Wednesday, February 29, 2012

Syukur alhamdulillah... Sambutan pembaca kepada produk Karya Bestari amat luar biasa!

Syukur Alhamdulillah dengan rahmat ALLAH bertemu juga peminat buku Karya Bestari dengan buku kesukaan mereka masing-masing. Ekspo buku Islam yang berlangsung di Putrajaya ini masih lagi berlangsung dan akan berakhir pada 4 Mac 2012 bersamaan hari Ahad ini. Anda yang masih  lagi belum berpeluang untuk mendapatkan buku-buku kami ini segeralah beramai-ramai turun ke Ekspo tersebut pada hari ini sehingga Ahad nanti. dapatkan buku hot kami iaitu 100 Pesanan Rasulullah, Aku Sanggup Duhai Muhammad,  Soalan Bocor dari Kubur, Menerokai Kecemerlangan Saintis Islam, 101 Rahsia Penguat Nurani daripada DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj. Selain daripada itu Renungan Buat Pencinta Syurga, Takluk Hati Pasangan dan banyak lagi.
Ruhana Zaki penulis yang berbakat besar sedang melayan peminatnya. Buku terbaru darinya itu memang menarik dari segi pengisian dan anda masih lagi berpeluang untuk menikmati diskaun 20% bukan sahaja buku hasil tulisan Ruhana Zaki ini malah kesemua buku Karya Bestari. Ada juga buku yang kami berikan diskaun yang lebih sedikit iaitu melalui pakej-pakej jimat yang berbaloi untuk anda menikmatinya. Kandungan buku sedap dan menarik, harga yang berpatutan dan anda berpeluang bertemu dengan penulis malah boleh bersoal-jawab sekiranya ada pertanyaan dan kemusykilan. 
Selain Ruhana Zaki, penulis yang hadir dan tidak sempat untuk kami rakamkan gambar kenangan iaitu Muhammad Nazir Mohammed Khalid dengan buku Belajar Tajwid Dengan Berkesan yang sememangnya berkesan dan sesuai untuk di pelajari oleh segenap umur. En. Nazir juga tidak menang tangan melayan peminat di sana. Begitu juga dengan Muhd Nasruddin Dasuki dengan buku Best Sellernya itu memang melenguhkan tangan ustaz apabila buku itu mendapat sambutan dan menginginkan tandatangan istimewa darinya.
Beginilah gambaran kemeriahan Ekspo Buku Islam yang meriah. Kata kru kami... ada yang sampai tersangkut dicelah langsir hiasan kami. Huhuhu memang lawak. Tapi itulah hakikatnya apabila manusia datang berbondong-bondong mencari kebenaran agamanya. Wallahualam... :)

* Jangan lepaskan peluang dapatkan buku-buku baru... anda masih ada 4 hari lagi. Jom bawa anak-anak kerana kita mempunyai buku cerita yang bagus untuk dikongsi untuk anak anda. Bagi ibu-ibu, kakak-kakak, juga abang-abang yang hidup bujang kita ada buku resipi yang kalau buat InsyaALLAH pasti jadi. Jom dapatkan buku NOVEL NUR(Islamik) yang baik pengisiannya.

Thursday, February 23, 2012

PERSIAPAN BOOTH KARYA BESTARI. SIAP SEDIA UNTUK BERPERANG!

 
Bersiap sedia Team Karya Bestari menyiapkan persiapan ekspo buku di Putrajaya. Kali ini di adakan di Dewan Cempaka Sari, Precent 3 Putrajaya. Dewan tersebut berhadapan dengan Mahkamah. Atau lebih mudah anda mencari KOMPLEKS PERBADANAN PUTRAJAYA. Agak sukar juga mencari jalan menuju ke laluan ini memandangkan akan lagi bertambah sukar sebab esok berlangsungnya 3 acara besar di Putrajaya iaitu Pesta Buku, Ekspo Jelajah Langkawi, WOW dan satu lagi yang TEAM KB tidak pasti.
TEAM KB bertungkus lumus menyusun dan mengatur buku agar pembaca mudah memiliki buku yang diingini dan milik. Ayuh ajak ramai-ramai sanak saudara memenuhi gerai KB.
Gerai yang hampir siap dihias. Agak penat kami petang tadi kebetulan cafeteria tutup awal dan kami sangat kehausan. Tapi kepenatan kami berbaloi melihat gerai kami sendiri dihias cantik. Yang paing penting adalah kerjasama yang diberikan dari Team Promosi, Team Jualan, Editor, Grafik dan Admin amatlah kami hargai. Terima kasih sangat-sangat, terubat kepenatan kami dan moga ALLAH mencatat usaha dan menempatkan kita dikalangan orang-orang yang mengembangkan ilmu-NYA. Amin...

Ruang penulis yang dihiasi bagi menghargai jasa penulis dan bersama-sama melayan pembaca tegar mahupun yang baru.

Sudut buku resipi yang semestinya digilai oleh kaum Hawa untuk memilikinya terutama para ibu yang inginkan masakannya lebih enak dinikmati oleh suami dan anak-anak.
Sudut Novel NUR. Islamik yang juga menjadi pilihan semua kaum. Boleh dijadikan hadiah untuk teman menggantikan barangan yang kurang ilmunya.
Juga tidak ketinggalan untuk adik-adik yang disayangi. Maka akan lebih bestari dengan memiliki buku kanak-kanak yang penuh dengan tauladan dan juga panduan. Sesuai dijadikan bahan bacaan anak-anak. Selain daripada itu juga, ada buku kisah nabi yang boleh dijadikan landasan bagi anak-anak kita. Bijak, moden dan islamik.
Jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini. Kami akan berkampung disini sehingga 4 Mac 2012. Jom singgah...

Friday, February 17, 2012

EKSPO BUKU ISLAM 2 - PUTRAJAYA

No booth Ekspo Buku Islam : 052, 053, 054, 059, 060 & 061 (6 booth)
Di bawah adalah senarai penulis yang akan hadir ke Ekspo Buku Islam:-

JUMAAT - 24/2/2012
Mohd Shahrizal Nasir - Renungan Buat Pencinta Syurga (11.00 pagi - 4.00 petang)
Siti Marziah Zakaria - Raihlah Bahagia (11.00 pagi - 4.00 petang)

SABTU - 25/2/2012
 Sofian Resali - Kita Tenggelam Dalam Nafsu (11.00 pagi - 4.00 petang)
Nasruddin Dasuki - 100 Pesanan Rasulullah (11.00 pagi - 1.00 tengah hari)
DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj - 101 Rahsia Penguat Nurani (tertakluk kepada perubahan)
Norlela Ibrahim - Doa dan Tip Keluarga Bahagia (12.00 tengah hari - 5.00 petang)


AHAD - 26/2/2012
 Ruhana Zaki - KAU Hadir Dalam Munajatku (11.00 pagi - 1.00 tengah hari)
Ustaz Iskandar Zulkarnain - Mohonlah Hanya Pada-NYA (11.00 pagi - 1.00 tengah hari)
Dr. Malina Osman - Ajarkan Aku Wahai ibu (5.00 - 6.00 petang)
Dr. Robiah K. Hamzah - Rawatlah Hati (5.00 - 6.00 petang)

ISNIN - 27/2/2012
 DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj - 101 Rahsia Penguat Nurani (11.00 pagi - 5.00 petang)  
Dato' Hj. Daud Che Ngah - TUHAN Terimalah Aku (11.00 pagi - 1.00 tengah hari)

SELASA - 28/2/2012

Siti Marziah Zakaria - Raihlah Bahagia (11.00 pagi - 4.00 petang)
 Dr. Malina Osman - Ajarkan Aku Wahai Ibu (11.00 pagi - 4.00 petang)

RABU - 29/2/2012
 Zuriah Mohd Juoi - Terima Kasih TUHAN atas Cinta Ini (12.00 tengah hari - 5.00 petang)
Prof Madya Hj. Mohd Nor Mamat - Takluk Hati Pasangan (12.00 tengah hari - 5.00 petang)

KHAMIS - 1/3/2012
 Dr. Ridzwan Abu Bakar - Rinduku Pada Baitullah (2.00 - 5.00 petang)

Jumaat - 2/3/2012
 Mohd Shahrizal Nasir - Renungan Buat Pencinta Syurga (11.00 pagi - 4.00 petang)

Sabtu - 3/3/2012
 Muhammad Nazir Mohammed Khalid - Belajar Tajwid Dengan Berkesan (11.00 pagi - 4.00 petang) 
Mohd Yaakub Mohd Yunus - Manisnya Iman (11.00 pagi - 4.00 petang)  

Prof Madya Rasid Muhamad - Soalan Bocor Dari Kubur & Umar Abdul Aziz (5.00 - 6.00 petang) 
Prof Madya Hj. Mohd Nor Mamat - Takluk Hati Pasangan (5.00 - 6.00 petang)


Ahad - 4/3/2012
 Muhammad Nazir Mohammed Khalid - Belajar Tajwid Dengan Berkesan, Solat Bestari, Terjemahan Muqaddam, Smart Muqaddam, (11.00 pagi - 4.00 petang)
Mohd Yaakub Mohd Yunus -
Manisnya Iman, Hebatnya Bulan Islam & 25 Persoalan Semasa. (11.00 pagi - 4.00 petang)
 

NOTA: Ustaz Pahrol Mohd Juoi & Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman - tarikh kehadiran akan dimaklumkan.


Kami juga menawarkan pakej istimewa sempena pesta buku tersebut berlangsung:

PAKEJ 1
1. Terjemahan Muqadam
2. Smart Muqadam
3. Tajwid @ Solat Bestari 
- Harga Asal  RM79.90 - RM60    


PAKEJ 2
1. Kita Tenggelam Dalam Nafsu
2. Nikmatkah Maksiat?
3. Taubat Pasport ke Syurga 
- Harga Asal RM41 - RM30

PAKEJ 3
1. Aku Sanggup Duhai Muhamad
2.100 Pesanan Terakhir Rasulullah
3. Menerokai Kegemilangan Saintis Islam
4. Untukmu Umat

5. Renungan Buat Pencinta Syurga 
- Harga Asal RM78 - RM55

PAKEJ 4
1. Doa dan Tip Keluarga Bahagia
2. Bicaralah Atas Nama Kasih
3. Takluk Hati Pasangan

4. 101 Rahsia Penguat Nurani  (buku baru Dr . Tuah  -  13.30)
- Harga Asal RM68.90 - RM50

PAKEJ 5
1. Awas! Ancaman Orientalis
2. Akidah Kita Nyawa Kita
3. Umar Abd Aziz
- Harga Asal RM49 - RM35 

PAKEJ 6
 Pilih 6 buku fatwa – Harga Asal RM108 - RM50
(Gambar cover2 fatwa - fatwa syruga, puasa, solat, barzakh, jenazah, iman, zakat, haji, kemusykilan solat, adab. jin)

Thursday, February 16, 2012

KARYA BESTARI DI PROGRAM CINTA MASJID TV AL-HIJRAH

Syukur alhamdulillah...
PADA 4 dan 5 Februari yang lalu, Grup Buku Karangkraf - Karya Bestari, Grup Majalah dan Sinar Harian berpeluang turut serta dalam sebuah program 'Cinta Masjid' bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tahun in. Program anjuran TV al-Hijrah itu bertujuan untuk mengimarahkan institusi masjid sekaligus menjadikannya sebagai pusat perkembangan ilmu dan kegiatan kemasyarakatan seperti yang dituntut agama.... (Untuk cerita lanjut klik pada gambar)
 

 
Turut memeriahkan booth jualan Grup Buku Karangkraf, ikon Karya Bestari Muhamad Nazir Mohammad Khalid telah didatangkan khas bagi menyerikan sesi bertemu pembaca sekali gus mempromosikan karya-karya beliau. Selain itu, beliau turut mewakili Karya Besatri mengupas buku '100 Pesanan Terakhir Rasulullah' Karya Muhd Nasruddin Dasuki dalam rancangan ASSALAMUALAIKUM yang berlintas langsung daripada lokasi program di TV al-Hijrah. 
Dalam siaran langsung itu, beliau menekankan beberapa pesanan Rasulullah di dalam buku tersebut seperti Solat dan mengamalkan al-Quran. Antara lain, beliau juga menyatakan dorongan peribadi atas usaha murni penulis membukukan ilmu kerana penghasilan karya sebegini adalah salah satu cara untuk mendekatkan masayarakat dengan agama Islam...

Tuesday, February 14, 2012

Lima judul buku kami telah diulang cetak

ALHAMDULILLAH… Syukur kami pada-MU Ya ALLAH.

Lima judul buku kami telah diulang cetak. Tahniah & penghargaan buat penulis-penulis serta semua team sokongan Kumpulan Media Karangkraf. Bagi mereka yang masih belum memiliki buku-buku ini, dapatkan segera demi memartabatkan ilmu. Moga kita mendapat keredhaan-NYA. Amin…
1. WANITA YANG DIRINDUI SYURGA  - Cetakan ketiga
2. SOALAN BOCOR DARI KUBUR - Cetakan ketiga
3. NIKMATKAH MAKSIAT? - Cetakan ketiga
4. MUTIARA AKIDAH & IBADAT - Cetakan ketiga
5. DI MANA DIA DI HATIKU? - Cetakan keenam
 

Monday, February 13, 2012

Sunday, February 12, 2012

FRAGMEN 2 : BUKU TAKLUK HATI PASANGAN

BERKONFLIKLAH SECARA FITRAH
RUMAH tangga sering dikaitkan dengan konflik dan perceraian (talak). Menurut pandangan pakar motivasi dan ahli agama, permasalahan antara suami isteri adalah asam garam dalam kehidupan berumah tangga. 
Perkahwinan adalah gabungan emosi, fizikal dan mental yang akan teruji apabila bersama-sama melayari satu perkongsian. Konflik rumah tangga juga harus dipandang sebagai ujian dan amanah ALLAH S.W.T. Ia umpama hujan yang turun, jika mampu ditampung akan menjadi tasik atau kolam tetapi jika tidak... akan terjadilah banjir. Konflik juga adalah ujian ketakwaan dan kesabaran untuk menempatkan diri di sisi ILAHI.
Terdapat satu pepatah pujangga silam, diungkap dalam bentuk munajat kepada ALLAH S.W.T:

Ya ALLAH... Aku bermohon kepada-MU kebahagiaan
Namun ENGKAU berikan aku masalah
Baru kini kufahami
Tiada kebahagiaan melainkan
selepas aku melepasi deritanya masalah.

Terdapat pepatah Melayu yang sering menjadi rujukan tentang konflik rumah tangga yang harus dilalui dengan tenang, tanpa menganggapnya sebagai sesuatu yang mendukacitakan. Antaranya, `Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’ dan ‘Buang yang keruh, ambil yang jernih’.
Bagi pasangan bakal pengantin, konflik rumah tangga merupakan sesuatu yang pasti akan ditempuh. Persiapkanlah diri untuk menghadapi apa jua dugaan dengan keutuhan spiritual, ilmu dan iman. Bagi pasangan suami isteri, apabila terjadi konflik, penyelesaiannya haruslah diusahakan dengan kesabaran dan doa tulus memohon petunjuk serta kekuatan daripada ILAHI.
Di samping itu, usaha yang menepati fitrah adalah perlu agar solusinya mudah diterima dan mengelakkan ketegangan berterusan. Penyelesaian­nya sudah tentulah bukan berupa sebuah perceraian atau dengan lain perkataan pelarian daripada fenomena tersebut.
Pada pengamatan saya, kebanyakan per­masalahan atau konflik yang terjadi bermula dengan perselisihan atau silap faham. Walaupun kita sering mendengar bentuk konflik rumah tangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (kejahatan kedua pihak) ataupun dharar (penderaan/ penganiayaan) sebagai suatu kesalahan tetapi proses memahami definisi dan konteks ketiga-tiga bentuk kesalahan tersebut sering tersilap erti oleh pihak suami dan isteri.
Nusyuz pada keputusan seorang suami sering kali dinafikan oleh isteri, begitu juga adakalanya dharar yang dilakukan oleh suami selalunya diakui mempunyai alasan kukuh atau bersebab, menyebabkan suami tidak merasakan dirinya melakukan sebarang kesalahan terhadap si isteri.
Apatah lagi konflik dalam bentuk syiqaq, yang secara jelasnya kelihatan sama-sama melakukan kesalahan terhadap pasangan namun hakikatnya kedua-dua pihak tersilap mentafsirkan keputusan dalam pemikiran yang berbeza.
Alangkah malangnya apabila banyak kes yang diheret ke mahkamah hanyalah berpunca daripada silap faham. Jelasnya, mahkamah adalah tempat perbicaraan orang yang melakukan kesalahan, bukannya kesilapfahaman. Silap faham seharusnya dijernihkan di dalam rumah sendiri tanpa perlu mendedahkan pertikaian di khalayak ramai. Ini kerana `keributan’ akan semakin menzahirkan kekeliruan dan kenaifan diri kita dan pasangan.
Lantaran itu, tidak hairanlah betapa kes tuntutan perceraian di mahkamah syariah semakin melambak-lambak tanpa dapat diselesaikan dengan mudah. Para hakim sendiri tidak mampu menetapkan sebarang hukuman kerana tidak dapat menemui kesalahan yang jelas, menyebabkan kes tertangguh dan diketepikan kepada autoriti pendamai (sulh).
Kaedah memahamkan hakikat fitrah ini amat penting dijelaskan di peringkat sulh bagi tujuan penyembuhan dari dalam, berkekalan dan semula jadi. Tanpa dijelaskan ilmu sebegini, masing-masing akan terus didesak dengan rasa ego tanpa melihat keindahan perdamaian dan pengharmonian serta sinergi positif antara suami isteri.
Banyak kajian dijalankan bagi mengenalpasti faktor konflik dalam rumah tangga. Ini bertujuan  memudahkan mencari penyelesaian dan me­ngem­bali­kan keharmonian rumah tangga. Menurut kajian penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), antara faktor yang mudah mencetuskan konflik sehingga kepada perceraian adalah apabila:
1. Perhubungan dan komunikasi lemah
2. Ketidakupayaan menangani konflik dan perselisihan pendapat
3. Kaedah penyelesaian masalah yang lemah
4. Ketidakadilan pembahagian tugas
5. Kurang sokongan emosi
6. Ego menerima perbezaan individu
7. Terlalu bergantung kepada orang lain
Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (2005) pula menyenaraikan faktor utama berlaku perceraian adalah campur tangan orang ketiga ataupun rakan sekerja. Secara mudahnya, kita boleh memahami faktor ini adalah barangkali penyebab, tetapi setiap faktor penyebab semestinya mempunyai solusi.
Tugas suami isteri yang telah berjanji setia sehidup semati dalam akad perkahwinan mereka adalah melayarkan bahtera kehidupan meredah segala gelombang yang mendatang dengan penuh kecekapan, kecekalan dan kesabaran.
Malah sejak dahulu lagi, banyak pandangan serta pengamatan golongan bijak pandai merumuskan permasalahan rumah tangga disebabkan oleh:
1. Kekeliruan dan kedangkalan ilmu agama
2. Kelemahan asas persediaan perkahwinan
3. Kurang bimbingan golongan tua/dewasa
4. Kesempitan kewangan atau masalah ekonomi
5. Kawalan keterlaluan/kongkongan ibu bapa
6. Kelemahan komunikasi yang tidak telus
Modul Bersepadu Pra Perkahwinan Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggariskan beberapa faktor krisis rumah tangga boleh terjadi disebabkan beberapa situasi. Modul ini mencadangkan usaha yang perlu ditangani dan dipelajari kaedah pengurusannya secara bijak.
Antara faktor yang dibincangkan ialah:
1. Budaya hidup bujang masih juga diteruskan oleh suami atau isteri walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri. Budaya begini akan menyebabkan pasangan kita hidup secara berasingan dan boleh menyebabkan mudahnya berlaku perselisihan faham.
2. Kefahaman tentang ilmu agama berhubung kehidupan berumah tangga kurang ataupun hidup dalam norma-norma di luar batasan yang dianjurkan oleh syariat.
3. Pengurusan ekonomi rumah tangga yang lemah.
4. Pengamalan cara hidup yang terkeluar dari  landasan tuntutan Islam seperti minum arak, judi dan dadah.
5. Pengurusan komunikasi di antara suami isteri mahupun keluarga dan jiran tetangga tidak menepati tuntutan cara hidup Islam.
6. Adakala juga akibat daripada tidak menjaga aspek pengurusan kesihatan menyebabkan hubungan rumah tangga terjejas.
7. Faktor masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi dan diselesaikan bersama juga menjurus kepada rentetan permasalahan  dan seterusnya menimbulkan selisih faham yang berterusan.
8. Kegagalan menguruskan tumpuan waktu kerjaya, sosial dan rumah tangga juga menjadi penyebab kepada keruntuhan institusi rumah tangga. Lebih memberi tumpuan kerjaya atau kadangkala tidak memahami budaya kerjaya pasangan juga antara faktornya.
9. Pengaruh luaran daripada rakan-rakan dan pihak ketiga yang lain juga menyebabkan mudah berlaku silap faham.
Faktor-faktor ini adalah antara masalah komunikasi dan punca konflik rumah tangga.
Dr. Robiah K. Hamzah, seorang motivator mengaitkan kelemahan komunikasi sebagai faktor konflik dan menggariskan beberapa teknik penting dalam komunikasi iaitu:
• Niat yang ikhlas
• Memahami suasana semasa
• Mesra, ceria dan senyum
• Bersemuka
• Beri perhatian dan menghargai pasangan
• Bahasa yang mudah difahami
• Lemah lembut
• Tidak menyakiti hati
• Boleh menarik perhatian
• Peramah
• Berhikmah
• Nasihat yang baik
• Beradab
Beliau melihat faktor komunikasi adalah aspek terpenting yang perlu difahami dan diamalkan dengan bijak bagi menjamin kerukunan rumah tangga.
Secara umumnya, setiap kita memiliki hasrat positif untuk mempraktikkan teknik-teknik yang baik sebagaimana digariskan. Namun dalam interaksi suami isteri, adakalanya tindakan kita boleh disalah ertikan atau banyak kali juga berlaku tidak dihargai oleh pasangan kita. Ini kerana persepsi dan harapan terhadap tindakan tersebut tidak berada di atas landasan yang diinginkan oleh pasangan kita.
Niat tidak boleh dikesan dari luaran, malah kerap berlaku keihklasan kita yang disalah ertikan. Istilah memahami bagi suami dan memahami bagi isteri adalah dua definisi yang amat berbeza. Begitu juga cara menunjukkan kemesraan. Bahasa, apatah lagi.
Kita sering temui... ada isteri yang cukup mudah tersentuh dengan bahasa teguran suami tetapi bagi suami pula, itu adalah semata-mata kerana kasih sayang dan bukan bertujuan untuk menyakitkan hati. Inilah yang kerap terjadi; teguran suami adakala boleh dianggap ugutan ataupun tekanan oleh isteri. Dan kesannya... merajuk berpanjangan!
Manakala cara menarik perhatian si isteri seperti merajuk, membebel ataupun memberontak tidak mudah difahami oleh suami. Malah lebih menakutkan apabila tindakan sebegini difahami oleh suami sebagai melawan dan derhaka (nusyuz) sehingga menimbulkan konflik yang lebih besar tanpa kesudahan. Inilah di antara perlakuan yang menjadi asam garam dalam kehidupan rumah tangga disebabkan faktor asasnya iaitu perkongsian  antara dua spesies berbeza; lelaki dan wanita.
Dalam al-Quran, ALLAH menegaskan enam prinsip sebagai kaedah komunikasi yang baik iaitu qaulan sadida (tuntas), qaulan baligha (difahami), qaulan layyina (lemah lembut), qaulan karima (cara positif), qaulan ma’rufa (isu-isu kebaikan) dan qaulan maisura (mudah).
Enam ciri ini disebut secara langsung yang digabungkan dengan terma percakapan atau komunikasi iaitu ‘qaulan’ menunjukkan karakter komunikasi yang baik dan menepati fitrah menurut Yang Maha Pencipta.
Persoalannya; pengertian tuntas, difahami, lemah lembut atau positif didefinisikan secara berbeza oleh suami dan isteri, tanpa mengenali  kekuatan dan kelemahan fitrah ciptaan diri.
Umpamanya, suami merasakan telah meng­gunakan bahasa yang dikira amat mudah difahami dan lembut, tetapi isteri cukup sukar memahami malah tersentuh pula dengan cara penyampaian suami yang dianggap tidak menghargainya.
Banyak konflik rumah tangga yang berakhir dengan perceraian bukanlah berasaskan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada suami atau isteri, tetapi lebih banyak berpunca daripada salah faham. Ini terjadi disebabkan faktor perbezaan tujuan perlakuan dengan maksud perlakuan yang difahami.
Tidak dinafikan, teori ini mudah difahami dan boleh dipraktiskan dalam hubungan suami isteri. Persoalannya; definisi setiap tindakan yang dianjurkan kepada pasangan kita mungkin tidak difahami atau disalah fahamkan lantaran perspektif kita yang berbeza. Sehingga bila pun, teknik yang dianjurkan ini dianggap tidak berjaya.
Lemah lembut bagi lelaki barangkali telah maksimum, tetapi kemungkinan tidak pun men­capai aras minimum pada perspektif wanita. Inilah di antara contoh yang mudah terjadi salah faham sehingga membawa kepada rasa tidak dihargai dan kecewa. Perbezaan ini disebabkan faktor berbezanya pemikiran suami dan isteri, minat, tarikan dan emosi.
Rasulullah pernah menggariskan fitrah lelaki sebagai insan yang meminati kecantikan wanita sedangkan tarikan wanita adalah pada kelembutan dan keprihatinan lelaki terhadapnya
Perbezaan memahami peranan suami isteri juga menjadi punca tidak puas hati dan menyuburkan ego masing-masing. Dalam men­jamin keharmonian yang memberi ke­tenangan serta keselesaan kedua-dua pihak (saling melengkapi), suami dan isteri perlu bekerjasama dan bukannya melakukan kerja yang sama. Ini akan mengelakkan rasa iri hati, kecewa dan tidak menghargai sumbangan pasangan serta bosan dengan tanggungjawab. Adakala kita sendiri melangkaui peranan fitrah yang ditetapkan oleh ALLAH kepada kita sebagai suami dan isteri.
Kesimpulannya, jika ditinjau kembali per­masalahan yang sering dihadapi, sebenarnya ia bukanlah suatu kesalahan yang perlu dimaafkan atau tidak tetapi lebih berbentuk kesalahfahaman yang hanya perlu difikirkan sama ada untuk menerima realitinya atau buat-buat tidak faham. Dalam maksud lain, masing-masing yang tidak menerima realiti fitrah diri dan pasangan serta kekal berterusan dengan rasa ego.
Konflik adalah asam garam kehidupan berumah­ tangga. Perumpamaan seniman negara Tan Sri P. Ramlee menyebut, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Begitulah sinonimnya konflik yang tidak dapat lepas lari dalam sesebuah ikatan perkahwinan.
Menurut kajian penulis psikologis tersohor, Dr. John Gray (2005) di Amerika, dikatakan 3⁄4 perkahwinan berakhir dengan perceraian. Dalam pemikiran barat, perkahwinan dan perceraian tidak lebih daripada aktiviti dokumentasi, lantaran itulah perceraian disebut sebagai akhir sebuah perkahwinan.
Namun dalam Islam, perceraian adalah konflik, asam garam kehidupan yang barangkali paling pahit berbanding bentuk konflik yang lain. Apa yang pasti, ia memerlukan penyelesaian menerusi tempoh idah yang disyariatkan.
Di Malaysia, peningkatan kes perceraian meningkat sebanyak 67.4% dalam masa sepuluh tahun sejak 1998-2008. Barangkali ini tidak perlu dibimbangkan jika melihat kepada pertambahan bilangan populasi umat Islam dan juga peningkatan bilangan perkahwinan dalam tempoh yang sama.
Namun secara umumnya, tiga tahun terakhir menunjukkan statistik perceraian yang mem­bimbangkan iaitu pertambahan kes sebanyak 19, 463 (2006) meningkat kepada 20, 529 (2007) dan meningkat lagi kepada 22, 289 (2008). 
Pada perspektif yang lain, kes rujuk pula adalah sebaliknya; menurun dari 14.9% daripada kes perceraian pada 1998 menemui solusi rujuk manakala hanya 11.5% sahaja berbanding dari­pada kes perceraian pada 2008. Senario terkini dalam masa tiga tahun terakhir; purata kes yang menemui penyelesaian rujuk adalah sekitar 7.75% setiap tahun.
Walau bagaimanapun, purata peningkatan kes perceraian dalam tempoh tiga tahun terakhir iaitu pada tahap 7.25% adalah masih membimbangkan dan mengatasi purata peratusan peningkatan perkahwinan iaitu sekitar 6.75% setiap tahun.
Secara kasar, kita dapati hampir 17% daripada bilangan perkahwinan menemui perceraian. Kita amat mengharapkan agar statistik perceraian akan lebih menurun dan kesedaran menyelesaikan konflik sebegitu dengan solusi rujuk akan lebih meningkat. Konflik seharusnya boleh ditangani dengan kefahaman tentang karakter pasangan; lelaki dan wanita yang diciptakan oleh ALLAH untuk menyempurnakan kelemahan pasangan masing-masing.
Barangkali terdapat solusi terhadap pelbagai permasalahan rumah tangga bermula dengan pengurusan kesihatan, pengurusan masa, peng­urusan kewangan, pengurusan keibubapaan ataupun pengurusan stres sebagaimana yang dianjurkan dalam modul kursus pra-perkahwinan Islam kebangsaan. Namun, fokus kita melihat kepada platfom yang lebih asas iaitu pengurusan diri sendiri; solusi yang tidak mengaitkan aspek orang lain dan tidak membabitkan kos kewangan dan sebagainya.
Jika diamati secara mendalam, kebanyakan masalah yang melanda dan mengganggu ke­­harmonian hidup bersama bukanlah di­sebab­kan  oleh kesalahan tetapi lebih merupakan kesalah­fahaman. Alasan biasa pasangan yang berhadapan dengan konflik berpanjangan; misal­nya tiada persefahaman, tidak boleh hidup bersama, tidak betah tinggal sebumbung atau tidak sehaluan.
Ramai psikologis mahupun kaunselor men­cadangkan teknik pengurusan stres adalah dengan saling memahami, menyedari keadaan diri sendiri dan juga pasangan, mengenali punca dan segera menyelesaikan serta bertoleransi di antara satu sama lain. Saranan ini sering dilaksanakan oleh setiap suami isteri yang berkonflik dengan cara yang wajar, namun ramai yang kecewa dan terkilan dengan pengorbanan yang telah dibuat terhadap pasangannya.
Perceraian sering dianggap penyelesaian oleh banyak pihak sehinggakan para ilmuwan dan kaunselor rumah tangga juga menyifatkan perpisahan adalah penyelesaian alternatif yang terakhir. Sebenarnya perceraian bukanlah kemuncak dan penghujung segala penyelesaian. Pada perspektif yang lebih jelas, konflik ke arah perceraian mahupun perceraian itu sendiri adalah permasalahan yang perlu diselesaikan. Ada yang menyangka perceraian adalah penyelesaian namun hakikatnya perceraian sendiri memerlukan penyelesaian.
Banyak perceraian berlaku bukan sebagai penyelesaian tetapi atas dasar silap faham, ketidaksengajaan dan keterlanjuran yang ruang penyelesaiannya masih terbuka dan harus diambil segera. Jangan biarkan perceraian terjadi sebagai penyelesaian yang tidak berkesudahan. Inilah  hikmah idah dan rujuk dalam hukum Islam.
Beberapa realiti yang tidak dapat kita nafikan dalam kehidupan perlu difahami dan diterima. Kita tidak mampu mengubah fitrah ataupun sunnah alam. Perkahwinan yang diperintahkan oleh ALLAH adalah pemantapan diri kita dengan adanya pasangan yang melengkapkan, bukannya persaingan sama ada suami atau isteri lebih baik.
Perkahwinan adalah di antara lelaki dan wanita yang sememangnya berbeza sejak azali, malah Rasulullah s.a.w pernah menegaskan betapa seorang suami tidak akan boleh diubah menjadi isteri. Hidup bahagia dengan menghargai perbezaan dan saling menyumbang adalah lebih mudah difahami dan membahagiakan berbanding sakit mencari titik persamaan yang berhadapan dengan kesamaran.
Suami yang sedar bahawa isterinya wanita, pasti tidak akan berasa terbeban untuk memenangi hatinya, tetapi lebih bersifat menghargai dan secara tidak langsung akan mendapat refleks yang serupa daripada isteri yang sedar bahawa suaminya adalah lelaki. Kefahaman sebegini pasti membawa keharmonian rumah tangga yang berkekalan.
Dari keseluruhan kajian dan pandangan yang saya rujuk, ia semakin memberi gambaran betapa masalah rumah tangga sebenarnya terdiri dari faktor dalaman atau fitrah diri. Manakala faktor lainnya pula adalah berbentuk luaran.
Kebanyakan faktor luaran adalah disebabkan masalah kewangan, persekitaran, campur tangan orang lain, kelemahan komunikasi atau kerjaya. Hampir semua permasalahan yang menimbulkan perselisihan faham dan konflik rumah tangga mudah dielakkan dengan menghindarkan diri dari elemen luaran.
Faktor kewangan umpamanya, boleh di­-fikir­kan penyelesaian menerusi sumber bantuan ataupun dengan memilih pasangan yang berada. Begitu juga persekitaran, jiran ataupun pengaruh rakan boleh dielak dengan memulakan kehidupan yang berasingan jauh daripada pengaruh mereka. Tahap pendidikan dan penguasaan ilmu agama juga masih boleh diselesaikan dengan memilih bakal pasangan kita yang berpendidikan tinggi dan berilmu agama, umpamanya. Punca-punca stres juga boleh diselidiki dan dielakkan.
Namun, apa yang lebih sulit dihadapi adalah faktor dalaman diri kita. Antara faktor dalaman diri sebagaimana yang dijelaskan oleh pakar psikologi, pakar agama dan motivator ialah sifat ego, budaya hidup yang berbeza dan tidak memahami jiwa pasangan. Ini kerana ia sebati dalam diri setiap insan yang bergelar lelaki dan wanita. Dan apa yang pasti, kita tidak ada pilihan untuk mengelak daripada mengahwini lelaki ataupun wanita.
Faktor dalaman ini tidak boleh dielakkan sama sekali. Ia hanya boleh difahami dan diuruskan secara bijaksana. Seorang isteri tidak ada pilihan untuk memilih suaminya yang tidak memiliki faktor fitrah seorang lelaki. Begitu juga seorang suami yang terpaksa menerima kehadiran isterinya yang penuh dengan sifat fitrah wanita.
Lalu, konflik fitrah ini perlu diterima dan dihadapi seadanya. Konflik dalam rumah tangga kita akan terus wujud tetapi kefahaman kita tentang fitrah diri yang tepat harus dibongkar secara terperinci untuk menjadi platform kukuh kepada pemulihan konflik tersebut secara efektif dan semula jadi.
Sebagai renungan bersama, saya titipkan beberapa realiti yang sering berlaku sekitar kehidupan kita.
Kebanyakan pasangan suami isteri meng­impikan ikatan perkahwinan yang terhindar dari rasa kecewa, putus asa, sedih dan marah. Tetapi sedarkah kita bahawa perkahwinan merupakan ikatan sumpah setia berkorban untuk mengharungi gelombang dan onak duri kehidupan yang lebih hebat berbanding sebelum berkahwin?
Masalah hidup akan terus wujud ditambah pula dengan masalah pasangan kita. Pada masa yang sama, pasangan kita sendiri akan menambahkan lagi konflik dan menjadikan pertambahan lebih tiga kali ganda daripada hidup sendiri.
Ramai suami mendakwa sukar menasihati atau menegur isteri sedangkan tanggungjawab mengajar, mendidik dan menasihati isteri secara terang-terangnya adalah tugas suami. Malah, ramai isteri inginkan suami menasihati dan mendidik mereka. Namun, ia berakhir dengan kekecewaan kerana pada persepsi kefahaman isteri (yang tidak serupa dengan persepsi suami) mendapati suami bukannya mendidik tetapi berterusan menghukum dan memarahi.
Manakala suami yang menasihati dan mendidik isteri pula sentiasa mendapati isterinya melawan dan memberontak. Apapun, sepanjang saya bertemu dengan wanita sama ada yang belum berkahwin ataupun sudah berkahwin, rata-ratanya bersetuju bahawa melawan kata suami tanpa sebab syar’ie, hukumnya haram dan statusnya derhaka.
Isteri yang terguris dengan teguran suami  terus bergegas masuk, menguncikan diri di dalam bilik. Suami yang berasa tercabar dengan tindakan isteri menyuruh isterinya keluar. Berdasarkan kajian, majoriti wanita apabila ditanya, mengaku tidak akan keluar sebaliknya terus melancarkan `misi merajuk dan menanti untuk dipujuk’.
Kenyataannya, kebanyakan isteri yang sedang merajuk tidak akan menurut kata suami kalau tidak dipujuk dengan cara yang memenuhi cita rasa dan kehendaknya. Apa-apapun, tindakan sebegini tetap dianggap derhaka dan hukumnya   adalah berdosa!
Ramai isteri mengambil tindakan menyerupai ciri-ciri derhaka kepada suami sedangkan semua isteri yang melakukan tindakan sebegitu (yang saya temui) mengaku tidak terlintas di hati mereka untuk melawan atau menderhakai suami. Isteri yang merajuk umpamanya, memberontak dan melawan  semata-mata untuk menarik perhatian si suami.
Malah jika ditanya, kebanyakan isteri men­dakwa bahawa mereka tidak suka melawan dan hanya mendiamkan diri jika terasa hati dengan tindakan suami. Namun apabila ditanya kepada suami apakah benar isteri akan mendiamkan diri, kebanyakan suami mengakui tercabar dengan tindakan isteri yang mengambil tindakan acuh tidak acuh, memuncungkan mulut, melarikan diri ke dalam bilik atau mendiamkan diri seolah-olah suami tidak wujud di hadapannya.
Ini semua ditafsirkan sebagai memberontak dan menentang suami. Mendiamkan diri, mem­buat mimik muka yang membosankan atau mogok tidak memasak akan lebih menimbulkan kemarahan suami, meskipun tujuan asalnya adalah untuk menagih perhatian, pujukan dan belaian. Persoalannya, apakah wujud konsep derhaka yang dibenarkan dan tidak berdosa ketika waktu merajuk? Fikir-fikirkanlah...