Tuesday, July 26, 2011

RAMADAN AL-MUBARAK - Bulan Penyucian Jiwa

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan kepada kamu agar berpuasa pada bulan itu.” - HR Ahmad

Alhamdulillah… syukur ke hadrat ALLAH S.W.T dengan limpah dan rahmat-NYA, dapat kita bertemu dengan Ramadan 1432H. Saban lama kita merindui bulan mulia ini, akhirnya… Ahlan wa sahlan Ya Ramadan!

Sesungguhnya, ALLAH S.W.T telah memuliakan bulan Ramadan dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain. Antaranya disyariatkan berpuasa seperti yang dituntut dalam rukun Islam, diturunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w, terdapat malam lailatulqadar yang lebih mulia daripada 1000 bulan, pintu syurga terbuka luas, pintu neraka tertutup rapat juga dirantaikan semua jin dan syaitan.

Mengapa perlu dibiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa kita berlumba-lumba untuk meningkatkan amal ibadat? Ketahuilah bahawa setiap perintah yang ditaati, kita akan memperolehi ganjaran yang berlipat ganda daripada-NYA. Tambahan pula, pintu rahmat yang terbuka luas turut memberi kesempatan kepada kita untuk bertaubat memohon keampunan di atas segala kekhilafan diri.

Selain itu, ibadat puasa yang dijalani memberikan kita peluang untuk membentuk peribadi muslim yang cemerlang sama ada dari segi pengisian rohani mahupun kesihatan fizikal. Kita bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mengawal diri daripada melakukan perkara yang ditegah oleh syariat Islam. Selama sebulan kita berpuasa umpama berada di dalam sebuah latihan demi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH S.W.T. Firman-NYA yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, kamu semua diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” - Surah al-Baqarah: 183

Justeru itu, pihak Karya Bestari mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 1432H. Sama-samalah kita memperbanyakkan amal ibadah seikhlas hati seolah-olah inilah Ramadan yang terakhir bagi kita. Jutaan kemaafandipohon di atas segala salah dan silap daripada kami. Sesungguhnya, tiada yang sempurna melainkan DIA yang Maha Esa.

Di samping mengerjakan amalan soleh, usah dibiarkan masa yang terluang berlalu begitu sahaja. Isilah dengan perkara yang bermanfaat seperti membaca buku-buku terbitan Karya Bestari. Insya-ALLAH, ilmu yang dikongsi dan disebar akan mendapat keberkatan daripada-NYA.

Thursday, July 21, 2011

TEAM BUILDING SEHATI BERSAMA GBK

Tarikh 15-17 Julai 2011 pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat warga kerja Grup Buku Karangkraf. Kenangan indah, pahit, manis, sedih, suka & duka, masih jelas terpahat di sanubari.

BUAT julung-julung kalinya hampir kesemua warga kerja GBK menghadiri program Team Building Sehati Bersama yang dianjurkan oleh pihak syarikat sendiri & dikendalikan oleh team Unit Latihan & Implimentasi (ULI). Program kali ini diadakan di sebuah tempat yang agak terpencil dari hiruk-pikuk kesibukan kota iaitu di Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang. Difahamkan kami adalah team terbesar & teramai dari Kumpulan Karangkraf pernah dihantar ke sana.
Awalnya, pelbagai respons yang diberikan selepas dimaklumkan mengenai program tersebut. “3 hari 2 malam? Lamanya!”, “Boringnya nak kena pergi team building”, “Risaunya nak tinggalkan anak. Demam la anak macam ni…” dan bermacam-macam sok sek-sok sek lagi yang didengari. Malah, ada juga yang keberatan untuk turut serta dalam program ini kerana tidak mahu meninggalkan suami/isteri masing-masing! Menambahkan lagi keengganan apabila ada di antara kami yang bertindak membuat siasatan sendiri daripada teman-teman yang sudah dihantar ke sana dan diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan membawa surah Yasin ke mana sahaja memandangkan tempat yang kami bakal kunjungi itu dikelilingi hutan semata-mata! Segala rasa bercampur-baur. Beratnya rasa ingin melangkah pergi.

Kami dibawa ke sana menaiki 2 bas yang disediakan. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang sejam itu berlanjutan sehingga 2 jam kerana keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Alhamdulillah, kami semua selamat tiba jam 10 pagi.


Sejurus turun dari bas, bermulalah cabaran awal kami. Kami dibawa masuk ke kem dengan
menaiki lori kerana keadaan jalan yang sempit dan berbukit-bukau menghalang bas memasukinya. Sesuatu yang belum pernah kami rasai sebelum ini. Hampir kesemua kami tersenyum riang melalui cabaran mudah ini.

Sebaik tiba di lokasi, team ULI sudah pun menanti dengan senyuman lebar, agaknya sudah tidak sabar mahu melihat jerit-pekik kami mengharungi 3 hari 2 malam yang penuh mencabar itu. Kami kemudian diarahkan memenuhi meja makan, 8 orang semeja sebelum dibenarkan bersarapan dan begitulah juga untuk setiap kali waktu makan. Terasa seperti kanak-kanak sekolah pun ada. Di situ juga, senarai nama peserta dan pembahagian bilik oleh pihak ULI sudah ditampal. Kami berebut-rebut meneliti senarai tersebut dengan harapan mendapat teman sebilik yang sekepala dan best! Cara terbaik untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara kami.

Selepas sarapan, masing-masing mendapatkan kunci bilik yang telah ditetapkan dan bergerak ke bilik masing-masing untuk berehat seketika. 1 bilik boleh memuatkan hingga 4 orang dan dilengkapi dengan sebuah bilik air. Cukup
basic.

Kami telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan perlu bersaing sesama sendiri untuk mengumpul
BINTANG! Kami akan diberikan hadiah untuk BINTANG terbanyak kumpulan dan juga individu pada hari terakhir kami di sana nanti. Maka, bermulalah cabaran sebenar kami dalam mengejar BINTANG.Apa yang boleh disimpulkan, banyak pengajaran dan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada program ini. Tanpa sedar, kami diajar menepati masa, berdisiplin, bekerjasama, percaya pada kemampuan & kebolehan orang lain, yakin diri, bantu-membantu dan macam-macam lagi. Banyak aktiviti dan permainan diatur untuk kami. Dalam gelak ketawa, kami juga belajar nilai-nilai murni yang tersirat di sebaliknya. Aktiviti senaman pagi, berhakka, berkawad, membuat ikatan buku sila dengan menggunakan rantaian manusia, menjatuhkan batang paip, paintball, menyelamatkan telur daripada pecah, jungle trekking, main kuda, membuat rakit, membuat persembahan dan bermacam-macam lagi permainan ternyata menguji kesabaran, ketahanan fizikal dan kekentalan semangat kami.

Alhamdulillah, sehingga hari terakhir kami di sana, semuanya berjaya dilalui dengan cemerlang berkat ukhwah kami. Yang pasti, tiada yang menyesal menyertai program ini. Sungguh, kami benar-benar ENJOY walaupun sengal-sengal dan sakit-sakit badan mula terasa menjalar ke seluruh tubuh.

Buat team GRUP BUKU KARANGKRAF...
TAHNIAH! ANDA SEMUA THE BEST!!!

Buat team ULI:

THANK YOU!

Wednesday, July 20, 2011

Pameran Tilawah Oasis sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang ke-53

Berkunjunglah ke gerai Kumpulan Media Karangkraf (Gerai No. 30 - 31) di Pameran Tilawah Oasis sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang ke-53 pada 20 - 23 Julai 2011, jam 11 pagi - 10 malam bertempat di Legar Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

PAKEJ BESTARI RAMADAN. MILIKINYA SEKARANG!

Tuesday, July 19, 2011

PELANCARAN BUKU MENYELAMI PENGURUSAN UMAR ABDUL AZIZ






Pada malam,13 Julai 2011, yang lalu telah berlangsung peristiwa yang bersejarah di UiTM Pahang, Bandar Tun Razak, Jengka dengan terlaksanya program Persada Bestari.Program ini yang merupakan julung-julung kalinya diadakan merupakan daya-usaha UiTM Pahang untuk memberikan peniktirafan kepada penyelidik dan penulis di UiTM Pahang. Program ini dirasmikan oleh tokoh akademik dari UKM, iaitu Prof Dato’ Dr Roslan Abdul Syukur.Program ini turut dihadiri Rektor UiTM Pahang, Prof Madya Dr Haji Hilmi Abdul Rahman, Timbalan Rektor penyeldikan dan jaringan industri, Prof Madya Dr Azhan Hashim, pegawai-pegawai kanan UiTM Pahang, serta semua penerima anugerah.

Sempena program tersebut disempurnakan juga pelancaran buku Menyelami Pengurusan Umar Abdul Aziz, karya Prof Madya Hj Rasid Muhamad, pensyarah dari Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Pahang, terbitan Karya Bestari.

Pada malam tersebut juga Prof Madya Hj Rasid Muhamad, telah diobatkan sebagai tokoh penulis UiTM Pahang. Pemilihan tersebut da kaitannya dengan penulisannya Menjejaki Keindahan Islam, (2010: UPENA), dan Merintis Kecemerlangan Islam (2010: Karya Bestari).

Mengenai buku Menyelami Pengurusan Umar Abdul Aziz, merupakan karya ketujuh Prof Madya Hj Rasid Muhamad, yang membicarakan tentang keperibadian diri khalifah yang unggul ini di samping membincangkan juga amalan pengurusan yang baik yang diamalkan oleh beliau.Buku ini memfokuskan di samping nilai-nilai unggul peribadinya, juga menghuraikan prinsip dan amalan pengurusan yang dilaksanakannya.

Buku ini juga membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, dalam usaha untuk membina pentradbiran yang berintegriti, berkesan dan unggul. Dengan itu, pembaharuan yang dilakukan, dapat disempurnakan dengan jayanya.


Buku ini juga membincangkan watak khalifah Umar Abdul Aziz, yang bersfat tranformasional, yang bukan hanya mampu menguruskan pentadbiran dengan baik, tetapi melakukan pembaharuan yang amat ketara dan berkesan. Dengan usaha yang dilakukan, menjadikan negara menjadi makmur, sehinggakan tiada dari kalangan rakyatnya yang layak menerima zakat atas sebab kemiskinan!

Buku ini, sewajarnya menjadi bacaan wajib kepada pentadbir di semua peringkat, sekolah, IPT, jawbatan-jabatan kerajaan dan swasta. Gabungan antara perspektif konvensional dengan Islam, menjadikan buku ini menarik untuk dibaca.

Bahasa buku ini agak mudah, walaupun tidak menjejaskan nilai ilmu dan akademiknya. Dengan rujukan yang muktabar, serta yang terkini, menjadikan buku Menyelami Pengurusan Umar bin Abdul Aziz, sebuah buku pengurusan Islami yang baik yang perlu diberikan perhatian.

Dengan pelancaran buku tersebut, dan penganugerahan Tokoh Penulis UiTM Pahang, menjadi galakaan dan motivasi kepada penulis, Prof Madya Haji Rasid Muhamad untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu untuk masa-masa ayang akan datang. Tahniah kepada Prof Madya Hj Rasid Muhamad, dan juga Karya Bestari yang berganding bahu dalam penghasilan karya yang bermutu.


MARI BELAJAR BAHASA AL-QURAN

Monday, July 4, 2011

TEMU MESRA PENULIS KARYA BESTARI - Muhammad Nazir Khalid & Yaakob Md Yunus

Obses pada buku merupakan aktiviti sesi pertemuan penulis bersama peminat untuk mengenali penulis dan mendalami pengisian buku Manisnya Iman dan Belajar Tajwid Dengan Berkesan dengan lebih terperinci. Aktiviti yang akan berlangsung pada 24 Julai 2011(Ahad) ini di lakukan di MPH BOOKSTORES, ALAMANDA, PUTRAJAYA. Masa dari jam 2 petang hingga 5 petang. Marilah beramai-ramai melihat sendiri penulis buku dan bersama-sama berkongsi rasa dan ilmu. Bawalah anak-anak anda bersama sambil membeli buku dan mendidik mereka supaya menjadi msyarakat yang membaca. Didikan awal adalah yang terbaik. Dan banyak produk kami dari Grup Buku Karangkraf sesuai dijadikan bahan telaah. Jom! elakkan rasa bosan anda di rumah...