Friday, March 25, 2011

DI MANA DIA DI HATIKU… mendidik kita mencintai ILAHI

“Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pintu hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak lagi mempunyai hati.” - Imam Ghazali. Di Mana DIA di Hatiku, itulah tajuk forum anjuran Fun & Exciting Weekend With IluvIslam (FEWWIT) yang berlangsung pada 20 Mac 2011 lalu. Bertempat di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sempena Minggu Kesenian Islam Kolej Ungku Omar, majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Bayangkan... betapa damainya hati melihat dewan besar telah mula dipenuhi sejak seawal 8.30 pagi lagi. Di saat rakan seusia sedang seronok bersantai pada hujung minggu, lebih 500 orang anak muda ini sanggup mengenepikan masa rehat untuk bersama-sama merebut peluang menambah ilmu. Mudah-mudahan rahmat ALLAH mengiringi dalam apa jua perkara yang dilakukan ke arah kebaikan.Kombinasi mantap ahli panel membuatkan program selama tiga jam itu terasa begitu cepat berlalu. Kepetahan Wardina Safiyyah berbicara dengan lontaran kata-kata padat berilmu dan berselang seli gurauan mengusik melengkapkan perisa kesempurnaan majlis. Kebijaksanaan ibu jelita beranak tiga ini sebagai moderator amat bertepatan dengan `falsafah’nya, “Do good, become good and you will feel good.”
Suasana meriah program juga semakin merantai kaki masing-masing dengan penyampaian memikat Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Ustaz Syed Kadir Al-Jofree. Setiap bait kata penuh berhemah kedua panel berwajah tenang ini seolah-olah mampu dihadamkan dengan sebaiknya. Tiada sepatah pun berbaur menghukum, tetapi mengajak dan memujuk anak-anak dengan nasihat lembut yang disulami usikan spontan.
Pengisian program lebih kepada menyedarkan kita bahawa hati yang cerdik adalah hati orang mukmin yang merasai dekat dengan ALLAH, merasai DIA sentiasa ada di hati. Hati yang dikuasai dengan kebaikan akan melahirkan kebaikan yang banyak. Kita akan menjadi luar biasa kerana hati yang akrab dengan-NYA. Cubalah semak kualiti hati kita; dari manakah datangnya kejahatan pada hati - takbur, angkuh, sombong dan riak. Manusia yang bersikap besar diri, megah, rasa hebat dan lebih baik daripada orang lain adalah kerana tidak merasai kebesaran ALLAH di dalam hati.

Memetik kata-kata Imam Ghazali, “Janganlah letakkan ilmu itu di kepala kerana ia umpama pelita yang diletak di atas atap, tapi letakkanlah ilmu itu di hati kerana ia akan menerangi rumah”. Oleh kerana itulah, insan yang berjaya mempunyai spiritual intelligence (kecerdikan
dalaman/rohani) - ada perasaan bertuhan, sentiasa ada ALLAH di hati. Dia tahu dia dari mana, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Ingatlah wahai diri… dalam kembara kehidupan ini, segala apa jua yang terjadi adalah dengan izin-NYA. Jika datang orang menghadiahkan air mata, itu bermakna ALLAH sedang mendidik kita tentang sifat sabar. Mohonlah kepada-NYA, hanya kepada DIA tempat kita mengadu. Dan, jika diri berada di puncak, sujud kepada-NYA usah sesekali dilupa. Moga kita sentiasa beroleh hidayah dan rahmat dengan izin-NYA.
Majlis yang diakhiri dengan sesi soal jawab turut mendapat sambutan dan setiap kemusykilan dileraikan dengan penjelasan memuaskan daripada ahli panel. Mudah-mudahan majlis ilmu sebaik ini diteruskan dari semasa ke semasa. Sememangnya, kita sebagai hamba perlu sentiasa mengisi kekosongan hati dengan tazkirah agar tidak alpa mengharungi kehidupan ini. Apatah lagi, ketenangan hati pasti dinikmati apabila tidak terlalu disibukkan oleh urusan duniawi.
Kami, dari Grup Buku Karangkraf mengucapkan tahniab buat Iluvislam.com dengan tenaga penerajunya; Imran Kayoube, Wann Firdaus, Zulhafidz dan seluruh team (anak-anak muda yang berjiwa besar) di atas usaha murni yang dilakukan. Ternyata, kejayaan program Bebas dari Belenggu, Dr. Azhar di UIA dibuktikan sekali lagi dengan kejayaan program Di Mana DIA di Hatiku ini. Semoga program FEWWIT seterusnya bersama Ustaz Emran Ahmad (Mencari Pasangan Hidup) juga akan mengulangi kejayaaan kedua forum ini. Insya-ALLAH..

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar. Kerana sesungguhnya, bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” -
Surah al-Haj

Wednesday, March 23, 2011

Alhamdulillah... Syukur Kami Pada-MU, Ya ALLAH...

"Jadi... Maka Jadilah..." Syukur pada ILAHI dengan berkat kesabaran dan ketekunan TEAM KB dan juga tidak lupa kepada penulis Karya Bestari yang tidak pernah kenal erti jemu dalam mengembangkan ilmu ALLAH maka ingin kami berkongsi kegembiraan buat semua. Terima kasih kepada pembaca yang mempercayai ilmu yang disampaikan adalah berguna dan bermanfaat buat mereka.

Senarai buku ulang cetak untuk ketiga dan kedua ini memberikan satu impak baru dalam dunia penerbitan bagi team baru kami menungkah perahu untuk terus belayar mengembangkan ilmu yang tidak pernah putus dan adalah tugas kami cuba menarik ramai orang supaya membaca dan menunaikan hasrat Rasulullah s.a.w. Doakan kami agar kami dapat hasilkan karya yang lebih bermutu untuk santapan minda. Amin.Miliki buku terbaru kami Bangkitlah Selepas Bercerai dan juga Mohonlah Hanya Pada-NYA yang berada di pasaran sekrang dan buku bakal terbit adalah DOA DAN TIP KELUARGA BAHAGIA, BELAJAR TAJWID DENGAN BERKESAN & TERIMA KASIH TUHAN ATAS CINTA INI. Tunggu sehingga pengumuman buku bakal terbit berada di pasaran.

Sunday, March 20, 2011

DARI SHAH ALAM KE KOTA JAKARTA…

Pesta Buku Islamik, acara tahunan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh pencinta buku agama. Bertempat di Istora Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta, pameran buku kali ke-10 yang bertemakan Khazanah Islam untuk Peradaban Bangsa ini menempatkan kira-kira 100 penyertaan penerbit di Indonesia.
Bermula dari 4-13 Mac 2011, dunia perbukuan Islam membuktikan bahawa permintaan bagi buku-buku Islamik sememangnya semakin meningkat. Ini terbukti dengan kehadiran ribuan pengunjung yang membanjiri tapak pesta. Dan kami… team dari Grup Buku Karangkraf juga merupakan antara mereka yang sama-sama memeriahkan suasana.
Ya… kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Begitulah yang dirasai oleh kami… Norlizawati, Norhayati, Faizal dan Wan Rohana ketika menjejakkan kaki di tapak pameran. Penduduk Jakarta bagaikan berpesta dengan lautan buku yang memenuhi ruang legar. Suasana meriah begitu terasa, ditambah dengan kebingitan pelbagai aktiviti berkaitan yang mewarnai aturcara pihak penganjur. Antaranya, majlis pelancaran buku, talkshow, Islamic Science Festival, seminar, bengkel dan pelbagai aktiviti lain untuk para pengunjung. Antara peserta terbesar adalah Mizan Group yang menerbitkan buku-buku agama bagi semua peringkat umur. Sebutlah apa saja buku yang dimahukan; dari buku agama konvensional hinggalah ke buku Islamik yang berkonsepkan moden, semuanya ada. Berdasarkan pemerhatian, pencinta buku ini sanggup berhabis-habisan demi memperkayakan lagi ilmu mereka. Buku-buku agama yang diterjemahkan dari tulisan ilmuwan Islam negara-negara Arab mahupun Timur Tengah juga boleh diperoleh selain buku-buku kategori doa dan zikir yang memenuhi sebahagian besar ruang pameran. Apa yang menarik dan istimewanya lagi… pemilihan judul sangat indah (khususnya buku-buku berkonsep motivasi dan novel Islamik). Penggunaaan dan gabungan frasa katanya simple, tapi jelas dan menusuk.
Dan, antara kenangan manis yang sempat dirakamkan ialah pertemuan tanpa terduga dengan Dr. Ary Ginanjar, yang kebetulannya sama-sama berada di pintu masuk pada awal pagi 9 Mac 2011. Apalagi… setelah bersapa dan beramah mesra, maka tanpa membuang masa, kamera pun terus memainkan peranannya. KLIK!!! Hehe… (Kunjungan Pak Ary pada hari tersebut adalah sebagai salah seorang panel dalam satu majlis bedah buku). Apa yang pasti, pengalaman singkat yang diperolehi ini manis sekali. Selain puas menjamu mata dengan 1001 buku yang memikat, kami juga sempat mencuci mata dengan kejelitaan nona-nona manis dan kegantengan pria-pria di penginapan kami, Hotel Atelet Century Park yang jaraknya hanya `walking distance’ ke tapak pesta, Ramah banget masyarakat serumpun kami itu hingga membuatkan Norhayati udah jatoh chenta dan hatinya udah tercicir di Jakarta. Aduh aduhhh…. kangen ya non sama itu pria tampan! "Antara Anyer dan Jakarta kita jauuh cinta....."Haha…
Apa-apa pun, terima kasih daripada kami di atas peluang yang diberikan. Insya-ALLAH kami akan terus berusaha mempelajari dan memperbaiki produk kami dari semasa ke semasa. Yang pasti, Pesta Buku Islamik telah pun melabuhkan tirainya. Dan kita akan berpesta lagi kira-kira sebulan dari sekarang...… berpesta dalam lautan ilmu bersama Kumpulan Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Dewan Tun Ismail, PWTC (22 Apr – 1 Mei 2011). Jumpa kami di sana... Insya-ALLAH…