana-kan haji dan umrah sementara
aku melaksanakan haji sahaja?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya engkau
mendapatkan pahala yang sama dengan yang mereka perolehi.”
- Aisyah r.a berkata, “Sesungguhnya aku merasakan janggal di hati kerana belum melakukan tawaf di Baitullah hingga selesai haji.”
- Jabir r.a menceritakan, Rasulullah SAW ada-lah orang yang mudah. Kalau Aisyah r.a mengingin-kan sesuatu, baginda menurutnya.
- Baginda bersabda,“Wahai Abdurrahman, ajaklah saudarimu itu berumrah dari Tan’in.”
- Lalu Aisyah r.a memulai umrahnya setelah haji. Kemudian barulah dia kembali. Itu terjadi pada malam Hasbah.
- Jabir
r.a melanjutkan, Rasulullah SAW melakukan tawaf di Baitullah dalan
Hajjatul Wada’ di atas tunggangannya sambil memberikan isyarat ke arah
Kaabah dengan tongkatnya yang me-lengkung, agar kaum muslimin dapat
melihat, mendekat dan bertanya kepada baginda, sebab ketika itu kaum
muslimin mengerumuninya.
- Jabir r.a melanjutkan ada seorang
wanita membawa anak kecilnya kepada Nabi SAW dan bertanya, “Wahai
Rasulullah, apakah anak ini sudah diisyariatkan berhaji?” Baginda
menjawab, “Ya, dan engkau pun akan memperoleh pahalanya.”
Info Sunnah Tatacara Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah Ke Masjid Nabawi 61
Secara
ringkas untuk difahami, terdapat tiga cara untuk kita melakukan ibadat
haji iaitu, Haji Tamattu’, Qiran dan Ifrad. Haji Tamattu’ ialah berihram
untuk umrah pada bulan-bulan haji (Syawal, Zulkaedah dan 10 hari
pertama bulan Zulhijah) dan diselesaikan umrahnya pada waktu-waktu itu.
Kemudian berihram untuk haji dari Mekah atau sekitarnya pada hari
Tarwiyah (tarikh 8 Zulhijah) pada tahun umrahnya tersebut.
Haji
Qiran ialah berihram untuk umrah dan haji sekali gus, dan terus
berihram (tidak tahallul) kecuali pada hari Nahr (10 Zulhijah). Atau
berihram untuk umrah terlebih dahulu, kemudian sebelum melakukan tawaf
umrah memasukkan niat haji.
Haji
Ifrad ialah, berihram untuk haji dari Miqat, kemudian tetap dalam
kedaan ihramnya sampai hari Nahr apabila ia membawa binatang korban.
Jika tidak membawanya maka dianjurkan untuk membatalkan niat haji dan
menggantikannya dengan umrah. Selanjutnya melakukan tawaf, sai’e,
mencukur rambut dan bertahalul sebagaimana perintah Rasulullah SAW
terhadap orang yang berihram haji tetapi tidak membawa binatang korban.
Begitu pula bagi yang melakukan Haji Qiran, apabila tidak membawa
binatang korban, dianjurkannya untuk membatalkan niat qirannya itu dan
menggantikannya menjadi umrah, sebagaimana yang telah disebutkan.
Haji Tamattu’ (Umrah Dahulu)
Jenis
ibadat haji yang lebih utama ialah Haji Tamattu’ bagi yang tidak
membawa binatang korban. Ini kerana Rasullulah SAW telah memerintahkan
hal itu dan menegaskannya agar dilakukan oleh para sahabat.
Katakanlah,
jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH ikutilah aku, nescaya ALLAH
mencintai dan mengampuni dosa-dosamu. ALLAH Maha pengampun Lagi Maha
Penyayang. - Ali Imran: 31
Keterangan:
Nabi SAW telah memerintahkan (untuk bertahallul setelah selesai umrah)
dan menegaskan kepada para sahabat baginda dengan sabdanya, “Andai kata
aku menghadapi apa telah kuperintahkan (kepada kalian) tentu aku tidak
akan berpaling. Tidak akan membawa binatang korban, dan tentu aku akan
bertahalul bersama kalian.”
Umrah
Apabila
hendak berihram untuk umrah, maka mandilah jika berkesempatan kemudian
berpakaian ihram. Bacalah talbiah yang bermaksud, “Aku sambut
panggilan-Mu untuk menunaikan ibadah umrah. Aku sambut panggilan-Mu. Ya
ALLAH, aku sambut panggilan-Mu, aku sambut panggilan-Mu, tiada sekutu
bagi-Mu, aku sambut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji, kenikmatan
dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.” [Labbaik ertinya: Aku sambut panggilan-Mu untuk menunaikan ibadat haji dan umrah].
Sampai
di Mekah, lakukanlah tawaf umrah mengelilingi Kaabah tujuh kali
pusingan, dimulai dari Hajar Aswad dan berakhir di situ semula. Bacalah
zikir serta doa yang kita mahu. Akhirkan setiap pusingan dengan membaca,“Wahai TUHAN kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada seksaan api neraka.”
Selepas
itu, solatlah dua rakaat di belakang Makam Ibrahim (berdekatan dengan
makam (jika munasabah) atau jauh darinya. Tidak mengapa untuk solat jauh
di belakang sedikit asalkan masih berhampiran Makam Ibrahim. [Terdapat
segelintir memilih untuk bersolat sunat ini betul-betul belakang Makam
Ibrahim sedangkan pada masa itu manusia bersesak melakukan tawaf.
Tindakan kita berdiri di situ menimbulkan kesusahan kepada orang yang
bertawaf dan kepada diri kita sendiri. Kecederaan dan pergaduhan juga
boleh berlaku. Ketika itu, kita mungkin telah melakukan yang haram untuk
mencapai yang sunat].
Lakukanlah
solat itu di bahagian hujung kawasan tawaf atau jika tidak selamat
juga, lakukanlah di bahagian bangunan masjid, yang masih di belakang
Maqam Ibrahim. Jika tidak dapat juga, tidak mengapa jika di mana-mana
ruang solat di dalam masjid.Kemudian pergilah ke Bukit Safa untuk
melakukan sai’e umrah tujuh kali (pusingan atau pergi balik) mesti
dimulakan dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
Berjalanlah
dengan cepat di antara tanda hijau, dan berjalan seperti biasa sebelum
dan sesudah tanda tersebut. Kemudian naiklah ke atas Bukit Marwah dan
bacalah tahmid dan takbir tiga kali jika berpeluang, sama seperti kita
lakukan di Bukit Safa. Setelah selesai sai’e, bertahlul dengan
menggunting rambut.
[Semasa
tawaf ataupun sai’e, tiada bacaan zikir wajib atau bacaan zikir yang
khusus untuk itu. Akan tetapi dibolehkan bagi yang melakukan tawaf atau
sai’e untuk membaca zikir dan doa atau bacaan al-Quran yang mudah
baginya, dengan mengutamakan bacaan-bacaan zikir dan doa yang bersumber
dari tuntutan Rasulullah SAW.]
Selesai perlaksanaan ibadat umrah, salinlah pakaian ihram kepada pakaian biasa.
Haji
Jika
melakukan Haji Ifrad atau Qiran, hendaklah berihram dari Miqat. Jika
anda tinggal di daerah Miqat,maka berihramlah menurut niat anda dari
tempat tersebut.
Sekiranya
melakukan Haji Tamattu’, maka pada pagi hari Tarwiyah tarikh 8
Zulhijah, berihramlah untuk haji dari tempat tinggal anda (Mekah) dengan
mandi dahulu jika berkesempatan dan pakailah pakaian ihram kemudian
ucapkanlah talbiah,“Aku sambut panggilan-Mu untuk, menunaikan ibadat
haji, aku sambut panggilan-Mu,Ya ALLAH, aku sambut panggilan-Mu. Aku
sambut panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku sambut panggilan-Mu.
Sesungguhnya segala puji, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada
sekutu bagi-Mu.”
[Perhatian:
Sekiranya merujuk perjalanan haji Nabi SAW, tempat pertama dituju
adalah Mina. Bersolat zuhur, asar, maghrib, isyak dan subuh di Mina
dengan mengqasar solat-solat yang empat rakaat (masing-masing dilakukan
pada waktunya tanpa jama’ takhir dan jama taqdim). Namun realiti yang
berlaku ialah jemaah haji kita dibawa terus ke Arafah dahulu (bukan ke
Mina). Adakah ini arahan Tabung Haji atau pihak berkuasa Arab Saudi?]
Apabila
matahari terbit pada tarikh 9 Zulhijah (esoknya), pergilah menuju
Arafah dengan tenang tanpa tergesa-gesa. Di Arafah, bersolat zuhur dan
asar dengan jama’ taqdim dan qasar (dua rakaat, dua rakaat), dengan satu
kali azan dua iqamat. Berdiamlah di Arafah sehingga matahari terbenam.
Perbanyakkan zikir dan berdoa sambil menghadap kiblat.
Apabila
matahari terbenam, tinggalkanlah Arafah me-nuju Muzdalifah sambil
membaca talbiyah. Bersolat maghrib dan isyak (secara jamak dan qasar) di
Muzdalifah. Beradalah di Muzdalifah sehingga solat subuh. Kemudian,
teruskan berdoa dan berzikir sampai terbitnya matahari. Berdoalah dengan
mengangkat tangan menghadap kiblat.
(Jika
keadaan anda lemah tidak mampu berasak-asakan semasa melempar jamrah,
anda dibolehkan untuk berangkat dari Muzdalifah menuju ke Mina setelah
pertengahan malam (malam itu) lalu melempar Jamrah Aqabah sebelum
rombongan manusia yang ramai datang).
Di
Muzdalifah, kutip dan kumpul batu-batu kecil sebanyak tujuh biji sahaja
untuk melontar Jamrah Aqabah. Baki batu yang lain, kutiplah di Mina.
Begitu juga tujuh biji batu yang akan anda gunakan untuk melempar Jamrah
Aqabah pada hari raya. Tidak mengapa bagi anda untuk memungutnya di
Mina.
Apabila
telah menghampiri terbitnya matahari, ber-jalanlah menuju ke Mina
sambil bertalbiah. Setelah sampai di Mina, lakukanlah hal-hal seperti;
melempar Jamrah Aqabah (Kubra) (Jamrah yang paling dekat dengan Mekah)
sebanyak tujuh kali lemparan batu kecil secara tertib satu per satu dan
bertakbirlah pada setiap kali lemparan.
Kemudian
sembelihlah binatang korban. Makanlah sebahagian dagingnya dan
bagikanlah kepada kaum fakir (menyembelih binatang korban ini wajib bagi
orang yang melakukan Haji Tamattu’ atau Haji Qiran).
Cukurlah
keseluruhan rambut sehingga bersih kepala anda atau gunting/potong
sebahagian rambut sahaja. Mencukur bersih lebih utama daripada sekadar
memendekkannya. Manakala bagi kaum wanita, memadai dengan memotong
sebahagian rambut kepalanya sebesar hujung jari). Tiga hal tersebut ini
jika dapat dilakukan secara berurutan, dimulai dari melempar Jamrah
Aqabah, lalu menyembelih binatang korban kemudian mencukur rambut. Tidak
mengapa jika tidak dilakukan secara berurutan.
Setelah
melempar dan mencukur rambut, anda telah bertahallul awal dan pakailah
pakaian biasa. Pada saat ini, anda dibolehkan melakukan
larangan-larangan ihram kecuali melakukan persetubuhan dengan isteri.
Kemudian, berangkatlah ke Mekah dan lakukanlah Tawaf Ifadah (Tawaf Haji)
diikuti dengan melakukan sai’e haji antara Safa dan Marwah. Apabila
selesai, dengan itu anda telah bertahalul Tsani. Maka, anda dibenarkan
melakukan segala larangan ihram termasuk bersetubuh dengan isteri.
Setelah
itu, kembalilah ke Mina untuk bermalam di sana pada malam 11 dan 12
Zulhijah. Kemudian, lemparkanlah jamrah ketiga pada hari 11 dan 12
Zulhijah setelah matahari tergelincir ke barat (ba’da zawal) (ba’da
zawal tidak bererti perlu tepat masanya setelah zuhur. Boleh juga
dilewatkan sedikit ke petang ketika kesesakan manusia sudah berkurang)
dimulai dari Jamrah Ula (Jamrah Sughra-Jamrah yang terjauh dari Mekah),
Jamrah Wusta kemudian Jamrah Aqabah (Jamrah Kubra).
Setiap
jamrah dilempar sebanyak tujuh kali lemparan secara berurutan dengan
bertakbir pada setiap kali lemparan. Setelah melempar Jamrah Ula dan
Jamrah Wusta, berdoalah kepada ALLAH sambil menghadap kiblat. Melempar
Jamrah ketiga pada dua hari ini tidak sah jika dilakukan sebelum
matahari tergelincir (qabla zawal).
Setelah
selesai melempar ketiga-tiga Jamrah pada hari ke 12 Zulhijah, jika
ingin tergesa-gesa meninggalkan Mina maka berangkatlah sebelum matahari
terbenam. Tetapi jika ingin tetap tinggal dan itu adalah lebih utama.
Bermalam sekali lagi di Mina pada malam ke 13 Zulhijah, lalu
lemparkanlah Jamrah ketiga-tiganya pada siang hari tanggal ke 13
tersebut setelah matahari tergelincir (ba’da zawal) seperti yang
dilakukan pada tanggal ke 12.
Jika
ingin kembali pulang ke negeri anda, lakukanlah Tawaf Wada’
mengelilingi Kaabah tujuh kali pusingan dan kemudiannya memulakan
perjalanan pulang. Bagi wanita yang sedang haid dan nifas tidak
mempunyai kewajipan Tawaf Wada’.
Ziarah Masjid Nabawi di Madinah Munawwarah
Pergilah
ke Madinah sebelum ibadat haji atau sesudahnya dengan niat untuk
menziarah Masjid Nabawi dan bersolat di dalamnya. Ini kerana solat di
situ lebih baik 1000 kali daripada solat di tempat lain kecuali di
Masjid al-Haram.
Jika
sudah sampai di Masjid Nabawi, lakukanlah solat tahiyatul masjid dua
rakaat atau solat fardu jika sudah iqamat.Lalu pergilah ke kuburan Nabi
SAW dan berdirilah di hadapannya serta sampaikanlah salam dengan
mengucapkan, “Semoga salam sejahtera, rahmat dan berkah ALLAH selalu
dilimpahkan kepadamu, wahai nabi. Semoga ALLAH selalu melimpahkan
selawat dan memberikan pahala kebaikan kepadamu.”
Lalu
langkahlah ke sebelah kanan selangkah atau dua langkah untuk berdiri di
depan kuburan Abu Bakar r.a dan sampaikanlah salam kepadanya dengan
mengucapkan, “Semoga salam sejahtera, rahmat dan berkah ALLAH selalu
dilimpahkan kepadamu, wahai Abu Bakar Khalifah Rasulullah. Semoga ALLAH
memberi keredhaan dan pahala kebaikan kepadamu.”
Kemudian,
langkahlah ke sebelah kanan lagi selangkah atau dua untuk berdiri di
hadapan kuburan Umar dan sampaikanlah salam kepadanya dengan
mengucapkan, “Semoga salam sejahtera, rahmat dan berkah ALLAH selalu
limpahkan kepadamu, wahai Umar Amirul Mukminin. Semoga ALLAH memberi
keredhaan dan pahala kebaikan kepadamu.”
Pergilah
ke Masjid Quba’ dalam keadaan suci dan lakukanlah solat di dalamnya.
Pergilah ke Baqi’ dan ziarahlah ke kuburan Uthman r.a. Berdirilah di
hadapan kuburan beliau dan sampaikanlah salam kepadanya dengan
mengucapkan, “Semoga salam sejahtera, rahmat dan berkah ALLAH selalu
limpahkan kepadamu, wahai Usman Amirul Mukminin. Semoga ALLAH memberi
keredhaan dan pahala kebaikan kepadamu.” Juga sampaikanlah salam kepada kaum muslimin lainnya yang dikuburkan di Baqi’.
Pergilah
ke Uhud dan ziarahlah ke kuburan Hamzah r.a dan kuburan para syuhada
yang lainnya. Sampaikanlah salam kepada mereka dan berdoalah kepada
ALLAH untuk selalu memberikan ampunan, rahmat dan keredhaan kepada
mereka.
Petikan dari buku "Baitullah Aku Datang"